OMIW BANTU FRONTLINERS HADAPI TUGAS MENGEKANG COVID-19

KUALA LUMPUR, 25 Mac 2020: Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW) menyalurkan bantuan bagi membekalkan sarapan kepada petugas-petugas barisan hadapan (frontliners) yang berhadapan dengan kesukaran memperoleh makanan semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan oleh kerajaan bagi memutuskan rantaian virus COVID-19.

Pengerusi OMIW, Datuk Dr Aziz Jamaludin Muhd Tahir berkata, sarapan itu akan dibekalkan kepada petugas di hospital dan pihak keselamatan di sekitar Lembah Klang dan juga golongan gelandangan yang sukar memperoleh bekalan tersebut akibat kawalan pergerakan dan penutupan gerai-gerai makanan.

Bagi tujuan tersebut, kata Datuk Dr Aziz, OMIW akan menggunakan petugas-petugas khas untuk mengedarkan makanan tersebut dengan mendapat kebenaran pihak berkuasa dan bersedia mematuhi apa-apa syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Atas tanggungjawab sosial, OMIW merasakan bantuan tersebut dapat membantu petugas-petugas barisan hadapan, anggota keselamatan dan golongan gelandangan mendapatkan makanan setelah kedai-kedai ditutup ekoran pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Kata Datuk Dr Aziz lagi, “OMIW turut menyeru badan-badan bukan kerajaan (NGO) turut mengambil bahagian dalam membantu petugas-petugas barisan hadapan untuk menghadapi kesukaran tersebut dan apa yang kita lakukan itu adalah sebahagian daripada jihad sosial yang amat dituntut oleh Islam.”

Nilai keseluruhan sumbangan OMIW untuk tujuan tersebut ialah RM 10,000.00 dan jika keseluruhan NGO turut membantu, kesukaran yang dihadapi oleh petugas-petugas barisan hadapan dan golongan gelandangan akan dapat mengatasinya.

Para petugas barisan hadapan yang semakin terhimpit dengan ‘situasi semasa’ akan lebih bersemangat lagi untuk melaksanakan tanggungjawab yang berat ini dalam keadaan jumlah mereka yang positif COVID-19 semakin meningkat.

Sumber : Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW)

No Comments

    Leave a reply