NIAT DAN AMAL PERBUATAN DALAM PANDANGAN IBN ATHAILLAH

 “Jika Tuhan hendak menampakkan karuniaNya kepadamu, maka Dia ciptakan amal dan kemudian dinisbatkannya kepadamu” (Al-Hikam – Ibn Athailah).

Seringkali kita terpesona dengan cara Allah menuntun kita membuka jalan menuju ladang amal kebaikan. Kita diberi peluang dan kesempatan untuk kita menunaikan janji, mengabdi dan mengamalkan apa yang telah Tuhan ajarkan sebelumnya kepada kita. Tuhan bekerja dengan cara-Nya. Namun seringkali kita mendabik dada bahawa segala kejayaan dinisbatkan kepada kita, seolah-olah itu semua hasil kerja keras dan perjuangan kita.

Sebenarnya itu hanyalah karunia-Nya kepada kita kerana Dia lah yang menciptakan amal untuk kemudian kita turut mengerjakannya. Maka pada setiap amal pekerjaan kita, niatkanlah sebagai bentuk pengabdian kita untukNya. Mengapa demikian?

Amal itu bermula dari-Nya dan kita pulangkan hanya kepada-Nya. Dia lah yang Awal dan Dia pula yang Akhir. Inilah teologi amal.

Ibn Athaillah berkata: “Di antara tanda keberhasilan pada akhir perjuangan adalah berserah diri kepada Allah sejak permulaan.”

Cara kita menyambungkan niat kita dengan Allah sebelum melakukan aktiviti menentukan nilai kejayaan. Segala amal perbuatan bergantung pada niat. Begitu pesan Nabi dalam Hadis sahih.

Apabila kita tetapkan niat, maka kesannya amat dahsyat kerana semua gerak panca indera akan mengikuti niat tersebut. Hati dan pikiran menjadi fokus.  Begitu hebatnya nilai sebuah niat, langsung tercatat sebagai sebuah kebajikan meskipun kelak tak jadi dilaksanakan.

Ibn Athaillah: “Janganlah cita-citamu tertuju kepada selain Allah. Harapan seseorang tak akan dapat melampaui yang Maha Pemurah”.

Tetapkan niat yang baik sejak awal, dan halakan semua pengakhiran kepada-Nya. Kerana Dia-lah yang Maha Pemurah. Seberapa pun besar harapan yang kita tujukan padanya, semua akan berada dalam jangkauan rahmat-Nya. Rahmat-Nya meliputi semuanya. Maka janganlah berputus asa baik di awal perbuatan, di tengah, mahupun di akhir karena sudah kita letakkan harapan di tanganNya.“Siapa yang tidak mensyukuri nikmat, bererti menginginkan hilang nikmat. Dan siapa yang mensyukurinya, bererti telah secara kuat mengikat nikmat“.

Ibn Athaillah kembali mengajarkan kita bahawa sebaiknya kita ikat nikmat pemberian Allah itu dengan rasa syukur. Pemberian Allah yang kita ikat dengan rasa syukur, akan semakin kuat nilainya, dan terus bertambah. Sebaliknya, kufur nikmat akan menghapusnya.

Lengkap sudah amalan kita jika niat sudah mantap di awal, tujuan amal hanya kepada Allah dan syukur mengikat nikmat di akhir.

Sumber:  Nadir.net

No Comments

    Leave a reply