PAKATAN HARAPAN HANYA MAMPU BERHARAP

Dewan Pemuda PAS mendesak agar PAS mengakhiri  ‘tahaluf siyasi’ dengan Parti Keadilan Rakyat, termasuk di Selangor  menyebabkan DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) semakin berani mengeluarkan amaran ‘kesat’ termasuk mengaktegorikan parti yang membawa ideologi Islam itu sebagai sesat.

Dewan Pemuda PAS ketika bermuktamar di Kedah hujung bulan lalu meminta supaya tahaluf siyasi yang terjalin sejak tahun 2007 dijatuhkan talak tiga atas alasan komponen dalam Pakatan Harapan menyokong dan bekerjasama dengan DAP.

DAP yang ditubuhkan pada tahun 1964 selepas menerima suntikan motivasi daripada PAP yang berjuang atas prinsip meritokrasi dan seterusnya menjadi penyambung kepada idealisme Lee Kuan Yew dari Singapura menjadi sebuah parti ‘ultra kiri’ dengan menuduh MCA yang bergabung dalam Perikatan terlalu mengikut telunjuk UMNO, sebuah parti nasionalisma Melayu yang ditubuhkan pada tahun 1946.

PAP yang pernah memenangi satu kerusi dalam Pilihan Raya Umum pada tahun 1964, iaitu di Bangsar berhadapan dengan ‘serangan balas’ daripada Parti Buruh menyebabkan Lee Kuan Yew terpaksa merubah prinsip perjuangannya untuk mengembalikan keyakinan penduduk Singapura ekoran beberapa krisis perkauman yang berlaku akibat kekalahannya dalam beberapa siri pilihan raya kecil.

Singapura yang menjadikan ‘pembentukan Malaysia’ sebagai asas untuk mencapai kemerdekaan lebih cepat, akhirnya cuba memerangkap Malaysia apabila mempamerkan kecanggihan angkatan bersenjata dalam perarakan kemerdekaan menyebabkan Tunku Abdul Rahman Putra mengambil keputusan menyingkirkannya pada tahun 1965.

Akibat penyingkiran Singapura, DAP mula ‘menyambung semula perjuangan PAP’ di Malaysia dengan memperkenalkan slogan Malaysian Malaysia dan pada tahun 1969, mula memperlihatkan perpecahan dalam MCA. Lim Chong Eu yang merupakan salah seorang pemimpin pemuda MCA menubuhkan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) dan berjaya menguasai Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum 1969 manakala DAP memenangi kebanyakan kerusi di kawasan bandar-bandar besar di Semenanjung.

rai kemenangan

Situasi ‘meraikan kemenangan’ itu telah membangkitkan ‘tindak balas’ orang Melayu sehingga berlakunya rusuhan kaum yang dikenali sebagai Tragedi 13 Mei 1969. Tragedi itu kemudiannya berjaya memujuk Lim Chong Eu dan PAS untuk bergabung dalam sebuah pakatan baharu yang lebih besar bagi menggantikan Perikatan menjelang Pilihan Raya Umum 1974.

Akibatnya, DAP yang membuka keahlian kepada semua kaum terpaksa mengakui bahawa perjuangan mereka masih sama dengan PAP dengan membawa prinsip Malaysian Malaysia, dan peluang setiap orang dalam pelbagai bidang adalah berdasarkan meritokrasi.

Prinsip tersebut membawa maksud, mereka yang lemah dan tidak kuat akan terus kecundang dalam setiap pertarungan dan mendapat peluang, kerajaan tidak akan membantu. Akhirnya, DAP terus menjadi sebuah parti yang terlalu ektremis dengan orang Melayu-Islam.

Awalnya, PAS yang ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1956, dari sayap agama UMNO mengeluarkan pelbagai kenyataan mendakwa UMNO adalah parti yang menolak Islam dan perjuangan yang bersifat nasionalisme Melayu termasuk dalam kategori “kuffar’ kerana menjalin hubungan kerjasama dengan bukan Islam. Doktrin itu terus membengkak hingga ke hari ini kecualilah antara tahun 1974 hingga 1977 apabila PAS bersedia berganding tenaga dalam Barisan Nasional.

politik kebencian

Setelah PAS disingkirkan dari BN, parti itu kembali memperbesar-besarkan kerjasama dengan bukan Islam dan ditambah dengan kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO (1981) menjadikan PAS semakin ekstremis. PAS awal 1980-an sekali lagi menghidupkan ‘politik kebencian’ dengan menuduh UMNO dan ahli-ahlinya sebagai kafir sehingga menyebabkan berlakunya pemulauan yang besar dalam kehidupan bermasyarakat akibat perbezaan politik.

PAS kemudiannya berubah prinsip perjuangannya apabila melaksanakan tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP pada tahun 2008 dengan menukarkan tema politiknya dari Negara Islam kepada Negara Berkebajikan. Setelah memahami ‘sepak terajang politik’ dengan DAP, pada tahun 2016 parti itu membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan parti yang bersimbolkan roket.

PAS mendakwa, DAP sentiasa membulinya sehingga berusaha campur tangan dan menyekat mereka daripada melaksanakan ideologi politik Islam. Kecepatan proses ‘penceraian’ dalam pakatan pembangkang mempunyai kaitannya dengan penubuhan Parti Amanah Negara yang diterajui oleh kelompok pemimpin PAS yang kecewa di atas kekalahan mereka apabila PAS berusaha mengembalikan kepimpinan ulamak.

Konflik kepimpinan dalaman PAS bermula setelah ada usaha untuk menyingkirkan Datuk Seri Azizan sebagai Menteri Besar Kedah sehingga menyebabkan PAS hanya mampu menerajui negeri jelapang padi itu selama sepenggal (2008-2013). Dalam Pilihan Raya Umum 2013, PAS terpaksa menerima kekalahan di Kedah.

Semasa PAS masih bertahaluf siyasi dengan DAP dan PKR, hanya PKR boleh menerima masuk wakil rakyat PAS dalam puncak kuasa sedangkan DAP tidak memberikan sebarang jawatan EXCO di Pulau Pinang. Keadaannya berbeza dengan Selangor, walaupun DAP lebih dominan tetapi disebabkan peruntukan undang-undang lebih memberikan keutamaan kepada pemimpin yang beragama Islam, PKR terus menerajui pentadbiran negeri sejak tahun 2008. PAS mempunyai keahlian dalam EXCO Selangor.

tiada lagi tahaluf siyasi

Sikap DAP yang tidak memberikan peluang kepada pemimpin PAS di Pulau Pinang menyebabkan PAS membalas dengan tindakan yang sama di Kedah. Situasi ini menyebabkan PAS berkecil hati walaupun terus mempertahankan tahaluf siyasi sehinggalah Muktamar ke 61 di Kota Bahru meminta agar dikaji semula kewajarannya memandangkan ia lebih memberikan keuntungan kepada DAP.

Akhir bulan lalu, cadangan Dewan Pemuda PAS telah memberikan jawapan bahawa tidak ada kerjasama dalam Pakatan Harapan sehinga menyebabkan Menteri Besar Selangor merupakan orang yang paling resah dengan perkembangan selanjutnya. Ini kerana dari segi keanggotaan perwakilan parti, kedudukan PAS adalah lebih dominan berbanding PKR, kecuali DAP.

Sekiranya semua wakil rakyat PAS mengambil keputusan untuk tidak menyokong PKR, ia boleh menggugat kedudukan Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang diterajuinya pada bulan September 2015 selepas saga politik yang berakhir dengan Langkah Kajang. Bagi PAS, jika Dewan Ulama PAS membuat keputusan sehaluan dengan desakan Dewan Pemuda PAS, Selangor mempunyai resah yang menakutkan PKR kerana ia memerlukan majoriti mudah untuk kekal mentadbir.

Sebab itulah, ketika Presiden PAS berjaya membentangkan Rang Undang-Undang kepada Akta 355 walaupun menerusi Undang-Undang Peribadi di Dewan Rakyat awal April lalu, penasihat PKR mengeluarkan kenyataan dari Penjara Sungai Buloh, ia seharusnya disokong kerana berusaha memperkasakan Mahkamah Syariah sedangkan DAP, PAN dan PPBM menentangnya.

Bagaimanapun ‘politcal game’ yang dicanangkan oleh Anwar itu tidak dapat memikat semula PAS untuk meneruskan tahaluf siyasinya kerana mereka sedar, permainan politik DAP tidak akan menguntungkan PAS kerana DAP terus menyekat dan memusuhi perjuangan politik PAS.

Sebelumnya, PAS sudah memberikan amaran kepada PAN bahawa partinya tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang yang bekerjasama dengan DAP. Akibatnya, PPBM turut ‘merintih’ dan ‘mengeluh berat’ walaupun beberapa kali berusaha merayu agar parti-parti pembangkang terus bersatu untuk berhadapan secara satu lawan satu dengan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang menurut ramalan umum akan diadakan paling awal bulan September 2017 ataupun paling lewat bulan Jun 2018.

Untuk PAN, PAS sudah memberikan amaran keras bahawa usaha untuk menarik sokongan PAS akan ditentang disebabkan parti itu dilihat sebagai sebuah parti ‘sesat’ yang tidak ketahuan dengan jelas. PAN ditubuhkan untuk ‘mencuri ahli PAS’ manakala PPBM yang ditubuhkan pada tahun 2016 hanyalah untuk membina semula keyakinan kepada bekas pemimpin UMNO yang disingkirkan.

kuasa pemutus parti pembangkang

Walaupun PPBM diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin, dalam banyak perkara bekas Timbalan Perdana Menteri hanyalah dilihat sebagai boneka kepada Tun Dr Mahathir Muhammad, yang asasnya untuk menjatuhkan kepimpinan Datuk Sri Najib ekoran pemecatan Mukriz sebagai Menteri Besar Kedah. PPBM terus dilihat sebagar sebuah parti yang berusaha menjamin ‘kelangsungan politik Mukriz’ dan sebab itulah Dr Mahathir terus bertindak seperti ‘kuasa pemutus’ sebagaimana Anwar Ibrahim lakukan ke atas PKR.

Konflik dalaman DAP semakin memuncak apabila ramai yang mempersoalkan kewajaran tindakan Lim Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang yang mempertahankan ‘salah laku’ dengan enggan bercuti ataupun melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang walaupun berhadapan dengan persoalan integriti. DAP yang bercakap mengenai integriti dikatakan tidak melaksanakannya apabila Lim Guan Eng terus menerajui kepimpinan DAP dan negeri Pulau Pinang walaupun sedang dalam proses tindakan undang-undang akibat pembelian sebuah banglo di bawah harga pasaran.

Skandal tersebut turut membawa kepada rasa tidak percaya wakil rakyat DAP Melaka apabila membuat keputusan keluar parti. Ia bukan setakat itu, bahkan ada di antara bersedia mencabar kepimpinan DAP yang dilihat begitu autokratik dan tidak memberikan ruang kepada orang walaupun Lim Kit Siang sudah berada di dalamnya lebih 50 tahun (1964-2017). Tan Sri Anwar Musa menyifatkan Lim Kit Siang lebih ‘diktator daripada mana-mana pemimpin politik di dunia.

Ferdinand Marcos berkuasa di Filipina selama 21 tahun (1965-1986), Suharto 31 tahun (1967-1998), Zine Abidin Ali 24 tahun (1987-2011), Hosni Mubarak 30 tahun (1981-2011), Muammar Gadafi 42 tahun (1969-2011) ataupun Mahathir selama 22 tahun (1981-2003). Walaupun Lim Kit Siang bukannya seorang presiden, tetapi menerajui parti terlalu lama menyebabkan kedudukan itu dianggap tidak memberikan peluang kepada pemimpin lain, kecualilah anaknya. Bagaimanapun, Kit Siang masih ‘berkuasa’ ke atas DAP.

Disebabkan Dr Mahathir mahu ‘memberikan laluan kepada Mukriz’, Lim Kit Siang bakal mewariskan DAP kepada anaknya, Lim Guan Eng dan Anwar berusaha mengekalkan kedudukan keluarga dalam PKR (Isteri dan anak perempuannya), ramai pemerhati politik tidak yakin bahawa ketiga-tiga parti yang membentuk Pakatan Harapan itu akan berjaya mengapai matlamat untuk memerintah Malaysia.

Pemimpin PAS sudah menciumi rentak tersebut walaupun dalam Muktamar kali ini turut memperlihatkan Haji Hadi tidak menghalang pewarisnya memasuki kelompok kuasa, ia dilihat bukan suatu laluan mudah walaupun ada andaian, demokrasi seolah-solah hampir mati apabila beberapa jawatan penting tidak dicabar. Inilah senario politik pembangkang yang penuh kronisme, walaupun dalam PAN tidak memperlihatkan kecenderungan keluarga ketika ini.

parti tidak tentu arah

PAN masih merupakan parti yang tidak tersusun manakala pengarunya tidaklah sehebat mana. Walaupun PAN mengakui bahawa kedudukannya, hasrat untuk mencabar PAS bukanlah sesuatu yang mudah, kerana PAS sudah bersedia untuk berhadapan dengan PAN yang sebahagian pemimpinnya adalah menang atas tiket PAS. PAS tidak bersedia berkompromi dengan PAN, kerana PAS adalah parti sesat manakala PPBM adalah parti ‘tidak tentu arah’.

Pakatan Harapan (PH) dijangka akan memberikan laluan kepada PAN dan PPBM untuk berhadapan dengan PAS. Kededua parti pembangkang itu akan memberikan tumpuan kepada kawasan majoriti Melayu, dengan berkongsi dengan PKR. Ertinya, dalam pertembungan tersebut, sebagaimana lazimnya, akan berlaku sekurang-kurangnya pertandingan tiga penjuru iaiatu BN-PAS-PH. Sebagaimana dibuktikan, jika berlaku persaingan tiga penjuru, ia akan memberi kelebihan kepada UMNO (BN), kecualilah dalam kawasan majoriti Cina.

Pengundi Cina masih ‘belum mempercayai MCA dan Gerakan’ akibat kededua parti itu tidak pernah menunjukkan semangat kerjasama yang baik sejak tahun 1969. Gerakan hampir terkubur di Pulau Pinang selepas berusaha menguburkan MCA pada tahun 1969.  Tentunya, persoalan sekarang ialah formula pembahagian kerusi, yang dilihat dalam PH masih didominasi oleh DAP. PAN dan PPBM akan tetap dilihat seperti melukut di tepi gantang kerana PKR dan DAP tidak bersedia berkompromi kerusi-kerusi yang dimenanginya.

Pendeknya, PAS tiada lagi kena mengena dengan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan PPBM. Maka, akan timbul masalah dalam pentadbiran kerajaan Selangor kerana PAS dengan 13 kerusi DUN, kemungkinan tersingkir tetapi ia tidak sampai menjatuhkan kerajaan negeri kerana PKR-DAP-PAN masih mengekal majoriti tipis dalam DUN, walaupun PAS dan BN berniat untuk bergabung.

Meskipun PAS berusaha untuk membentuk blok ketiga bersama IKATAN, usaha tersebut masih belum dilakukan secara serius. Atas sebab itulah dalam kalangan PH menuduh PAS sebenarnya sudah ‘menjalin kerjasama dengan UMNO’ secara diam, kerana UMNO sedia berkompromi dengan PAS di Kelantan. PAS bersedia memberikan laluan kepada UMNO di kerusi Dewan Rakyat manakala UMNO bersedia memberikan laluan untuk kemenangan PAS di Dewan Undangan Negeri di Kelantan.

Realitinya tetap ada apabila kecenderungan pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan tidak membuktikan kesungguhan untuk ‘menang di Kelantan’ walaupun menurut pandangan Tengku Razaleigh Hamzah, ketika ini, BN mempunyai peluang yang cerah. Pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan masih belum bersatu sepenuhnya, sebab itulah akar umbi UMNO dilihat belum bersedia untuk melaksanakan pilihan raya umum.

perpecahan dalam diam

Apatah lagi, kepimpinan bahagian dilihat lebih banyak menumpukan perhatian kepada projek berbanding menemui pengundi, kecualilah bakal-bakal calon yang baharu menonjol dan ditonjolkan. UMNO Pasir Puteh misalnya, merasakan ada sesuatu yang kurang senang apabila ‘calon luar’ ditonjolkan untuk bertanding di situ dan ini bakal menjadikan kepimpinannya akan berpecah dalam diam.

Perpecahan dalam diam inilah yang akan membahayakan parti walaupun Pakatan Harapan semakin bersimpang siur harapannya akibat ‘talak tiga PAS’. Untuk menyatakan bahawa akan berlaku ‘tsunami politik Melayu’ dalam Pilihan Raya Umum ke-14 sebagaimana berlakunya ‘tsunami politik Cina’ pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan ‘tsunami politik Pak Lah’ ketika Pilihan Raya Umum ke-12, ia tidak mungkin terjadi.

Kemungkinan itu bersandarkan kepada ‘kekukuhan penyokong PAS’ dan keinginan orang Melayu untuk mempertahankan Islam adalah lebih besar peluang menerusi UMNO berbanding Pakatan Harapan. Hingga kini, Pakatan Harapan tidak berupaya membuktikan ‘perjuangan sebenar terhadap orang Melayu dan Islam’ kerana matlamat penubuhan dua parti terbaharu  (PAN dan PPBM) ialah ‘menumbangkan Najib’.

DAP walaupun berusaha keras untuk menggambarkan imejnya sebagai parti pelbagai kaum, setakat ini belum mampu menghapuskan stigma ‘bencikan Melayu dan Islam’ ekoran penolakannya terhadap cadangan meminda Akta 355 dan cabaran yang belum terpadam dari ingatan rakyat Malaysia ‘langkah mayat terlebih dahulu sebelum boleh menegakkan undang-undang Islam’ oleh mendiang Karpal Singh.

Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply