Pemantapan keyakinan, akidah lahir kesempurnaan iman

 

Keyakinan diri antara sifat mencerminkan keperibadian Muslim unggul dan bertakwa kepada Allah SWT. Islam sebenarnya menitikberatkan aspek pemantapan keyakinan dan kekuatan akidah.

Apabila seseorang mengucapkan dua kalimah syahadah diikuti keyakinan digilap dan akidah diperkasakan, individu itu akan menjadi Muslim taat dan patuh terhadap perintah Allah SWT.

Keyakinan ialah keadaan hati merasai ketenangan tanpa terselit sebarang keraguan dalam setiap tindakan. Ia menjadi ilmu yang bertindak sebagai perisai tidak dapat ditembusi angan-angan, zhan (lebih banyak menyangka betul dalam maklumat diperoleh tetapi tidak yakin sepenuhnya); syak; waham (lebih banyak menyangka salah dalam maklumat diperoleh) dan jahil.

Malah, keyakinan sebenarnya nur dijadikan Allah SWT dalam sudut hamba-Nya beriman hingga nur keyakinan jelas dilihat melalui segala tindakannya. Ulama tasawuf tersohor, Sheikh Junaid al-Baghdadi pernah berkata: “Keyakinan ialah ketetapan ilmu tidak berubah-ubah dan terumbang-ambing serta tidak mudah goyah dalam hati.”

Keyakinan ialah amalan hati yang menjadi tanda kesempurnaan iman Muslim. Ia juga kunci dalam mengenal Allah SWT sebagai Pencipta dan Pentadbir alam semesta. Justeru, iman Muslim akan bertambah mantap dan kukuh. Tanpa keyakinan, iman akan mudah goyah dan luntur serta mudah terkena penyakit lalai, lupa diri serta ragu-ragu.

Barangkali inilah inti pati ingatan Rasulullah kepada umat Baginda: Yang sangat aku takuti antara ketakutanku terhadap umatku ialah lemahnya keyakinan. Ini kerana lemahnya keyakinan akan mendorong seseorang kepada lupa akan agamanya dan akan bergaul dengan orang bersifat kasar dan keras kepala. (HR Tabarani dan Baihaqi)

Kisah sahabat ternama dalam sejarah Islam membuktikan keyakinan utuh antara prasyarat ke arah kegemilangan Islam dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Kisah Bilal Rabah RA pasti segar dalam ingatan kerana biarpun beliau dijemur setiap hari di tengah terik matahari dengan kedua-dua belah tangan dan kaki terikat serta batu besar diletakkan di atas dada, beliau bertahan dengan keyakinannya yang tidak pernah luntur kepada Islam.

Begitu juga dengan kisah Sumayyah yang menyayat hati hingga menemui syahid dengan tusukan tombak daripada kemaluan hingga ke tenggoroknya hanya kerana mempertahankan keyakinan dan akidahnya kepada Allah SWT.

Ia antara kisah tragis tetapi unggul yang menyingkap kisah pengorbanan peribadi terbilang pada zaman Rasulullah SAW, sekali gus hasil pemantapan keyakinan dan akidah. Natijahnya, lahir generasi awal hasil asuhan secara langsung Rasulullah SAW sebagai umat terbaik dan berkualiti dalam menerajui panji Islam, menongkah arus dan menyusun langkah memantulkan nilai Islam dan iman ke serata pelusuk dunia.

Ulama tasawuf membahagikan yakin kepada tiga peringkat, iaitu ilmu yakin, ainul yakin dan haqqul yakin.

Ilmu yakin dipetik dari firman Allah SWT: “Demi sesungguhnya! kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin (ilmu yakin).” (Al-Takathur: 5)

Ia berlaku apabila yakin baru bertapak di kotak fikiran. Contohnya, seseorang masuk ke hutan, sudah tentu terfikir ada binatang liar seperti harimau dan ular. Begitulah hal seseorang beribadat dan beriman hanya dengan menggunakan kaedah akal fikiran dan ilmu zahir sahaja. Penetapan akan adanya Allah SWT hanya dilakukan dengan perbahasan ilmu yang belum bertapak kukuh dalam hati.

Ainul Yakin pula difahami melalui firman Allah SWT: “Selepas itu – demi sesungguhnya – Kamu (wahai orang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yakin (ainul yakin) (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya).” (al-Takathur: 7)

Penglihatannya lebih jelas daripada ilmu yakin. Contohnya, seseorang masuk ke hutan menemui bekas tapak kaki harimau, sudah tentu secara rasionalnya ada harimau melalui kawasan itu, sekali gus membuatkan hatinya takut. Sama hal seseorang beribadat dengan hati yakin dan nampak kebesaran Allah SWT dengan mata hati. Ibadat orang sebegini amat kemas dan adab serta akhlaknya halus, manakala tauhid kukuh di lubuk hatinya. Hatinya tidak mudah goyah dan sentiasa memohon perlindungan Tuhan.

Haqqul yakin difahami firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya al-Quran itu adalah kebenaran diyakini (haqqul yakin/ dengan seyakin-yakinnya).” (Al-Haqqah: 51).

Seperti hal bekas tapak kaki harimau dilihatnya tadi secara ainul yakin, kini haiwan itu dilihat berada di hadapannya dengan penglihatan mata kasarnya. Sudah pastinya, ia akan menambahkan ketakutan individu berkenaan. Begitulah keadaannya Muslim beribadat dan beriman kepada Allah SWT, melihat dengan mata hatinya akan kebesaran Allah SWT.

Keadaan inilah yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW apabila Baginda ditanya mengenai hakikat ihsan, iaitu ‘kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatnya; jika kamu tidak melihat-Nya sekalipun, maka ingatlah sesungguhnya Allah melihat kamu.’

Dalam tahap ini, barulah Muslim dapat mencapai haqqul yakin, iaitu berasakan kehadiran Allah SWT dalam amalan, perilaku dan tindakannya setiap detik. Dia juga akan merasai kemanisan iman tiada tolok bandingnya dan menikmati kebahagiaan abadi dunia dan akhirat.

Oleh itu, setiap Muslim wajib memantapkan keyakinannya kepada Allah SWT yang menjadi jalan menuju kesempurnaan iman hakiki. Sheikh Ahmad Ibnu Ashim al-Antaki pernah berkata: “Sesungguhnya paling sedikit yakin apabila sudah sampai ke lubuk hati, maka hatinya akan penuh dengan cahaya, keraguan akan hilang, jiwanya penuh dengan rasa kesyukuran dan rasa takut kepada Allah akan bertambah.”

Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2020/07/707455/pemantapan-keyakinan-akidah-lahir-kesempurnaan-iman

 

No Comments

    Leave a reply