NILAI BUDI BAHASA SEBAGAI UKURAN TINGKAH LAKU MANUSIA

Pengamalan nilai budi bahasa dalam masyarakat hari ini kian longgar. Kebelakangan ini masih terdapat segelintir pelajar yang tidak menghormati guru dan sanggup bercakap kasar dengan mereka. Hal ini mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran guru di dalam bilik darjah dan juga mengganggu pembelajaran para pelajar lain. Begitu juga dengan sikap seorang anak yang sanggup menengking dan bersikap kasar terhadap kedua ibu bapanya di khalayak ramai.

Selain itu, terdapat juga segelintir pengurus, pekerja, pentadbir, kerani dan sebagainya yang bercakap kasar dan bermasam muka ketika melayani pelanggan. Kita dapat bayangkan bagaimana perasaan pelanggan yang terpaksa berhadapan dengan seseorang yang bercakap kasar, bermasan muka, panas baran dan sebagainya. Hal ini sudah tentu menyusahkan pihak yang berurusan dan berkira-bicara dengan mereka.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga segelintir golongan muda yang bercakap kasar dan tidak menghormati orang-orang tua. Segala nasihat dan tunjuk ajar orang-orang tua tidak dipedulikan. Akhirnya, remaja hari ini lalai dan hayut dalam arus kemodenan.

Inilah antara contoh kerosakan budi bahasa dalam masyarakat hari ini. Perkara ini perlu diperbaiki dan diperbetulkan kerana ia bukan sahaja merosakkan diri mereka sendiri malah masyarakat turut rosak.

Pembangunan dan kemajuan material yang dicapai masih belum sempurna jika aspek pembangunan kerohanian diabaikan. Pembangunan yang sempurna ialah wujudnya paduan antara pembangunan kebendaan dan kerohanian. Salah satu unsur kerohanian yang penting ialah aspek berbudi bahasa.

Menurut Prof. Madya Mustafa Haji Daud (1995:4), berbudi bahasa bererti percakapan yang baik, elok dalam tutur kata, tinggi budi bicara, beradab, bersopan santun, bertatatertib, lemah-lembut, hormat, tingkah laku yang baik dan akhlak yang mulia.

Selain itu, berbudi bahasa juga bererti berbudi melalui bahasa atau bahasa sebagai budi. Ini kerana skop budi itu amat luas. Ia termasuk berbudi dengan harta, tenaga, buah fikiran, nasihat, tunjuk ajar, sikap dan menggunakan bahasa yang baik dan menyenangkan pendengar.

Oleh sebab skop budi itu terlalu luas, maka semua orang boleh berbudi kepada masyarakat mengikut kemampuan masing-masing. Jika tidak mempunyai wang dan harta, seseorang itu boleh berbudi dengan tenaga. Jika tidak berkemampuan juga, ia boleh berbudi dengan menyumbang buah fikiran, nasihat dan tunjuk ajar. Jika tidak berkemampuan juga, ia boleh berbudi dengan bahasa yang halus dan baik. Sebab itulah bahasa juga dikira sebagai sebahagian daripada budi pekerti yang mulia atau akhlak yang terpuji.

Nilai berbudi bahasa ini telah lama diterapkan oleh pihak kerajaan dalam perkhidmatan awam. Dalam buku Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam (1991), Institut Tadbiran Awam Malaysia (INTAN) telah menggariskan ciri-ciri berbudi mulia dalam perkhidmatan awam iaitu, bertutur dengan berlemah-lembut tetapi tegas; memberi layanan dengan wajah yang manis dan bersopan santun; bertindak dengan kelakuan yang menyenangkan; dan bersedia membantu orang lain dengan tangan yang terbuka.

Dalam konteks ini semua manusia amnya dan masyarakat Malaysia khasnya sentiasa dibangunkan kerohaniannya supaya dapat berbudi dengan tutur bahasa yang lembut dan halus. Ia bukan sahaja dapat memberikan kesan positif kepada orang lain, malah akan mendapat ganjaran yang sewajarnya dari Allah SWT.

Diriwayatkan daripada A’isyah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Wahai A’isyah! Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, Dia suka akan kelembutan. Allah akan memberikan balasan dari kelembutan yang tidak diberikan ke atas sikap keras dan kasar serta selainnya”. (Riwayat al-Bukhari dalam Kitab Meminta Orang-Orang Murtad Supaya Bertaubat, Hadis No. 6415).

Sebenarnya amalan berbudi bahasa ini telah pun lama ditunjuki oleh Rasulullah SAW. Dengan sifat inilah baginda dengan mudah dapat menyebarkan dakwah Islamiah. Adalah mustahil baginda bersifat dengan sifat-sifat sebaliknya kerana ia boleh menghalang proses penyebaran dakwah Islamiah.

Misalnya Rasulullah SAW sentiasa menyambut tetamu dengan kata-kata yang lemah-lembut sekalipun tetamu yang mengunjungi baginda itu sudah dikenali seorang yang berperangai buruk.

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya seorang lelaki meminta izin untuk masuk berjumpa Nabi SAW. Baginda bersabda: Persilakanlah beliau masuk. Beliau adalah lelaki yang berperangai buruk daripada sebuah keluarga. Tatkala lelaki itu masuk berjumpa Nabi SAW, maka Nabi saw menyambutnya dengan kata-kata yang lemah lembut. Aisyah berkata: Wahai Rasulullah! Mengapa anda (iaitu baginda) bercakap dan bersikap selembut itu. Baginda bersabda: Wahai Aisyah! Sesungguhnya orang yang kedudukannya paling buruk di sisi Allah pada Hari Kiamat kelak ialah orang yang dijauhi atau orang yang ditinggalkan oleh orang ramai kerana mereka takut akan kejahatannya (orang yang buruk perkataan dan perbuatannya)”. (Riwayat al-Bukhari dalam Kitab Etika, Hadis No. 5572).

Ketinggian budi bahasa Rasulullah SAW jelas dilihat apabila baginda menegur A’isyah r.a. yang menjawab salam seorang Yahudi yang datang menemui baginda dengan ucapan ‘bal ‘alaikumussam wa al-La’nah‘ (bahkan atas kamulah moga-moga mendapat kematian dan kutukan). Menurut Baginda saw, salam orang Yahudi itu memadai dijawab dengan ucapan wa’alaikum (iaitu begitu pula kamu) sahaja.

Diriwayatkan daripada A’isyah r.a katanya: Sekumpulan orang-orang Yahudi meminta izin menemui Rasulullah SAW dengan mengucapkan: Assalamualaikum. Maka A’isyah menyahut: Bal ‘Alaikumussaam walla’nah (iaitu bahkan atas kamulah, moga-moga mendapat kematian dan kutukan). (Mendengar kata-kata A’isyah itu) lalu Rasulullah saw menegur: Wahai A’isyah! Sesungguhnya Allah menyukai keramahan dalam segala hal. Aisyah berkata: Tidakkah engkau mendengar apa yang mereka ucapkan? Rasulullah saw bersabda: Aku telah menjawab wa’alaikum (iaitu begitu pula kamu)” (Riwayat Muslim dalam Kitab Salam, Hadis No. 4027).

Baginda SAW sentiasa mengamalkan kehalusan budi bahasa dalam apa jua keadaan. Setiap orang yang datang menemui Rasulullah akan terasa senang dengan layanan dan kata-kata baginda.

Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya: “Apabila Rasulullah SAW diminta sesuatu, baginda tidak pernah menjawab: Tidak boleh”. (Riwayat al-Bukhari dalam Kitab Etika, Hadis No. 5574).

Demikianlah tinggi dan halusnya budi bahasa Rasulullah SAW ketika berhadapan dengan semua orang, sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam. Ini menyebabkan para pengunjung Rasulullah SAW merasa senang dan tertarik dengan dakwah Islamiah yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Di samping itu, Rasulullah SAW juga pernah mengingatkan para sahabat yang memiliki khadam (pembantu atau pelayan) supaya sentiasa berbudi bahasa dengan para pekerja mereka. Dengan adanya budi bahasa, hubungan antara majikan dan pekerja bertambah baik.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Apabila khadam (pelayan) salah seorang di antara kamu telah selesai memasak kemudian menghidangkannya, sesungguh dia adalah orang yang telah menangani panas serta asap hidangan itu. Oleh itu kamu hendaklah mempelawanya menikmati masakan itu bersama-sama. Jika makanan itu sedikit maka hendaklah kamu memberikannya kepada pelayan itu satu atau dua suapan” (Riwayat Muslim dalam Kitab Sumpah, Hadis No. 3142).

Sebenarnya orang yang memiliki budi bahasa termasuk dalam kategori orang yang baik budi pekertinya. Malah orang yang mempunyai budi pekerti baik adalah orang yang mulia.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr r.a katanya: Ketika Mu’awiyah berkunjung ke Kufah, maka Abdullah bin ‘Amr bercerita tentang Rasulullah saw katanya: Rasulullah saw tidak pernah melampaui batas dan tidak pernah berbuat perkara keji. Beliau juga berkata: Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu adalah orang yang paling baik budi pekertinya” (Riwayat al-Bukhari dalam Kitab Sifat-Sifat Terpuji, Hadis No. 3295).

Rasulullah saw amat menggalakkan umatnya supaya sentiasa mengamalkan budi bahasa dalam segala hal. Hal ini kerana setiap perkataan atau ucapan yang baik itu dikira sebagai sedekah.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud, “Pada setiap hari terdapat sedekah di setiap sendi manusia ketika matahari terbit. Seterusnya baginda bersabda: Berlaku adil di antara dua orang manusia adalah sedekah, membantu seseorang naik ke atas binatang tunggangannya atau mengangkatkan barang-barangnya ke atas belakang binatang tunggangannya juga adalah sedekah. Rasulullah SAW bersabda lagi: Perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah menuju sembahyang adalah sedekah dan membuang sesuatu yang berbahaya di jalan adalah sedekah”. (Riwayat Muslim dalam Kitab Zakat, hadis no. 1677).

Kesimpulannya, nilai budi bahasa yang dianjurkan oleh Islam itu bersifat kebaikan mutlak, sejagat, mantap dan mudah dipatuhi. Ia perlu diamalkan dalam pendidikan, pentadbiran, perkhidmatan awam, keluarga dan persekitaran masyarakat.

Nilai budi bahasa ini menjadi ukuran utama kemuliaan tingkah laku antara seseorang manusia dengan seseorang manusia yang lain dalam mencapai keharmonian perhubungan manusia sejagat. Perhubungan antara manusia akan menjamin keharmonian dan kesedaran dalam masyarakat dari segi memperkasakan peradaban yang tinggi dan mulia ini.

Oleh: Dr. Mohd Shukri Hanapi ialah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang.

No Comments

    Leave a reply