Nilai takwa di sebalik Ramadan

PUASA yang akan kita jalani beberapa hari lagi sebagai salah satu Rukun Islam bertujuan agar kita bertakwa kepada Allah s.w.t. Sebagai seorang Muslim kita wajib menerima dan menyambutnya dengan rasa penuh kesyukuran. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud; Sesiapa yang senang dengan ketibaan Ramadan, maka jasadnya diharamkan Allah daripada api neraka.

Bulan Ramadan merupakan kesempatan yang berharga bagi kaum Muslimin setelah selama sebelas bulan mereka disibukkan dengan pelbagai jenis kesibukan duniawi, untuk menemukan kembali semangat spiritual mereka yang hilang.

Menahan lapar daripada makan, menahan diri daripada berbicara perkara yang sia-sia, beriktikaf di masjid, membaca al-Quran, mengerjakan amal-amal kebajikan, bersilaturahim, memberikan infak dan sedekah dapat menjadi ubat penawar bagi pelbagai penyakit masyarakat Muslim, baik yang boleh dilihat mahupun yang tersembunyi.

 Salah satu bentuk kegembiraan menyambut Ramadan adalah dengan bersedia melakukan ibadah puasa dan hal-hal yang diperintahkan-Nya. Dalam tradisi kaum Muslimin, Ramadan dikenali sebagai bulan amal. Apabila tiba bulan Ramadan, umat Islam dianjurkan supaya melakukan pembersihan jasmani dan rohani dengan mempertingkat dan memperbanyakkan amalan.

Di samping itu, kita juga dapat menyaksikan peningkatan dari segi kualiti dan kuantiti amal yang dilakukan oleh setiap Muslim baik yang bersifat ritual mahupun sosial.

Banyak kelebihan yang diberikan oleh bulan Ramadan kepada kita. Semua kelebihan itu berkaitan dengan beberapa keistimewaan yang ditawarkan Allah kepada manusia melalui bulan ini, iaitu bulan makrifah, bulan penuh hikmah, bulan di mana pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan syaitan dibelenggu. Kelebihan-kelebihan itu hanya akan bermakna apabila dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud; Hai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.

Dalam pengertian yang mudah, dikatakan kalau kita tidak bertakwa, maka seluruh ibadah puasa yang kita lakukan selama sebulan sebenarnya adalah sia-sia sahaja.

Dalam mengerjakan ibadah puasa, umat Islam harus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai tingkat ketakwaan. Takwa merupakan satu cara atau pola dalam menempuh kehidupan menerusi tingkah laku yang berasaskan kesedaran bahawa Allah itu sentiasa hadir di sisi kita. Ibadah puasa bukan setakat menahan makan dan minum sahaja, tetapi pemahaman tentang apa yang harus kita tahan itu lebih daripada sekadar berpuasa secara fizikal bahkan juga menahan nafsu (batiniah) itu lebih utama serta berupaya meningkatkan lagi tahap puasa seseorang itu.

 Dalam masa sebulan berpuasa ini, kita seharusnya bermujahadah bersungguh-sungguh dengan menahan nafsu daripada melakukan perkara-perkara keji seperti mengumpat, buruk sangka, bergaduh, memutuskan hubungan silaturahim dan melakukan perkara-perkara maksiat yang lain. Jika tidak puasanya itu akan sia-sia belaka. Sifat prasangka buruk merupakan kategori daripada perbuatan zalim. Selalunya orang yang mempunyai sifat buruk sangka sesama Muslim adalah mereka yang kurang melakukan introspeksi diri, hanya melihat diri sendiri lebih baik daripada orang lain.

 Oleh hal yang demikian itu, Nabi menganjurkan kepada semua manusia, terutama orang yang sedang berpuasa agar banyak melakukan introspeksi diri sebagaimana sabda baginda yang bermaksud; Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan introspeksi diri, maka akan diampuni dosanya yang telah lalu.

 Berhubung aspek sosial, orang lebih senang melakukan penilaian terhadap orang lain daripada melakukan hal yang sama terhadap dirinya. Perkara ini berlaku disebabkan seseorang itu `ditagih’ untuk bersikap tulus jujur dan rendah hati untuk menilai dan melihat diri sendiri. Disebabkan lemah menilai diri sendiri, maka seseorang itu sering memandang dirinya lebih suci dan bersih daripada orang lain.

 Dalam hal ini, Sayidina Umar pernah menyatakan, “Banyak sekali orang berpuasa, namun tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar.”

Menahan nafsu inilah yang perlu kita pertahankan sehingga sampai kepada sepuluh hari terakhir di mana waktu itu ibadah puasa lebih bersifat rabbani.

Dalam fasa ketiga ini kita akan mengalami puncak pengalaman kita dalam keadaan berpuasa iaitu berusaha memperoleh lailatulqadar. Untuk mencapainya kita harus memulai dari sekarang dengan memahami hal-hal berkaitan amalan berpuasa.

Dalam beberapa hadis, ditegaskan bahawa puasa adalah suatu ibadah yang sangat peribadi sifatnya. Ada sebuah hadis Qudsi yang kedengaran agak aneh namun sebenarnya tidak aneh, iaitu sabda Nabi yang bermaksud; Dari

Abu Shalih Az-Zayyat, dia mendengar Abu Hurairah berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda Allah berfirman; Setiap amal anak Adam bagi dirinya, kecuali puasa, puasa itu untuk-Ku dan Akulah yang menanggung pahalanya. (Hadis riwayat Bukhari).

Puasa kemudiannya bukan sahaja menjadi etika individu, tetapi juga menjadi etika sosial dan gerakan moral yang efektif dalam menangani pelbagai masalah sosial seperti kemiskinan, jenayah, rasuah, dan sebagainya.

 Oleh hal yang demikian, semua perbuatan umat manusia itu adalah untuk dirinya sendiri, kecuali puasa. Mengapa demikian? Kerana puasa merupakan ibadah yang paling peribadi dan tidak ada sesiapa yang tahu apakah kita berpuasa atau tidak kecuali kita sendiri dan Allah. Kalau orang melakukan solat, maka perbuatan solat itu boleh diketahui orang. Begitu pula dengan zakat, kerana ada yang menerimanya. Lebih-lebih lagi ibadah haji dilakukan di tempat yang umum. Maka ketika kita berpuasa, kemudian kita berasa sangat haus dan dahaga dan tersedia di depan kita segala macam minuman, tetapi kita menahannya, inilah sebenarnya satu bentuk latihan untuk menyedari tentang kehadiran atau kewujudan Tuhan dalam hidup kita.

Kita tidak akan minum padahal kita bersendirian, kerana kita meyakini bahawa Allah mengawasi dan menuntut satu pertanggungjawaban. Puasa adalah latihan untuk menguatkan lagi kesedaran kita bahawa Allah itu sentiasa berada terlalu hampir dengan kita.

Allah berfirman yang bermaksud; Dan Dia bersamamu di mana pun kamu berada. Dan Allah Maha Mengetahui tentang segala sesuatu yang engkau kerjakan. (Q 57:4).

Sayyid Quthb pernah berkata, “Puasa adalah ladang tempat terciptanya niat kepada Tuhan yang sempurna dan kepasrahan diri.” Sifat perhambaan ini akan membuat manusia menjadi abdi Allah, yang bersedia untuk melakukan apa sahaja yang disenangi Allah. Melalui puasa seseorang akan merasakan penderitaan orang yang lapar kerana serba kekurangan sehingga hatinya akan tergerak untuk memberi kelebihan yang dimilikinya kepada orang lain yang kurang bernasib baik.

Bersyukurlah kerana kita telah dipilih-Nya untuk sama-sama `meraikan’ kehadiran Ramadan yang terkandung rahmat-Nya yang tidak terhitung.

Oleh Mohd. Shauki Abd Majid

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply