PAKATAN PEMBANGKANG ‘TERNGADAH’ DAN ‘TERSIKSA’

Pandangan ikhlas Ahli Jawatankuasa Pusat, Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Aritchelvan mengenai pakatan pembangkang ‘tidak ada keikhlasan dalam membina ikatan dan menjalin kerjasama untuk menjadi satu gabungan yang kuat’ membawa tafsiran kemenangan yang diharapkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 adalah semakin tipis.

Ketipisan itu terserlah apabila sehingga kini, pakatan pembangkang yang berubah wajah sejak memulakan ‘konspirasi politik’ pada tahun 2008 menjadi semakin tidak keruan selepas PAS disingkirkan apabila DAP menjadi semakin ‘bongkak dan sombong’.

DAP yang masih belum mempunyai pengesahan daripada Pertubuhan Pendaftaran ke atas statusnya apabila berlakunya ‘computer glitch’ dalam pemilihan Jawatankuasa Pusat pada tahun 2012 sehingga menimbulkan ‘kegusaran diharamkan’ masih bertahan dengan legasi kepimpinan yang semakin bermasalah.

Selepas kematian Karpal Singh, suara-suara ‘kasar dan gemersik’ DAP hanya berpusat dalam kalangan Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng menyebabkan ramai ahlinya mengambil keputusan untuk meninggalkan parti dan terbaharu ialah empat wakil rakyat dari Melaka.

Sebelum berkuasa, DAP dilihat begitu tegas memperjuangkan tahap integriti sehingga dalam setiap ceramah dan peluang berkempen yang diperoleh, pemimpin-pemimpin mereka memperkatakan bahawa regim yang memerintah mengetepikan persoalan tersebut walaupun sudah beberapa perubahan berlaku termasuklah mengupayakan kedudukan Badan Pencegah Rasuah menjadi sebuah badan bebas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang kini sedang rancak mengekang amalan rasuah dalam pelbagai lapisan masyarakat, termasuk penjawat awam.

Apabila lebih banyak kes-kes rasuah didedahkan kepada umum, daripada pemimpin politik, pegawai kanan kerajaan, DAP membuat rumusan bahawa Malaysia sedang ditadbir sebagai sebuah negara ‘kleptokrasi’. Tetapi, dalam masa yang sama apabila Lim Guan Eng terdakwa atas kesalahan ‘membeli sebuah banglo’ lebih murah daripada harga pasaran kerana ‘tidak ada kolam mandi’, parti itu cuba menggelonsorkan isu dengan berpendirian, tidak menjadi suatu kesalahan apabila ada pihak yang bersedia menjualnya dengan harga murah.

Sewaktu bekas Menteri Besar Selangor, Muhamad Taib dilanda kes ‘membawa wang melebihi had dibenarkan’ oleh kerajaan Australia, posisinya digantikan oleh Tan Sri Abu Hassan Omar. Apabila Tan Sri Abu Hassan Omar cuba dijatuhkan dengan ‘isu seks’, UMNO mengambil keputusan menggantikannya dengan Khir Toyo. Selepas kalah kepada pakatan pembangkang pada tahun 2008, Khir Toyo menjadi ketua pembangkang di DUN Selangor sehinggalah beliau didapati bersalah dengan pembelian hartanah lebih murah daripada harga pasaran.

Kes tersebut tidak menjadi ‘sumber rujukan’ penting buat Lim Guan Eng ketika mempertimbangkan pembelian sebuah bangle di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang daripada seorang usahawan wanita, yang turut mempunyai kaitan dengan permohonan beberapa projek kerajaan negeri Pulau Pinang dibawah pimpinan Setiausaha Agong DAP itu. Penakwaan kes ini masih berjalan.

Bagaimanapun, ia menjadi suatu persoalan besar apabila Lim Kit Siang mencadangkan agar Menteri Besar Johor ‘mengambil cuti’ ekoran ‘penukaran status hartanah’ yang membabitkan anak salah seorang EXCO. Tekanan Lim Kit Siang membuatkan rakyat semakin memahami ‘gelagat politik’ pemimpin DAP sebenar kerana tidak menasihatkan Lim Guan Eng untuk ‘mengambil cuti’ atau ‘meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri’ sehinggalah kes tersebut selesai di mahkamah.

Kisah ‘gelagat politik’ DAP turut menarik perhatian awam apabila salah seorang pemimpin PKR Pulau Pinang pernah menggelarkan Lim Guan Eng sebagai ‘tokong’, suatu imej yang tidak boleh dipersoalkan ‘kesucian amalan’ yang berselindung di sebalik slogan ‘cekap, amanah dan telus –CAT’ sehingga berjaya melangsaikan hutangnya kepada kerajaan Persekutuan dalam tempoh yang singkat.

Semakin terdedah, strategi politik itu sebenarnya telah menyebabkan lebih banyak tanah-tanah milik kerajaan dipindahmilik kepada pemaju swasta dengan meminda matlamat asal, dari kawasan perumahan yang dikhususkan kepada rakyat menjadi kediaman mewah dan pusat perniagaan sebagaimana berlaku di Kg Manggis.

Kisah pedih ‘penduduk asal Kg Buah Pala’ yang melepaskan lembu-lembu peliharaan mereka ketika jentolak mula memasuki kawasan tersebut terus menjadi igauan beberapa penduduk malah ada yang tidak berpuashati dengan proses pembahagian rumah-rumah berkenaan yang memberi ‘keselesaan’ kepada beberapa orang pemimpin DAP untuk memilikinya.

Ketika masih bersama PAS pada awalnya, DAP yang memerintah Pulau Pinang mempropagandakan pengurusan negeri berdasarkan amalan yang pernah dilaksanakan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz akhirnya terjerat dengan tindakan untuk tidak memperuntukkan jawatan sebagai ahli mesyuarat kerajaan dalam bidang hal ehwal Islam kepada wakil rakyat tunggal PAS, sebaliknya menyerahkan potfolio tersebut kepada wakil rakyat PKR.

Walaupun memberikan salah satu dari dua jawatan Timbalan Ketua Menteri kepada wakil rakyat PKR, kebebasan politik dan usaha untuk menaikkan kedudukan ekonomi orang Melayu Pulau Pinang dan pemilikan rumah tidak dilaksanakan secara berkesan, hubungkait keluarga pemimpin DAP dengan rasuah atau ‘bayaran khas’ untuk memiliki rumah berlaku, DAP dilihat tidak berusaha menyisihkan wakil rakyat berkenaan atas perilaku yang menggelonsorkan imejnya.

Hari ini, DAP terpaksa meneroka ‘kerjasama’ baharu dengan beberapa parti serpihan bagi meneruskan survival politiknya, termasuklah untuk memenangi lebih banyak kawasan bagi membolehkan cita-citanya tercapai. Tidak cukup dengan ‘mendorong’ anak muda Melayu dengan idealisma politiknya, DAP sanggup pula bekerjasama dengan tokoh politik veteran yang dua kali keluar dari UMNO dan sekali dipecat daripada parti untuk melancarkan perang habis-habisan bagi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sejak Najib dilihat berpontensi menjadi pemimpin dalam politik UMNO, imej buruk terhadapnya telah dikumandangkan. Ia menjadi semakin hebat ketika Najib dipilih oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas peletakan jawatan Tun Dr Mahathir. Anwar Ibrahim yang berperanan sebagai antagonis politik Malaysia begitu lantang mempersoalkan bahawa Najib bukanlah seorang yang bersih, dan dakwaan tersebut turut dikumandangkan oleh DAP sebagai suatu bentuk ‘political milage’ yang akhirnya berjaya membentuk pakatan pembangkang sebelum pilihan raya umum 2008.

Akibat ‘kegelinciran pengaruh BN’ selepas PRU 2008, Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan dan menyerahkan kepimpinan negara kepada Najib pada bulan April 2009, pakatan pembangkang terus  berusaha untuk ‘memburukkan’ imej politik Malaysia dan juga kepimpinan negara. Akhirnya, dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (2013), kemenangan BN menjadi semakin merosot di Dewan Rakyat tetapi dalam masa yang sama, pakatan pembangkang turut terpukul dengan kekalahan PAS di Kedah dan seterusnya, perpecahan politik dalam beberapa parti utama, termasuk UMNO ekoran pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kekalahan kumpulan professional dalam PAS dan krisis Menteri Besar Selangor.

PAS berpecah dari dalam di mana mereka yang tewas dalam perebutan jawatan parti pada tahun 2015 mengambil keputusan menubuhkan sebuah parti baharu untuk mengambil alih peranan PAS dan meneruskan kerjasama dengan DAP. Parti Amanah Negara (PAN) yang dipimpin oleh bekas Timbalan Presiden PAS semakin dilihat kehilangan arah apabila terdapat beberapa kelompok kecil di dalamnya, yang masing-masing mahu mencari kedudukan yang lebih besar. Kepimpinan pusat alam PAN bukanlah diputuskan oleh pemilihan sebenar, ia masih dalam bentuk ‘pemimpin penaja’ yang dilantik oleh Presiden.

PAN belum mengadakan proses pemilihan manakala Tun Dr Mahathir yang menubuhkan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga belum mempunyai struktur kepimpinan yang dipilih oleh ahli, ia masih tertakluk kepada keputusan penasihatnya untuk menentukan siapakah yang boleh dilantik. Kedua-dua situasi ini menyebabkan dua parti serpihan –PAN dari PAS dan PPBM dari UMNO—hanyalah boleh diibaratkan sebagai satu pasukan ‘membalas dendam’ yang akhirnya kecundang dan tidak boleh bertahan.

PPBM, walaupun Tan Sri Muhyiddin adalah presiden, kuasanya adalah begitu terhad dan setiap kali terpaksa merujuk kepada Tun Dr Mahathir. Ia seolah-olah menyamai apa yang berlaku dalam PKR di mana walaupun Wan Azizah merupakan Presiden, keputusan pemimpin de factonya adalah lebih diperlukan. PKR dan PPBM sebenarnya merupakan dua buah parti yang dikawal oleh seseorang, bukannya oleh siapa yang memimpinnya. Berbeza dengan DAP, walaupun jawatan pengerusi dianggap mempunyai kuasa tertinggi, secara operasionalnya ia dikawal oleh Setiausaha Agung, Lim Guan Eng. Setiausaha Agung pula dikawal oleh penasihatnya, Lim Kit Siang.

Sebab itulah DAP, PPBM dan PKR akan terus kekal sebagai parti yang berusaha mempertahankan dinasti masing-masing. DAP mempertahankan Dinasti Lim. PPBM berusaha melonjakkan kedudukan Mukriz sehinggan Muhyiddin terus dianggap sebagai ‘pemimpim sementara’. Begitu juga dengan PKR, Anwar akan tetap berperanan untuk membolehkan Wan Azizah dan anaknya, Nurul Izaah berada dalam lingkungan lapisan kuasa teratas. Ini dapat dilihat ketika pemilihan PKR, Azmin terpaksa melupakan hasratnya untuk menduduki jawatan nombor satu apabila dinasihatkan untuk tidak mencabar Wan Azizah.

Azmin harus ‘membalas budi’ kerana beliau diberikan kedudukan sebagai Menteri Besar Selangor oleh Anwar Ibrahim setelah PAS tidak bersetuju cadangan melantik Wan Azizah. PAS yang tegas dengan pendiriannya, tidak mahukan Wan Azizah sebagai Menteri Besar dalam saga politik Selangor sanggup mengorbankan beberapa orang wakil rakyatnya, yang sebahagiannya menyertai PAN kerana menganggap ‘persetujuan awal sebelum parti’ cadangan tersebut sebagai suatu ‘keputusan yang tidak wajar’.

Kini, bekas pemimpin PAS yang menyertai PAN terhegeh-hegeh dengan sikap politiknya apabila Presiden PAS terus bertegas, kerjasama politik tidak akan berlaku dengan mana-mana parti yang ada kaitannya dengan DAP. Tentunya, keputusan ini bukan sahaja menghampakan PPBM, bahkan PAN yang berharap dapat ‘mencuri pengundi tegas PAS’  bakal ‘menggeliat kesakitan’ kerana pengundi tegar PAS tidak bersedia memberikan undi kepada ‘pembelot’ itu. Ia hanya mengharapkan sokongan daripada DAP dan PKR.

Atas prinsip itulah PAN dan PPBM berhadapan dengan banyak kesukaran kerana DAP dan PKR tidak bersedia untuk mengorbankan mana-mana kerusi yang pernah ditandinginya. PAS terus berkeras, tidak akan menyerahkan mana-mana kerusi tradisinya, dan sanggup berhadapan dengan kemungkinan-kemungkinan yang lebih dahsyat, termasuk kalah dengan BN ekoran pertandingan tiga atau empat penjuru. PAS menjadi begitu serik dengan tindakan PAN meletakkan calonnya dalam dua PRK yang memberikan majoriti besar kepada BN, iaitu Sungai Besar (Selangor) dan Kuala Kangsar (Perak).

Pengalaman pedih PAS di Sarawak turut menyebabkan parti itu seperti ‘kecewa habis’ dengan DAP apabila tidak menyokongnya untuk ‘melahirkan kemenangan sulong’ dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak. Beberapa kawasan dimenangi oleh BN menyebabkan DAP terpaksa ‘berputih mata’ dengan strategi dan perangkap politik yang dibina berasaskan ‘politik kebencian’ di Sarawak.

Kini, PRU ke-14 yang diramalkan oleh banyak pihak akan berlangsung pada bulan September atau Oktober 2017 ternyata menjadi titik percaturan besar kepada parti-parti pembangkang sama ada bakal menuju kehancuran ataupun berjaya dalam usahanya untuk ‘menyelamatkan Malaysia’ walaupun kedudukannya masih belum boleh dianggap selamat. Ini terpulang kepada kecenderungan pengundi sama ada terus percayakan kepada ‘dongeng politik pembangkang’ atau realiti politik yang dilaksanakan oleh parti yang memerintah.

Oleh: Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply