NOT HOW MUCH MONEY YOU GET, BUT …..

Seringkali apabila berlakunya satu krisis kewangan yang melanda diri kita, segera kita menuding jari kepada kegawatan dan kelesuan ekonomi secara makro sebagai faktor utama. Hakikatnya, cara dan gaya hidup kita yang tidak diurus dengan baik dan bijaksana yang menjadi punca utama berlakunya krisis kewangan yang melanda diri kita.

“Rakyat kita tidak pandai mengurus kewangan sehingga ramai yang terjerumus ketidakpastian dalam menguruskan perbelanjaan harian mahupun bulanan. Mereka bukannya tidak mempunyai pendapatan pasti, tapi tidak bijak dalam mengurus kewangan” kata Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir, Pengerusi Eksekutif dan Ketua Perunding Hijrah Wealth Management Sdn Bhd ketika ditemui oleh majalah Dakwah di pejabatnya baru-baru ini. 

Dalam hal ini, masyarakat kita terperangkap dengan gaya hidup dan pola perbelanjaan yang tidak mencerminkan pendapatan. Berdasarkan pengamatan beliau, nafsu membelanjakan wang lebih besar berbanding dengan keupayaan atau kemampuan kewangan mereka. Masyarakat tidak dapat mengukur kemampuan diri sendiri apabila mahu berbelanja. Gaji yang mereka dapatkan tidak sepadan dengan perbelanjaan yang mereka lakukan.

Masalah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia ialah bukan mereka tidak ada wang atau tiada pekerjaan. Tapi bagaimana wang itu mendatangkan manfaat yang lebih besar dari pendapatan mereka. Betapapun besar pendapatan seseorang itu, kalau tidak diurus dengan baik, ia tetap saja tidak membawa sebarang faedah kepada pemilik wang tersebut. Menurut Hjh Rohani “this is not how much money you get but its how much you get out your money” tegas bekas pakar motivasi kewangan yang juga penulis produktif itu.

Pengurusan kewangan juga perlu dilihat dalam konteks pendekatan falsafah. “Dengan cara falsafah, kita dapat memahami makna dan cara membelanjakan wang dengan bijak. Saya memberi contoh si A dan B sama-sama mempunyai duit berjumlah 2000 ringgit. Kedua orang itu kita suruh untuk membelanjakan wang itu ke satu pusat beli belah. Saya percaya kedua orang itu akan membelanjakan wangnya mengikut kadar dan keperluan masing-masing. Nilai duit itu tidak sama kepada setiap orang meski jumlah duit sama. Penggunaan wang amat berkait rapat dengan tabiat manusia.” Katanya lagi.

Tabiat manusia jualah yang menjadikan dirinya terheret kepada masalah kewangan yang rumit. Apabila tabiat buruk seperti suka berhutang dan suka berbelanja melebihi kemampuan sudah menjadi kebiasaan, maka sebanyak manapun pendapatan itu, maka hal itu tidak bermakna. Sebaliknya, meskipun jumlah wang penghasilan itu tidak banyak akan tetapi dapat diurus dengan baik dan cermat, maka ia akan mendatangkan manfaat yang lebih besar daripada jumlah wang itu.

Jumlah peratusan yang rendah dalam isu mengenai hilang pekerjaan ini sebagai masalah kewangan hakikatnya menjadi tamparan yang keras kepada kita. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat kita bersikap cuai, boros dan tidak berjimat cermat mengendalikan kewangan mereka. Kenyataan ini juga menyerlahkan masyarakat kita tidak pandai mensyukuri nikmat dan limpahan rizqi yang diterima berbanding dengan apa yang dialami oleh saudara Muslim kita di tempat lain yang dilanda konflik dan peperangan seperti di kawasan Timur Tengah.Data yang didedahkan oleh Harian Metro itu jelas menunjukkan bahawa punca masalah kewangan yang dialami oleh masyarakat hari ini bukan disebabkan tiada pendapatan atau kerana faktor pengangguran. Tapi disebabkan oleh perancangan kewangan yang lemah yang mengakibatkan berlakunya ketirisan dalam perbelanjaan bulanan. Perkara ini sesungguhnya agak mengejutkan berbanding dengan isu misalnya hilangnya pekerjaan yang merekodkan 9.90 peratus.

Jangankan mahu mengurus kewangan secara betul dan menyimpan untuk di hari tua, sekadar untuk memenuhi keperluan hari-hari pun mengalami kesukaran dan perjuangan yang perit. Oleh sebab itu, sebagai warga negara yang mendiami bumi bertuah ini, sepatutnya kita banyak bersyukur kerana masih diberi peluang dan kesempatan untuk menikmati ‘kue pembangunan’ dan kesejahteraan ini dengan cara mengurus kewangan yang baik dan betul.

Disebabkan pengurusan wang ini lebih dipengaruhi oleh faktor tabiat dan pemikiran manusia, Hajah Rohana menyeru kepada masyarakat Islam untuk sentiasa memegang prinsip dan ajaran agama dalam setiap kehidupan. Sebab hanya dengan pegangan agama yang mantap dan kuat, sebarang masalah yang timbul dalam isu pengurusan wang dapat diatasi. Prinsip agama jugalah yang mengajar dan mengarahkan kita untuk tidak mudah menghamburkan wang, mengelak gaya hidup hedonistik dan berfoya-foya. Pada masa yang sama tuntutan agama jualah yang menghendaki kita untuk gemar menabung, berjimat cermat, bersedekah dan mengukur kemampuan diri kita dalam setiap aktiviti berbelanja.

Susunan semula oleh Mohd Shauki Abd Majid

No Comments

    Leave a reply