Tambahnya, pasti terdapat perbezaan antara kesemua pandangan berdasarkan tahap keilmuan, pemahaman dan kecen­derungan politik namun baginya perbezaan itu harus diraikan secara matang, berteraskan ne­raca ilmu kenegaraan serta bukan secara emosi.

Jelasnya, isu menjadi hangat apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik status dalam laman Facebook milik beliau pada 2 April lalu bahawa tindakan meratifikasi Statut Rom adalah tidak berperlembagaan kerana terlebih dahulu gagal mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Katanya, ia menjadi sebab mengapa Kabinet memutuskan untuk menarik balik ratifikasi.

Dakwanya, Peguam Negara, Tommy Thomas gagal menasihatkan kerajaan bahawa mengikut perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa ‘Tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja’.

“Untuk menye­la­matkan maruah kerajaan yang tidak mendapat nasihat yang be­tul, maka adalah se­lamat untuk Perdana Menteri menarik balik ratifikasi berkenaan sebelum Majlis Raja-Raja mengambil tindakan undang-undang terha­dap kerajaan ke­rana me­langgar Perlembagaan Persekutuan.

“Bukan kerana rakyat keliru berkaitan Statut Rom, te­ta­pi ini berkaitan kerajaan Ma­laysia yang keliru akibat kegaga­lan mendapat nasihat yang betul sebelum meraktifikasi Statut Rom,” kata­nya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Mengenai apa sebenarnya Statut Rom dan mengapa ia ditentang, Mohd. Khairul Azam berkata, terdapat dua isu berbeza yang perlu difahami iaitu pertama, isu proses sebelum mera­tifikasi statut iaitu kewajipan mendapatkan perkenan Majlis Raja-Raja, dan kedua isu kandu­ngan Statut Rom.

“Sebenarnya tiada banyak penentangan berkaitan isu kedua iaitu kandungan statut. Dalam keadaan Malaysia, agak mustahil melakukan empat jenayah utama dalam statut iaitu jenayah perang, jenayah pencerobohan, jenayah kemanusiaan dan jenayah pembunuhan beramai-ramai.

“Maka kelihatan tidak mungkin Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Ang­katan Tentera Malaysia boleh didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC),” katanya.

Namun jelasnya, yang menjadi pertikaian ialah isu pertama iaitu berhubung kewajipan mendapatkan perkenan Majlis Raja-Raja.

“Perdana Menteri dalam sidang akhbar penuh emosi telah mengelak mengulas berkaitan isu perta­ma ini. Sebaliknya membuat ‘lenco­ngan’ isu dengan me­nyindir (TMJ) de­ngan isu-isu lain seba­gai manifestasi kemarahan beliau terhadap TMJ yang mula-mula mencetuskan isu pertikaian pertama ini sehingga mendapat perhatian agenda Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

“Kesipuan yang gagal menjawab isu pertikaian pertama itu telah menyebabkan Perdana Menteri terpaksa mengambil ‘jalan selamat’ dengan menarik balik ratifikasi,” katanya.

Mengenai siapakah Dr. Mahathir maksudkan pihak yang membuat gerakan membatalkan ratifikasi, peguam itu menganggap ia dicetuskan oleh TMJ dan kelihatan ada beberapa kumpulan profesor undang-undang, peguam dan aktivis masyarakat berpengaruh telah menyambut status Facebook TMJ.

“Disebabkan gerakan ini ber­teraskan pelanggaran Perlembagaan Persekutuan yang memberi kelebihan kepada Majlis Raja-Raja, maka Perdana Menteri percaya kesipuan kerajaan yang tidak mendapat nasihat yang betul dari Peguam Negara ini tidak mampu dipertahankan.

“Maka bagi mengelak keada­an bertambah parah, maka adalah selamat Perdana Menteri menarik balik ratifikasi berkenaan sebagai tanda akur dengan nasihat Majlis Raja-Raja,” katanya.