JOKOWI MENANG DUA KALI DAN PRABOWO KALAH DUA KALI

Keputusan akhir Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2019) menyaksikan Joko Widodo atau Jokowi berjaya mempertahankan jawatan Presiden Indonesia untuk penggal kedua manakala Prabowo Subianto tewas dua kali kepada tokoh bukan dalam kalangan tentera. Prabowo adalah bekas tentera yang pernah berkahwin dengan anak perempuan bekas Presiden Indonesia yang paling lama berkuasa, Soeharto (12 Mac 1967 – 21 Mei 1998).

Sebagai calon Presiden, Prabowo kali ini menjadikan Sandiaga Uno sebagai gandingan manakala Jokowi memilih Ma’aruf Amin, seorang tokoh dan bekas pemimpin Nahdatul Ulama Indonesia. Bagaimanapun, pada peringkat awal gandingan Jokowi-Ma’aruf dilihat kurang menarik disebabkan tidak mendapat restu daripada ijtmak ulama, yang akhirnya disifatkan ‘hanya melahirkan kebodohan’.

Rumusan itu berdasarkan kebolehan Sandiaga Uno ketika berdebat dengan KH Ma’aruf Amin. Ma’aruf berjaya mengemukakan gagasan Islam dengan baik dan tenang, manakala Sandiaga dilihat tidak dapat memberikan penerangan yang baik, berkesan mengenai nilai-nilai Islam sehingga Ahmad Romdoni menulis: “Anda pendukung Prabowo-Sandi mengaku paling Islam. Anda bahkan bukan sekadar pemeluk Islam, tetapi pemilik Islam. Namun, Capres dan Awapres kalian tidak ramah nilai-nilai Islam…Ulama kalian mengharamkan joget. Capres kalian hobi joget. Ulama kalian ingin pemimpin Islami, bisa salat, wudu, dan iman. Prabowo atau Sandi tak becus untuk itu.” (Baca: https://www.qureta.com/post/ma-ruf-amin-membuktikan-ijtima-ulama-hanya-melahirkan-kebodohan)

Keputusan Pilpres kali ini menunjukkan gandingan Jokowi-Ma’aruf berjaya menguasai 85 juta pengundi (55.6 peratus) berbanding pasangan Prabowo-Sandiaga sekitar  45.6 peratus atau 68,650,239 undi. Perbezaan ialah 16,957,123 (10 peratus).

Daripada jumlah pengundi yang sah 154.257.601, Jokowi-Ma’ruf menang di 21 provinsi manakala pasangan  Prabowo-Sandi unggul di 13 provinsi. Ini membuktikan bahawa pengaruh Jokowi lebih besar di Jawa, Sulawesi, Papua, Kalimantan dan seimbang di Maluku, Sumatera dan Nusa Tenggara.

Sebelumnya, beberapa agensi pungutan suara atau kajian pendapat umum memberikan ramalan bahawa pasangan Jokowi-Ma’aruf mampu memperoleh kemenangan dengan perbezaan undi antara 10 hingga 15 peratus. Charta Politika menyatakan pasangan Jokowi-Ma’aruf mampu meraih 55.7 peratus manakala saingannya sekitar 38.8 peratus.

Pusat Kajian Saiful Mujani (SMRC) meletakkan pasangan Jokowi-Ma’aruf di kedudukan 56.8 peratus manakala pencabarnya sekitar 37 peratus.  Indo Barometer meramalkan calon presiden nombor satu akan memperoleh 59.9 peratus undi manakala pasangan nombor dua sekitar 47.2 peratus.

election resluts mapping

Secara keseluruhannya, Jokowi mampu meraih jumlah majoriti yang lebih besar berbanding apa yang diperolehnya dalam Pilpres 2014.  Berpasangan dengan Jusuf Kalla pada tahun 2014, Jokowi meraih kemenangan dengan majoriti 6.4 juta undi, iaitu menokok lebih 10 juta suara.

Proses pengundian dilakukan secara serentak di 813,350 tempat di seluruh Indonesia menjadikan pilihan raya Indonesia sesuatu yang unik dan petugas terpaksa bekerja keras untuk menentukan kelancaran. Begitu juga dengan proses pengiraan undi. Kerja keras itu menyebabkan petugasnya berhadapan dengan stress melampau dan diperkirakan lebih 139 orang meninggal di sepanjang proses pungutan suara.

Akibatnya, proses pengundian yang bertujuan untuk menjimatkan perbelanjaan pengurusan itu dikritik hebat oleh banyak pihak walaupun prosesnya berjalan dengan lancar dan tiada banyak masalah kecuali pengundi di luar negara terutama di Kuala Lumpur yang dikatakan sedikit tercemar. Kertas undi telah ditanda beberapa hari sebelum hari mengundi dan ditemui dilonggokkan di Kajang, Selangor.

Pengumuman keputusan yang dilakukan pada tengah malam (1.46 pagi waktu Indonesia Barat) sehari lebih awal akhirnya disambut dengan rusuhan keesokan untuk membantah kemenangan pasangan Jokowi-Ma’ruf. Rusuhan itu mengakibatkan lapan orang terbunuh manakala sekitar 700 orang cedera akibat rempuhan dan sikap ganas perusuh terhadap pasukan keselamatan.

Menurut Gabenor Jakarta lagi, daripada keseluruhan mereka yang cedera, 294 adalah mereka yang berusia 20 hingga 29 tahun manakala 170 orang lagi ialah remaja yang berusia di bawah 19 tahun.

Rusuhan bukan sahaja berlaku di Jakarta, malah turut berlaku di Sumatera Utara, Jawa Timur, Papua dan Kalimantan Barat.

rusuhan pasca Pilpres

Jokowi, 57 dan Ma’aruf Amin, 76 merupakan gandingan yang dianggap oleh sebahagian besar pengundi Indonesia mampu untuk mentadbir negara yang mempunyai jumlah penduduk lebih 260 juta orang itu untuk tempoh lima tahun lagi. Manakala pencabarnya, Prabowo Subianto, 67 dan Sandiaga Uno, 49 terpaksa menerima kekalahannya walaupun mengakui akan mengemukakan bantahan kepada Mahkamah Konsitusi pada hari terakhir, iaitu 24 Mei 2019.

Sehari sebelum mengemukakan bantahan tersebut, Prabowo telah menemui Jusuf Kalla untuk menjelaskan rasa tidak puas hatinya mengenai proses pilihan raya yang dianggap tercemar dengan unsur rasuah dan pembelian undi. Bagaimanapun, Prabowo perlu mengemukakan bantahan secara rasmi dan mengemukakan bukti untuk diadili sebagaimana pernah dilakukan selepas tewas kali pertama pada tahun 2014.

Dalam kes tersebut (2014), bantahan Prabowo tidak berhasil dan pada suatu ketika, beliau hampir tidak mahu menggunakan saluran undang-undang untuk membuat bantahan kali ini. Sehingga waktu akhir, Prabowo hadir ke Mahkamah Konstitusi untuk mengemukakan bantahannya, dan keputusannya akan diketahui dalam tempoh beberapa hari, iaitu sebelum majlis Angkat Sumpah Presiden yang dijangka akan berlangsung pada 20 Oktober 2019.

Menurut Gabenor Jakarta, Anies Baswedan enam kematian itu berlaku ketika rusuhan pertama pada sebelah siang (22/5/2019) disekitar Tanah Abang, iaitu tempat terletaknya pejabat Bawaslu (Badan Pengawasan Pilihan Raya). Kematian berpunca akibat tembakan atau pukulan objek tumpul dan pihak polis menafikan sengaja melepaskan tembakan ke arah perusuh.

Bagi mententeramkan keadaan, seramai 60,000 anggota tentera dikerahkan dan keadaan kembali tenang pada 23 Mei 2019 namun pihak berkuasa terus berhati-hati agar para perusuh tidak kembali ke jalan raya untuk melakukan rusuhan tersebut.

Menurut Jokowi, kerajaan tidak akan berkompromi dengan perusuh dan tindakan keras akan dilakukan. Pihak polis sedang melakukan penyiasatan rapi untuk mengenal pasti pihak yang merancang pergaduhan tersebut termasuklah kemungkinan dilakukan oleh kelompok-kelompok pelampau Islam yang dikatakan ada kaitan dengan ISIS dan kelompok dari luar Jakarta. Antaranya ialah GARIS, Gerakan Reformis Islam di mana dua orang aktivisnya mengakui ingin melakukan jihad pada hari rusuhan. Kedua-dua mereka dikatakan berasal dari luar Jakarta.

Pihak berkuasa Indonesia turut mengawal bangunan-bangunan penting dan menyekat penggunaan media sosial ketika ini. Sehingga kini, sejumlah 300 suspek telah ditahan untuk disiasat.

Dalam sidang media semalam (23/5/2019), pihak polis menunjukkan bom petrol, panah buatan sendiri dan beberapa senjata lain serta sampul berisi wang yang dianggarkan berjumlah tujuh rupiah. Wang tersebut didakwa sebagai bayaran untuk menyertai rusuhan. Polis turut merampas dua raifal dengan peredam bunyi dan  dua pucuk pistol.

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply