PEMERINTAHAN DAN AMIRIAH DI TANAH ARAB

APABILA membicarakan mengenai keadaan orang Arab sebelum kedatangan Islam, penulis berpendapat adalah perlu dibentangkan secara ringkas mengenai sejarah kerajaan, amiriah, ideologi dan agama-agama dalam kalangan orang Arab. Dengan itu akan memudahkan kita memahami peristiwa-peristiwa besar ketika munculnya agama Islam.

Para pemerintah Semenanjung Arab pada saat menjelangnya sinar Islam terbahagi kepada dua bahagian. Satu bahagian terdiri daripada kalangan raja-raja yang bermahkotakan kebesaran tetapi hakikatnya mereka bukanlah pemerintah yang merdeka. Satu bahagian lagi ialah pemerintah-pemerintah yang terdiri daripada kalangan ketua-ketua kabilah dan suku kaum di mana mereka juga memiliki kuasa pemerintahan dan keistimewaan seperti yang dimiliki oleh raja-raja. Kebanyakan mereka mempunyai kuasa memerintah secara bebas.

Adakalanya sebahagian daripada mereka merupakan pengikut kepada seorang raja bermahkota. Raja-raja bermahkota ialah raja-raja Yaman, raja-raja Dinasti Ghassan dan raja-raja Hirah. Selain daripada tiga kumpulan raja ini, yang selainnya hanyalah pemerintah-pemerintah yang tidak memiliki mahkota kebesaran.

Kerajaan Yaman

Bangsa paling silam dari kalangan Arab Aribah yang dikenali di Yaman ialah kaum Saba. Sejarah mengenai mereka ditemui melalui bahan-bahan arkeologi Aur 25 tahun Sebelum Masihi. Kegemilangan tamadun mereka serta pertapakan kekuasaan dan pengaruh mereka bermula 11 abad Sebelum Masihi.

Peringkat-peringkat yang dilalui oleh kerajaan ini boleh dibahagikan mengikut anggaran berikut:

  1. Abad-abad yang berlalu sebelum tahun 650SM

Pada masa ini, raja-raja mereka diberi gelaran ‘Makrib Saba’. Ibu negara mereka ialah bandar Sarwah yang kesan-kesan peninggalannya boleh ditemui dengan menempuh perjalanan sehari ke sebelah barat bandar Marib yang dikenali dengan nama Kharibah. Pada zaman merekalah bermulanya pembinaan tembok yang dikenali sebagai Tembok Marib. Tembok ini mempunyai kepentingan yang besar dalam sejarah Yaman. Ada pendapat yang mengatakan bahawa kerajaan Saba berjaya meluaskan pengaruhnya sehingga berjaya mendapat tanah-tanah jajahan di bumi Arab dan luarnya.

  1. Sejak tahun 650SM hingga 115SM

Pada zaman ini mereka telah meninggalkan gelaran ‘Makrib’ dan raja-raja mereka dikenali dengan nama ‘Muluk (Raja-raja) Saba’. Mereka menjadikan Marib sebagai ibu negeri menggantikan Sarwah. Kesan peninggalan kerajaan ini dapat dilihat di sekitar jarak 60 batu dari Sanaa hingga ke bahagian timurnya.

  1. Sejak tahun 115SM hingga tahun 300M

Pada zaman ini, kabilah Himyar telah berjaya menewaskan kerajaan Saba. Mereka menjadikan bandar Raydan sebagai ibu negeri menggantikan Marib. Bandar Raydan selepas itu diberi nama Zafar. Kesan peninggalannya dapat dilihat di atas sebuah bukit bulat berhampiran Yarim. Pada zaman ini, kerajaan ini mulai mengalami zaman kejatuhan dan kemerosotan. Perdagangan mereka mengalami kerugian yang besar disebabkan oleh penguasaan orang Nubti (Nabaten) di utara Hijaz, diikuti dengan kejayaan Rom menguasai jalan perdagangan laut setelah mereka menakluk Mesir, Syria dan Hijaz utara. Selain itu, kemerosotan ini juga disebabkan oleh persaingan antara kabilah-kabilah. Inilah faktor-faktor yang menyebabkan Dinasti Qahtan berpecah-belah dan berhijrah ke negara-negara yang jauh.

  1. Sejak tahun 300M hingga Islam tersebar ke Yaman

Pada zaman ini, kerajaan Yaman menghadapi kekacauan dan berbagai-bagai peristiwa yang silih berganti. Rampasan kuasa silih berganti; peperangan saudara kerap kali tercetus sehingga menyebabkan mereka terdedah kepada ancaman kuasa-kuasa asing yang akhirnya berjaya menghancurkan kemerdekaan mereka. Pada zaman inilah, tentera Rom berjaya masuk ke Adn (Aden), dan dengan bantuan tentera Rom ini, orang Habsyah berjaya menjajah Yaman buat pertama kalinya pada tahun 340M. Jelas, orang Habsyah telah mengambil kesempatan dari perbalahan yang berlaku antara kabilah Hamdan dan Himyar. Penjajahan Habsyah ke atas Yaman berlanjutan sehingga tahun 378M. Hanya selepas itu, Yaman berjaya mendapat kemerdekaannya.

Malangnya, Tembok Marib yang kukuh itu mulai retak sehingga akhirnya berlaku banjir besar yang disebut di dalam al-Quran sebagai ‘Sayl al-‘Arim (Banjir al-Arim)’ pada tahun 450M atau 451M. Peristiwa banjir itu adalah satu kemalangan besar yang menyebabkan runtuhnya bangunan-bangunan dan rakyat jelata berpindah-randah ke merata tempat.

Pada tahun 523M, seorang Yahudi bernama Dhu Nuwas telah memimpin satu serangan yang hebat ke atas orang Kristian Najran. Dhu Nawas berusaha untuk mengalihkan pegangan orang Kristian Najran daripada ajaran Kristian dengan cara kekerasan. Oleh kerana orang Kristian ini enggan, Dhu Nawas telah menggali beberapa parit dan mencampakkan mereka ke dalam api. Ini disebut di dalam al-Quran melalui firman Allah:

Maksudnya: “Binasa dan celakalah kaum yang menggali parit.”

(Al-Buruj: 4)

Akibat tindakan ini, orang Nasrani yang giat membuka dan memperluaskan pengaruh jajahan di bawah pimpinan Maharaja Rom telah melancarkan serangan terhadap negara-negara Arab. Mereka memberi rangsangan kepada orang Habsyah dan membekalkan armada laut untuk memerangi Arab. Hasilnya, sebanyak 70,000 tentera Habsyah telah memasuki dan menawan Yaman buat kali keduanya pada tahun 525M di bawah pimpinan Ariyat. Ariyat menjadi pemerintah bagi pihak Raja Habsyah sehinggalah dia dibunuh oleh Abrahah – salah seorang panglima perangnya. Abrahah kemudian mengambil alih tempat sebagai pemerintah Yaman setelah mendapat perkenan Raja Habsyah. Abrahah inilah orangnya yang mengerahkan angkatan tentera untuk meruntuhkan Kaabah. Dia dan bala tenteranya dikenali sebagai ‘Ashabul Fil (Angkatan Bergajah)’.

Selepas peristiwa angkatan bergajah yang gagal meruntuhkan Kaabah, orang Yaman berusaha mendapatkan bantuan daripada pihak Parsi. Mereka bangun menentang tentera Habsyah sehingga berjaya menyingkir mereka keluar dari negeri Yaman. Yaman berjaya mendapat semula kemerdekaan pada tahun 575M di bawah pimpinan Maad Yakrib bin Sayf Dhi Yazin al-Himyari, lalu dia dilantik sebagai raja. Maad Yakrib telah mengekalkan sekumpulan tentera Habsyah bersama-sama dengannya untuk dijadikan khadam dan pengiringnya dalam perjalanan yang dilakukannya. Namun, pada suatu hari mereka (tentera Habsyah tersebut) telah membunuhnya. Dengan kematian Maad Yakrib, terputuslah pemerintahan kerajaan Yaman daripada keluarga Dhi Yazin.

Kisra Parsi telah melantik seorang gabenor berbangsa Parsi untuk memerintah Sanaa dan menjadikan Yaman sebagai sebahagian daripada wilayah Parsi. Gabenor-gabenor dari Parsi silih berganti memerintah Yaman sehingga yang terakhir daripada kalangan mereka, iaitu Badhan, yang memeluk Islam pada tahun 638M. Dengan keislamannya, maka berakhirlah penguasaan Parsi ke atas negeri Yaman.

Kerajaan Hirah

Kerajaan Parsi memerintah Iraq dan negara berdekatannya sejak mereka memperoleh kekuatan melalui Korosh Agung (557-529SM) di mana tiada seorang pun yang mampu menentangnya sehinggalah munculnya Iskandar Macedonia (326SM) yang berjaya menewaskan Raja Parsi ketika itu, iaitu Dara 1, serta memusnahkan kekuatan mereka. Ini membawa kepada perpecahan negara Iraq. Negara yang berpecah-pecah itu dipimpin oleh raja-raja yang dikenali dengan panggilan Raja-raja Tawaif. Golongan raja-raja ini terus memerintah negara Iraq yang bercerai-berai itu sehingga tahun 230M. Pada zaman raja-raja ini, orang Arab Qahtan berjaya menjajah satu bahagian daripada kawasan perdusunan di Iraq. Kemudian orang Arab Adnan menyerang mereka sehingga berjaya mendiami sebahagian daripada kawasan Semenanjung Furat.

Buat kali kedua, Parsi berjaya mengembalikan kekuatannya iaitu pada zaman Ardasyir – pengasas kerajaan Sasaniyah sejak tahun 226M. Dia telah berjaya menyatupadukan kekuatan Parsi dan menguasai orang Arab yang mendiami kawasan-kawasan sempadan kerajaannya. Inilah faktor yang menyebabkan Qudaah berpindah ke Syam; dia turut diikuti oleh penduduk Hirah dan Anbar.

Pada zaman Ardasyir, Judhaymah al-Waddah merupakan penguasa Hirah dan seluruh penduduk yang mendiami pendalaman Iraq dan Semenanjung Arab; mereka ini terdiri daripada kalangan Bani Rabiah dan Mudar. Ardasyir dilihat seolah-olah berpendapat bahawa adalah mustahil baginya untuk memerintah bangsa Arab secara langsung serta menghalang mereka dari melancarkan serangan ke atas sempadan kerajaannya. Apa yang boleh dilakukan tidak lain ialah, melantik seorang raja daripada kalangan bangsa Arab ini yang mempunyai hubungan darah yang dapat menyokong serta mempertahankannya.

Dari sudut yang lain, dengan cara begitu, dia dapat meminta bantuan orang Arab untuk menghadapi raja-raja Rom yang menjadi kebimbangannya. Orang Iraq boleh diperguna untuk berhadapan dengan orang Arab Syam yang menjadi alat kepada raja-raja Rom. Justeru, Ardasyir telah meninggalkan sepasukan tentera Parsi bersama-sama Raja Hirah agar dapat dijadikan sebagai bantuan apabila menghadapi orang Arab yang memberontak terhadapnya.

Selepas kematian Judhaymah pada tahun 628M, Hirah diperintah oleh Amru bin Adiy bin Lafr al-Lakhmiy. Beliau merupakan raja pertama dari kalangan Bani Lakhmiy; pemerintahannya ialah semasa zaman Kisra Sabur bin Ardasyir. Selepas daripada itu, raja-raja Hirah sentiasa daripada kalangan Bani Lakhmiy sehinggalah kerajaan Parsi diperintah oleh Qubadh bin Fayruz. Semasa zaman Qubadh, muncul seorang yang bernama Muzdak yang menyeru kepada fahaman mazhab Ibahi. Qubadh telah mengikut ajaran Muzdak, dan ramai rakyatnya juga turut mengikuti ajaran tersebut.

Qubadh telah menghantar utusan kepada Raja Hirah waktu itu, iaitu al-Mundhir bin Maal-Sama, menyerunya agar menganut mazhab Ibahi dan menjadikannya sebagai agama anutannya. Namun, al-Mundhir enggan menerima seruan tersebut demi menjaga nama baik dalam kalangan anak bangsa serta keturunannya. Lantaran itu, Qubadh telah menyingkirkan al-Mundhir dan tempat al-Mundhir diganti oleh al-Harith bin Amru bin Hajar al-Kindi yang bersetuju untuk menerima mazhab Muzdaki.

Selepas Qubadh, kerajaan Parsi diperintah oleh Kisra Anu Syarwan. Dia sangat membenci mazhab Muzdaki, lalu, telah membunuh Muzdak serta ramai pengikutnya. Anu Syarwan mengembalikan pentadbiran Hirah kepada al-Mundhir dan memburu al-Harith bin Amru. Namun, al-Harith berjaya memboloskan dirinya lari ke Dar Kalb dan terus berada di sana sehingga kematiannya.

Selepas al-Mundhir bin Maal-Sama, kerajaan Hirah terus berada di bawah pemeritahan anak-pinaknya sehinggalah zaman pemerintahan al-Nu’man bin al-Mundhir yang dibenci oleh Kisra disebabkan fitnah yang direncanakan oleh Zayd bin Adi al-Ibadi. Kisra telah menghantar utusannya kepada Nu’man supaya datang menghadapnya. Lalu, Nu’man pun keluar dan dalam perjalanannya, secara rahsia, dia telah singgah menemui Hani bin Masud, ketua Dinasti Syayban lalu menitipkan keluarga dan harta bendanya kepada Hani.

Nu’man meneruskan perjalanan untuk menghadap Kisra. Sesampainya di sana, Kisra telah memenjarakan Nu’man sehingga mati. Sebagai gantinya, Hirah diperintah oleh Iyas bin Qubaysah al-Taiy. Apabila Iyas memerintah, dia telah menghantar utusan kepada Hani bin Masud supaya menyerahkan apa yang ada di sisinya (yang diserahkan oleh Nu’man) tetapi atas semangat setia kawan, Hani enggan menyerahkannya. Lantaran itu, Iyas mengisytiharkan perang terhadap Hani. Tidak lama kemudian, datanglah seorang panglima Kisra bersama-sama pasukannya untuk menyokong Iyas. Lalu, berlakulah pertempuran hebat antara kedua-dua pihak itu di Dhi Qar. Pertempuran tersebut dimenangi oleh Bani Syayban, sementara tentera Parsi mengalami kekalahan teruk. Inilah kali pertama orang Arab berjaya mengalahkan tentera Parsi. Peristiwa ini berlaku tidak lama selepas kelahiran Rasulullah SAW. Rasulullah SAW dilahirkan lapan bulan selepas Iyas bin Qubaysah memerintah Hirah.

Selepas Iyas, Kisra Parsi telah melantik seorang pemerintah Parsi untuk mentadbir Hirah. Pada tahun 632M, kerajaan Hirah kembali  kepada keluarga Lakhm. Lalu, daripada kalangan mereka itu seorang yang bernama al-Mundhir (digelar al-Ma’rur) dilantik sebagai pemerintah Hirah. Tetapi penguasaannya terhadap Hirah tidak melebihi lapan bulan apabila Khalid al-Walid bersama-sama angkatan tentera Islam datang menyerangnya.

Kerajaan Syam

Pada masa orang Arab dilanda fenomena penghijrahan kabilah-kabilah, anak-pinak puak Khuzaah memilih untuk berhijrah ke tempat-tempat utama di Syam dan menetap di sana. Mereka ialah daripada Bani Sulayh bin Halwan yang di antara mereka ialah Bani Dajam bin Sulayh yang dikenali dengan nama al-Dajaimah. Mereka ini telah diperguna oleh tentera Rom untuk menghalang orang Arab darat dari melancarkan sesuatu tindakan. Mereka juga dijadikan sebagai persediaan untuk menentang Parsi.

Kerajaan Rom telah melantik seorang raja dari kalangan mereka. Setelah daripada itu, dalam masa beberapa tahun, raja-raja saling bertukar ganti dalam kalangan mereka. Antara raja-raja mereka yang terkenal ialah Ziyad bin al-Habulah. Zaman pemerintahannya dianggarkan sekitar awal abad kedua Masihi hingga penghujung abad tersebut. Kekuasaan al-Dajaimah ini berakhir setelah ketibaan Bani Ghassan yang berjaya menewaskan mereka. Lantaran itu, kerajaan Rom melantik mereka sebagai raja-raja kepada orang Arab Syam. Pangkalan tentera mereka bertempat di Daumatul Jundal. Peranan orang Ghassan sebagai wakil pihak Rom di Syam terus menerus berlanjutan sehinggalah terjadi peperangan Yarmuk pada tahun 13H, di mana raja mereka yang terakhir iaitu Jabalah bin al-Ayham bersetuju untuk berada di bawah kerajaan Islam semasa pemerintahan Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab r.a.

Pemerintahan di Hijaz

Nabi Ismail a.s mengendalikan urusan kepimpinan Makkah dan penguasaan terhadap Kaabah sepanjang hidupnya. Baginda a.s wafat ketika umur baginda mencapai 137 tahun. Selepas kewafatan Nabi Ismail a.s, Makkah dipimpin oleh dua anaknya iaitu Nabit, dan kemudiannya, Qaydar. Namun, ada pendapat yang mengatakan sebaliknya. Selepas mereka berdua, urusan Makkah dikendalikan oleh datuk mereka iaitu Mudad bin Amru al-Jurhumiy. Lalu, beralihlah kepimpinan Makkah kepada datuk mereka dan terus menerus berada di tangan keturunan mereka. Anak-pinak Nabi Ismail a.s mempunyai kedudukan yang dihormati disebabkan bapa mereka merupakan pembina Kaabah, namun mereka tidak memiliiki sebarang kuasa pemerintahan.

Masa dan hari berlalu, sedangkan keadaan anak-pinak Nabi Ismail a.s semakin lemah tanpa diingati oleh orang ramai. Apabila Bani Jurhum mulai mengalami kelemahan pada saat-saat kemunculan Bukthanasar, kuasa politik Makkah mula bersinar di tangan keturunan Adnan. Ini dibuktikan melalui serangan Bukthanasar ke atas orang Arab di Dhat Irq, di mana panglima perang orang Arab tidak berada di tangan keturunan Jurhum.

Bani Adnan, setelah serangan kedua yang dilancarkan oleh Bukthanasar (578SM), bertebaran di Yaman. Barmiyah al-Nabi pergi ke Syam bersama-sama Maad. Apabila tekanan daripada Bukthanasar dapat dipatahkan, Maad kembali semula ke Makkah. Sekembalinya dia, didapati tiada seorang pun daripada kalangan kabilah Jurhum melainkan Jursham bin Jalhamah. Lalu, dia mengahwinkan anak perempuannya yang bernama Muanah dengan Jursham. Hasil perkahwinan itu, Muanah telah melahirkan anak lelaki yang diberi nama Nizar.

Setelah itu, kedudukan Jurhum di Makkah semakin buruk. Keadaan hidup mereka semakin sukar. Lantaran itu, mereka telah menganiaya orang yang datang ke Makkah. Mereka menghalalkan harta Kaabah. Tindakan ini menimbulkan kemarahan orang Arab Adnan. Apabila Bani Khuzaah sampai ke Mar al-Zahran, mereka dapati orang Arab Adnan melarikan diri daripada Bani Jurhum. Lantas, mereka mengambil kesempatan tersebut untuk memerangi Bani Jurhum dengan bantuan suku-suku Adnan, iaitu Bani Bakr bin Abd Manaf bin Kinanah. Akhirnya mereka berjaya mengusir orang Jurhum keluar dari Makkah, dan mereka mengendalikan pemerintahan Makkah. Peristiwa ini berlaku pada pertengahn abad kedua Masihi.

Apabila orang Jurhum hendak meninggalkan Makkah, mereka telah menimbus telaga Zamzam dan menghilangkan kedudukan tempatnya. Di dalam telaga itu, mereka menanam banyak benda. Ibn Ishaq berkata, “Amru bin al-Harith bin Mudad al-Jurhumiy keluar membawa dua pemidang Kaabah dan batu penjuru al-Aswad lalu ditanamnya di dalam telaga Zamzam. Setelah itu, dia dan orang Jurhum yang lain beredar menuju ke Yaman. Mereka merasa amat sedih kerana terpaksa meninggalkan Makkah dan kekuasaannya. Dalam hal ini, Amru mengungkapkan syairnya:

Bagaikan antara al-Hujun dengan as-Safa itu tiada seorang manusia pun dan tiada seorang yang berbicara malam di Makkah. Bahkan kamilah ahlinya, tetapi kami dimusnahkan oleh bencana malam dan orang-orang tua yang lemah.

Jangka waktu Nabi Ismail a.s hidup dianggarkan dalam jarak 20 kurun Sebelum Masihi. Kerana itu, anggaran mengenai jangka masa penempatan Jurhum di Makkah ialah kira-kira 21 kurun. Mereka memerintah hampir 20 tahun lamanya. Setelah Bani Khuzaah menyingkirkan mereka, Bani Khuzaah mula memerintah Makkah secara bersendirian tanpa melibatkan Bani Bakr. Walaupun begitu, kepada kabilah-kabilah Mudar, diberikan tiga peranan:

Pertama: Membawa manusia dari Arafah ke Muzdalifah serta mereka mempunyai hak untuk memberi kebenaran semasa Hari Nafar untuk berlepas dari Mina. Urusan itu dikendalikan oleh Bani al-Ghawth bin Murrah daripada anak-pinak Ilyas bin Mudar. Mereka ini dikenali dengan panggilan ‘Sawafah’. Yang dimaksudkan dengan hak memberi kebenaran ini ialah, manusia tidak boleh melontar jamrah pada Hari Nafar melainkan terlebih dahulu dimulakan oleh seorang lelaki daripada kalangan Sawafah. Kemudian, apabila mereka telah selesai melontar dan mereka hendak bertolak dari Mina, golongan Sawafah ini akan berada di dua penjuru Jamrah Aqabah. Tidak seorang pun yang boleh melintasi Aqabah melainkan setelah mereka terlebih dahulu melintasinya. Setelah itu, barulah mereka membiarkan manusia dengan urusan masing-masing. Setelah golongan Sawafah ini meninggal dunia, maka kerja-kerja mereka diambil alih oleh Bani Saad ibn Zayd Manah bin Tamim.

Kedua: Ifadah, iaitu mengumpulkan manusia untuk berlepas dari Juma’ pada pagi Hari Nahar ke Mina. Tugas ini diserahkan kepada Bani Adwan.

Ketiga: Menunda bulan haram. Tugas ini diserahkan kepada Bani Tamim bin Adiy dari Bani Kinanah.

Penguasaan Bani Khuzaah ke atas Makkah berlanjutan selama 300 tahun. Semasa pemerintahan mereka, orang Arab Adnan bertebaran di merata tempat di Najd, kawasan-kawasan pinggiran Iraq dan Bahrain. Di pinggir-pinggir Makkah masih ada keturunan Quraisy. Ada yang tinggal dalam kawasan Tanah Haram dan ada yang berada di kawasan tanah halal. Rumah-rumah mereka terdapat berserakan di kawasan kaum mereka daripada kalangan Bani Kinanah. Orang Quraisy pada masa itu tidak mempunyai sebarang peranan terhadap Makkah atau Kaabah, melainkan setelah kedatangan Qusay bin Kilab.

Kisah mengenai Qusay ada menyebut bahawa bapanya mati ketika beliau masih dalam jagaan ibunya (masih kecil). Setelah bapanya mati, ibunya berkahwin dengan seorang lelaki dari Bani Udhrah iaitu Rabiah bin Haram. Rabiah membawa ibu Qusay ke negerinya di pinggiran Syam. Apabila Qusay dewasa, dia kembali semula ke Makkah. Pemerintah Makkah ketika itu ialah Hulayl bin Habsyah bin Khuzaah. Qusay telah melamar puteri Hulayl yang bernama Hubba dan lamarannya diterima oleh Hulayl, lalu mereka pun dikahwinkan. Setelah Hulayl meninggal dunia, tercetuslah peperangan antara Bani Khuzaah dengan Bani Quraisy yang akhirnya membawa kepada kejayaan Qusay menguasai pemerintahan Makkah dan pengendalian Kaabah.

Terdapat tiga riwayat yang menyebut mengenai sebab berlakunya peperangan ini:

Pertama: Setelah Qusay mendapat anak yang ramai dan harta yang banyak serta kedudukan yang mulia, dan Hulayl pula meninggal dunia, Qusay berpendapat bahawa dialah yang lebih layak mengendalikan urusan Kaabah dan pentadbiran Makkah berbanding Bani Khuzaah dan Bani Bakr. Ini kerana Quraisy berasal dari zuriat Nabi Ismail a.s yang tulen. Dengan itu, Qusay telah menggesa beberapa orang Quraisy dan Bani Kinanah supaya mengusir Bani Khuzaah dan Bani Bakr dari Makkah. Gesaannya ini mendapat sahutan daripada mereka.

Kedua: Hulayl – seperti yang didakwa oleh Bani Khuzaah – telah mewasiatkan agar Qusay menjaga Kaabah dan mentadbir Makkah.

Ketiga: Hulayl telah mengurniakan kepada puterinya, Hubba, kekuasaan terhadap Kaabah dan mengambil Abu Ghabsyan al-Khuzaiy sebagai wakil puterinya itu. Lalu, Abu Ghabsyan menjalankan tugas pengendalian Kaabah sebagai wakil bagi Hubba. Setelah Hulayl meninggal dunia, Qusay telah membeli kuasa pengendalian Kaabah daripada Abu Ghabsyan dengan bayaran sekantung arak. Bani Khuzaah tidak berpuas hati dengan cara pembelian ini. Mereka cuba menghalang Qusay dari menguasai Kaabah. Qusay kemudiannya telah mengumpulkan beberapa orang lelaki Quraisy dan Bani Kinanah untuk mengusir Khuzaah dari Makkah, dan gesaan Qusay itu diterima oleh lelaki-lelaki tersebut.

Setelah kematian Hulayl dan setelah golongan Sawafah menjalankan peranan yang ditugaskan kepada mereka, Qusay bersama-sama orang Quraisy dan Kinanah datang kepada mereka seraya berkata, “Kami lebih berhak mendapat tugas ini daripada kamu.” Dengan tindakan itu, golongan Sawafah memeranginya tetapi Qusay mendapat kemenangan disebabkan sokongan yang ada padanya. Dalam peperangan itu, Bani Khuzaah dan Bani Bakr tidak menyokong Qusay, lalu Qusay mengisytiharkan penentangan terhadap mereka serta mengumpulkan orangnya untuk berperang. Lalu, terjadilah peperangan yang hebat di mana ramai orang Bani Khuzaah dan Bani Bakr yang terkorban di tangan angkatan Qusay.

Setelah itu, mereka menyeru diadakan perdamaian dan melantik Yamar bin Auf, salah seorang daripada Bani Bakr, menjadi hakim. Yamar telah memutuskan bahawa Qusay lebih berhak terhadap Kaabah dan pemerintahan Makkah berbanding Bani Khuzaah. Setiap jiwa yang dibunuh oleh Qusay daripada kalangan mereka adalah bebas sementara Khuzaah dan Bani Bakr bertanggungjwab membayar diat atas setiap jiwa yang mereka bunuh. Qusay hendaklah dibiarkan bebas untuk mengendalikan Kaabah. Lalu, sejak hari itu, Yamar dinamakan ‘al-Syaddakh’ (pembatal).

Penguasaan Qusay ke atas Makkah dan Kaabah berlaku pada pertengahan abad kelima Masihi, iaitu pada tahun 440M. Dengan perdamaian itu, Makkah jatuh ke tangan Qusay. Orang Quraisy kemudiannya mendapat ketuanan penuh serta kuasa memerintah di Makkah. Quraisy telah menjadi ketua agama bagi Kaabah yang merupakan sasaran kunjungan orang Arab dari seluruh Semenanjung Tanah Arab.

Antara yang dilakukan oleh Qusay di Makkah ialah mengumpulkan kaumnya keluar dari rumah-rumah mereka, menuju ke Makkah dan menjadikan satu perempat dari kawasan Makkah sebagai tempat kediaman kaumnya. Dia menetapkan untuk semua kaum dari Quraisy kedudukan-kedudukan mereka. Qusay juga memperakukan jawatan-jawatan yang diserahkan kepada Bani al-Nasah, Ali Safwan, Adwan dan Murrah bin Auf kerana pada anggapannya, itu merupakan tugas keagamaan yang terpikul atas dirinya dan tidak boleh diubah-ubah.

Antara jasa-jasa yang ditinggalkan oleh Qusay ialah mengasaskan Dar al-Nadwah di sebelah utara masjid Kaabah dan menjadikan pintunya menghadap ke arah masjid. Tempat itu merupakan tempat persidangan orang Quraisy. Di situlah mereka menyelesaikan urusan-urusan mereka yang berkepentingan. Dar al-Nadwah mempunyai kelebihannya bagi orang Quraisy kerana ia berperanan menyatukan perpaduan serta menyelesaikan permasalahan mereka dengan cara yang baik.

Antara jawatan dan penghormatan yang diberikan kepada Qusay ialah:

  1. Memimpin Dar al-Nadwah: di dalam Dar al-Nadwah inilah mereka bermesyuarat untuk menyelesaikan masalah-masalah penting dan mengahwinkan anak-anak perempuan mereka.
  2. Kuasa panji-panji: panji-panji perang tidak akan dilancarkan melainkan melalui tangannya.
  3. Kuasa hijabah, iaitu hijabah Kaabah (pengawal pintu Kaabah): pintu Kaabah tidak boleh dibuka kecuali olehnya. Dialah yang mengendalikan urusan perkhidmatan dan penyelenggaraan Kaabah.
  4. Memberi minum kepada jemaah haji: mereka membekalkan minuman dari beberapa kolam air untuk jemaah haji di samping sedikit kurma dan anggur kering. Manusia yang datang ke Makkah akan minum air dari kolam-kolam yang disediakan itu.
  5. Rifadah haji iaitu makanan untuk jemaah haji sebagai tetamu: pada musim haji, Qusay mengenakan cukai ke atas orang Quraisy dari harta benda mereka. Cukai itu kemudiannya dibelanjakan untuk membiayai makanan jemaah haji, iaitu diberikan kepada mereka yang tidak berkemampuan dan yang tidak membawa bekalan.

Semua urusan yang disebutkan ini dikuasai penuh oleh Qusay. Semasa hayat Qusay, anaknya, Abd Manaf mendapat kedudukan terhormat dan diberikan kuasa mentadbir. Abd al-Dar pula tidak disenangi. Lalu Qusay berkata kepadanya, “Akan kuserahkan untuk engkau mengendalikan urusan kaum ini walaupun mereka tidak menyenangimu.” Lalu Qusay mewasiatkan tugas-tugasnya yang berkaitan dengan kepentingan orang Quraisy kepada Abd al-Dar. Diwasiatkannya kuasa berkaitan Dar al-Nadwah, urusan hijabah, panji-panji, minuman untuk para haji dan rifadah haji. Setiap perkara yang dilakukan oleh Qusay tidak pernah dibantah. Semasa hidupnya dan selepas kematiannya, segala perintahnya dianggap sebagai ‘agama’ yang mesti dipatuhi.

Maka, setelah dia mati, anak-pinaknya melaksanakan wasiatnya tanpa sebarang perbalahan. Namun, setelah Abd Manaf meninggal dunia, anak-anaknya pula mulai berebut dengan anak-pinak bapa saudara mereka, iaitu Abd al-Dar, untuk mendapatkan jawatan-jawatan ini. Lantaran itu, orang Quraisy mulai berpecah kepada dua kumpulan sehingga hampir-hampir terjadi peperangan dalam kalangan mereka. Namun, mereka segera mengambil langkah perdamaian dan membahagi-bahagikan jawatan-jawatan tersebut.

Jawatan siqayah dan rifadah diserahkan kepada anak-pinak Abd Manaf sementara urusan Dar al-Nadwah, panji-panji dan hijabah terus kekal di tangan anak-pinak (Bani) Abd al-Dar. Bani Abd Manaf, setelah menerima jawatan itu, menjalankan undi sesama mereka untuk menentukan siapakah dalam kalangan mereka yang akan mengetuai jawatan tersebut. Cabutan undi memihak kepada Hashim bin Abd Manaf. Maka, dialah orang yang mengendalikan urusan siqayah dan rifadah sepanjang hidupnya. Setelah dia meninggal dunia, saudaranya al-Muttalib bin Abd Manaf menggantikannya. Selepas al-Muttalib, tugas itu diserahkan kepada Abd al-Muttalib bin Hashim bin Abd Manaf, iaitu datuk Rasulullah SAW. Selepas itu urusan tersebut diserahkan kepada anak-anaknya sehinggalah apabila kedatangan Islam, tugas tersebut disandang oleh al-Abbas bin Abd al-Muttalib.

Selain jawatan-jawatan yang disebutkan ini, orang Quraisy juga turut mendapat jawatan lain yang mereka agih-agihkan sesama mereka. Dengan jawatan-jawatan yang lain ini, mereka membentuk kerajaan-kerajaan kecil, atau dengan ungkapan yang lebih lengkap, membentuk seakan-akan kerajaan kecil yang menjalankan amalan demokrasi. Bagi kerajaan-kerajaan kecil ini, terdapat peranan-peranan berbentuk kerajaan yang seakan-akan peranan parlimen pada masa kini. Berikut disebutkan secara ringkas mengenai jawatan-jawatan tersebut:

  1. Al-Isar: mengendalikan panah-panah yang digunakan untuk meminta hajat daripada berhala-berhala. Jawatan ini diserahkan kepada Bani Jumah.
  2. Penyeliaan harta benda: sistem penyeliaan korban dan nazar yang disumbangkan kepada berhala-berhala, serta urusan menyelesaikan perbalahan dan aduan. Tugas ini diserahkan kepada Bani Sahm.
  3. Syura: diserahkan kepada Bani Asad.
  4. Isynaq: sistem diat dan denda; diserahkan kepada Bani Tayyim.
  5. Al-Iqab: membawa panji-panji kebangsaan; diserahkan kepada Bani Umaiyyah.
  6. Al-Qubbah: sistem lokasi ketenteraan dan kepimpinan angkatan berkuda; diserahkan kepada Bani Makhzum.
  7. Kedutaan: diserahkan kepada Bani Adiy.

Pemerintahan Masyarakat Arab yang Lain

Terdahulu telah disebut mengenai siri-siri penghijrahan kabilah Qahtan dan Adnan, di mana negara-negara Arab dibahagi-bahagikan antara dua kabilah ini. Oleh sebab itu, mana-mana tempat yang di bawah kabilah ini yang berdekatan dengan Hirah, maka ia akan mengikut kerajaan Arab di Hirah. Tempat yang hampir dengan Syam, adalah mengikut kerajaan Ghassan. Akan tetapi pembahagian ini hanya pada nama sahaja, sedangkan pada praktisnya, tidak berlaku.

Adapun kabilah-kabilah yang mendiami tempat-tempat lain di kawasan pedalaman Semenanjung Arab adalah bebas secara mutlak dari sebarang keterikatan dengan mana-mana kerajaan. Pada hakikatnya, kabilah-kabilah ini mempunyai pemimpin yang memimpin mereka. Kabilah adalah seperti sebuah kerajaan kecil yang asas pembentukan politiknya ialah untuk menjaga kesatuan asabiyyah (kaum) dan mendapatkan kerjasama untuk menjaga tanah air dan menolak ancaman musuh.

Pangkat ketua-ketua kabilah dalam kalangan mereka adalah sama seperti pangkat raja. Suatu kabilah akan mengikut pandangan ketuanya dalam soal-soal keamanan dan peperangan tanpa sedikitpun mereka menyanggah.

Ketua kabilah mempunyai kuasa memerintah dan bertindak sendiri sebagaimana yang dijalankan oleh diktator yang kuat. Sehinggakan jika sebahagian daripada ketua-ketua tersebut, apabila marah, ribuan kaumnya akan menghunus pedang menandakan turut marah tanpa bertanya sebab kemarahan itu. Walaupun begitu, disebabkan adanya persaingan untuk menjadi ketua dalam kalangan anak-anak saudara pemimpin kabilah, menyebabkan mereka terpaksa menunjukkan layanan yang baik kepada semua orang seperti menghulurkan bantuan, memuliakan tetamu, menunjukkan sifat mulia dan penyabar, menampilkan sikap berani serta mempertahankan kebajikan orang lain dengan tujuan mendapat sanjungan di mata orang ramai terutama dalam kalangan para penyair yang merupakan suara kabilah pada zaman itu. Sikap yang ditunjukkan itu juga bertujuan supaya martabat mereka dapat menandingi pesaingnya.

Bagi ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin ini, ada hak-hak yang khusus. Mereka mengambil mirba, safiy, nashitah dan fadul dari harta-harta rampasan perang. Seorang penyair mengungkapkan:

Bagimu mirba antara kami dan safiy, Dan kuasamu serta nashitah dan fadul

Mirba bermaksud, satu perempat harta rampasan perang. Safiy ialah harta yang dipilih oleh ketua untuk dirinya terlebih dahulu sebelum dibahagi-bahagikan. Nashitah pula ialah harta yang diperolehi oleh ketua dalam perjalanan sebelum sampai ke kampung halaman. Fadul bermaksud, harta rampasan yang lebih setelah dibahagikan, yang tidak sesuai untuk dibahagi-bahagikan kepada para pejuang seperti unta, kuda dan seumpamanya.

Keadaan Politik

Telah dibincangkan mengenai pemerintah-pemerintah dalam kalangan orang Arab. Sekarang, akan disentuh pula secara umum mengenai keadaan politik mereka. Tiga kawasan pemerintahan yang berdekatan dengan kuasa asing akan menjadikan keadaan politiknya berada dalam keadaan tidak seimbang. Manusia dalam tiga kerajaan itu terbahagi kepada tuan dan hamba, atau pemerintah dengan yang diperintah.

Golongan tuan – terutamanya, orang asing – memiliki semua kekayaan sementara golongan hamba menanggung semua bebanan, atau dengan perkataan lain, ‘rakyat jelata ibarat ladang yang mengeluarkan hasil untuk kerajaan’. Kerajaan pula menggunakan hasil itu untuk keseronokan hawa nafsu, untuk mencapai impiannya serta menajamkan lagi kezaliman dan penindasan. Rakyat jelata pula terus berada dalam kebutaan, teraba-raba. Kezaliman melingkungi mereka dari segenap sudut. Mereka tidak berupaya untuk mengadu, malah terpaksa menelan racun kehinaan, kezaliman serta pelbagai penderitaan dalam keadaan diam membisu.

Keadaan ini menunjukkan pemerintahan yang bercorak diktator. Hak-hak setiap rakyat dipersiakan. Kabilah-kabilah yang berdekatan dengan tiga kerajaan ini mengambil sikap mengikut apa yang bertepatan dengan kehendak dan keinginan mereka. Ada kalanya mereka menyebelahi penduduk Iraq, dan ada kalanya menyebelahi Syam. Keadaan kabilah-kabilah di kawasan-kawasan pedalaman pula bagaikan terlepas ikatan; sering berlaku dalam kalangan mereka perbalahan puak serta perselisihan kaum dan agama, sehinggakan pernah diungkapkan oleh jurubicara mereka:

Aku ini hanya orang Ghaziah, kalau ia melencong

Aku pun melencong dan kalau ia betul aku pun betul

Mereka tidak mempunyai raja untuk mempertahankan kebebasan negara dan rakyat, atau sebagai tempat untuk dirujuk serta berpegang ketika menghadapi saat-saat genting.

Adapun kerajaan Hijaz dipandang oleh orang Arab dengan penuh sanjungan dan penghormatan. Mereka dianggap sebagai pemimpin dan pemberi khidmat pusat agama. Pada hakikatnya, kerajaan itu bercampur-aduk antara tuntutan keduniaan, kekuasaan dan keagamaan. Namun, mereka memerintah orang Arab di sebalik nama agama. Di Tanah Haram dan kawasan berdekatannya, kerajaan ini memerintah dengan menunjukkan peranannya sebagai penyelia kepada kepentingan rombongan haji ke Baitullah serta pelaksana ajaran syariat Nabi Ibrahim a.s. Kerajaan ini mempunyai peranan-peranan dan pembentukan jabatan yang seiras dengan peranan Parlimen pada hari ini. Walaupun begitu, kerajaan ini adalah kerajaan yang lemah dan tidak mampu menanggung bebanan yang kritikal sebagaimana yang terbukti semasa serangan yang dilancarkan oleh tentera Habsyah.

No Comments

    Leave a reply