Negeri berkenaan ialah Perlis, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Pembentukan kerajaan negeri di Perak, Kedah dan Sabah pula masih ‘tergantung’ memandang tidak ada parti yang melepasi majoriti mudah.

Bagi 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah, Barisan Nasional (BN) memenangi 29 kerusi, PKR (dua), DAP (enam), Parti Warisan Sabah (21) dan Parti Solidariti Tanah Airku (dua).

Daripada 36 kerusi DUN yang dipertandingkan di Kedah pula, PKR menguasai 18 kerusi, PAS menang 15 kerusi dan BN (tiga) manakala di Perak, PKR menang 29 kerusi, BN (27) dan PAS (tiga) daripada keseluruhan 59 kerusi DUN.

Bagi PKR, ia memerlukan sekurang-kurangnya satu lagi kerusi DUN untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah di Perak dan Kedah.


Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Othman Mahmood berkata suruhanjaya itu hanya boleh mengumumkan bilangan kerusi yang dimenangi parti-parti bertanding tetapi tidak boleh memutuskan parti mana yang layak membentuk kerajaan negeri.

“Terpulang kepada parti masing-masing untuk berbincang. Kita tidak boleh tentukan siapa yang bentuk kerajaan,” katanya.

PKR menguasai negeri-negeri di Pantai Barat untuk membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

BN pula akan membentuk kerajaan negeri di Perlis dan Pahang manakala PAS di Kelantan dan Terengganu. – BERNAMA