PATRIOTISME PEMANGKIN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

Patriotisme adalah satu sentimen nasional yang menekankan kepada aspek kesetiaan dan kecintaan yang mendalam kepada negara. Mempertahankan kedaulatan negara dan kesanggupan untuk berjuang menggadai nyawa demi negara memperlihatkan tahap patriotisme tertinggi yang wujud dalam diri seorang warganegara.

Semangat patriotisme yang tinggi sangat penting bagi setiap rakyat dalam sebuah negara yang merdeka. Kemerdekaan yang dicapai sesebuah negara adalah berbeza antara satu sama lain dan biasanya ia bukanlah sesuatu yang mudah. Justeru, kecintaan yang mendalam kepada negara adalah asas utama untuk memastikan negara terus bebas dan merdeka dari sebarang bentuk penjajahan.

Era awal selepas kemerdekaan mempamerkan semangat sayangkan negara yang tinggi dalam kalangan masyarakat Malaysia. Melalui pendidikan, rakyat berbilang kaum telah mempelajari mata pelajaran sejarah dan sivik bagi memupuk dan menyuburkan semangat cintakan tanah air.

Kebelakangan ini sejarah negara yang merupakan asas kepada pembentukan peradaban bangsa semakin dilupakan. Pengetahuan dan literasi sejarah umumnya dianggap satu aset intelektual yang tidak mendatangkan keuntungan atau bernilai perdagangan. Oleh itu ia tidak dipentingkan dan dianggap sekadar satu pengetahuan am.

Namun, sedari atau tidak, pendidikan sejarah merupakan aset yang amat penting dalam pembentukan keperibadian bangsa dan negara yang lebih kukuh, tersusun dan terarah. Ia juga amat penting untuk membina semangat patriotik yang semakin tandus dalam kalangan generasi muda kini. Justeru, kebanyakan kita lupa bahawa negara kita pernah dijajah selama 446 tahun (1511 – 1957), satu jangkamasa yang amat panjang.

Kita juga lupa tentang kesengsaraan dan perjuangan perit generasi terdahulu kerana kita tidak pernah mengalaminya. Jika disorot, pasti ramai di antara anak-anak kita yang tidak mengetahui  nama-nama terbilang seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Dato’ Bahaman, Abdul Rahman Limbong, Dol Said, Rentap dan ramai lagi kerana saban hari mereka disogokkan dengan cerita-cerita hero khayalan seperti Spiderman atau Superman yang lebih menyeronokkan dan mengkhayalkan.

Bagi tatapan generasi kini, elok jika diimbau sedikit perjuangan Mat Kilau, salah seorang tokoh pejuang yang unggul di negeri Pahang. Beliau terkenal dengan keberanian dan kegagahannya melancarkan gerakan-gerakan penentangan (1891–1895) kerana membantah campur tangan British dalam urusan pentadbiran di negeri Pahang. Beliau membantah perlaksanaan sistem Residen yang telah mengurangkan kuasa sultan dalam hal-ehwal pentadbiran, sekaligus mengenepikan peranan pembesar tempatan serta kesejahteraan rakyat jelata.

Dalam strategi awal penentangannya, Mat Kilau telah mengarahkan pengikut-pengikutnya memotong talian telegraf bagi menyukar dan memutuskan perhubungan antara pegawai-pegawai pentadbir British. Walaubagaimanapun, perbuatan ini dapat dikesan oleh pihak British. Pihak British pula cuba memujuk Mat Kilau agar bekerjasama dengan mereka, namun pelawaan ini telah ditolak oleh Mat Kilau.

Keengganan Mat Kilau untuk bekerjasama ini telah dijadikan alasan oleh British untuk menangkapnya. Dengan ini gerakan-gerakan memburu Mat Kilau serta pengikut-pengikutnya mula dilancarkan.

Perjuangan dan ketokohan Mat Kilau ini dapat dilihat daripada kesungguhan dan kesanggupan beliau berjuang berterusan menentang British walaupun menghadapi pelbagai kesukaran. Beliau menyedari Sultan yang berada di bawah pengaruh dan telunjuk British tidak mungkin memberi sokongan kepada usaha penentangan tersebut. Ditambah pula dengan adanya beberapa pembesar dan orang-orang tempatan sendiri yang sanggup berpihak kepada British dengan menyalurkan maklumat dan menyertai gerakan memburu beliau dan pengikut-pengikutnya.

Mat Kilau juga menyedari bahawa segala alatan senjata tradisi dan jumlah kecil senjata yang digunakan oleh pengikut-pengikutnya, sukar untuk menandingi senjata moden yang digunakan oleh askar-askar upahan British. Gerakan penentangan yang tidak bersepadu ditambah dengan jumlah pengikut yang tidak ramai, menyukarkan lagi peluang mereka mengalahkan dan menghalau British dari bumi Pahang. Namun Mat Kilau tetap meneruskan perjuangannya habis-habisan sehingga  kampung tempat tinggalnya, iaitu Kampung Budu dibakar oleh pihak British seperti yang dinyatakan dalam petikan berikut:

”…Found much paddy. Burnt all Mat Kilau’s houses, returned to camp around 5.30 pm. … advanced party fired one round shrapnel and crossing a deep stream double across the paddy field and up the hill, saw no one, burnt two houses and took away about 40 gantangs rice… entered Tulang Badang along struggling mukim …..burnt all houses and destroyed all paddy that was stored…”   Cabutan daripada fail 579/92 – Pahang Disturbance – Report from Col. Walker, dated Raub 24th May 1892. (Sumber: Arkib Negara Malaysia)

Penentangan Mat Kilau walaupun tidak berjaya menyekat kemaraan British, setidak-tidaknya ia dapat menyedarkan pihak British agar tidak memandang remeh terhadap keupayaan rakyat tempatan yang memiliki kekuatan tersendiri sebagaimana ditonjolkan oleh Mat Kilau.  Berdasarkan kepada sumber-sumber rasmi yang terdapat di Arkib Negara Malaysia, pihak pentadbir British terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk mendapatkan khidmat tambahan polis Sikh bagi membantu memerangi kumpulan penentang. Perbelanjaan tambahan juga diperlukan untuk mendirikan kubu-kubu pertahanan, jambatan dan menyediakan peralatan senjata selain membiayai ekspedisi memburu penentang tersebut. Perkara ini jelas menunjukkan betapa besar ancaman dan tekanan yang dihadapi oleh pihak British, walaupun kumpulan penentang ini terdiri daripada orang-orang kampung yang tidak terlatih dan tidak memiliki senjata yang canggih untuk menandingi senapang dan polis upahan British sebaliknya hanya berbekalkan semangat juang yang tinggi dan kecintaan kepada negara yang tidak berbelah bagi.

Jika rakyat Malaysia mempunyai semangat patriotik dan ketahanan diri yang tinggi sebagaimana yang dimiliki oleh Mat Kilau, kita tidak perlu untuk mengadakan institusi-institusi bagi menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara seperti Biro Tata Negara, Program Latihan Khidmat Negara dan sebagainya. Namun, kerana ramai di antara kita yang lupa sejarah perjuangan bangsa serta lemah jati diri, kerajaan telah menubuhkan Biro Tata Negara pada tahun 1974,  yang dipertanggungjawabkan untuk menyalurkan pendidikan kenegaraan bagi memupuk semangat patriotisme rakyat Malaysia. Pendidikan kenegaraan ini amat penting untuk diterapkan kepada semua lapisan masyarakat termasuk anggota komuniti institusi pendidikan, belia, pekerja awam dan swasta, anggota pertubuhan, serta pemimpin dan pemaju masyarakat.

Pendidikan ini juga untuk mempertingkatkan kesedaran, penghayatan serta komitmen rakyat secara berterusan kepada wawasan negara dan usaha-usaha ke arah kecemerlangan, mempersiapkan rakyat supaya menunjangi dasar-dasar negara ke arah pembangunan demi kesejahteraan bangsa.

Semangat patriotisme dan kecintaan yang tinggi kepada negara merupakan benteng bagi mempertahankan kemerdekaan dan menjamin keharmonian yang dinikmati kini dapat terus dikekalkan. Sebagai rakyat dan juga pemimpin,  pastinya tidak mahu peristiwa hitam 13 Mei 1969 serta penjajahan kuasa asing berulang dan bertapak lagi di bumi Malaysia tercinta.

Mat Kilau semasa hayatnya terkenal keberanian menentang campurtangan British dalam urusan pentadbiran Pahang.

Oleh:Yatimah Rimun

No Comments

    Leave a reply