PAS CUBA ‘BERMAIN POLITIK’ MEMINDA RUU 355

Usaha yang dirintis oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk sekali lagi membentangkan pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 di Dewan Rakyat pada sidang akan datang bakal menarik lebih ramai penolakan terhadap parti itu dalam Plihan Raya Umum ke-14.

PAS perlu belajar dari sejarah kegagalannya dalam melaksanakan dua peraturan yang  membabitkan umat Islam walaupun dua undang-undang berkaitan telah diluluskan di dua buah Dewan Undangan Negeri ketika keinginan ‘mensyariatkan undang-undang Islam’ menjadi bahan utama kempen politiknya.

PAS Kelantan yang pada suatu ketika terdesak apabila pengundinya mempersoalkan apa tindakannya selepas menang semula di Kelantan pada tahun 1990, dengan tergesa-gesa membawanya ke DUN Kelantan dan diluluskan pada tahun 1993 sebuah akta bernama Rang Undang-undang Jenayah Syariah II. Bagaimanapun, pelaksanaannya tertangguh hingga kini dan beberapa kemudiannya, ia kembali dihangatkan.

Sebelum meninggalnya bekas Menteri Besar Kelantan (12 Februari 2015), suatu keputusan telah dibuat agar seluruh penduduk Kelantan diberikan penerangan yang jelas mengenai undang-undang itu di mana satu jawatankuasa teknikal turut dicadangkan membabitkan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah II 1993, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah ketika menemui Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin)  ketika itu (27 April 2014), “ialah menyatakan secara rasmi kepada pihak Kerajaan Persekutuan tentang hasrat serta cadangan-cadangan kami. Bila Pusat berhasrat mewujudkan jawatankuasa teknikal di peringkat kebangsaan maka kami menyambut baik cadangan itu dan mudah-mudahan ini boleh membantu dalam usaha melaksanakan hukum hudud di Kelantan.” (Utusan Malaysia, 3 Mei 2014).

Bagaimanapun, perkembangan dan rangka kerja yang jelas mengenai hasil jawatankuasa tersebut tidak diketahui hinggalah PAS kembali bersemangat untuk meminda RUU 355 selepas kedudukannya dalam pakatan pembangkang mengalami masalah dan kemudiannya disingkirkan oleh DAP.  Pelaksanaan peraturan itu turut menyebabkan PAS berada dalam suasana dilema dan dikritik hebat kerana penggubalan undang-undang berkenaan bercanggah dengan prinsip Perlembagaan.

Terengganu juga tidak terkecuali untuk meletakkan hukum Islam dalam undang-undang tubuh negeri apabila 24 April 2003, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) (Pindaan) 2003 diluluskan dan sebelumnya Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 diluluskan pada 8 Julai 2002. Enakmen itu kemudiannya dapat perkenan Sultan Terengganu pada 2 September 2003 dan diwartakan pada 27 Oktober 2003.

Selepas PAS kalah dalam PRU ke-11, peraturan yang dianggap ada kaitannya dengan Hukum Hudud tidak dapat dilaksanakan kerana terlalu banyak mempunyai kelemahan, termasuklah apa yang pernah dikritik oleh Tun Dr Mahathir, tidak menjamin keadilan di mana orang Islam yang ‘mencuri dipotong tangan’ manakala bukan Islam ‘boleh dihukum denda atau penjara’. Polimek itu telah menyebabkan imej PAS semakin tidak keruan sehinggalah PAS mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’.

Idea melaksanakan keseluruhan peraturan syariah telah lama menjadi prinsip perjuangan tetapi ianya lebih bersifat politik. PAS kemudiannya bergabung dalam pakatan pembangkang ‘terperangkap’ dengan ideologi politik yang lain, terutama DAP dan PKR sehingga menukarkan perjuangan asalnya kepada ‘negara berkebajikan.’

Semangat politik PAS kembali ‘keras’ apabila teruji dengan kesungguhan Brunei Darussalam untuk mempraktikkan Undang-undang Islam dan kesanggupan Sultan Brunei untuk berhadapan dengan kesan negatif daripada masyarakat antarabangsa. Ia dilaksanakan pada bulan April 2014 dan atas keinginan itu, pada tahun 2015 PAS kembali memperkatakan mengenai pelaksanaan syariah di Malaysia yang akhirnya mengakibatkan penyingkirannya daripada pakatan pembangkang selain faktor ‘perpecahan dalam parti’ selepas kumpulan erdogan mengambil inisiatif menubuhkan sebuah parti serpihan dan mengisytiharkan peranannya menggantikan PAS.

Rentetan peristiwa itu membawa kepada penggunaan Undang-Undang Peribadi dalam mengusulkan perubahan kepada pindaan RUU 355. Usul tersebut yang mengalami beberapa kali penangguhan, akhirnya berjaya dibentangkan di Deewan Rakyat pada 23 November 2016. Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, pindaan RUU 355 akan berlaku dan bulan Mac 2017, Presiden PAS akan menghuraikan setiap satu pindaan itu dan justifikasinya.

Sementara menunggu Dewan Rakyat bersidang semula pada 6 Mac hingga 6 April 2017, PAS bercadang untuk mengadakan satu perhimpunan awam yang dinamakan Himpunan 355 pada 18 Februari 2017. Cadangannya untuk berhimpun di Dataran Merdeka tidak diluluskan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Bagaimanapun, PAS diberikan kebenaran berhimpun secara aman di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Menurut Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, Ahli Majlis Syura Ulamak dan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, perhimpunan ini ‘merupakan perhimpunan terbesar dan paling bersejarah bagi umat Islam untuk tujuan mendaulatkan Islam”. Perhimpunan ini dianjurkan oleh pakatan NGO Islam dan parti politik Islam yang mensasarkan kehadiran sehingga ‘300,000 umat Islam.” (Harakah, 13-16 Februari 2017).

Pindaan RUU 355 menurut Nik Abduh lagi, “Ia adalah satu pindaan yang hampir menyamai pindaan bagi membolehkan penubuhan Bank Islam suatu masa dahulu yang menjadi alternatif kepada sistem perbankan konvensional di dalam negara kita.”

Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Persoalannya, apakah pindaan RUU 355 itu bakal mendapat sokongan besar wakil rakyat beragama Islam di Dewan Rakyat masih menjadi tanda soal yang besar. Ini disebabkan pindaan tersebut diketuai oleh PAS, dan tentunya beberapa orang wakil rakyat daripada Barisan Nasional begitu skeptik untuk menyokongnya, termasuklah wakil rakyat beragama Islam sendiri.

Berdasarkan sebuah laporan, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan menyokong atau tidak berhubung pindaan RUU 355 dan mengambil sikap ‘kita perlu tunggu’. Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh wartawan selepas menghadiri forum “Sejauh Mana Anda Memahami Hudud’ yang diadakan di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya pada 12 Februari 2017.

Pada 19 Mac 2015, Dewan Undangan Negeri Kelantan mencipta sejarah bila meluluskan pindaan undang undang untuk melaksanakan hudud di Kelantan. Persetujuan sebulat suara diberikan oleh semua 44 ADUN (31 PAS, 12 BN dan 1 PKR) untuk meminda Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993). Bagaimanapun, untuk dilaksanakan di Kelantan ia masih mengambil masa yang panjang kerana ia memerlukan pindaan kepada beberapa akta dan peruntukan dalam Perlembagaan di Dewan Rakyat. Dua perkara yang perlu dipinda ialah Akta 355  (Akta Mahkamah Syariah) Bidang Kuasa Jenayah 1965 dan Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa kepada negeri Kelantan melaksanakan kanun jenayah syariah itu. Soalnya, mampukan pindaan itu diluluskan dengan majoriti mudah (112 orang ahli Parlimen)?.

Secara zahirnya terdapat sejumlah 136 orang Ahli Parlimen yang beragama Islam di mana 87 adalah dari UMNO, Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB) 10 orang, PAS 21 orang, PKR 15 Orang (tidak termasuk Anwar Ibrahim), dua orang DAP (Raub dan Bukit Bendera) dan  seorang Bebas.  Kalaupun semua wakil rakyat rakyat UMNO dan PAS menyokong, ia masih belum mencukupi untuk dapatkan majority mudah. Ia masih memerlukan sokongan daripada empat orang lagi wakil rakyat, yang tentunya sukar diperoleh disebabkan PKR dan DAP belum menunjukkan ada persetujuan.

PAS juga bermasalah kerana daripada 21 wakil rakyatnya, enam orang telah menyertai Parti Amanah Negara (PAN) dan dua orang wakil rakyat UMNO telah dipecat dari parti (Tan Sri Muhyiddin – Pagoh dan Shafei Afdal – Semporna). UMNO hanya mempunyai 86 orang wakil rakyat termasuk Perdana Menteri manakala PAS hanya tinggal 15 orang. Jika ditolak wakil rakyat Gua Musang, UMNO mempunyai 85 wakil rakyat. Ini bermakna jika pindaan tersebut hendak dibuat, ia hanya mampu memperoleh sokongan 100 orang. Keadaan inilah menyebabkan UMNO menyerahkan usul tersebut dibawa oleh PAS dan tidak menjadi keutamaannya walaupun UMNO masih mendominasi Dewan Rakyat.

UMNO yang menjadi tulang belakang pentadbiran politik perlu melakukan ‘penerangan yang meluas dan mendalam dalam kalangan wakil rakyat’ sekiranya mahukan setiap daripadanya menunjukkan sokongan kepada pindaan RUU 355. Sekiranya semua wakil rakyat UMNO bersetuju, ia akan memberikan petunjuk bahawa PAS dan UMNO boleh bersatu dalam usahanya untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

Setakat ini UMNO ‘tidak melarang’ mana-mana ahlinya untuk ikut serta dalam Himpunan 355 sedangkan MCA dan Gerakan masih percayakan bahawa pindaan tersebut sebagai ‘permulaan kepada pelaksanaan Hukum Hudud’. Bukan Melayu amat khuatir, jika RUU 355 diluluskan, ia turut memberikan impak kepada masyarakat Cina, walaupun secara langsungnya, kuat kuasa peraturan hanya untuk orang Islam.

Ia mungkin mengambil pengajaran daripada cadangan yang pernah dikeluarkan oleh pemimpin PAS sendiri apabila ‘melarang orang Islam’ bekerja di premis hibutan dan kelab-kelab hiburan. Masyarakat peniaga, khususnya pengusaha bukan Melayu merasakan jika orang Islam dilarang untuk bekerja di premis hiburan akan ‘menutup pintu rezeki’ dan boleh menjejaskan perniagaan mereka.

Kemungkinan ini berlandaskan beberapa perkara, bukan semua orang yang dilahirkan sebagai Islam ‘tidak minum arak’, ‘tidak memasuki premis hiburan’ dan ‘tidak terbabit dengan aktiviti maksiat’. Sebahagian besar wanita Islam terbabit sebagai penghibur di kelab malam, pelayan sosial dan pekerja sosial di premis hiburan. Tentunya, dengan terlaksananya hukuman yang lebih berat akan menyebabkan sedikit sebanyak premis hiburan akan mengalami ‘kemerosotan pendapatan’ dan ‘keriuhan’.

Mungkin inilah kebimbangan yang menjadi pokok persoalan sebahagian orang Melayu dan bukan Islam. Tetapi, bagi mereka yang mencintai Islam, dengan pindaan RUU 355 kedudukan kuasa Mahkamah Syariah adalah lebih baik kerana boleh meneruskan perbicaraan di tahap yang lebih tinggi. Soalnya, sejak cadangan itu dikemukakan, belum ada satu siri penerangan yang komprehensif dilaksanakan bagi menjelaskan apa sebenarnya yang hendak dipinda, maka sebab itulah ramai pengundi dijangka akan melihat PAS sebagai sebuah parti yang terdesak apabila kedudukannya terhimpit oleh perpecahan dalaman dan penolakan sekutunya dalam pakatan pembangkang.

PAS sebenarnya sedang mencari sedikit ‘kemenangan’ dengan mencipta permainan politik menerusi pindaan RUU 355, kerana dari segi sejarah, apabila kehilangan sokongan, parti itu akan menghidupkan semula dengan’semangat Islam’. Dengan ‘menghidupkan semangat Islam’ PAS bakal memperoleh sokongan daripada ahlinya yang terus melihat ‘PAS itu Islam dan Islam itu PAS’ sedangkan masyarakat Melayu-Islam lainnya memandang PAS sebagai sebuah parti yang ‘menggunakan Islam untuk kepentingan politik.’

PAS mungkin berhadapan dengan dilema, terutamanya penolakan daripada orang Melayu-Islam sendiri yang sebahagiannya ‘belum faham’ apakah sebenarnya isu yang hendak dibangkitkan oleh Presiden PAS. Sesi penerangan dan komunikasi belum dilaksanakan dengan baik, maka sekiranya PAS gagal kali ini, ia akan dihukum oleh sebahagian besar pengundi-pengundinya.

Persoalannya, mampukah PAS mempertahankan kedudukannya kerana parti itu sedang berhadapan dengan ‘kronik kepimpinan’ walaupun ‘langgar Hadi’ berjaya dipatahkan. Tentunya, PAS akan diterus diserang bertubi-tubi oleh DAP, sedangkan ketika ini, DAP terus menerjah PAS sebagai ‘sebuah parti yang gagal’ kerana tidak banyak kejayaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Kelantan berjaya dilaksanakan sepanjang pentadbirannya kali kedua pada tahun 1990.

Hingga kini, Setiausaha DAP telah melancarkan ‘serangan politiknya’ menyebabkan ramai pemimpin PAS mula ‘kepanasan’ maka dengan pembentangan semula usul RUU355, PAS dijangka akan menerima ‘serangan yang lebih hebat’ termasuklah daripada bekas wakil rakyatnya sendiri, PAN. PAN berusaha ‘mengalahkan PAS’ dan inilah masa terbaik PAN untuk menyerang PAS. Dalam hal ini, UMNO dijangka memperoleh kelebihan, bila PAS dan PAN ‘bertarung’,  UMNO boleh menjadi pemerhati yang jujur, yang akhirnya menarik sebahagian daripada simpati PAS.

No Comments

    Leave a reply