Menurut pakar hal ehwal Jerusalem dan al-Aqsa, Khalid Zabarqa, pengisytiharan Trump menyekat kebebasan rakyat Palestin sepenuhnya dan pada masa sama memberi kebebasan tanpa had kepada proses PengYahudian Baitulmuqaddis.

Menurutnya yang juga peguam terkemuka, pada 2018 sebanyak 145 bangunan Palestin dirobohkan selain kelulusan bagi pembinaan 5,820 unit rumah baharu dan tender bagi pembinaan 603 projek perumahan baharu bagi pendatang Yahudi turut dikeluarkan. Tanah perkuburan bersejarah dan masjid tidak terkecuali dimusnahkan dan dirampas.

LEBIH PENINDASAN

2018 juga menyaksikan seramai 28,000 pelampau Yahudi menceroboh memasuki Aqsa termasuk menteri dan ahli Parlimen Israel berbanding 26,000 pada 2017.

Malah, lebih banyak kematian dan tangkapan dalam kalangan rakyat Palestin pada tahun sama. Hampir 200 nyawa rakyat Palestin di Semenanjung Gaza terkorban dan lebih 10,000 cedera termasuk 1,849 kanak-kanak, 424 wanita, 115 wartawan dan 115 anggota paramedik dalam protes ‘Great Return March’ dilancarkan 30 Mac 2018.

2018 juga menyaksikan seramai 1,600 rakyat Palestin ditangkap tentera Israel termasuk kanak-kanak di bawah umur dan wanita.

Tidak cukup dengan apa yang dilakukan tahun lalu, beberapa langkah dan tindakan lebih serius serta menyakitkan dilakukan apabila AS menghentikan bantuan kewangan kepada Palestin (Tebing Barat dan Semenanjung Gaza) pada tahun ini.

Mungkin tidak ramai mengetahui bahawa AS membantu Palestin dengan menyumbangkan sejumlah dana, tetapi itulah hakikatnya.

AS menghulurkan kira-kira RM815.4 juta (AS$200 juta) setahun kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) iaitu sejak pertengahan 1990-an sebagai bantuan keselamatan. Baru-baru ini Presiden Palestin, Mahmoud Abbas enggan lagi menerima bantuan kewangan tersebut kerana bimbang akan disaman AS di bawah undang-undang baru anti-keganasan yang diperkenalkan AS.

Undang-undang ini memberi kuasa kepada rakyat AS menyaman mana-mana negara penerima bantuan asing di mahkamah AS berhubung dakwaan pembabitan dalam keganasan dan perang.

Trump juga bersetuju untuk membekukan bantuan kewangan ini atas alasan kononnya Palestin tidak menghargai segala kebaikan yang dihulurkan kepada mereka selama ini dan membiayai ‘keganasan’ ke atas Israel.

Pada Januari 2019, AS sudah menghentikan bantuan kewangan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Tabung Pelarian Palestin (UNRWA). Tindakan ini cukup memberi implikasi buruk bukan sahaja kepada rakyat Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, tetapi juga pelarian Palestin di Syria, Lubnan serta Jordan.

Dalam tindakan Israel terbaru, Benjamin Netanyahu berikrar pada 10 Februari lalu untuk membeku dana Palestin berjumlah kira-kira RM517.8 juta (AS$127 juta) kepada PA sebagai tindak balas terhadap kematian seorang remaja perempuan Yahudi yang terkorban dalam pertempuran bersama penduduk Palestin.

Wang itu merupakan hak Palestin yang dipungut daripada cukai kastam di pelabuhan Israel hasil jualan barangan untuk Palestin. Untuk rekod, Israel pernah membekukan dana Palestin pada 2011.

IBARAT TELUR DI HUJUNG TANDUK

Rakyat Palestin di Tebing Barat bergantung besar kepada dana luar yang ditadbir PA dalam meneruskan kelangsungan hidup mereka. Pemberhentian mahupun pemotongan bantuan kewangan oleh AS dan Israel memberi impak yang dahsyat kepada kira-kira dua juta penduduk Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Krisis kemanusiaan sedia ada seperti masalah pengangguran, pendidikan, kesihatan, kebuluran dan pelbagai masalah sosial lain menjadi lebih kronik.

Menurut seorang doktor Palestin, Safaa Isleem, banyak projek kesihatan terbengkalai, ramai pesakit terjejas dan petugas kesihatan tidak lagi menerima gaji, malah jumlah masa bekerja juga sudah dipotong.

Terbaru, dalam kejadian lain, operasi Al-Quds Television, Palestinian Sattelite TV Channel dan Palestinian Information Center terpaksa dihentikan kerana kekurangan dana.

Mahmoud Abbas menyifatkan tindakan pemberhentian bantuan kewangan AS dan Israel kepada Palestin sebagai langkah terdesak agar Palestin tunduk dan mengikut telunjuk kedua-dua negara berkenaan.

Krisis kemanusiaan bukan satu-satunya impak daripada pemberhentian bantuan kewangan kepada Palestin tetapi membabitkan hal keselamatan. Gaza terutamanya pasti bermandi darah sekiranya Hamas bertindak balas lantaran provokasi dan serangan jahat Israel yang dilakukan sepanjang masa.

Jika Trump dan Netanyahu berfikiran bahawa segala tindakan itu adalah untuk melemahkan Palestin dan Hamas sebaliknya memberikan keselamatan lebih baik kepada mereka, ia adalah pemikiran dan percaturan yang silap.

Tidak gentar berdepan maut

Pengalaman sewaktu bersama rakyat Palestin di Tebing Barat, penulis yakin mereka sukar dikalahkan. Semangat dan keberanian luar biasa mereka menyaksikan kematian tidak sesekali ditakuti kerana itu bukti keimanan mereka kepada Allah.

Seorang bekas tentera Israel, Kolonel Grisha Yakubovich menyifatkan keberanian rakyat Palestin seperti isyarat jelas yang akan ‘menggerakkan ribut besar ke arah gelombang keganasan lebih dahsyat.’

Bekas pegawai perisikan Israel, Eviatar turut mengakui: “Jika Israel berhasrat menekan Palestin untuk duduk di meja rundingan dengan tindakan pembekuan kewangan ini, ia sama sekali tidak akan terjadi.”

Memetik laporan oleh Kementerian Hal Ehwal Strategik Israel bertajuk Terrorist in Suits atau ‘Pengganas Berkot’, Israel sudah menyenarai hitam lebih ramai individu dan pertubuhan yang menyokong perjuangan rakyat Palestin sebagai pertubuhan serta individu pengganas di seluruh dunia.

Jelas, Israel dan AS benar-benar mahu melemahkan dan melumpuhkan Palestin. Harus diingat, tindakan ini hanya akan mendedahkan dunia kepada keadaan yang lebih berbahaya. Keselamatan terhadap kepentingan Israel dan AS serta sekutu-sekutunya di seluruh dunia pasti akan terancam.

Sekiranya ini terjadi maka dunia akan menjadi semakin huru-hara hanya berpunca daripada pemikiran dan percaturan dua orang manusia yang bernama Trump dan Netanyahu.

Dalam menjamin keamanan dunia termasuk di Israel, rakyatnya tiada pilihan selain menolak Netanyahu yang sedang berusaha untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri dalam pilihan raya umum negara itu dijangka pada April ini.

Rakyat AS juga seharusnya memberi kuasa satu penggal sahaja kepada Trump kerana AS kini bukan sahaja berdepan dengan pelbagai masalah ekonomi, tetapi dibenci banyak sekutu dan negara jiran akibat mulutnya yang celopar selain mengamalkan dasar yang salah.

Dalam menangani konflik Palestin-Israel, langkah perdamaian itu sebenarnya boleh dicapai dengan dasar bertolak ansur dan saling menghormati. Penjajahan serta segala bentuk kekejaman dan ketidakadilan dilakukan Israel mesti dihentikan serta merta.