Keluarga miskin lima beranak ini tinggal di sebuah rumah yang pada awalnya adalah reban ayam organik yang gagal diusahakan sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, pada awalnya Raja Amirul yang cacat fizikal enggan menerima tawaran kerana tidak mahu membebankan ibu bapa menanggung kos persekolahan.

“Hasil sokongan Guru Besar, Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Manak, Rosli Ismail, kami mengambil keputusan Raja Amirul perlu belajar di SMS Machang walaupun menghadapi kekangan kewangan.

“Hanya kelengkapan asas berjaya disediakan selain terpaksa menggunakan uniform sekolah tahun lepas. Segala perbelanjaan membeli keperluan sekolah berasrama penuh adalah melebihi RM300 dari wang elaun khas Orang Kurang Upaya (OKU) yang disalurkan oleh Jabatan Kebajian Masyarakat. Dia akan mendaftar sebagai pelajar baharu pada 8 Januari ini, “ katanya kepada Utusan Online, di sini, hari ini.

Raja Safari berkata, hasil pendapatannya yang tidak menentu dari kerja kampung sekadar cukup untuk menampung perbelanjaan harian keluarga.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana masih ada ikhtiar untuk berteduh dan membesarkan anak-anak walaupun tinggal dalam keadaan daif dengan membaiki pulih reban ayam:

“Isteri saya, Rozilawati Mamat, 36, tidak dapat membantu mencari sumber pendapatan kerana terpaksa menjaga dua lagi anak yang masih kecil,” katanya.

Menurutnya, keperluan rumah yang selesa adalah perkara kedua bagi mereka sekeluarga kerana yang lebih utama pendidikan anak-anak terutama Raja Amirul perlu diberi keutamaan.

“Saya sudah memohon bantuan rumah rakyat termiskin namun sehingga kini bukan lagi rezeki kami. Untuk membina sendiri rumah yang lebih selesa, ianya diluar kemampuan saya,” katanya.

Pembaca yang sudi menghulurkan sumbangan ikhlas kepada Raja Amirul boleh menghubungi Raja Safari di talian 011129192220 atau menyalurkan bantuan ke akaun Bank Simpanan Nasional 11118-29-00002302-4. – UTUSAN ONLINE