PARLIMEN BATU BERGOLAK, DEMOKRASI DITERJAH

 

Pilihan Raya Kecil (PRK) wajar diadakan bagi mengisi kekosong wakil rakyat sekiranya kekosongan itu disebabkan kematian penyandangnya atau disahkan terbatal berdasarkan keputusan mahkamah dan disebabkan penyandangnya disabitkan dengan kesalahan jenayah atau diisytiharkan muflis.

Jika PRK itu diadakan hanya untuk ‘memuaskan’ keinginan seseorang, ia bukan sahaja mengakibatkan pembaziran malah menghina konsep demokrasi itu sendiri. Ia kelihatan seperti mempersendakan mandate rakyat yang memilih sebelumnya.

Fenomena wakil rakyat ‘dipaksa’ meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada ‘tokoh tertentu’ secara sengaja adalah tidak wajar. Sudah tiba waktunya peraturan pilihan raya dipinda, bukan sekadar menghukum penyandang yang meletakkan jawatan secara sengaja tidak dibenarkan bertanding dalam mana-mana pilihan raya untuk tempoh lima tahun.

Undang-undang pilihan raya perlu diperketatkan. Mungkin boleh mengenakan syarat, mereka yang meletakkan jawatan secara sengaja diwajibkan membayar denda, yakni menanggung keseluruhan kos pengurusan PRK bagi kawasan yang dikosongkan.

Tidak sekadar menghukum penyandang yang ‘dengan rela’ melepaskan jawatan, bahkan parti yang berusaha mendorong kepada peletakan jawatan tersebut perlu juga didenda, sama nilainya dengan denda yang dikenakan ke atas penyandang yang mengosongkan kerusi itu. Mereka yang mengosongkan kerusi tersebut turut dikenakan hukuman tidak boleh menyertai (bertanding) dalam mana-mana pilihan raya.

Setakat ini, kos pengurusan PRK yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan ialah RM 3.6 juta bagi peringkat parlimen dan RM 1.6 juta bagi kerusi DUN. Denda itu boleh dikecualikan hanya kepada mereka yang dipilih untuk menduduki jawatan Ketua Menteri atau Menteri Besar, iaitu perlu menjadi ADUN, sekiranya calon yang dipilih itu adalah Ahli Parlimen.

Fenomena dipaksa meletakkan jawatan secara sengaja bagi memberikan laluan kepada orang tertentu pernah berlaku pada tahun 2008. Selepas PRU ke-11, penyandang Permatang Pauh, Dr Wan Azizah Ismail mengosongkan kerusi tersebut bagi memberi laluan kepada suaminya untuk kembali bergelar wakil rakyat. PRK diadakan pada 26 Ogos 2008.

Selepas itu berlaku lagi satu PRK bagi DUN Penanti (31 Mei 2009). PKR menuduh penyandangnya menerima wang pembiayaan daripada sebuah kuari di Bukit Mertajam bagi membolehkannya berkursus di luar negara. Beliau dipaksa meletakkan jawatan bagi membolehkan Dr Mansur Othman bertanding dan seterusnya mengganti tempat sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

PKR selepas itu, setelah gagal menukarkan kerajaan pada 16 September 2008, memulakan projek Langkah Kajang pada tahun 2014. Anwar bercadang untuk bertanding di Selangor bagi membolehkannya dilantik sebagai Menteri Besar bagi menyingkirkan Tan Sri Khalid Ibrahim yang dianggap tidak banyak membantu PKR melebarkan pengaruh parti.

Penyandangnya, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan pada 23 Mac 2014. Ketika itu, Anwar sedang berhadapan dengan perbicaraan sodomi kali kedua. Apabila merasakan ada sesuatu yang boleh menghalangnya, Dr Wan Azizah dipilih sebagai pengganti, di mana ketika itu beliau sudah pun bebas daripada larangan untuk bertanding dalam mana kawasan atau bahagian pilihan raya.

Ketika itu Anwar sedikit teruja dengan kemenangan Recep Tayyib Erdogan yang menguasai politik Turki. Recep awalnya menguasai Istanbul dan dari situ, beliau mengorak langkah untuk menguasai seluruh politik Turki. Erdogan berjaya apabila parti pimpinannya, AKP menang pilihan raya dan mengangkat sumpah sebagai Presiden Turki ke-12 pada 28 Ogos 2014.

Anwar turut berbangga dengan kemenangan Jokowi dalam Pilihan Raya Presiden pada tahun 2014. Jokowi menjadi terkenal apabila beliau menjadi Datuk Bandar Surakarta (2009) dan kemudiannya memenangi pemilihan gabernor Jakarta pada tahun 2012. Dari situ, Jokowi kemudiannya dipilih untuk bertanding sebagai Presiden Indonesia mewakili Parti Demokratik Perjuangan (PDI-P) yang diterajui oleh Megawati Soekarnoputri. Beliau menang dan menjadi Presiden Indonesia mulai 20 Oktober 2014.

Selepas PRU ke-14, berlaku sekali lagi peletakan jawatan wakil rakyat PKR untuk memberikan laluan kepada Anwar Ibrahim kembali sebagai wakil rakyat. Selepas mendapat pengampunan, Anwar berusaha mencari tapak bagi membolehkannya bersiap sedia sebagai pengganti Dr Mahathir, atas persetujuan bahawa Dr Mahathir adalah Perdana Menteri sementara.

Anwar memilih Port Dickson dan tidak memaksa isterinya, Dr Wan Azizah mengosongkan kerusi Pandan atau Permatang Pauh yang disandang oleh puterinya, Nurul Izzah. Ertinya, Anwar tidak sanggup mengorbankan ahli keluarganya, tetapi memilih Port Dickson yang ketika itu disandang oleh Danyal Balagopal Abdullah. Walaupun Danyal pengosongan kerusi dilakukannya secara sukarela, ramai pihak percaya ia berlaku kerana diberikan tekanan oleh penyokong-penyokong dan perancang strategis Anwar.

PRK Port Dickson berlangsung pada 13 Oktober 2018. Anwar memperoleh 31,016 undi mengalahkan lima calon Bebas dan satu calon daripada PAS. BN tidak mengambil bahagian dalam PRK tersebut kerana merasakan ia adalah tidak perlu hanya kerana ingin memuaskan kehendak ‘tokoh tertentu’. BN juga tidak meletakkan calon dalam PRK DUN Penanti (2009). Kini, Anwar terus membayangkan dirinya sebagai Perdana Menteri ke-8, bahkan ada ketikanya beliau membuat komen seolah-olah dirinya sudah disahkan secara rasmi ‘mengangkat sumpah’.

Dalam satu temubual dengan Bloomberg yang kemudiannya dipetik oleh Astro Awani, Anwar memberitahu proses peralihan kuasa itu akan berlaku pada bulan Mei 2020. Namun, PKR sekarang sedang menekan pula penyandang kerusi Parlimen Batu, P. Prabakaran untuk mengosongkan kerusi tersebut bagi memberi laluan kepada Tian Chua bertanding.

Tian Chua merupakan bekas penyandang kerusi tersebut. Beliau adalah Naib Presiden PKR dan pada PRU ke-14 tidak dibenarkan bertanding atas alasan berhadapan dengan keputusan mahkamah yang ‘tidak melayakkannya bertanding’ oleh Suruhanjaya Pilihanraya. Tian Chua mencabar keputusan tersebut, dan pada 6 November lalu.

Dalam penghakiman itu, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan bahawa Tian Chua “tidak pernah pada bila-bila masa hilang kelayakan untuk bertanding’ walaupun keputusan dua mahkamah sebelumnya adalah betul. Tian Chua didenda sebanyak RM 2,000 kerana menghina pegawai polis dan menganggu tugas penjawat awam.  Jumlah denda itu kemudiannya ditafsirkan oleh pengurus pilihan raya kawasan Batu bahawa Tian Chua tidak layak dan pencalonannya ditolak.

P Prabakaran merupakan calon yang termuda pernah bertanding dalam pilihan raya di Malaysia. Ketika itu beliau berusia 22 tahun dan masih merupakan seorang penuntut undang-undang. Beliau menang dengan majoriti 24,438 undi. Semasa kempen PRU ke-14, Tian Chua memberikan sokongan kepada P Prabakaran.

Sebaik sahaja keputusan Mahkamah Tinggi memihak kepada Tian Chua, sekumpulan 14 pertubuhan bukan kerajaan yang cenderung memihak kepada PKR membuat gesaan agar P Prabakaran mengosongkan kerusi yang dimenangi bagi membolehkan Naib Presiden PKR itu kembali bergelar Yang Berhormat.

P Prabakaran enggan berbuat demikian. Ekoran keengganannya, sebuah kereta milik P Prabakaran telah dibaling dengan telur di sebuah restoran di Batu 4 ½ , Jalan Ipoh. P Prabakaran ketika itu dikatakan sedang menghadiri mesyuarat di restoran berkenaan.

Seandainya PRK Batu berlaku, bermakna PKR tidak menghormati keputusan rakyat. PKR juga boleh dianggap berusaha mengukir makna demokrasi berdasarkan keperluan dan tafsiran mereka, sedangkan demokrasi itu adalah milik setiap orang. P Prabakaran sudah dipilih oleh pengundi secara sah maka tidak ada sebab beliau perlu mengosongkan kerusi berkenaan semata-mata untuk memberi laluan kepada Tian Chua yang merupakan tokoh politik yang tidak kurang kontroversinya.

Tian Chua sepatutnya tidak menggunakan apa-apa peluang untuk mendesak P Prabakaran mengosongkan kerusi tersebut. Sebaliknya, Tian Chua perlua menggerakkan kerjanya untuk mendapat semula kedudukannya sebagai wakil rakyat apabila tibanya PRU ke-15.

Monosin Sobri.

No Comments

    Leave a reply