NEGARA MASLAHAH: DARIPADA RAKYAT UNTUK RAKYAT KERANA TUHAN

Buku ini saya percaya merupakan yang pertama dari jenisnya untuk memperkatakan tentang falsafah pemikiran al-Ghazali dalam pembentukan, pembinaan dan pentadbiran serta politik Islam dan membuka ruang kepada adaptasi prinsip-prinsip tersebut dalam konteks Malaysia. Walaupun al-Ghazali merupakan ahli falsafah dan tasawwuf terkenal, pemikiran Hujjatul Islam ini dalam soal siyasah jarang kedengaran. Oleh itu, saya berpendapat bahawa buku ini merupakan satu hasil kerja yang berpotensi memberikan wajah baharu dalam wacana berkaitan sistem politik dan seterusnya pentadbiran negara.

Setelah membaca keseluruhan buku ini saya percaya sekalung ucapan tahniah masih belum mencukupi; didoa moga manfaat daripada tulisan ini menganugerahkan pahala yang berpanjangan kepada semua pihak yang terlibat dalam penulisan dan penerbitannya, terutama penulisnya, Dr Alies Anor Abdul.

Buku ini ditulis dengan metodologi perbandingan dan pengharmonian. Metodologi ini ialah pendekatan membandingkan falsafah politik dan kenegaraan yang dibawa oleh al-Ghazali berdasarkan prinsip-prinsip maslahah dengan prinsip-prinsip politik dan pentadbiran Malaysia bersandarkan kepada Perlembagaan Persekutuan. Terdapat beberapa pengharmonian yang perlu dilakukan dalam penerimaan konsep maslahah yang dibawakan oleh al-Ghazali ke dalam prinsip pentadbiran Malaysia.

Pendekatan perbandingan dan pengharmonian tidak mudah untuk dibuat kerana penulis hendaklah memahami kedua-dua konsep dan prinsip secara mendalam. Dalam perkara ini kefahaman tentang konsep maslahah sebagaimana yang dimajukan oleh al-Ghazali dan konsep pentadbiran Malaysia yang bersandarkan kepada prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan adalah dua aspek yang digandingkan dalam penulisan ini.

Saya tidak berniat menulis ulasan buku ini dalam wajah terlalu akademik. Cukuplah sekadar ulasan ini dihadkan kepada kefahaman khalayak tentang maksud, sifat dan ciri Negara Maslahah yang dimaksudkan oleh penulis buku ini.

Pengisian Buku

Sebelum saya panjangkan perbincangan tentang pengisian buku ini, elok juga saya sebut serba ringkas tentang penggunaan istilah maslahah untuk kita sama-sama faham akan maksud perkataan yang menjadi terma besar dan hebat dalam judul buku ini.

Perkataan maslahah adalah dalam bentuk mufrad (singular) dari kata jamak (plural) al-masolih berdasarkan wazan al-mafalah yang menunjukkan sesuatu yang banyak kebaikan. Ahli bahasa bersepakat bahawa lawan perkataan maslahah adalah masfadah iaitu yang bermaksud sesuatu yang banyak keburukannya.

Secara definisi kamus, maslahah adalah sesuatu yang menghasilkan kebaikan iaitu perbuatan-perbuatan yang diperjuangkan manusia bagi menghasilkan kebaikan bagi dirinya dan masyarakatnya. Oleh itu maslahah menyentuh secara lansung kebaikan dan kepentingan sesuatu perkara, sama ada memberi kesan secara mikro atau juga makro, sempit dan luas, peribadi atau juga umum.

Mengikut penjelasan imam al Syatibi, maslahah dari segi istilah bermakna mengambil manfaat dan menolak kerosakan yang tidak hanya berdasarkan kepada akal yang waras semata-mata tetapi dalam kerangka memelihara hak hamba dan tidak berlawan dengan nas syarak.

Menurut al-Ghazali, maslahah ialah suatu gambaran untuk mengambil manfaat dan menghindarkan kemudaratan. Maslahah memelihara tujuan syarak dan umumnya terbahagi kepada dua bentuk iaitu maslahah menurut syarak dan maslahah menurut manusia. Maslahah menurut Syarak ialah maslahah yang jelas di dalam wahyu, manakala maslahah yang dicipta manusia ukurannya adalah akal dan perasaan yang semestinya hendaklah disandarkan kepada Syariah Allah.

 Oleh itu, tajuk buku ini dengan sendirinya menunjukkan bahawa, Negara yang diinginkan oleh al-Ghazali dan mahu kita pelopori ialah Negara yang membawa kebaikan, dan menghalang keburukan. Mendapat kebaikan duniawi dan kebahagiaan ukhrawi.

Dari sudut pengisian buku ini, ia terdiri daripada lima Bab. Bab I dan II membincangkan teori umum dan pandangan dalam politik Islam serta latar belakang al-Ghazali serta sumbangan Hujjatul Islam ini dalam pembinaan ilmu, falsafah, tasawwuf dan politik. Perkara-perkara yang dibincangkan ialah tentang kepentingan kepemimpinan dan meletakkan kriteria tertentu kepada pemimpin sesebuah negara. Tokok-tokoh ahli falsafah politik Islam yang disebutkan dalam buku ini ialah Ibnu Ali Rabi’, al-Farabi, Ibn Sina, al-Mawardi, Ibn Khaldun dan al-Ghazali sendiri. Penulis telah meringkaskan teori kenegaraan serta kriteria-kriteria pemimpin dan kepemimpinan sebagaimana faham tokoh-tokoh ini.  Secara ringkas, persefahaman antara tokoh-tokoh ini ialah tetang pentingnya mempunyai sebuah negara. Semua ahli falsafah politik Islam ini jelasnya bersetuju tentang syarat untuk mempunyai sebuah negara dan tiadanya pemisahan antara agama dan negara. Pembentukan negara ialah satu kewajipan, sehingga tidak akan disempurnakan agama itu sehingalah diwujudkan sebuah negara. Prinsip umum mahukan legitimasi negara sebagai syarat kepada pelaksanaan Syariah. Selain itu, para umarak tidak boleh memisahkan diri daripada ulamak. Pada keseluruhannya, konsep kepimpinan ialah tanggungjawab menunaikan amanah bagi menjaga keharmonian dan mempastikan syariat Allah terlaksana. Ini kerana prinsip umum yng disebut dalam Bab I ialah, tujuan politik ialah untuk memperadabkan dan diperadabkan manusia melalui satu bentuk pemerintahan.

Dalam konteks kepimpinan penulis menegaskan bahawa al-Ghazali memberi tumpuan kepada kesedaran pemimpin tentang perlunya berpegang teguh kepada keimanan dan akidah. Kemudiannya ditekankan pula kepada tanggungjawab pelaksanaan amanah. Seterunsya, pemimpin tidak boleh meminggirkan ulamak.

Dalam Bab III penulis menggariskan prinsip Negara yang dimajukan oleh al-Ghazali. Ringkasnya, pengalaman dan latar politik negara dan dunia ketika al-Ghazali muncul dalam persada keilmuan dan falsafahnya telah mempengaruhi pandangan dan pendapat beliau. Keadaan umat Islam yang berpecah-pecah kerana kuasa, pemikiran dan fahaman telah menjadikan falsafah dan prinsip yang diteroka oleh al-Ghazali begitu bersesuaian sekali dengan latar pentadbiran dan kekuasaan umat Islam termasuklah Malaysia.

Menurut pengisian dalam Bab III ini teori mulanya sebuah Negara mengikut pandangan al-Ghazali ialah, manusia ini merupakan makhluk sosial yang perlu berinteraksi antara satu sama lain; mereka memerlukan satu sama lain demi kebaikan kehidupan seperti memenuhi hajat berkaitan makanan, pakaian dan juga pendidikan. Manusia juga adalah makhluk sosial yang perlukan pasangan dan juga keturunan. Sebagai makhluk sosial, manusia memerlukan institusi-institusi yang mengatur sistem kehidupan sosial itu. Manusia tidak ada auto-pilot! Institusi-institusi ini apabila digabungkan, akan membentuk sebuah negara.

Negara itu pula hendaklah mempunyai gabungan tiga aspek utama, iaitu agama, politik atau pentadbiran dan akhlak – iaitu negara yang menggabungkan nilai duniawi dan ukhrawi – iaitu,  dengan kata lain, negara yang memberi perhatian yang seimbang kepada jasmani dan rohani; fizikal dan metafizikal; temporal and eternal. Sekiranya tiada keseimbangan antara keduanya maka akan binasalah negara itu. Sebagaimana difahami kata-kata al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin (Jilid II), rakyat binasa kerana pemimpinnya; pemimpin pula binasa sekiranya lemah ulamaknya dan rosak ulamak kerana harta dan kedudukannya. Seseorang yang dikuasai cinta duniawi tidak akan dapat berlaku seimbang, tidak akan mampu melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat, apatah lagi kepada orang besar dan pemimpin.

Seperti yang telah disebut di awal tadi, dalam pemikiran al-Ghazali perkara yang paling penting dan utama ialah pegangan kepada aqidah agama dan keimanan. Dengan adanya keimanan itu maka akan terjelmalah akhlak yang mulia – akhlaq al-kareemah. Akhlaq yang mulia itu akan menjadikan ruang politik bermoral dan beradab. Seterusnya ia memberikan manfaat kepada alam sekitar seluruh negara.

Ringkasnya teori kenegaraan yang dibawa oleh al-Ghazali,–mengutamakan perpaduan moral (adab, adat dan etika) dengan kekuasaan. Negara dan pemerintahan dipimpin oleh manusia biasa, tetapi mereka hendaklah memiliki moral yang baik demi mewujudkan kesejahteraan masyarakat secara universal, kebahagian dunia dan akhirat. Maka perkara pokok dalam prinsip ketatanegaraan yang dibawa oleh al-Ghazali ini ialah agama dan negara tidak boleh dipisahkan; agama adalah tunjangnya dan pemerintah adalah pengendalinya.

Setelah memahami teori negara dan kenegaraan sebagaimana pandangan al-Ghazali, penulis buku ini menjelaskan tentang beberapa kriteri Negara Maslahah yang dimkasudkan oleh penulis:

(1) Dari segi ideologi negara – Tiada pemisahan antara agama dan politik dalam negara maslahah. Negara Maslahah ini bukan negara theocracy dan ia juga bukan negara sekular. Ia adalah negara yang dibina atas gabungan prinsip-prinsip ‘dunniawi’ dan ‘ukhrawi’. Di dalamnya juga terkandung sebahagian daripada prinsip demokrasi, tetapi mempunyai tujuan yang berbeza. Penulis menyatakan bahawa Negara Maslahah ialah negara yang dibina “daripada rakyat, untuk rakyat, kerana Tuhan.” Tujuan Negara Maslahah yang tidak memisahkan antara agama dan politik ialah dengan menjadikan dunia ini padang yang diteroka dan disuburkan untuk hasilnya nanti dapat dituai di akhirat. Prinsip ini bertepatan dengan kata-kata bahawa, hendaklah kita berusaha dalam hal ehwal dunia seolah kita mahu hidup selamanya, tetapi beribadat juga seoelah mahu mati keesokan hari. Oleh itu, Negara Maslahah ialah negara yang melaksanakan ketentuan agama atau Syariat Allah serta pada masa sama mengurus hal-hal dunia untuk mendatangkan keselamatan dan kesejahteraan dunia sebagai ladang untuk dituai hasilnya di akhirat kelak

 (2) Dari segi kepimpinan dan kepemimpinan – Pemimpin dan pembantunya hendalah beragama, beradab, beretika atau bermoral dan paling utama berilmu. Oleh kerana agak ideal untuk semua pemimpin dan pembantunya dapat memenuhi kriteria itu, maha hendaklah ada hubungan baik antara ulamak dan umarak. Para ulamak diikitriaf dalam pentadbiran yang dilaksanakan oleh umarak. Dalam hubungan baik tersebut, para ulamak hendaklah menasihati umarak, dan ulamak tidak patut menjadi autokratik seperti dalam teocracy, tetapi mereka hendaklah menjadi penasihat. Pada pemimpin atau umarak pun hendaklah memenuhi amanah sebagai pemimpin dan hendaklah bertanggungjawab answerable ke atas semua perkara yang berlaku dalam pentadbiran negara.

 (3) Dari segi hala tuju negara – Hala tuju negara ialah untuk membawa penghuninya kepada kebahagiaan dan kesejahteraan dunia dan akhirat; pelaksanaan Syari’at dan pelaksanaan Maqasid al-Syariah.

(4) Dari segi mekansime pentadbiran – Pengurusan dan pentadbiran negara ialh dengan mengamalkan two-folded principles – Amar makruf nahi munkar. Mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Bab IV dan V membawa prinsip-prinsip berkaitan penerapan pemikiran al-Ghazali dalam pentadbiran dan kekuasaan di Malaysia. Umumnya disimpulkan bahawa

(1) Malaysia adalah sebuah negara yang aqidahnya Islam dan selari dengan pemikiran al-Ghazali dalam kriteria Negara Maslahah sebagai negara yang syaratnya ialah beragama Islam. Raja diangkat sebagai ketua agama dan menjadi pemegang amanah Allah dalam pelaksaan tanggungjawab pelaksanaan segala Syariat dan hukum hakam. Raja tidak mudah dipecat dan baginda adalah simbol teo-demokrasi – demokrasi yang berasaskan keagamaan Islam. Islam yang mempunyai pengaruh dalam segala aspek pentadbiran negara, termasuk dari segi sosiologi, politik dan budaya. Islam jugalah yang sepatutnya mempunyai pengaruh dalam demokrasi, transformasi dan nasionalisme.

(2) Pengkhususan kepada bangsa Melayu. Bangsa Melayu merupakan faktor utama dalam pembentukan, pembinaan dan seterusnya pentadbiran negara. Dalam Perlembagaan Persekutuan, dasar affirmative action menjadi teras utama dalam sistem pentadbiran. Assabiyah yang tidak menzalimi bangsa lain sebaaimana prinsip affirmative action dalam Perlembagaan itu adalah selaras dengan pemikiran al-Ghazali yang juga. Di Malaysia ini kita mempunyai Perkara 153 yang menyatakan pemakaian konsep affirmative action yang tidak menzalimi, tetapi menerima konsep kesaksamaan; equity, rather than equality. Perlembagaan Persekutuan juga mengamalkan kepelbagaian dengan tidak memaksa assimilisasi antara budaya yang berbeza.

(3) Institusi-institusi negara iaitu Badan Pelaksana, Badan Kehakiman dan Badan Perundangan mempunyai prinsip-prinsip yang menjadikan kepentingan dan kesejahteraan negara. Peruntukan Perlembagaan Persekutuan adalah memadai untuk menampung prinsip Negara Maslahah. Prinsip kebertanggungjawaban para menteri atau pembantu kepada menteri boleh menjadi faktor kepada membentuk pemimpin kepada kepemimpinan yang menepati asas Negara Maslahah.

 

Seterusnya penulis buku ini mencadangkan beberapa faktor yang boleh menambahbaik sistem politik dan kekuasaan negara Malaysia ke arah yang lebih sempurna untuk menjadi sebuah Negara Maslahah. Faktor-faktor tersebut adalah seperti berikut:

(1) Memperkukuh peranan Raja sebagai Ketua Agama

(2) Perkasakan kriteria pemimpin dalam pelantikan pihak eksekutif

(3) Perkenan Raja dalam perundangan

(4) Merealisasikan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan secara menyeluruh dengan membuat undang-undang Islam

(5) Penerapan Undang-Undang Syariah

(6) Membenarkan kritikan terhadap pemerintahan

(7) Memperkara peranan ulamak dalam memperbetulkan kesilapan pimpinan dan

(8) Pemerkasaan ilmu agama

 

Penutup

 Buku ini merupakan langkah yang baik untuk mencungkil warisan pemikiran politik Islam dalam memberikan panduan pemikiran dan amalan bagi pentadbiran sebuah negara. Dalam era ketakteraturan, bahkan kecelaruan pemikiran tentang dasar dan asas serta halatuju sesebuah negara percambahan minda dengan bentuk siyasah Islam dan pemikiran berasaskan rabbaniyyah ini sangat dialu-alukan. Bahkan penulisan sebegini hendaklah mempelopori bidang penulisan dalam hal ketatanegaraan. Menjadikan Madinah sebagai model ulong dalam hal kewarganegaraan, kenegaraan dan ketatanegaraan adalah sebaiknya. Madinah merupakan panduan asas kenegaraan. Namun complexity dalam keadaan dunia semasa seakan memerlukan percambahan lain yang lebih kontemporari untuk dijadikan panduan. Oleh itu, pemikiran al-Ghazali adalah antara pilihan terbaik.

Secara keseluruhannya buku ini menyatakan satu bentuk negara, iaitu Negara Maslahah, iaitu satu negara yang menganuti Islam, mengamalkan politik bermoral dan mempertahankan maqasid al-Syari’ah. Dalam sistem pentadbiran, Negara Maslahah ini hendaklah mementingkan pengisian, bukan bentuk; memperlihatkan kebaikan dihayati dan keburukan dipadamkan. Negara Maslahah memerlukan ulamak yang benar-benar seimbang, tidak mencintai dunia lebih daripada mencintai akhirat; dapat memberi amanat dan menunaikan amanah memberi nasihat kepada pemimpin dan segala pembantunya. Kepimpinan pula hendaklah beramanah dalam melaksana tanggungjawab. Tidak menerima dan memberi nasihat tanpa ilmu. Sebagai penutup, hanya kepimpinan yang baik, kuat, berdaya saing, berakhlak mulia dan berilmu yang boleh mentadbir Negara Maslahah.

Ulasan buku yang bertajuk “Negara Maslahah: Pemikiran Al-Ghazali Dan Konteks Politik Malaysia karya Tan Sri Dr Alies Anor bin Abdul

Catatan: Prof Madya Dr Shamrahayu A.Aziz

1 Comment
  1. Reply khairi ali June 24, 2016 at 3:46 am

    Nampaknya, saya masih belum jelas apa itu negara maslahah. Ini kerana biasanya bila kita bercakap fasal negara, kita akan didedahkan bukan saja konsep dan ciri-cirinya, tetapi juga bentuk negara tersebut, presiden ke republik, raja ke negara beraja dsbnya.

    Apakah bentuk negara maslahah ini? adakah secara demokrasi, syura, atau perlantikan? Atau apa-apa lagi… ulamak ke, rakyat ke, populariti ke dsb.

Leave a reply