Negara dan Ruang Peribadi

Apakah Negara Tidak Berhak Campurtangan Jika Sesuatu Kesalahan Dilakukan dalam Ruang Peribadi?

Idea bahawa seseorang itu berhak untuk melakukan apa sahaja dalam ruang peribadi adalah idea baru yang muncul seiring dengan kemunculan falsafah liberalisme yang dipelopori oleh pemikir-pemikir Barat di zaman Enlightenment, di antara yang berpengaruh adalah John Stuart Mill.

John Stuart Mill (1806-1873) dalam bukunya On Liberty berkata : “The object of this Essay is to assert one very simple principle, as entitled to govern absolutely the dealings of society with the individual in the way of compulsion and control, whether the means used be physical force in the form of legal penalties, or the moral coercion of public opinion. That principle is, that the sole end for which mankind are warranted, individually or collectively, in interfering with the liberty of action of any of their number, is self-protection. That the only purpose for which power can be rightfully exercised over any member of a civilized community, against his will, is to prevent harm to others. … In the part which merely concerns himself, his independence is, of right, absolute. Over himself, over his own body and mind, the individual is sovereign”.

Daripada petikan di atas jelas bahawa menurut Mill seseorang individu itu mempunyai kuasa mutlak ke atas dirinya sendiri, tiada kuasa di dunia ini yang berhak untuk mencampuri urusan peribadinya. Dengan demikian negara tidak boleh membuat undang-undang yang boleh menyekat kebebasannya dalam melakukan perkara yang diinginkan, memaksa individu untuk mengikut nilai-nilai moral tertentu, negara tidak boleh menentukan apakah yang benar dan salah. Individu itu sendiri yang menentukan apa yang baik dan tidak baik bagi dirinya, negara ataupun masyarakat tidak berhak untuk mencampuri urusannya, asalkan ia tidak mencederakan orang lain. Kerana itu sebarang aturan yang menghadkan kebebasan individu ini dianggap menyalahi hak asasi manusia, dan undang-undang yang membenarkan sekatan ke atas individu dilakukan dianggap sebagai undang-undang yang menindas dan zalim.

Kerana itu di Barat pada hari ini, kebebasan seseorang itu untuk melakukan apa sahaja yang dianggapnya benar, meskipun bertentangan dengan agama dan nilai moral, adalah hak mutlak individu. Ini termasuklah aktiviti pelacuran, bersekedudukan, liwat, menukar jantina, gay dan lesbian, pornografi, pornoaksi, perkahwinan sesama jenis dan lain-lain selagi mana ianya tidak melibatkan orang lain, tidak mendatangkan kecederaan kepada orang lain, tidak dilakukan dengan paksaan, suka sama suka, maka ia mesti dibenarkan.

Oleh yang demikian Barat tidak boleh menerima jika ada negara di dunia ini yang masih mengekalkan undang-undang yang bagi mereka menyekat kebebasan individu. Bagi mereka undang-undang yang melarang dan menghukum kesalahan homoseksual, LGBT, liwat, perkahwinan sesama jenis adalah kolot dan mesti diubah. Tanpa mereka sedari sebenarnya mereka telah memaksakan nilai mereka terhadap bangsa lain yang memiliki pegangan moral dan pandangan alam (worldview) yang berbeza.

Dalam Islam, kebebasan individu itu tidak mutlak. Sebagai hamba Allah ia perlu taat kepada perintah dan larangan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ia hanya bebas melakukan perkara yang dibenarkan oleh Allah. Seseorang Muslim perlu mematuhi undang-undang Islam sama ada di ruang peribadi mahupun di ruang awam. Hanya saja, jika dilakukan secara tersembunyi dan tidak diketahui oleh orang ramai maka negara tidak berhak melakukan intipan terhadap individu secara sewenang-wenang demi memelihara privasi dan kehormatan manusia, sebagaimana ditegaskan oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din. Kerajaan hanya boleh mengambil tindakan terhadap kesalahan yang jelas dan nyata berlaku meskipun ianya di lakukan di ruang peribadi. Jika undang-undang telah menetapkan bahawa pelacuran, liwat, musahaqah, minum arak, judi adalah satu kesalahan jenayah Shari’ah maka ia perlu dipatuhi oleh setiap individu Muslim. Meskipun dilakukan di ruang peribadi seseorang itu tertakluk kepada undang-undang yang telah diterima pakai di negara itu. Di Malaysia kita ada peruntukan undang-undang seperti Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Jenayah Sivil tentang liwat, dan Akta Kesalahan Jenayah Shari’ah (Wilayah Persekutuan) 1997, dan undang-undang serupa di negeri-negeri lain.

Larangan dan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan ini telah diamalkan sejak zaman Rasulullah salla’Llah ‘alayhi wa sallam lagi. Ketika ayat pengharaman arak turun, Nabi tidak berkata kamu bebas minum arak di rumah kamu, tetapi tidak bebas di ruang awam. Justeru umat Islam ketika itu patuh dan taat kepada perintah dan larangan Allah ini sama ada di ruang awam mahupun di ruang peribadi. Dan sesiapa sahaja yang didapati dalam keadaan mabuk akan dihukum dengan hukuman ta’zir. Zina adalah satu kesalahan, sama ada dilakukan secara suka sama suka, ataupun secara paksa, di rumah persendirian mahupun di premis awam. Hukuman terhadap kedua-dua kesalahan ini dilaksanakan di zaman Nabi lagi. Tiada kedengaran suara protes ketika itu yang menganggap ia adalah dosa peribadi yang sepatutnya hanya urusan si pelaku dengan Tuhan sahaja. Sistem perundangan ini jugalah yang diamalkan oleh kerajaan-kerajaan Islam di alam Melayu, seperti Pasai, Demak, Cirebon, Kesultanan Melaka, Kedah, Johor, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang, dan lain-lain sejak seribu tahun yang lalu.

Kerana itu dalam Islam tidak ada istilah dan konsep dosa peribadi dan dosa awam. Pemisahan dan dikotomi antara dua jenis dosa ini tidak berlaku di dalam Islam. Ia adalah suatu bid’ah yang tercela yang diada-adakan. Jika yang dimaksudkan dengan dosa peribadi adalah kesalahan yang dilakukan oleh manusia terhadap Allah, maka ia tidak boleh dipandang remeh, berbanding dengan dosa awam yang dilakukan terhadap sesama manusia, seperti rasuah, mencuri, membunuh dsb. Zina walaupun suka sama suka, tidak mencederakan orang lain, dan dilakukan di ruang peribadi adalah satu dosa besar, bukan sahaja dalam agama Islam bahkan dalam agama Kristian. Kedua-dua jenis dosa ini memberi kesan yang besar terhadap masyarakat dan kebahagiaan mereka baik di dunia mahupun di akhirat. Islam tidak hanya menekankan kesejahteraan dunia tetapi lebih penting lagi kesejahteraan di akhirat. Kita juga tidak boleh menganggap bahawa perbuatan zina, pelacuran, minum arak, homoseksual tidak menjejaskan kesejahteraan manusia di dunia. Setiap kesalahan yang telah ditetapkan hukumannya dalam Islam semestinya memberi kesan yang buruk kepada diri manusia, baik secara kolektif mahupun perseorangan, di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

Jarum halus pemikiran liberalisme dan sekularisme telah mempengaruhi ramai orang Islam, termasuk yang bergelar ulama’ dan cendekiawan Muslim. Mereka tidak lagi melihat dengan cara pandang Islam, bahkan cuba untuk menjustifikasikan fahaman liberal-sekular mereka dengan membawa nas-nas daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang disalahgunakan demi membenarkan idea-idea yang keliru itu. Akibatnya yang salah akan kelihatan benar dan yang benar akan kelihatan salah. Allah al-Musta’an.

Khalif Muammar

CASIS, UTM

No Comments

    Leave a reply