Pelan penjajahan besar-besaran

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah memasyhurkan Pelan Damai yang sungguh tercela ke atas tanah tempat kiblat pertama umat Islam iaitu Palestin dan Baitulmaqdis. Pemasyhuran pelan damai itu sebenarnya adalah penjajahan Israel bertopengkan tema Vision for Peace.

Dalam pelan itu, AS mengiktiraf bahawa Baitulmaqdis sebagai ibu negara milik mutlak Israel. AS mengiktiraf seluruh tanah Palestin yang dijajah secara haram oleh Israel sebagai milik berdaulat Israel.

Bermakna bukan sahaja tanah Palestin yang dirampas Zionis selepas Perang 1948 dan 1967 yang diiktiraf sebagai milik berdaulat Israel tetapi seluruh penempatan haram Yahudi di Tebing Barat Palestin. Wilayah perairan diiktiraf sebagai milik berdaulat Israel. Israel juga akan merampas Lembah Jordan sebagai wilayah mereka.

Pelan tajaan Zionis itu bukan sahaja menyerahkan wilayah Palestin yang dijajah Zionis kepada Israel, malah menegaskan bahawa sekatan akan terus dikenakan ke atas Gaza selagi mana Hamas dan Jihad Islam Palestin memiliki senjata.

Seksyen Tujuh pelan tajaan AS-Zionis jelas menggesa sebarang angkatan bersenjata Palestin dibubarkan demi keselamatan Israel dan pasukan polis Palestin akan ditubuhkan dengan bimbingan Israel supaya keselamatan Zionis itu terjamin.

Rejim haram Israel diberi hak untuk meningkatkan penguasaan tentera mereka ke atas wilayah Palestin pada bila-bila masa. Rejim Israel diberi hak membina stesen amaran awal dalam wilayah Palestin. Akses tanpa had diberi kepada tentera rejim Zionis untuk keluar masuk wilayah Palestin untuk akses stesen ini dan diberi hak untuk menghantar kapal udara dan dron ke dalam wilayah Palestin.

Dalam Sekyen Lapan, segala proses pembuatan akan dikawal demi keselamatan rejim Zionis Israel. Di bawah Seksyen Sembilan, Hamas dan Jihad Islam tidak akan diterima untuk berkuasa dalam kerajaan Palestin selagi mana mereka tidak mengiktiraf seluruh entiti haram Zionis Israel. Seluruh tentera Israel yang ditangkap oleh Palestin mesti dibebaskan dan dikembalikan kepada pihak rejim Zionis Israel.

Dalam Seksyen ke-20, Palestin dipaksa mengakui Israel sebagai negara bangsa Yahudi. Dalam Seksyen ke-20, Palestin diharamkan daripada menyertai mana-mana pertubuhan organisasi antarabangsa tanpa izin rejim haram Israel. Dalam Seksyen ke-20 juga, Palestin diharamkan daripada mengambil sebarang tindakan ke atas Israel dan AS di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dan tribunal-tribunal lain.

Dengan angkuhnya Trump dan Netanyahu memberi amaran bahawa pelan itu adalah satu-satunya cara untuk Palestin diiktiraf menjadi sebuah negara merdeka dengan syarat mesti menerima cadangan pelan tidak masuk akal itu.

Pelan yang turut dikarang menantu Trump yang pro-Zionis, Jared Kushner itu bahkan menghina seluruh umat Islam apanila mencadangkan wilayah terpinggir di Timur Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.

Pelan tajaan Zionis-AS itu juga tidak segan silu turut mencadangkan kerjasama Israel dengan Palestin, Mesir, Arab Saudi, Jordan, dan UAE bagi memerangi Iran.

Buat masa ini, seluruh pemimpin Palestin sama ada daripada PLO mahu pun Hamas menolak keras pelan tajaan Trump yang disokong kuat Netanyahu itu. Begitu juga dengan Iran yang lantang mengkritik pelan tersebut.

Hairannya, ada negara-negara Arab yang sebaliknya menyokong pelan tajaan AS pro-Zionis ini.

Semoga ALLAH melindungi para pejuang-Nya yang mempertahankan bumi Palestin.

Oleh Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : sinarharian.com.my

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply