OIC DAN UMAT ISLAM

Deklarasi Istanbul pada sidang kemuncak luar biasa OIC semalam memutuskan bahawa Baitulmuqadis Timur ibu negara Palestine.Kesemua 57 negara anggota umumkan pendirian Presiden Donald Trump berhubung kota suci itu tidak sah dibawah undang-undang antarabangsa.

OIC meskipun kehadirannya baru sekitar satu perempat abad ia bertindak memusatkan perhatian dunia Islam terhadap masalah-masalah politik,sosial dan ekonomi.OIC tidak seharusnya dilihat hanya mewakili kepentingan negara-negara Arab yang kaya.Selama ini OIC sering dilihat bersikap pasif terhadap persoalan Palestin khususnya.Justeru dalam isu Palestin ini mentalit Arab harus berubah kalua tidak ia akan terus menerus meletakan Israel menjadi peminpin dunia Arab.Dan dunia arab seolah-olah pelaksana agenda politik Israel Dan Amerika Syarikat(Barat) Menelaah resolusi yang dikeluarkan oleh OIC selama ini, jelas organisasi ini telah menjadi forum bagi membincangkan masalah yang mempengaruhi Dunia Islam dan telah berjaya menangani beberapa isu yang berkaitan.

Namun OIC kadang-kadang selektif ketika memilih masalah yang akan ditanganinya khususnya yang di luar isi resolusi. Misalnya dengan isu Palestin, isu penaklukan Kesatuan Soviet ke Afghanistan, perang saudara di Somalia, isu Masjid Babri di Ayodhya, India dan krisis Bosnia-Herzegovina.

Dalam bidang budaya, OIC aktif menganjurkan aktiviti pendidikan bagi masyarakat Islam di seluruh dunia dan melalui dana khas, OIC berjaya membantu mendirikan Universiti Islam Antarabangsa di Malaysia, Nigeria, Uganda dan Bangladesh.

Meskipun kegiatannya begitu luas namun OIC pada intinya tetap sebuah organisasi politik. Perbezaan kepentingan dan penekanan antara negara anggota menghambat peningkatan darjat perpaduan. Oleh itu para pengkritik terus mengecamnya sebagai pertubuhan konservatif atau `mimbar bicara’ yang tidak efektif atau kedua-duanya. Perbezaan kepentingan di antara negara anggota terserlah ketika krisis Perang Teluk 1990-1991.

Masuk abad ke-21, OIC perlu meluaskan langkahnya secara lebih efektif khususnya dalam menghadapi pengaruh berbahaya dan dominasi Barat ke atas bangsa Timur dan orang Islam, serta menyedari kesannya jika dibiarkan ia akan menghancurkan ummah seluruhnya.

Kita boleh mengambil iktibar daripada pandangan Sayyid Sheikh Jamaluddin Al-Afghani yang pernah berkata beliau tidak takut akan pengaruh kekuatan pemerintahan mana pun. Beliau yakin bahawa pemerintahan kolonialis Barat yang perkasa dan betapa pun kuatnya, pada akhirnya harus runtuh menghadapi kemurkaan dan tentangan kaum Islam, asal saja orang Islam menyingkirkan perbezaan-perbezaan kecil dan mengambil perpaduan untuk tujuan bersama.

Jamaluddin membenci dominasi Barat di negara-negara Islam. Beliau ingin umat Islam menjauhi perbezaan-perbezaan kecil (yang dibesar-besarkan oleh imperialis), lalu bersatu menghidupkan kembali Islam dan melenyapkan musuh-musuhnya. Inilah yang difikirkan oleh Jamaluddin.

Jamaluddin melihat empat penyakit yang dihadapi oleh Islam dan menawarkan lapan cara terapinya. Keempat-empat penyakit itu ialah: Absolutisme dalam corak pemerintahan; sifat kepala batu dan kebodohan rakyat jelata serta ketinggalan dalam ilmu dan peradaban; penyelewengan idea-idea yang berkaitan dengan agama dan bukan agama, dan pengaruh kolonialisme Barat. Sesuai dengan empat penyakit itu, Jamaluddin memberikan lapan jalan penyelesaian iaitu:

1-Bangkitkan kesedaran berpolitik melawan absolutisme. Harus dijelaskan kepada orang ramai bahawa perjuangan politik adalah kewajipan agama, tidak ada pemisahan antara agama dan politik. Setiap orang harus terlibat dalam nasib politik negara dan masyarakat Islam.

2-Lengkapi diri dengan sains dan teknologi moden. Dominasi Barat terjadi kerana keunggulan dalam sains dan teknologi. Orang Islam tidak harus menolak segala perkara yang datang dari Barat. Mereka harus belajar dari Barat, tetapi bukan mengadaptasi peradaban mereka; sains dan teknologilah yang harus mereka kuasai.

3-Kembali kepada Islam yang sebenarnya. Segala bentuk penyelewengan dalam amalan Islam harus dibuang; umat harus dikembalikan kepada al-Quran, al-Sunah dan kehidupan suci pada zaman permulaan Islam.

4-Hidupkan Islam sebagai akidah yang komprehensif. Islam adalah agama sains dan kerja keras, agama yang menuntut tanggungjawab, agama yang memuliakan akal dan membenci tahyul. Dia menganjurkan umat untuk menghidupkan kembali filsafat dalam khazanah pemikiran Islam.

5-Lawan kolonialisme asing. Penjajah asing di dunia Islam bukan saja mempunyai implikasi eksploitasi politik, tetapi juga dominasi ekonomi dan budaya. Orang Islam harus disedarkan bahawa sekularisme adalah taktik Barat untuk melenyapkan pengaruh Islam dalam masyarakat. Harus ditegaskan bahawa budaya Barat tidak akan membawa kemakmuran manusia. Budaya Barat adalah budaya penindasan.

6-Tegakkan persatuan Islam. Untuk melawan penaklukan Barat, orang Islam harus bersatu. Bersatu tidaklah bererti menyatukan mazhab. Bersatu bererti menyatukan barisan depan pimpinan politik dan organisasi. Ia mengecam pembahagian Islam dalam negara-negara kecil dan mengkhutbahkan Pan-Islamisme.

7-Tiupkan roh jihad ke dalam jasad masyarakat Islam yang setengah mati. Menghadapi kehancuran akibat Barat, orang Islam harus menegakkan Islam sebagai agama perlawanan dan perjuangan.

8-Hilangkan rasa rendah diri dan rasa takut terhadap Barat. Melalui sebuah cerita kiasan dalam Al-‘Urwah Al-Wutsqa, ia mengingatkan orang Islam bahawa ketakutan terhadap Barat adalah ilusi yang dibentuk sendiri. Orang Islam tidak boleh takut terhadap hingar-bingar suara Barat.

Sejak akhir abad ke-19, di pelbagai belahan dunia Islam mulai berkembang perasaan dan sikap anti-Yahudi yang amat mempengaruhi hubungan umat Islam dan Yahudi selanjutnya.

Hal ini pada awalnya bersumber daripada kekhuatiran kaum Muslim akan implikasi Zionisme, sebuah ideologi politik yang didirikan oleh para pemuka Yahudi sekular sebagai reaksi atas sikap anti-Semitisme (sikap anti-Yahudi) di Eropah.

Sebagai reaksi terhadap anti-Semitisme itu, para pemimpin Yahudi sekular mendirikan gerakan Zionisme. Theodore Herzl yang disebut sebagai pengasas Zionisme, menulis bukunya, Der Judenstaat (Negara Yahudi) pada tahun 1896. Muktamar Zionis pertama diadakan di Bassel, Switzerland pada tahun 1897. Para perintis gerakan ini terdiri daripada orang Yahudi sekular dari Jerman dan Austria.

Bagi mereka, keyahudian merupakan identiti nasional, bukan agama dan Zionisme adalah nasionalisme daripada suatu bangsa yang belum mempunyai negara. Cita-cita mereka ialah mendirikan sebuah negara nasional sekular bagi umat Yahudi.

Kelahiran gerakan Zionisme tidak ada sangkut-pautnya dengan Yahudi sebagai agama. Faktor pendorong utamanya adalah keberadaan umat Yahudi yang hanya dianggap sebagai paria di Eropah. Tujuan Zionisme hendak dicapai melalui dua cara utama.

Pertama, membebaskan orang Yahudi daripada pemaksaan agama dengan memberi mereka sebuah tanah air, tempat mereka dapat menikmati kemakmuran ekonomi dan keamanan politik. Kedua, membangun sebuah kebudayaan yang murni Yahudi, tempat umat Yahudi dapat mengekspresikan semangat keyahudian mereka.

Namun pilihan Zionisme akan Palestin sebagai rumah nasional bagi bangsa Yahudi telah mengaitkan cita-cita mereka dengan sejarah sakral (suci) Yahudi yang tercantum dalam kitab suci Taurat. Inilah yang menyebabkan gerakan Zionisme semakin diwarnai simbol keagamaan.

Oleh Mohd Shauki Majid

No Comments

    Leave a reply