Palestin tetap dibela – TPM

Timbalan Perdana Menteri berkata, Wisma Putra akan berbincang dengan negara lain untuk langkah susulan termasuk mengadakan Sidang Tergempar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

“Malaysia harus bergerak secara kolektif dengan sokongan negara lain dan masyarakat antarabangsa. Sudah pasti ramai yang menolak hasrat dan tindakan AS dan Israel ini.

“Sudah tiba masanya masyarakat antarabangsa bersatu memberi tekanan kepada AS dan Israel yang mereka tidak boleh lagi terus menindas penduduk Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Perdana Putra di sini, hari ini.

Sebelum ini, draf resolusi itu dibentangkan Mesir bertujuan membatalkan pengiktirafan Presiden AS, Donald Trump, terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Sesi pengundian menyaksikan 14 ahli Majlis Keselamatan menyokong draf resolusi berkenaan, namun AS menggunakan kuasa veto menentangnya melalui dutanya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, sebanyak 250 parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam serta bukan Islam menyatakan komitmen menghadiri Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Masjid Putra di sini, Jumaat ini.

Ahmad Zahid berkata, perhimpunan yang dijangka dihadiri lebih 10,000 orang itu akan turut mengumpulkan tandatangan di atas kain rentang sebagai bukti bantahan keras rakyat Malaysia terhadap tindakan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, termasuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini, semua Presiden dan Pengerusi (parti politik Barisan Nasional) menyatakan sokongan mereka terhadap pendirian kerajaan ini.

“Kita juga menjemput semua NGO sama ada Islam atau bukan Islam untuk bersama dalam perhimpunan ini kerana ini bukan soal Islam saja tetapi soal kesejagatan dan kemanusiaan,” katanya.

 

 

No Comments

    Leave a reply