PEMIMPIN PERLU DAHULUKAN RAKYAT DARIPADA KESENANGAN PERIBADI

Al-Ghazali pernah mengingatkan bahawa seseorang pemimpin perlu mendahulukan rakyatnya daripada kesenangan peribadi. Maka kerana itulah Islam terus menegah seseorang pemimpin daripada melakukan sesuatu yang di luar batasan. Apabila ada pemimpin sanggup menerima pemberian dalam bentuk tajaan mengerjakan haji, ia bukan boleh dianggap sebagai ibadah sebenarnya. Meskipun seseorang yang mampu diwajibkan mengerjakan haji, kewajipan itu hanyalah sekali.

Jika sudah banyak kali pergi, ia bukan lagi dilihat sebagai suatu kewajipan. Ia akan terus dipandang sebagai satu tindakan berlebihan, seolah-olah menggambarkan seseorang itu terlalu mewah, kerana setiap tahun “ingin ke sana”. Walhal lebih ramai lagi yang sepatutnya perlu dibantu, sekurang-kurangnya melalui wang tajaan, setiap tahun diberikan kepada rakyat yang berkeinginan untuk ke sana, tetapi tidak mampu.

Pemimpin yang layak dijadikan teladan ialah pemimpin yang melaksanakan tanggungjawab dengan jujur; mengutamakan rakyat dan bukannya menunjuk-nunjuk di depan rakyat. Walaupun menunaikan haji itu merupakan kewajipan bagi setiap orang Islam, ia hanyalah sekali seumur hidup bagi yang mampu.

Ada satu  kisah yang sangat menarik untuk kita renungi.Ada  malam, Rasulullah SAW mengimam solat Isyak. Setiap kali ketika baginda menggerakkan badannya, terdengarlah bunyi-bunyian seolah-olah tulang-temulang bergeser. Setelah selesai solat, seorang sahabat bertanya, “Apakah Rasulullah sedang sakit?” Dengan suara perlahan baginda pun menjawab, “Oh tidak! Saya sihat walafiat.”

Sahabat itu berasa pelik dan bertanya, lagi; “tetapi, mengapa tulang-tulangmu bergeseran (berbunyi) setiap kali Tuan bergerak sepanjang solat tadi?” Melihat para sahabat agak cemas, Rasulullah SAW kemudian membuka jubahnya. Maka nampaklah ikatan selempang kain yang dipenuhi dengan kerikil untuk menahan lapar. Sebenarnya, kerikil-kerikil itulah yang menimbulkan bunyi ketika baginda mengimam solat Isyak bersama para sahabatnya.

Umar bin Khattab tiba-tiba menjerit, “Ya, Rasulullah! Alangkah rendahnya diri kami dalam pandanganmu jika engkau mengatakan lapar dan kami tidak bersedia memberikan makanan lazat-lazat buatmu sedangkan kami semua hidup mencukupi, ya Rasul. Apakah kamu menyangka bahawa kami termasuk orang-orang bakhil?” Nabi Muhamad SAW dengan terharu menjawab, “Tidak wahai Umar! Bukan begitu maksudku. Aku percaya kamu para sahabatku yang sangat mencintai aku. Apalagi bukanlah sesuatu yang menyusahkan dengan hanya sekadar memberikan makanan untukku. Jangankan makanan, harta dan nyawa pun kalau perlu kamu sanggup serahkan.

“Tetapi di mana akan kuletakkan mukaku di hadapan Allah kalau aku sebagai pemimpin, justeru memberatkan orang-orang yang kupimpin? Biarlah aku lapar di dunia asalkan tidak membiarkan umatku dilanda kelaparan. Sebab, kemiskinan akan menyeret manusia ke lembah kekufuran.”

Cerita mengenai kesederhanaan dan kesanggupan Nabi Muhamad SAW menahan lapar itu sering kita dengar. Cerita keikhlasan dan kemurahan hati baginda ketika menghadapi suasana getir pun sudah kita tahu. Yang jarang kita dengar adalah hujah di sebalik sikap baginda yang cenderung dilihat sebagai sesuatu yang boleh menjadi kontroversi.

Hujah, pertama yang kita peroleh daripada kisah tersebut ialah baginda sentiasa mengambil berat mengenai kehidupan orang lain dan tidak ingin menyusahkan mereka, meskipun orang itu adalah para sahabat setianya yang sanggup menghulurkan apa sahaja bantuan apabila diperlukan.

Keduanya, baginda sanggup membiarkan dirinya lapar asalkan umatnya berada dalam kesenangan. Baginda tidak sedikit pun mengambil sikap mencari kesenangan hidup di atas kesusahan orang lain. Tidak mengumpul kesenangan di atas penderitaan rakyat yang dipimpinnya.

Teladan itu amat jarang kita dengar untuk zaman yang penuh dengan kemewahan kini. Pemimpin bukan lagi berusaha untuk memakmurkan rakyat, sebaliknya membina kedudukan tertinggi untuk dirinya sendiri, walaupun rakyat kebanyakan masih lagi dibelenggu kemiskinan.

Paling mengejutkan ada segelintir pemimpin yang dikatakan luhur dan jujur menerima sejumlah sumbangan yang boleh digunakan untuk keluarganya. Ada pihak yang sanggup menajanya, kerana yang menaja mungkin memperoleh sesuatu secara tidak langsung daripada hubungan dengan pemimpin itu.

Jauh daripada sifat kepimpinan sebenar. Nabi Muhamad SAW tidak pernah menganggap apa yang ada padanya sebagai “sesuatu yang membawa berkat”, kerana yang lebih berkat bagi baginda ialah apa yang dilakukan untuk membahagiakan umat yang dipimpinnya.

Baginda sanggup berkorban demi menyebarkan syiar Islam, tetapi kini pemimpin yang banyak menyanjungi Rasullullah SAW banyak menggunakan agama bagi memperkukuhkan kedudukan dan partinya.

Catatan : Ibnu Hibban

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply