PEMBERI DAN PENERIMA KEDUA-DUANYA MASUK NERAKA

Gejala rasuah ke belakangan ini semakin merimaskan berikutan merebaknya kes rasuah yang membabitkan banyak pihak. Terbaharu ialah berita seorang Pengurus Besar anak syarikat Tenaga nasional Bhd (TNB) didakwa rasuah RM1.8 juta dan sebuah kereta BMW. Sebelumnya isu rasuah dikaitkan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam isu pembelian banglo yang dikatakan terlalu murah berbanding harga pasaran dan berita penahanan Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan yang membabitkan penyelewengan dana berjumlah RM 100 juta.

Rasuah datang dalam pelbagai kaedah. Ada melalui acara permainan golf, janji pakej umrah malah tidak keterlaluan rasuah menggunakan wanita cantik untuk memperoleh sesuatu perkara yang dihajatinya, selain menggunakan wang dan menaja percutian mewah seseorang. Kebiasaannya, orang yang dijadikan sasaran ialah mereka yang mempunyai kedudukan atau ada kuasa membuat keputusan berhubung dengan apa yang diinginkan itu. Menurut anggaran terbaru, negara dikatakan mengalami kerugian besar jika gejala rasuah tidak dapat dibendung.

Dalam konteks rasuah di Malaysia, paling banyak kita menerima laporan ialah mengenai salah laku penjawat awam. Sebenarnya, yang patut juga dipersalahkan ialah tangan yang memberi kerana dalam sistem persaingan, mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai hasrat dan tujuan.

Penjawat awam berkenaan dilaporkan mula memegang jawatan tersebut sejak tahun 2008 dan ditahan bersama-sama lapan kontraktor, termasuk seorang wanita dari syarikat pengurusan acara yang diberikan kontrak. Kontraktor berkenaan didakwa telah membantu penjawat awam itu memiliki beberapa buah kereta mewah, barangan kemas, beg berjenama, unit amanah dan melancong ke luar negara.

Ketua Setiausaha Negara ketika mengulas isu ini menjelaskan bahawa tindakan  segera yang boleh diambil ke atas penjawat awam yang melanggar peraturan berdasarkan Peraturan 43, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, dan menggesa KBS mengemukakan perakuan “perintah tahan kerja.”

Apabila seseorang penjawat awam dikenakan “perintah tahan kerja”, pegawai berkenaan tidak akan menikmati apa-apa lagi kemudahan sebagaimana ketika beliau berkhidmat. Selama proses itu berjalan, dari siasatan dan keputusan mahkamah dibuat, pegawai berkenaan tidak memperoleh apa-apa emolument atau elaun. Sekiranya proses berkenaan mengambil masa bertahun-tahun lamanya, penjawat awam berkenaan akan “menderita” sepanjang tempoh berkenaan. Jika didapati bersalah, hukuman berat akan ditentukan oleh mahkamah, termasuk dipenjarakan.

Semua orang tahu bahawa bahawa rasuah merupakan perbuatan yang tercela dan melanggar undang-undang sehingga ramai yang membenci rasuah. Namun ramai yang terjebak dengan amalan rasuah kerana mendatangkan keuntungan duniawi secara pantas sehingga ia ‘dirindui’. Kadang-kadang dalam hati pelaku rasuah muncul perasaan bercampur baur antara benci dan rindu. Dibenci kerana rasuah membahayakan sistem dan kepentingan orang ramai, namun ‘dirindui’ kerana kemampuannya menghasilkan kepentingan material dalam sekelip mata.

Penulis yakin bahawa ‘pertarungan’ batin mempertaruhkan benci dan rindu seperti itu sentiasa ada di dalam dada para pelaku perasuah. Namun seringkali godaan duniawi dan kenyamanan kehidupan hedonis menjadikan faktor kebencian kerap dikesampingkan dan kerinduanlah yang didakap sebagai pilihan sehingga yang disebut terakhir inilah yang akan memenangkan pertarungan batin itu.

Kerinduan itu semakin menjadi-jadi dan keinginan untuk melampiaskannya semakin terbuka lebar ketika apabila undang-undang dan penguatkuasaan tidak ditegakkan. Ketelusan dan urustadbir tidak berjalan serta rakyat tidak ada yang mengawal dan menilai perjalanan pentadbiran. Situasi seperti inilah yang menjadikan gejala rasuah semakin merebak di semua peringkat masyarakat. Jika keadaannya seperti itu, tidak adakah kaedah yang berkesan bagi menghentikan gejala negatif ini?

Sudah tentu pasti ada. Pilihannya kembali ke tangan kita seberapa jauh komitmen dan kesungguhan membanteras rasuah ini sungguh-sungguh dijalankan? Bak pepatah ‘tidak ada keruh yang tidak akan jernih, tidak ada kusut yang tidak akan selesai’ bila kita mahu menggunakan hati nurani dan akal sihat dalam menghapus rasuah. ‘Kembali ke pangkal jalan’ dan menghidupkan lagi cara hidup yang sederhana. ‘Kembali dan ingat lagi ke ajaran agama’ dan meletakkan ajaran Allah sebagai pegangan dan sumber segala perkara. Kukuhkan lagi keupayaan rakyat sebagai ‘social control’ bagi mengawasi semua pihak yang berpotensi melakukan rasuah.

Perbuatan rasuah atau penyelewengan dana yang diamanahkan untuk kepentingan peribadi merupakan perbuatan keji yang bukan sahaja dikutuk oleh masyarakat bahkan Islam melaknatkan pelakunya. Islam memandang berat perbuatan rasuah kerana ia boleh memusnahkan negara dan menghancurkan etika bermasyarakat.

Dalam surah al-Baqarah, ayat 188, Allah SWT memberikan ketegasan mengenainya:

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Muhamad Bakr Ismail dalam al-Feqhul Wahdih misalnya mentakrifkan rasuah sebagai “sesuatu yang disogokkan kepada penzalim untuk mengambil hak yang bukan miliknya, atau untuk menghilangkan hak yang empunya sama ada atas motif dendam atau penipuan dengannya, dan mendapatkan satu kedudukan yang tidak sepatutnya atau pekerjaan yang dia tidak berkelayakan.”

Ulama tersohor pada masa kini, Yusof al-Qardhawi dalam kitab al-Halal wal Haram Fil Islam menukilkan perbuatan rasuah itu “termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil, iaitu menerima rasuah atau makan suap. Rasuah ialah wang diberikan kepada penguasa atau pegawai supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya agar menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada sesuatu kepentingan dan sebagainya.”

Berdasarkan takrifan berkenaan, kedua-kedua kes yang sedang berlegar dalam masyarakat itu tidak dapat dikaitkan dengan gejala rasuah. Bagaimanapun, disebabkan penjawat awam berkenaan menguruskan kontrak dan diamanahkan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna, memberikan faedah kepada kerajaan, maka ia dilihat tetap mempunyai unsur rasuah kerana menggunakan kedudukannya untuk mendapat ganjaran peribadi, iaitu memilik kekayaan berdasarkan komisyen mahupun “upah” dan membuat perakuan kepada apa yang tidak dilakukan oleh pihak kontraktor.

Rasullullah SAW ketika menghuraikan keburukan rasuah bersabda: “Pemberi rasuah, penerima rasuah & orang perantaraan menguruskan rasuah (orang tengah) semuanya sama akan dimasukkan ke dalam neraka.”  Neraka merupakan tempat di mana mereka yang melakukan kesalahan dan mengingkari perintah Allah SWT akan ditempatkan, termasuklah yang terbabit dengan gejala rasuah.

Perbuatan rasuah dikaitkan dengan sikap penerimanya yang mahukan kemewahan melampaui kemampuan manakala si pemberinya memperoleh keuntungan mudah atau “memadamkan” kesalahan yang dilakukan. Misalnya, seorang penunggang motosikal bersedia memberikan sogokan berupa wang kepada anggota polis yang menahannya kerana kenderaan dan penunggangnya tidak mempunyai lesen yang sah. Akibat tidak mempunyai lesen yang sah, kesalahan itu akan menyebabkan penunggang motosikal didakwa di mahkamah. Proses pendakwaan sehinggalah keputusan dibuat, memerlukan perbelanjaan yang besar dan masa yang lama.

Si pemberi rasuah biasanya mahukan sesuatu urusan hariannya dengan cepat tetapi dalam masa yang sama berusaha melangkaui peraturan dan norma yang sepatutnya. Si penerima rasuah pula sanggup “mengetepikan peraturan” sekiranya ganjaran diberikan sedangkan beliau sebenarnya sudah dibayar gaji untuk melaksanakan tugas berkaitan.

Budaya tersebut perlu dibenteras dan Islam memandang ia sebagai satu bentuk jihad yang boleh mengembalikan maruah dan keadilan. Budaya rasuah menjadi suatu bentuk pengkhianatan di mana rakyat yang tidak mempunyai sumber dan keupayaan tidak akan memperoleh sesuatu perkhidmatan yang sepatutnya mereka dapat. Bila rasuah menjadi amalan, ia akan merosakkan negara dan menghancurkan institusi masyarakat.

Masyarakat lebih berkiblatkan kemewahan, dan bila kemewahan menjadi tarikan, seluruh sistem akan hancur, sesama rakyat terus bersengketa dan kembali kepada hukum rimba. Sebab itulah rasuah sukar dibenteraskan walaupun difahami bahawa ia adalah “apa yang diberikan dengan tujuan memalsukan kebenaran dan membenarkan kepalsuan”, suatu perbuatan terkutuk yang dilaknat oleh Islam.

Catatan: Ibnu Farabi

No Comments

    Leave a reply