Pembaziran sumbang kenaikan harga

Saya terbaca keratan akhbar mengenai rakyat Malaysia membuang kira-kira 3,000 tan makanan yang masih elok setiap hari. Jumlah itu dikatakan dapat mengisi perut dua juta orang.

Angka pembaziran bertambah buruk pada musim perayaan dengan peningkatan 15 hingga ke 20 peratus, terutama pada Ramadan.

Ia mengejutkan, kerana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sekitar 820 juta penduduk dunia masih kebuluran, terutama di kawasan bergolak. Yang pasti pembaziran sepatutnya boleh dielakkan.

Makanan adalah keperluan asas manusia. Ia komponen penting dalam mengukur kos sara hidup di sesuatu kawasan. Jika harga makanan mahal, kos sara hidup akan meningkat.

Antara punca harga makanan meningkat disebabkan bekalan terhad. Apabila bekalan terhad, kita terpaksa mengimportnya daripada negara luar, lantas harga makanan itu menjadi mahal.

Dengan kadar pembaziran tinggi, rakyat tidak boleh meletakkan 100 peratus kesalahan kepada kerajaan jika harga makanan terus meningkat.

Pelbagai kempen dan promosi dijalankan kerajaan untuk mengurangkan pembaziran makanan dalam kalangan rakyat. Antaranya, kempen ‘Hargai Makanan, Elakkan Pembaziran’ yang diwujudkan ke setiap negeri dengan bantuan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp). Ia untuk menyeru masyarakat agar menghargai makanan serta mengelak pembaziran.

Berdasarkan kajian SWCorp, isi rumah terdiri lima anggota keluarga membelanjakan purata RM900 sebulan untuk makanan dan satu perempat daripadanya terbuang ketika penyediaan, memasak dan sisa selepas makan. Maknanya kira-kira RM225 nilai makanan dibuang dan jumlahnya mencapai RM2,700 setahun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bercadang menggubal Akta Pembaziran Makanan dalam mengawal selia dan menangani isu pembaziran makanan yang semakin berleluasa. Secara tidak langsung ia dapat membantu mengurangkan kos sara hidup.

Langkah berkenaan penting untuk membendung gejala ini daripada bertukar kepada tabiat.

Namun, kajian menyeluruh perlu untuk mendapat sokongan rakyat dalam membanteras pembaziran makanan ini.

Didikan, kempen dan tempoh waktu yang cukup diperlukan sebelum menggubal akta ini. Ia bagi memastikan rakyat peka dan sedar kesan membuang makanan yang masih boleh dimakan.

Perancis menjadi negara pertama mengharamkan pasar raya daripada membuang atau memusnahkan makanan yang tidak terjual, memaksa pengendali pasar raya mendermakannya kepada badan amal dan bank makanan.

Dasar itu dimulakan penduduk Perancis, diikuti kempen akar umbi oleh pembeli, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis yang menentang pembaziran makanan dan akhirnya membawa kepada petisyen, seterusnya dibentangkan ke Parlimen.

Di Turki pula, hasil sokongan kerajaan dan swasta, termasuk cef hotel terkemuka, pembaziran roti berjumlah 2.8 bilion Lira Turki berjaya dikurangkan dalam tempoh setahun.

Malaysia boleh mengikuti jejak langkah sama. Program Bank Makanan diwujudkan pada 2018 mendapat sambutan menggalakkan.

Ia bertujuan mengurangkan pembaziran makanan dengan menyalurkannya kepada golongan sasaran.

Ia dikembangkan kepada institusi pengajian tinggi dalam membantu siswa siswi menangani kos sara hidup yang semakin tinggi.

Dengan dasar seperti di Perancis, program Bank Makanan di Malaysia boleh mendapat manfaat sama, selain bertahan dengan bekalan yang tidak putus. Bagi yang bekerjasama menjayakan program ini, mereka berhak mendapat pengecualian cukai pendapatan daripada kerajaan.

Selain bantuan kerajaan dan swasta, apakah yang boleh kita lakukan untuk mengelak pembaziran?

Pertama, senaraikan makanan yang selalu dibazirkan. Dengan cara ini, kita mendapat gambaran jelas mengenai makanan harian yang selalu dibazirkan dan mengetahui kenapa ia tidak dihabiskan. Seperti kata pepatah, mengukur baju di badan sendiri.

Kedua, menyenaraikan bekalan makanan yang hendak dibeli sebelum berbelanja. Ini membantu memberi fokus kepada pembelian agar tidak membeli barangan yang tidak diperlukan.

Ketiga, elak membeli semua barangan dalam bentuk pukal. Betul, membeli secara pukal menjimatkan kos, tetapi bolehkah semua itu dihabiskan dalam tempoh masa terdekat?

Keempat, berkongsi makanan. Menurut Mae Ooi, pengasas bersama Mentari Alam EKO, penduduk bandar lebih banyak membuat pembaziran makanan berbanding luar bandar. Lebihan makanan penduduk luar bandar berakhir pada ternakan mereka.

Di bandar, sama ada bujang ataupun tidak, tidak menjadi penghalang untuk berkongsi makanan. Daripada jiran tetangga hingga rakan sepejabat, lebihan rezeki boleh dikongsi. Ia juga mengeratkan hubungan.

Banyak lagi panduan untuk mengelak membazirkan makanan, namun ia perlu bermula dengan diri sendiri. Disiplin, fokus dan terus istiqamah dalam membenihkan perubahan ke arah lebih berwawasan.

Selain teknologi, transformasi diri juga penting untuk mewujudkan masyarakat yang berfikiran maju, cerdas dan berdaya saing.

Rakyat cuma perlu peka dan rasional terhadap keadaan sekeliling.

Oleh Amir Jalal Pegawai Penyelidik di EMIR Research

Sumber : bharian.com.my

No Comments

    Leave a reply