Pakatan Harapan Hanya Sekadar Berharap

 

 

Ribut yang melanda pakatan harapan dijangka tidak mudah untuk diselesaikan. Setiausaha Agong DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang secara kerasnya memberikan amaran bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak sepatutnya memaparkan keinginan untuk memonopoli kuasa dalam Pakatan Harapan.

Persoalan ini berlaku apabila ramai pemerhati politik melihat bahawa Penasihat PPBM dijangka menjadi begitu berghairah untuk menonjolkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri setelah memahami bahawa tindakan untuk memberikan peluang kepada Anwar Ibrahim tidak akan menjadi kenyataan sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

Walaupun ketika bersara pada tahun 2003, Tun Dr Mahathir mengumumkan beliau tidak akan kembali aktif berpolitik dan ketika berkempen menjatuhkan penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-12 (2008) , tekadnya hanyalah satu, menyingkirkan penguasaan Abdullah.

Abdullah dikarikaturkan dengan pelbagai imej seolah-olah penggantinya itu adalah seorang pemimpin yang terlalu lemah dan hanya mendengar nasihat daripada anak dan menantunya (Kamarudin Abdullah dan Khairy Jamaludin).

Selepas perletakan jawatan Abdullah, Tun Dr Mahathir kembali menyertai UMNO menerusi usaha Tan Sri Muhyiddin Yassin dan suatu perundingan sulit untuk memberikan jawatan kepada Mukriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah sekiranya Barisan Nasional berjaya merampas kembali negeri jelapang padi itu dari penguasaan PAS.

Pilihan Raya Umum ke-13 (2013), Dr Mahathir kembali aktif berkempen untuk memenangkan UMNO bagi membolehkan Mukriz benar-benar mampu membina tapak politiknya di Kedah. Percaturan ini akhirnya menzahirkan keinginan Dr Mahathir, PAS yang berkrisis sebelum PRU ke-13 telah dikalahkan dan Mukriz dilantik sebagai Menteri Besar Kedah.

Keinginan Dr Mahathir tidak berakhir setakat itu, malah memberikan sentuhan agar Mukriz terus melangkah lebih jauh dengan mencalonkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO 2013 tetapi dalam nada sinis beliau berkata “UMNO hendak orang lama kekal” dan telah diramalkan lebih awal ‘akan kalah’.

Bagaimanapun senario ‘percanggahan dan perbalahan’ terus membawa kepada keputusan Dr Mahathir untuk meninggalkan UMNO sekali lagi dan kemarahannya menjadi semakin besar apabila Mukriz dipaksa meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dilantik semula sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pendidikan dalam rombakan kabinet pada bulan Julai 2015.

Kumpulan 3M –Mahathir, Muhyiddin dan Mukriz—merupakan tiga pemimpin yang lantang mengkritik Perdana Menteri mengenai kemasukan wang ke akaun peribadi berjumlah RM 2.6 bilion, yang kononnya adalah berasaskan transaksi berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bermasalah dari segi hutang dan aliran tunai. Bagaimanapun, pemecatan itu telah dinafikan ada kaitan dengan 1MDB.

Ekoran pemecatan Muhyiddin dan Mukriz, penggantungan keahlian salah seorang Naib Presiden, Shafei Afdal menjadi kemelut dalam UMNO sampai ke kemuncaknya apabila 3M menubuhkan PPBM manakala Shafei bergabung dengan sebuah parti di Sabah untuk mencabar UMNO.

Bermula daripada penubuhan PPBM itu, Dr Mahathir terus menerus mempertajamkan tekadnya untuk menjatuhkan pula kepimpinan Najib dan menghancurkan UMNO yang dianggapnya ‘sudah terlalu tua’ dan pemimpin-pemimpin telah banyak diberikan ‘dedak’.

Kini, Pakatan Harapan terus mempersoalkan mengenai keazaman besar Dr Mahathir sehinga membangkitkan kesangsian perkongsian politiknya di mana DAP seolah-olah tidak membenarkan manakala PKR tetap mahu meletakkan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

PPBM semakin berhadapan dengan keyakinan sayap pemudanya setelah salah seorang EXCOnya meminta penjelasan mengenai ‘kekayaan luar biasa anak-anak Mahathir’ dan ‘hubungan Tan Sri Muhyiddin dengan Nika Gee’ diterjah sebagai melampaui batas, termasuk mengaitkannya dengan agenda UMNO.

Persoalannya, keikhlasan pertanyaan dan penjelasan itu perlu kerana selagi isu tersebut tidak terjawab, PPBM terus dilihat lebih autokratik yang bakal memaksakan parti berkenaan ditolak oleh pengundi dalam PRU ke-14.

Sikap Dr Mahathir kadangkala melebihi peranaan yang sepatutnya dilaksanakan oleh Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin dan senario ini menunjukkan kecenderungan yang sama dalam mana-mana parti pembangkang sebelumnnya.

Ketika PAS dibayangi kemelut ‘kerajaan perpaduan’, idea Presiden PAS dan Timbalannya ‘terbunuh tragis’ oleh Mursyidul Am PAS ketika itu, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan. Akhirnya, Presiden PAS terpaksa akur dengan kehendak tersebut dan membuahkan kenyataan ‘pintu kerajaan perpaduan dengan UMNO/BN’ sudah tertutup dan penyingkiran Nasharudin Mat Isa dalam kepimpinan PAS.

Dalam DAP, walaupun Lim Guan Eng merupakan Setiausaha Agung tetapi kuasa dan keputusan mengatasi sesiapa pun. Sebab itulah, setiap apa yang dikeluarkan oleh Lim Guan Eng dilihat sebagai dasar parti yang tidak boleh dibantah.

DAP tidak berani memberi tekanan kepada Lim Guan Eng untuk ‘bercuti’ sama ada sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ataupun Setiausaha Agung bagi menghapuskan ruang kegelisahan integriti dan ketelusan atas dakwaan salah guna kuasa, sedangkan dalam masa yang sama pemimpin DAP begitu nyaring mendesak pemimpin parti lain yang dikaitkan dengan penyiasatan dan dakwaan mahkamah mengosongkan jawatan.

Wajah-wajah pemimpin politik pembangkang dilihat sebagai langau yang hanya tahu berhimpun dan membuat bising apabila menghidu ‘kebusukan atau mencipta kebusukan parti lain’ tetapi tidak berusaha untuk mempamerkan kebersihan perjuangan dan kedinamikan pendokongnya.

Hakikat ini telah menyebabkan PPBM semakin tercabar dengan reaksi sekumpulan pemimpin armadanya, manakala DAP berseteru dengan pendokongnya di beberapa negeri. Paling mengejutkan ialah pengisytiharan keluar parti oleh wakil rakyat DAP di Melaka, yang kini menjadikan DAP semakin autokratik dan bukan lagi sebuah parti berlandaskan semangat demokratik.

Dalam kemelut siapa yang bakal menguasai kepimpinan teratas Pakatan Harapan, nampaknya DAP lebih banyak menentang manakala PKR semakin boleh menerima Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin.

Bagaimanapun, aliran menegak dan menyongsong terus membentuk kelompok dalam PKR sehingga menimbulkan persepsi bahawa persetujuan tersebut adalah suatu permainan politik oleh penyokong Azmi untuk mengetepikan bayangan Anwar Ibrahim menerusi penolakan Dr Wan Azizah dan Nurul Izzah.

Mungkin inilah masanya Azmin berusaha membina kekuatannya sendiri tanpa dibayangi oleh pengaruh Anwar. Azmi yang pernah kecewa apabila ‘disekat’ untuk merebut jawatan Presiden PKR oleh Anwar Ibrahim kini mula memasang ‘perangkap’ menepis Wan Azizah dan Nurul Izzah sebagai Anwar memasang perangkap untuk mengetepikan Tan Sri Khalid Ibrahim melalui ‘Langkah Kajang’.

Buat masa ini, hanya PAN dilihat mempunyai sedikit ‘ketenangan’ berbanding PKR, PPBM dan DAP. Tetapi, PAN bukanlah sebuah parti yang menampakkan keyakinan jelas untuk menang kerana PAN terpaksa berkerat rotan dengan PAS dalam PRU ke-14.

PAN sebenarnya tidak mampu untuk menyaingi pengaruh PAS, kerana PAN tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat dan lebih cenderung kepada boneka DAP. Senario ini sedikit sebanyak bakal menggugat bekas pemimpin liberal PAS yang terpaksa tunduk dengan kehendak DAP, dan sebahagian besar kewangan parti disumbangkan oleh DAP.

Atas isu yang masih sepakat, pembahagian kerusi dan pengangkatan peneraju kepimpinan Pakatan Harapan menyebabkan resah menyelubungi ‘kerjasama’ dan bakal membantutkan hasrat menjatuhkan UMNO/BN. Bahkan, kajian beberapa pihak termasuk laporan yang pernah dibentangkan oleh Rafizi Ramli, BN masih sukar digugat dan Pakatan Harapan hanya mampu berharap sesuatu keajaiban akan muncul semasa gendang pilihan raya benar-benar dipalu.

Isu 1MDB tidak banyak mempengaruhi persepsi pengundi walaupun Pakatan Harapan mengeksploitasikannya secara meluas, rakyat semakin boleh memahami bahawa apa yang sedang berlaku dan dilakukan oleh DOJ (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat) adalah tuntutan sivil, berbeza dengan kesalahan rasuah dan jenayah.

Tuntutan DOJ juga dilihat tidak memenuhi prosedur perundangan kerana tidak mencari bukti dan maklumat daripada 1MDB, hanya sekadar mencari penyelesaian ke atas aduan yang diterima, yakni berdasarkan maklumat oleh pengadu.

Monosin Sobri

 

 

No Comments

    Leave a reply