PAS ‘HARAPKAN UMNO DAN BN’ BUKAN PARTI LAIN

Parti-parti pembangkang yang mengharapkan kerjasama dengan PAS untuk Pilihan Raya Umum ke-14 nampaknya terpaksa ‘berputih mata’ apabila Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin lebih bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional.

Menurut beliau, parti Melayu itu masih boleh diharapkan berbanding pihak lain yang ‘anti-Islam’ terutamanya apabila menganggap pindaan Akta 355 (Mahkamah Syariah – Bidang Kuasa Jenayah) 1965 sebagai suatu permulaan pelaksanaan Hukum Hudud di Malaysia sedangkan pindaan itu hanyalah untuk memperkasakan peraturan Mahkamah Syariah yang disasarkan kepada orang Islam.

Bagi PAS, kata Hashim  “Seperti Nabi SAW mengharapkan lahirnya pejuangan-pejuang Islam dari sulbi penduduk Taif, PAS juga mengharapkan lahirnya penyokong-penyokong Islam dari sulbi Umno.

Kebencian mereka terhadap kebobrokan Najib Razak akan menguatkan Islam dengan sikap pemaaf dan kesediaan kita memberikan penghormatan terhadap bekas-bekas pemimpin mereka.

Kita mempelajari seni politik Rasulullah yang sangat matang itu, dan kita sepatutnya mengambil pendekatan serupa dalam menjana kemenangan Islam,” katanya dalam kenyataan disiarkan Harakahdaily.

Inilah politik matang yang seharusnya diperjuangkan bagi menegakkan Islam dan bukannya menghancurkan Islam sebagaimana sedang berlaku dalam beberapa kumpulan pemikir Islam liberal yang sanggup mengetepikan keperluan agama demi untuk kelangsungan politik.

Jika ‘penyatuan’ itu mencapai pemuafakatan yang betul, harapan beberapa parti serpihan UMNO dan juga PAS akan berhadapan dengan misi sukar.

PPBM yang awalnya telah memulakan ‘hubungan mesra’ dijangka akan menerima kesan yang besar. Hubungan PPBM yang dilihat boleh ‘membantu DAP’ terutama untuk meraih sokongan pengundi Melayu akan bertukar menjadi ‘gelisah’.

Bukan sahaja PPBM menjadi ‘gelisah’ bahkan Parti Amanah Negara (PAN) yang lahir daripada ‘rasa dendam’ dan ‘kemarahan’ menjadi nanar. Harapan untuk mencuri pengaruh daripada penyokong PAS akan menjadi semakin jauh, kerana kesetiaan penyokong PAS tetap kepada keputusan pemimpinnya.

Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir dalam kenyataan terbaharunya ‘masih berharap PAS akan dapat bekerjasama bagi memastikan tujuan satu lawan satu menentang BN dapat direalisasikan.’ PPBM telah pun menyertai ‘kerjasama politik dengan DAP’ manakala PAN, PKR dan DAP masih kekal dalam pakatan pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Harapan.

PAS sebelumnya telahpun menjalin kerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan membentuk Gagasan Sejahtera pada pertengahan Ogos tahun lalu. Ini bermakna, Gagasan Sejahtera bukanlah merupakan satu pakatan yang kuat disebabkan Ikatan masih merupakan sebuah parti baharu dan tidak mempunyai jentera yang tersusun sehingga ke peringkat akar umbi.

Ikatan hanyalah merupakan parti kecil yang ditubuhkan oleh veteran UMNO awal Jun 2012 selepas presidennya, Tan Sri Kadir Sheikh Fadhir keluar dari UMNO pada 19 Mac 2012. Kadir tidak mempunyai kekuatan politik yang besar walaupun ketika keluar UMNO, Mahfuz Omar menyifatkannya sebagai satu tamparan hebat kepada UMNO. Realitinya, Kadir tidak banyak menyentap masuk ahli UMNO menganggotai Ikatan.

Kalau adapun hanya beberapa orang yang mengaguminya, terutama di sekitar Kulim Bandar Baharu. Bahkan, saudaranya, Musa Sheikh Fadzir dan Aziz Sheikh Fadzir masih kekal dalam UMNO. Musa adalah Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam (Pulau Pinang)  manakala Aziz adalah wakil rakyat Kulim Bandar Baharu. Aziz diisytiharkan muflis oleh mahkamah pada tahun 2014. PRU ke-13, Kadir Sheikh Fadzir tidak bertanding.

Dua parti serpihan (PAN dan PPBM) tidak mempunyai kekuatan yang tersendiri. Sebaliknya kedua-dua parti itu masih bertenggek ‘kuasa politik’ daripada PAS dan UMNO. PAN mempunyai kekuatan yang ditarik daripada ‘tiket PAS’ terutama dalam kalangan kumpulan ‘erdogan’ yang tewas dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS pada tahun 2013. Antaranya, Husam Musa, Suhaizat Kahat, Salehudin Ayub, Mat Sabu, Dr Mujahid Yusof Rawa, Raja Baharin, Dr Zulkifly Ahmad, Khalid Samad dan Dr Mariah Abdullah.

PPBM hanya bertaut kepada ‘pengaruh Dr Mahathir’ dan setakat ini hanya mempunyai dua orang bekas ahli UMNO yang masih berstatus wakil rakyat, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mukriz Mahathir. PPBM masih belum mempunyai organisasi yang lengkap di seluruh negara dan terus dilihat sebagai sebuah parti ‘balas dendam’ ekoran pemecatan Muhyiddin dan Mukriz. Ada dakwaan bahawa misi utama PPBM ialah untuk ‘menyediakan laluan kepada Mukriz untuk menjadi Perdana Menteri.’

Ketika PAS memerlukan sokongan untuk mengadakan Perhimpunan RUU 355 pada 18 Februari 2017, PAN dan PPBM belum menunjukkan minat untuk hadir bersama berbanding UMNO. PAS dan UMNO sudah menunjukkan ‘kerjasama’ apabila pemimpinnya mampu hadir bersama dalam beberapa majlis. Antaranya Perhimpunan Untuk Rohingya dan pelancaran Flotila Makanan Untuk Rohingya. Sebelumnya, berpakaian sedondon antara Najib dan Hadi turut menjadi fokus bahawa kerjasama antara PAS dan UMNO bakal terjalin.

Bagaimanapun, sehingga kini PAS dan UMNO masih belum melakukannya ‘kerjasama secara rasmi’ tetapi petunjuk ke arah itu sudah ada. PAS yang ‘enggan dipatuk dua kali dalam lubang yang sama’ terpaksa berhati-hati kerana kerjasama dalam BN berakhir dengan penyingkiran (1977) dan dalam pakatan pembangkang berhujung dengan pemecatan (2015). DAP terus dilihat ‘bermusuh dengan PAS’ kerana tidak pernah bersetuju dengan ideologi politik Islam. Inilah yang menyebabkan Ketua Menteri Pulau Pinang begitu marah dengan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.

Itu juga mungkin membawa kitaran politik yang menarik, PAS ‘boleh bekerjasama dengan UMNO’ kerana ‘memilih antara dua kemudaratan—bertaawun dengan orang Islam yang zalin atau bertahaluf dengan orang bukan Islam yang keras sikapnya terhadap Islam.”

PAS mengakui bahawa “mereka adalah kelompok orang Islam yang masih yang masih boleh dimanfaatkan untuk membela Islam” berbanding dengan “DAP yang mempunyai sikap yang keras terhadap Islam, anti Islam dan sentiasa menolak sebarang usaha menegakkan Islam.”

Kenyataan itu menyebabkan DAP terasa bagai dipulas manakala PPBM terkinja-kinja berlari. Namun kedua-dua parti itu (DAP dan PPBM) semakin ‘sesak nafas’ apabila Mursyidul Am PAS mengeluarkan kenyataan “seperti Nabi SAW mengharapkan lahirnya pejuangan-pejuang Islam dari sulbi penduduk Taif, PAS juga mengharapkan lahirnya penyokong-penyokong Islam dari sulbi Umno.”

Oleh Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply