Begitu jua dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut menuntut perpaduan sesama umat Islam perlu diperkukuhkan dan perpaduan sesama rakyat pelbagai agama dan kaum wajib disuburkan. Baginda turut me­nyarankan supaya Perlembagaan Madinah dan falsafah penyatuan dalam kepelbagaian yang terkan­dung dalam Perlembagaan Persekutuan diambil kira.

Sebab itu menarik jika dikaitkan kegusaran kedua-dua baginda de­ngan apa yang sedang melanda negara dan umat Islam secara global yang bukan sahaja disebabkan oleh perpaduan yang rapuh dalam kalangan ummah tetapi juga di­sebabkan oleh percaturan licik yang diatur oleh musuh Islam.

Begitu strategik sekali apabila Penasihat Keselamatan Negara White House Amerika Syarikat (AS), John Bolton berlatar belakang ulang tahun ke-17 peristiwa serangan September 11 me­ngancam untuk menahan dan menghukum hakim dan pegawai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) jika ia mendakwa mana-mana warga Amerika yang berkhid­mat di Afghanistan terlibat de­ngan jenayah perang.

Perlu ditegaskan pencerobohan tentera AS terhadap Afgha­nis­tan pada 2001 ada kena me­ngena dengan peristiwa serangan September 11 dan ugutan Bolton itu juga boleh dikaitkan dengan tindakan pendakwa ICC yang memohon untuk membuka siasatan terhadap jenayah perang yang dilakukan pegawai tentera dan perisikan AS di Afghanistan terutama sekali yang membabitkan penderaan ke atas tahanan.

Tidak menghairankan panda­ngan Bolton terhadap ICC kerana AS tidak pernah mengiktiraf sta­tut Rome yang menjadi asas penubuhan ICC pada 2002 dan hakikatnya adalah amat sukar bagi ICC melunaskan penghakiman terhadap rakyat yang mana negara mereka bukan sebahagian daripada ICC seperti AS. Apabila Bolton menegaskan badan hak asasi di The Hague itu sebagai ‘tidak dapat dipertanggungjawabkan’ dan ‘berbahaya’ kepada AS, Israel dan sekutu lain sebenarnya apa yang dimaksudkan ialah ICC adalah ancaman kepada Israel.

Ini kerana beberapa hari sebelum itu Jabatan Negara AS me­ngumumkan penutupan pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Washington DC susulan kebimbangan terhadap cubaan Palestin melalui PLO untuk mendesak ICC menyiasat Israel.

Pejabat Pendakwaan ICC sebenarnya telah memulakan penyiasatan awal keadaan hak asasi di Palestin pada Januari 2015 dan kes ini diperkuatkan lagi dengan penyertaan Palestin sebagai ahli penuh ICC pada April 2015. Perjalanan siasatan ini dipercepatkan lagi kerana buat pertama kalinya kerajaan Palestin pada Mei lalu telah mengemukakan permohonan rujukan secara rasmi supaya dilakukan siasatan terhadap jenayah yang didalangi oleh Israel di Genting Gaza dan juga Tebing Barat.

Menteri Luar Pihak Berkuasa Palestin Riyad al-Malki telah me­nyampaikan permohonan tersebut kepada Pendakwa ICC iaitu Fatou Bensouda dengan harapan siasatan dapat dilaksanakan terutama sekali terhadap isu rampasan tanah melalui penempatan haram, eksploitasi sumber asli dan juga tindakan kejam tentera Israel terhadap rakyat Palestin.

Perlu ditegaskan juga permohonan kepada ICC itu dilakukan ekoran peristiwa 14 Mei yang mana tentera rejim Israel telah membunuh 62 rakyat Palestin yang membuat bantahan terhadap kekejaman Israel di Gaza.

Tindakan Bolton yang me­ngugut ICC telah mendapat reaksi balas segera daripada pihak PLO apabila Setiausaha Agung­nya Saeb Erekat telah membuat permohonan siasatan baharu kepada ICC terhadap Israel yang merobohkan tempat tinggal rak­yat Palestin di Tebing Barat demi memberi laluan kepada penempatan haram Yahudi.

AS sebagai sekutu kuat Israel akan mencari pelbagai helah termasuk menjadikan ICC sebagai kambing hitam demi menghalang mahkamah antarabangsa ini me­ngambil sebarang tindakan kea­dilan bagi pihak rakyat Palestin. Malah dua minggu lepas, AS telah menghentikan sumbangan kewangan kepada Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA).

Washington akur strategi sebegini amat berkesan kerana AS adalah penyumbang terbesar kepada UNRWA dan sudah pasti aktiviti bantuan kepada rakyat Palestin yang memerlukan akan terencat. Harapannya adalah masyarakat antarabangsa dan juga Palestin setidak-tidaknya akan terkekang ketika mencari jalan untuk meng­hukum Israel melalui proses perundangan antarabangsa.

Sebab itu saranan dan peri­ngatan baginda Sultan Terengganu dan Perak itu tepat pada masa dan keadaannya bukan sahaja jika hendak dikaitkan dengan senario tempatan tetapi juga senario global yang sedang melanda negara dan umat Islam. Padahnya jika umat Islam di Malaysia tidak bersatu adalah begitu nyata ke­sannya jika negara dan pemimpin Islam berpecah belah telah terbukti sedang melanda dan nasib Palestin adalah contoh terbaik.