Pelihara anak tidak sah taraf ikut syariat, kemanusiaan

BANYAK sekali kes pengabaian hak kanak-kanak berlaku di negara ini. Selain menjadi mangsa perselisihan dan persengketaan ibu bapa atau keluarga, mereka turut tersepit dalam kancah kehidupan apabila dilahirkan di luar ikatan perkahwinan sah.

Berdasarkan perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara antara 2010 hingga 2018, seramai 172,811 anak tak sah taraf beragama Islam di negara didaftarkan yang terbahagi kepada dua kategori, iaitu lahir dalam ikatan sah tetapi gagal didaftarkan manakala selebihnya anak zina.

Bagaimanapun mereka juga berhak mendapat hak penjagaan, perlindungan dan nafkah, termasuk makan minum, tempat tinggal, pakaian, pendidikan, penjagaan kesihatan serta kebajikan tanpa mengira latar sejarah ibu bapa mereka.

Mereka juga memiliki hak mewarisi harta, menerima wasiat dan hibah serta melangsungkan perkahwinan yang sah apabila tiba masanya. Hak itu dijamin undang-undang sivil dan syariah. Dari sudut undang-undang sivil, mereka sama seperti kanak-kanak lain dan tertakluk kepada peruntukan Akta Kanak-kanak 2001.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Abidah Abdul Ghafar, berkata dari sudut undang-undang syariah, mereka menikmati hak sama seperti anak sah taraf dalam mendapatkan penjagaan, perlindungan dan nafkah dengan beberapa perbezaan dan syarat tertentu.

“Pelaksana hak itu mungkin berbeza seperti jika pada asalnya, tanggungjawab melunaskan hak penjagaan, perlindungan dan nafkah adalah ke atas bapa, bagi anak tidak sah taraf, tanggungjawab itu terletak ke atas ibu.

“Kewajipan menanggung nafkah anak tidak sah taraf terletak di atas ibu dan keluarga ibu,” katanya.

Katanya, Seksyen 80 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) dan Seksyen 81 bagi Selangor, wanita yang cuai atau enggan menanggung nafkah anaknya yang tidak sah taraf dan tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan anak yang dilahirkan akibat rogol, mahkamah boleh memerintahkan wanita berkenaan memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah apabila dibuktikan.

“Elaun bulanan di bawah seksyen itu hendaklah dibayar dari tarikh bermulanya kecuaian atau keengganan menanggung nafkah atau dari sesuatu tarikh yang kemudian mengikut seperti dinyatakan dalam perintah itu.

“Jika ibu tidak mampu atau meninggal dunia, tanggungjawab itu akan berpindah kepada waris yang berhak menerima pusaka, iaitu nenek dan saudara lelaki seibu.

“Justeru, sangat jelas tuntutan terhadap ibu dan keluarga sebelah ibu untuk menjaga serta menunaikan hak anak berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun kata Abidah, tanggungjawab itu juga dipikul pemerintah yang berkaitan dengan kesejahteraan kanak-kanak seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan agensi di bawahnya seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain rumah perlindungan yang membantu anak tidak sah taraf dan ibu tunggal.

“Walaupun negara sudah mencapai kemajuan, stigma terhadap tidak sah taraf masih berlaku sedangkan anak itu tidak berdosa.

“Perlu diingat orang yang melakukan maksiat dan dosa ialah ibu dan lelaki yang menyebabkan kelahirannya.

“Hak dan tanggungjawab terhadap anak tidak sah taraf adalah sama seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Beliau berkata, mereka berhak dibesarkan dengan baik dan penuh kasih-sayang serta dijaga kebajikannya.

“Masyarakat tidak sewajarnya memandang serong, mencemuh, menghina atau melayan mereka berbeza daripada kanak-kanak lain,” katanya.

Tegas Abidah, dari segi nasab dan penentuan bin atau binti anak, hukum asal anak luar nikah hendaklah dibinkan kepada ibunya berdasarkan hadis Rasulullah SAW: Anak (luar nikah) itu adalah hak ibunya dan bagi bapa (penzina) adalah batu sahaja (rejam). (HR Bukhari dan Muslim)

Namun, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1981 memutuskan anak zina atau anak di luar nikah sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua-dua ibu bapa atau tidak hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah atau kepada nama Allah (Asma ul-Husna) yang lain.

“Jika bapa luar nikahnya bernikah dengan ibu kandungnya, statusnya menjadi bapa tiri dan anak tidak sah taraf sebagai anak tirinya, sekali gus akan menjadi mahram setelah percampuran (persetubuhan) antara ibu bapa itu.

“Jadi dalam perkara ibadat, hukum terpakai ke atas anak adalah seperti anak tiri dan bapa tiri, iaitu mahram dalam menentukan batas aurat dan hukum pembatalan wuduk, manakala anak lain yang lahir dalam perkahwinan ibu bapa akan menjadi adik-beradik seibu kepada anak tidak sah taraf itu,” katanya.

Abidah berkata, apabila melangsungkan perkahwinan, hak perwalian anak tidak sah taraf terserah kepada ibunya, manakala perwalian nikah, kedudukan anak adalah sebagai seorang yang tidak mempunyai nasab lelaki.

Katanya, bapa tidak boleh mewalikan pernikahan jika anak perempuan tidak sah taraf itu ingin berkahwin, sebaliknya hak perwalian akan berpindah kepada wali hakim yang akan diputuskan Mahkamah Syariah.

“Bagi urusan perwarisan dan pembahagian harta pusaka, hukum faraid terpakai ke atas anak adalah seperti anak atau adik-beradik seibu dalam keluarga itu.

“Anak tidak sah taraf tidak terputus hubungan dengan ibunya dan boleh mewarisi antara satu sama lain. Jika ibu meninggal dunia, anak boleh mewarisi hartanya dan begitu juga sebaliknya.

“Hukum faraid membenarkan anak dan ibunya serta saudara sebelah ibu saling mewarisi,” katanya.

Tegas Abidah, ibu bapa yang mahu menerangkan kepada anak-anak mengenai kedudukan mereka sebagai anak tak sah taraf perlu melakukannya secara berhemah dan penuh hikmah berdasarkan kesesuaian umur.

“Namun tiada kewajipan menceritakan perkara sebenar, apatah lagi jika berbuat demikian akan membuka aib seseorang apatah lagi kita dituntut menutup aib sendiri dan orang lain selagi berupaya,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Universiti Teknologi PETRONAS, Abd ur-Rahman Mohamed Amin, berkata meskipun anak adalah anak tak sah taraf dari sudut undang-undang syariah, mereka tetap berhak mendapat kehidupan sebagai kanak-kanak normal.

“Sebagai kanak-kanak yang masih kecil, mereka berhak mendapat perlindungan orang dewasa, diberikan makan minum mencukupi, pakaian selesa dan pendidikan.

“Paling utama pendidikan agama yang berkesan dan mendapat perlindungan daripada tekanan psikologi serta emosi daripada sebahagian masyarakat yang memandang hina kedudukan mereka.

“Masyarakat perlu melayani anak luar nikah sama seperti melayani anak lain tanpa perlu dibezakan,” katanya.

Tambah Abd ur-Rahman, kesalahan ibu bapa tidak perlu dibebankan kepada anak tidak sah taraf, sebaliknya perlu diberikan peluang menjadi anak bermanfaat dan mampu meraih rahmat serta kasih sayang Allah SWT untuk masuk ke syurga-Nya.

Oleh Hafizah Iszahanid

Sumber : Berita Harian Online

No Comments

    Leave a reply