Demi kelangsungan sebuah negara merdeka yang berdaulat, aman tenteram, makmur lagi sejahtera, baginda bertitah, aspek keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang amat wajib dipertahankan.

“Sistem dan institusi undang-undang yang berintegriti lagi telus bergantung pada dukungan oleh para individu dan pengamal undang-undang yang berintegriti dan bersifat telus.

“Oleh itu, elemen integriti dan elemen ketelusan, amat pen­ting disemai dan dipertahankan dalam kalangan pengamal undang-undang,” titah baginda dalam Majlis Konvokesyen Ke-23 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Sebanyak 592 lulusan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman me­nerima sijil masing-masing pada majlis tersebut.

Yang turut hadir, Peguam Negara yang juga Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Sultan Nazrin bertitah, lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara wajar dijadikan kompas panduan dalam hasrat dan usaha membina serta membangunkan perkhidmatan undang-undang yang berintegriti.

Baginda bertitah, para pengamal undang-undang juga berpe­ranan penting untuk memberikan wajah dan meniupkan nafas kepada undang-undang.

Titah Sultan Nazrin, peranan mereka adalah untuk memastikan undang-undang berupaya melakarkan ‘kecantikan wajah’ dengan meniupkan roh keadilan hingga undang-undang dihormati sebagai dokumen yang suci dan berjaya memenuhi matlamat murni penggubalannya.

“Undang-undang yang tidak dilaksanakan secara adil lagi saksama akan gagal memenuhi tujuan murni penggubalannya dan akan tinggal sebagai tulisan tanpa nyawa, tanpa roh di atas kertas,” titah baginda.