OMIW RINTIS KERJASAMA INTELEKTUAL DENGAN SUSKA

(Ucapan Penuh Pengerusi OMIW* ketika menandatangani Memorandum Kerjasama dengan Univeristas Islam Negeri Sultan Syarif Kassim Kuala II, pada 1 Februari 2019)

Pertama-tama, saya selaku pengerusi OMIW dengan rendah hatinya bersyukur di atas sambutan dan persetujuan UIN SUSKA untuk bekerjasama dalam mempertahan dan memperkembangkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai benteng kekuatan umat Islam di masing-masing wilayah, iaitu Malaysia dan Indonesia.

Kedua, OMIW merasakan kerjasama yang bakal dirintis ini akan melibatkan perkongsian yang lebih berkesan bagi memanfaatkan apa sahaja kepakaran dan nara sumber yang sedia ada di antara SUSKA dan  OMIW saperti apa yang kita ketahui, kerjasama dan gandingan yang sinergi akan menghasilkan output yang lebih baik dan menarik. Saperti dirumuskan melalui peribahasa tempatan yang begitu arif maksudnya, bulat air kerana pembetungnya, kuat masyarakat kerana mufakatnya.

Ketiga, hubungan kerjasama yang terjalin setakat ini dapat dilembagakan menjadi satu bentuk institusi yang berdaya maju dan saling melengkapi kerana sebahagian besar daripada pimpinan OMIW merupakan alumni SUSKA sendiri.

Hubungan bersifat peribadi ini jika diteruskan dalam suasana yang lebih formal dan institusi akan menghasilkan kesan yang besar dan mendalam. Bahkan dalam kearifan lokal telah terjelma suatu idiom yang terbukti begitu kuat dan sukar dipatahkan, umpamanya segenggam lidi walaupun sifatnya kecil dan rapuh apabila dicantumkan secara kemas dan terikat, terlalu sukar untuk dipatahkan.

Keempat, sehingga kini, kerjasama secara eceran dengan tenaga pengajar SUSKA lebih berbentuk kerjasama peribadi dan tidak melibatkan SUSKA secara lebih formal. Maka pada hari ini, kerjasama ini mulai dengan pernyataan hasrat untuk menjadikannya dalam bentuk formal dan diinstitusikan. Pastinya, jarak dan kedudukan fizikal bukan lagi menjadi halangan.

UIN SUSKA 3

Sejarah juga telah membuktikan bahawa sumbangan para ulama dari Sumatera mempengaruhi sikap budaya masyarakat Tanah Melayu dan membolehkan Islam berkembang menjadi suatu amalan yang berjaya mengeluarkan kongkongan tradisi kerahiban dan pelbagai bentuk kepercayaan mistik.

OMIW adalah sebuah badan bukan kerajaan atau lembaga swadaya masyarakat (LSM) telah ditubuhkan pada tahun 2016 dengan matlamat sebagai pusat rujukan yang dapat mengumpulkan khazanah pemikiran Islam dari seluruh rantau Asia Tenggara khususnya dan dari seluruh dunia amnya.

Pengumpulan bahan-bahan dan khazanah pemikiran Islam tentunya bukanlah satu perkara yang mudah, apatah lagi kebanyakan bahan-bahan disimpan secara peribadi oleh para pengkaji untuk keperluan masing-masing.

Situasi sedemikian harus dimanfaatkan dengan lebih luas bagi menggalakkan lahirnya pelbagai bentuk dan rumusan kajian yang baharu untuk keperluan masyarakat Islam yang lebih luas. Ia juga menggalakkan proses eksplorasi dan penemuan-penemuan yang lebih besar kerana kemajuan intelektual manusia berkembang baik secara organic ataupun mekanismenya.

OMIW rasa terpanggil untuk mengambil tanggungjawab tersebut tetapi oleh kerana OMIW hanya mempunyai kepakaran yang terhad, maka adalah lebih berkesan dengan mengadakan kolaborasi dengan mana-mana institusi yang boleh membantu dalam menjayakan hasrat sedemikian. Oleh kerana sebahagian daripada pimpinan OMIW merupakan alumni SUSKA, maka adalah lebih mudah dan sesuai jika jalinan kerjasama ini bermula di sini.

Alumni SUSKA sudah saling kenal mengenali dengan apa yang sedia ada di sini, maka OMIW sudah memahami dan mengesani secara jelas tentang kepakaran serta bahan-bahan yang sedia tersimpan di sini.

Alangkah baiknya jika kepakaran dan bahan-bahan yang ada itu dikongsi dan disebarluaskan kepada masyarakat Islam yang lebih luas untuk faedah bersama di samping membentuk kesepakatan baharu yang lebih baik pada masa hadapan.

Bagi tujuan penyebaran secara intelektualnya, OMIW dan SUSKA boleh melaksanakan pelbagai aktviti sama ada berbentuk wacana intelektual mahupun melalui penerbitan.

Dalam memenuhi tuntutan tersebut, OMIW bersedia untuk menerbitkan bahan-bahan penerbitan dalam pelbagai bentuk saperti penerbitan Jurnal Kearifan Islam Nusantara, media online (omiwnusantara.com) yang sudahpun dimulai dan juga buku-buku. Tentunya, dalam persekitaran masyarakat sekarang, bahan-bahan penerbitan itu hendaklah bersesuaian dengan peredaran zaman.

Untuk merealisasikannya, OMIW sedang memikirkan untuk menerbitkan kitab-kitab besar Islam yang diterjemahkan dalam bahasa yang lebih mudah dan senang difahami oleh khalayak pembaca.

Mungkin kita boleh mulakan dengan menerbitkan semula melalui suntingan baharu kitab-kitab yang ditinggalkan oleh Imam Al-Ghazali dengan nalar bahasa yang sesuai dengan bahasa moden.

Ia bukan sahaja penting untuk menyanggah dan menolak pandangan bahawa kemenangan Assyari’yyah dan Murtudiyyah dalam pertembungan pemikiran Islam sebagai bermulanya era penutupan pemikiran umat Islam tanpa melihat apakah asas sebenarnya yang cuba ditolak oleh al-Ghazali dalam bidang falsafah.

Misalnya jika kita membaca karya Robert R Reilly, The Closing of the Muslim Minds; How Intelectual Suicide Created the Modern Islamist Crisis (2010) ia jelas menyalahkan al-Ghazali dengan menuduhnya sebagai ‘satu kemenangan yang malang’ kerana menolak percubaan mengyunanikan Islam dalam pemikiran falsafah.

Walaupun HAMKA turut mengatakan ‘ dalam kalangan kaum Muslimin sendiri timbul golongan yang tidak menyetujui pemakaian filsafat untuk tuntutan berfikir…Malahan dalam kalangan Muslimin sendiri, lebih kurang 700 tahun, terbenam kepada taklid buta, kerana hanya berpedoman kepada pendirian al-Ghazali tentang filsafat’.” (HAMKA, Falsafah Hidup, 1995, hal. 12), ia tidak menolak pendirian al-Ghazali dalam hampir semua perkara.

Bahkan al-Ghazali tetap dianggap sebagai ilmuan Islam yang berjaya mempertahankan akidah umat Islam sehingga mampu berhadapan dengan pelbagai gelombang pemikiran dan serangan budaya oleh penjajah. Ia adalah benteng akidah yang begitu kuat dalam pertahanan umat Islam.

Jika di Tanah Melayu, British tidak mampu untuk merobohkan benteng tersebut. Kekuatan itu juga telah menyebabkan British terpaksa memisahkan orang Melayu dengan orang bukan Melayu yang dibawa masuk sebagai buruh kasar.

Orang Melayu tetap dengan cara hidupnya yang berpaksikan peraturan-peraturan Islam dalam hal ehwal keluarga, pembahagian harta dan kemasyarakatan. Ia telah berjaya meletakkan posisi Islam sebagai sebahagian daripada kerangka bernegara dan salah satu pilar dalam Perlembagaan (Undang-Undang Dasar).

Walaupun keadaan ini dilihat semakin berkonflik, persekitaran yang berlaku dapat dikawal dengan baik dan belum lagi mencetuskan rusuhan antara agama yang besar, kecualilah konflik yang bersifat politik sekte.

UIN SUSKA 4

Tentunya kita tidak mahu perkara ini berlaku dan tidak dapat dikawal kerana akhirnya Islam dilihat sebagai masalah bukan lagi bersifat Rahmatal Lil’alamin dalam konteks asalnya, sebagaimana kita memahami era permulaan Islam di Madinah yang dilembagakan sebagai sebuah pemerintahan yang adil dan saksama sehingga bukan Islam beroleh ketenangan selagi mereka menghormati pola hidup Islam.

Pada hari ini, OMIW bukan sahaja rasa bahagia di atas sambutan yang diberikan. Bahkan, OMIW yang hanya mula melaksanakan aktiviti dalam bentuk pembangunan intelektual merasakan sudah sampai masanya SUSKA dan OMIW berganding bahu untuk melaksanakan tanggungjawab bersama yang lebih besar dalam bidang penyelidikan dan perkongsian intelektual untuk mengekang pelbagai tantangan yang sedang dihadapi oleh umat Islam.

Tentunya, OMIW secara bersendirian tidak akan mampu tanpa kerjasama dengan mana-mana institusi dan orang perseorangan yang berwibawa dalam bidang masing-masing kerana serangan yang dihadapi oleh umat Islam sekarang hadir dalam bentuk multidimensi, bercampur-baur sehingga sukar untuk dipisahkan secara jelas.

Misalnya, ada ketikanya ia hadir dalam dilema ekonomi. Tetapi kehadirannya ikut serta dengan pengubahan budaya hidup sehingga memerangkapkan umat Islam sebagai pengguna yang lahap dan tipis etika. Nilai-nilai moral yang disemaikan dalam diri umat Islam dan dipertahankan sejak sekian lama, semakin mudah lentur dan hampir larut dengan semangat zaman.

Kita mungkin tidak lupa bahawa apa yang berlaku kepada sebahagian daripada selebriti kita, sudah ditafsirkan sebagai sesuatu yang wajar, kerana tubuh seseorang itu dianggap sebagai komoditi, dan boleh diperdagangkan semahunya asalkan prosesnya tidak membabitkan ugutan dan paksaan. Semuanya boleh dilakukan atas nama kebebasan dan hak yang dikawal dan dimiliki oleh seseorang.

Dari perspektif legal, ia hanya boleh bertindak sekiranya berlaku paksaan atau dalam bahasa teknisnya ‘pemerdagangan orang’. Kes yang berlaku baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa mungkin yang akan terdakwa ialah muncikari atau mereka yang menjadi perantara dalam tawar menawar itu.

Mereka yang ‘menjual dan membeli jasa’ hanya dikategorikan sebagai saksi, bukan orang yang terdakwa. Seolah-olah ‘orang yang menawarkan khidmat’ dan ‘orang yang membeli jasa’ itu tidak bersalah, kerana hubungan itu berlangsung dalam keadaan sadar dan saling bersetuju.

Perkembangan terbaru, pelakunya dikategorikan semula sebagai ‘orang kena tuduh’ dan dipenjarakan bagi menghalang kemungkinan ‘melarikan diri’ serta ‘kehilangan bukti.”

Walhal, dalam perspektif Islam, walaupun ia berlangsung dalam dimensi saling bersetuju, ia tetap salah dan wajib dicegah kerana ia termasuk dalam tindak laku larangan yang menjurus kepada ‘kemungkaran’ dan maksiat.

Jika budaya sedemikian tidak dicegah menerusi pengembangan intelektual yang sepadan dengan peraturan Islam, maka akan berlakulah lebih banyak kerosakan yang fatal dan sukar untuk diubati pada masa hadapan. Mungkin secara legalnya, kita dianggap kurang berjaya, tetapi tidak bermakna sekatan dan halangannya tidak dapat kita lakukan menerusi ‘jihad pemikiran’.

Tentunya untuk melaksanakan ‘jihad pemikiran’ ini, ia bukan sesuatu yang mudah. Untuk sukses, ia memerlukan pengorbanan dan penyatuan tekad, buah fikiran dan tindakan berstrategi. Dan, kerana ia memerlukan kebijaksanaan yang tinggi, maka ia memerlukan kesungguhan dan komitmen bersama agar ‘benang-benang merah’ itu dapat ditarik tanpa putus dan mencederakan sesiapa pun.

Ia bukan pula boleh dilihat dalam konteks psikologi Barat sebagai win-win situation kerana yang sepatutnya kita laksanakan ialah mengembali dan menghidupkan semula tunjang akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kehidupan dan keadaban Muslim.

Ia perlu bermula dengan pengungkapan falsafah dan daya fikir. Bagi mengungkapkan falsafah dan daya fikir, setiap warisan lama hendaklah digali semula sedalam-dalamnya, intipatinya dicari dan kekuatannya diangkat dan diterjemahkan kembali dalam ruang emosi dan kondisi sesuai dengan tuntutan zaman.

Kita mungkin boleh mengambil contoh, bagaimana Imam Al-Ghazali berjaya melahirkan watak muslim yang kental walaupun diancam oleh pelbagai masukan dan aliran pemikiran sama ada yang terlalu berasaskan rasional mahupun yang terlalu bersifat batin, kerana kedua-dua landasan itu tidak dapat menghasilkan peribadi muslim yang terbaik atau dinamakan insanul kamil atau manusia yang menepati acuan muslim kuffah.

Islam memerlukan keseimbangan antara tuntutan kepada Maha Pencipta dan hubungan sesama manusia, dan bagi Al-Ghazali, manusia sebenarnya berkebun di dunia untuk menuaikan hasilnya di akhirat.

Kita sedar itu bukanlah satu perkara yang mudah atau sepele. Ia begitu sukar, tetapi tidak bermakna kita tidak boleh melakukannya. Al-Ghazali sudah menunjukkan buktinya, maka setiap legasi yang ditinggalkan menjadi bahan pegangan terbaik umat Islam nusantara sehingga menyukarkan penjajah untuk menghapuskannya, walaupun dicuba dan dieksperimenkan beratus tahun lamanya.

Umat Islam di nusantara masih kekal berpegangang teguh dengan fahaman sunni atau Ahli Sunnah Wal Jamaah. Tetapi, itu tidak bermakna aliran-aliran Islam yang lain terus diketepikan. Islam adalah satu cara hidup yang boleh disesuaikan dengan mana-mana sistem dan peredaran zaman.

Kini, aliran-aliran pemikiran di luar bingkai Islam semakin kuat menggugat pemikiran umat Islam sehingga lahir pemikiran bahawa tidak ada bezanya Islam dengan bukan Islam asalkan mereka adalah masyarakat beragama. Atas nama agama, mereka adalah sama kerana semua agama mengajar penganutnya untuk menjadi baik dan hidup bermoral.

Landasan utama ialah ‘kebaikan untuk diri sendiri, masyarakat dan negara’ tidak lebih daripada itu. Sedangkan Islam mengatur untuk menjadi hidup yang sempurna melalui dua hubungan yang saling memerlukan dan tidak terpisah. Islam mengutamakan kepada hubungan dengan Maha Pencipta dan dalam masa yang sama hubungan sesama manusia.

Dalam perspektif manusia rasional, sudah memadai jika manusia boleh hidup rukun dan harmoni sesama manusia kerana hubungan dengan Maha Pencipta itu dianggap personal dan sukar difahami. Dan, dari sinilah kita perlu merobohkannya dan untuk membinanya semula, kita memerlukan kerjasama yang bersinergi untuk memperoleh kaedah terbaik.

Kita tidak lagi memerlukan kaedah ‘berkonflik dan berperang’ atau saling berbalas serangan, kerana kaedah itu akan memperlihatkan wajah Islam yang ektremis, memberontak dan melampau.

Sebagai agama yang diturunkan dengan penuh rahmat, Islam sudah membuktikan bahawa pendekatan berhemah adalah jalan terbaik dan boleh diterima oleh seluruh manusia secara mudah.

Kita mungkin memerlukan kemahiran dan pengupayaan sumber untuk melihat di manakah kearifan itu bermula dan berlangsung, maka saya cukup yakin dengan kerjasama antara OMIW dan SUSKA yang dimulai ini dapat menemukan kita jalannya, InsyaAllah. Dan, itulah harapan sebenar kenapa OMIW tergerak untuk memeterai perjanjian ini, atas dasar, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

*Datuk Dr Aziz Jamaludian Muhd Tahir

No Comments

    Leave a reply