NEGARA ISLAM DI AMBANG KEHANCURAN

Modus operandi serangan yang dilakukan terhadap negara Turki baru-baru ini, nampaknya sama sahaja dengan apa yang dilakukan terhadap negara-negara Islam lain, termasuk di beberapa buah negara Arab dan yang masih mengganas sekarang ini seperti Syria. Negara yang diserang itu pertama-pertamanya akan mengalami ketidakstabilan ekonomi dan politik, walaupun sebenarnya berlaku di dalam keadaan yang aman.

Ketidakstabilan politik dan ekonomi sering mewujudkan kegelisahan rakyat dan keadaan sosial yang tidak tenteram, terutamanya bagi negara yang mengalami pengangguran yang agak tinggi, harga barang tinggi, sara hidup yang mulai meningkat dan himpitan hidup yang dirasakan oleh rakyat berpendapatan rendah.

Maka dalam keadaan yang tidak stabil dan tidak menentu inilah berlakunya krisis politik, etnik dan juga krisis agama di antara penganut-penganut yang berbeza anutan agamanya, malah membawa kepada kegawatan mazhab di dalam agama itu sendiri.

Ketika inilah akan berlakunya keganasan, konflik bersenjata dan pertumpahan darah akibat dari pemberontakan rakyat dan kekerasan pemerintah menentang pemberontakan itu atau yang digambarkan sebagai serangan kumpulan Islam ekstrim dari luar.

Hal ini yang sebenarnya berlaku sejak akhir-akhir ini, ketika Turki menyaksikan keganasan dan serangan anasir-anasir luar yang sengaja dicetuskan di tengah-tengah ketidakstabilan politiknya di antara golongan Islamik dan penentangnya, golongan Kurdish juga mengambil kesempatan untuk mengkucar-kacirkan situasi politik yang berbentuk juga mengambil kesempatan untuk mengkucar-kacirkan situasi politik yang berbentuk polarisasi kaum dan partisan melampau.

Strategi keganasan yang berlaku ialah dengan melemahkan ekonomi dan hasil negara seperti pelancongan di negara Turki, yang terjejas dengan keganasan yang berlaku di pusat-pusat pelancongan, tempat bersejarah dan sebagainya. Dan hal ini menjadikan negara itu berada di dalam keadaan yang lemah dan tertekan yang kadang-kadang memerlukan bantuan kuasa luar, terutamanya Amerika dan Eropah.

Hal ini memberi pelajaran dan iktibar yang terbaik bagi kita di Malaysia, kerana teori domino yang berlaku terhadap negara-negara Islam, iaitu kejatuhan negara-negara itu satu demi satu, akibat dari kekeliruan yang berlaku di dalam negara tersebut yang juga sering didakwa berpunca dari anasir luar, seperti Daish, Isis dan lain-lain lagi sering menjadi penyebab ketidak stabilan negara-negara yang disasarkan itu, dan hal ini tidak mustahil boleh berlaku terhadap negara kita.

Kerajaan dan rakyat yang berkonflik, polarisasi kaum dan agama yang nyata, konflik politik melampau yang berlaku sering menjadi pemangkin untuk kehadiran unsur-unsur perpecahan rakyat dan negara tertentu.

Hanya politik yang matang dan pentadbiran pimpinan politik yang berhikmah dan berwawasan jauh, tanpa terlalu banyak krisis politik perkauman dan ekonomi, kepincangan masyarakat dan jenayah, salah laku rasuah dan kebendaan melulu, rasuah dan salah guna kuasa akibat dari pemerintahan yang tidak bijaksana, sering  membawa kepada kehancuran sebuah negara yang diserang itu, sama ada yang bermotifkan penjajahan baru, serangan psikologi terhadap agama dan budaya serta nilai-nilai murni masyarakat di dalam negara itu sendiri.

Malaysia haruslah berhati-hati dan mengambil pelajaran dari negara-negara Islam yang berkrisis panjang itu, termasuk ketidak tentuan negara Turki akhir-akhir ini, sekiranya kita tidak mahu negara kita di ganngu gugat seperti negara-negara Islam lainnya.

Oleh: Ismail Sabri

No Comments

    Leave a reply