PAS-UMNO BUKAN ‘MENYERANG’ DAN BINA ‘DASAR BUMI HANGUS’

 

EMPAT hari lalu, PAS dan UMNO dengan rasminya ‘bersanding’. Kebetulan, usia Kerajaan PH mencapai sepuluh bulan, UMNO dan PAS berjaya membentuk kerjasama untuk memperkukuhkan politik Melayu-Islam. Ketika ini, politik Melayu-Islam dilihat semakin tergugat apabila lebih ramai rakyat   mula mempertikaikan Nabi Muhammad SAW yang berkahwin dengan seorang perempuan berusia sembilan tahun.

Perkahwinan dibawah umur itu dianggap suatu tindakan yang tidak boleh diterima, ia ditakrifkan sebagai ‘phedopelia’. Persoalannya, apakah ‘phedopelia’ yang dikaitkan dengan Nabi Muhammad SAW berlaku saperti yang difahami maksudnya? Istilah ‘phedopelia’ terdiri dari perkataan asal dari bahasa Yunani, pais dan philia. Pais bermaksud “kanak-kanak” manakala philia ialah “cinta yang  bersahabat” atau “persahabatan”. Cinta pula dikaitkan dengan keinginan seks.  Secara harafiah, ‘phedopelia’ dikaitkan hubungan seks dengan kanak-kanak, iaitu lelaki berusia dengan kanak-kanak wanita. Kemudian, takrifan itu dikembangkan meliputi umur remaja.

Perkahwinan dalam Islam boleh dibenarkan sekiranya seseorang remaja wanita itu mencapai tahap akhil baligh, iaitu tanda keupayaan memperoleh anak atau kematangan seksual. Ia sudah beralih ke peringkat dewasa. Perkahwinan Nabi Muhammad SAW bukanlah bersifat ‘phedopelia’ dan ia berlaku sekitar 1,400 tahun silam. Kisah perkahwinan dibawah umur menurut istilah sekarang, bukan sahaja berlaku dalam kalangan umat Islam, bahkan keluarga diraja Britain turut mempunyai isteri dari kalangan remaja bawah umur. Bahkan, di beberapa buah negeri di Amerika Syarikat, amalan berkahwin dengan perempuan bawah umur masih berlaku hingga sekarang.

Masyarakat sekarang menjadi lebih takut kepada lelaki yang cenderung melakukan seks dengan kanak-kanak atau remaja bawah umur, bukan atas nama perkahwinan. Ia berasaskan kepada kecenderungan seks sehingga ada lelaki sanggup memaksa kanak-kanak melakukan seks, dan ada juga kes, mangsa kemudiannya dibunuh dengan kejam. Nabi Muhammad SAW berkahwin dengan Aisyah, kehidupan mereka begitu bahagia hingga ke akhir hayat. Aisyah juga menjadi orang kedua penting dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW selepas meninggalnya Khadijah, yang dikahwini baginda ketika usia 25 tahun dan isterinya adalah seorang janda berusia 40 tahun.

BERKASIH SAYANG

Nabi Muhammad SAW bukanlah seorang yang gilakan seks, hanya mengamalkan poligami selepas wafatnya Khadijah. Sedangkan  amalan poligami dikecam oleh masyarakat barat, memang benar-benar berteraskan seks. Poligami Nabi Muhammad SAW dengan tujuan untuk menjaga kehormatan wanita yang diceraikan oleh suami, kematian suami akibat berperang, dan  untuk memperlihatkan Islam sebagai wajah dan cara hidup yang berteraskan kasih sayang.

islamophobia

Akibat pemahaman yang cetek, semakin ramai bukan Islam memperlekehkan perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan Aisyah yang muncul ketika politik Malaysia sedang berubah kepada pemikiran liberal. Sebenarnya, mereka yang memperjuangkan politik liberal bukanlah merupakan seorang yang benar-benar berfikiran liberal. Ia hanya boleh menerima sesuatu sekiranya pihak yang bertentangan fahaman politik dan keturunan menyokong  ideologi politik mereka.

Sejak Kerajaan PH berkuasa, pemuafakatan parti-parti yang ditunjangi oleh orang Melayu semakin menjadi bahan ejekan dan dakwaan bukan sahaja bersifat rasis, bahkan bertentangan dengan semangat kebersamaan dan menghormati hak warganegara yang lain. Itu adalah pandangan segelintir pemimpin yang memang diketahui mempunyai agenda perkauman secara jelas ataupun tersembunyi di sebalik dakwaan parti mereka adalah berbilang kaum.

Ketika pemuafakatan PAS dan UMNO diumum, tiga pemimpin DAP begitu keras sekali mengkritik kerjasama berkenaan. Sebabnya kerjasama itu boleh memberikan tekanan kepada agenda besar mereka yang sedang dalam pelaksanaan. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyelar pemuafakatan PAS-UMNO sebagai bermulanya ‘pengisytiharan perang’ ke atas bukan Melayu. Dalam beberapa jam kemudian Lim Guan Eng menukarkan istilah “pengisytiharan perang’ kepada ‘menyasarkan’ bukan Melayu. Pendirian tersebut tetap dianggap sebagai satu bentuk provokasi melampau yang kalau tidak dapat dikawal boleh membangkitkan ‘permusuhan’ dan konflik perkauman yang lebih besar.

DASAR ‘BUMI HANGUS’

Selepas Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan tersebut, seorang lagi wakil rakyat DAP, iaitu Timbalan Menteri Pertahanan mengungkapkan kerjasamasa PAS-UMNO sebagai ‘dasar bumi hangus’. Dasar bumi hangus, mengikut Liew Chin Tong, “dasar yang merujuk kepada strategi menghapuskan semuanya untuk menang dalam apa jua keadaan.” Sebenarnya dasar bumi hangus ini telah lama dilaksanakan oleh DAP, semenjak parti itu mula ditubuhkan bagi menggantikan PAP selepas Singapura dikeluarkan dari Malaysia.

Sebelum terkeluarnya Singapura, PAP mempunyai seorang wakil rakyatnya di Tanah Melayu, iaitu C.V.Devan Nair (1923-2005). PAP  menang di Bangsar dalam PRU 1964. C.V. Devan Nair kemudian menubuhkan sebuah parti baharu bersama-sama Chan Man Hin dan didaftarkan pada 18 Mac 1966.

Pilihan Raya Umum 1969, DAP buat pertama kalinya bertanding dengan fokus utama menentang hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera (Perkara 153 Perlembangaan Persekutuan) dan meneruskan perjuangan PAP dengan slogan Malaysian Malaysia.

kontrak sosial

Beberapa orang pemimpin PH menterjemahkan idea Malaysian Malaysia ini sebagai‘ kebersamaan’ dan menyelar dasar afirmatif kerajaan terdahulu mengenai pemerkasaan orang Melayu dan Buimputera sebagai ‘memenuhi kepentingan peribadi’ dan ‘membolot kekayaan’ dalam kalangan elit politik yang berkuasa.

Kemenangan DAP dalam PRU 1969 adalah akibat ‘dasar bumi hangus’ yang diamalkan sehingga mencetuskan tragedi 13 Mei 1969. Baik Liew Chin Tong mahupun Lim Guan Eng, kenyataan itu saperti merefleksikan apa sebenarnya sikap dan pendirian DAP, terhadap orang Melayu-Islam di Malaysia. Akibat diserang oleh ramai pihak, Lim Guan Eng mempersoalkan sikap MCA yang tidak membantu mempertahankan apa yang dikatakan ‘menyasarkan bukan Melayu.’

MCA, menurut Presidennya, Dr Ir Wee Ka Siong, tidak pernah begitu celupar dan menyerang orang Melayu walaupun mempertahankan kepentingan orang Cina. MCA  memperjuangkan kesinambungan pendidikan Cina, dalam masa yang sama turut menyokong sekolah-skolah tahfiz dan pendidikan Islam, sedangkan DAP terus memainkan sentiment orang Melayu. Akibatnya, sayap pemuda UMNO, MIC, MCA dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan membuat laporan polis mendesak Lim Guan Eng disiasat di bawah Kanun Kesiksaan kerana mencetuskan provokasi. Beliau juga  didesak memohon maaf serta meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewaangan.

DIPERINTAH TALIBAN

Melalui satu berita yang tersiar dalam Kwong Wah Yit Poh yang kemudian dipetik oleh The Malaysian Gazette, Timbalan Yang di Pertua Dewan Rakyat, menyifatkan hubungan kerjasama PAS dan UMNO ‘menjadikan Malaysia saperti Aghanistan yang diperintah oleh Taliban sekiranya kedua-dua parti berjaya membentuk kerajaan sekaligus memecah belahkan rakyat’.

Ahli Parlimen Teluk Intan dan ADUN Aulong itu  memang diketahui umum terlalu marahkan penyatuan UMNO dan PAS.  Pemuafakatan tersebut akan menyebabkan kedudukan beberapa kerusi yang dimenangi oleh PH dalam PRU ke-14 akan tergugat, termasuklah perkiraan statistik mengenai kemungkinan ‘bertukarnya kerajaan’ di Perak dan Kedah. Dianggarkan sekitar dua puluh kerusi parlimen yang dimenangi oleh PH boleh tergugat dalam PRU ke-15 berdasarkan gabungan undi yang diperoleh PAS dan UMNO. Antaranya Parlimen Parti Buntar yang diwakili oleh Dr Mujahid Yusuf Rawa (PAN), Parlimen Lumut oleh Dr Hatta Ramli (PAN) dan Pokok Sena oleh Mahfuz Omar (PAN).

pakatan harapan

Kedudukan kerajaan negeri Kedah yang dipimpin oleh Mukhriz Mahathir dianggap paling kuat terancam kerana gabungan PAS dan UMNO boleh menyebabkan penguasaan PH tergugat akibat bilangan kerusinya adalah seimbang. Di Perak, keadaan untuk mengulangi apa yang pernah berlaku pada tahun 2009, ia sedikit sukar tetapi tetap ada. Keadaan yang berlaku dalam PH di Perak ialah adanya percubaan untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar yang pernah diselubungi penipuan ijazah dari Edith Cowan University. Beliau sebenarnya tidak memiliki ijazah berkenaan dan dikatakan tidak tamat pengajian.

Dua wakil rakyat UMNO Perak sudah mengisytiharkan diri keluar dari UMNO, dan ini memberikan kelebihan kepada PH untuk memerintah. Bagaimanapun, menurut ramalan penganalisis politik, kemungkinan dua wakil rakyat itu kembali menyertai UMNO tetap ada, PH sedang berhadapan dengan krisis dalaman. PKR turut mengalami situasi ‘tidak mesra’ setelah munculnya dua kem dalam parti, pro Azmin Ali dan pro Anwar Ibrahim. Nampaknya, DAP begitu bimbang dengan situasi yang berlaku, maka adalah lebih mudah Nga Kor Ming menyerang kerjasama PAS-UMNO menyerupai Taliban di Afghanistan.

Taliban dipersetujui sebagai sebuah pemerintahan yang mengamalkan tindakan kekerasan kepada pihak yang menentang perjuangan dan menyebelahi pihak barat. Ertinya, imej parti-parti politik Islam cenderung kepada keganasan diulang semula oleh Nga Kor Ming seolah-olah mengiyakan ‘ketakutan’ bukan Islam kepada pemimpin Melayu-Islam, terutama dalam kalangan pemimpin PAS. Nga berusaha mengulangi persepsi buruk ke atas Islam yang berjaya dimainkan oleh barat iaitu fenomena islamophobia.

Malangnya, ketika pemuafakatan PAS dan UMNO terjalin atas tujuan memperkuatkan politik Melayu-Islam, pemimpin-pemimpin Melayu-Islam dalam PH saperti tidak terkesan dengan pendirian DAP. Mohamad Sabu, Presiden PAN yang kecundang dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS pada tahun 2015, mempertahankan pendirian Lim Guan Eng, dan menyifatkan pengisytiharan perang dengan bukan Melayu hanyalah dalam kontek politik.

Mungkin Mat Sabu tidak berani mengkritik Lim Guan Eng mahupun pendirian pemimpin-pemimpin DAP lain kerana kedudukannya  cenderung kepada parti yang pernah disifatkan oleh Tun Dr Mahathir sebagai rasis. Mohamad Sabu, memang mendapat bantuan kewangan DAP untuk menubuhkan PAN, dan kerana itulah beliau akan mempertahan atau melunakkan setiap pendirian Lim Guan Eng, termasuk serangan terhadap pemuafakatan PAS-UMNO. Mohamad Sabu lebih vocal mengkritik PAS walaupun beliau pernah mengeluarkan kata-kata, tidak wajar mempercayai apa yang diucapkan sekiranya beliau meninggalkan perjuangan PAS.

LELUCON POLITIK MOHD SABU

Pandangan Mohamad Sabu akan tetap dianggap lelucon politik dan dalam masa yang sama beliau sedar untuk mempertahankan kedudukanya sebagai pemimpin kerajaan adalah lebih sukar berbanding ketika menjadi pembangkang. Pandangan itu sendiri mencerminkan semangat Mohamad Sabu yang tidak pernah serius dalam membuat sesuatu pendirian, bahkan, ketika membentangkan laporan ‘land swap’ tanah-tanah milik Kementerian Pertahanan.

Beliau secara tidak langsung mendedahkan kronisme Dr Mahathir kerana ia berlaku sejak tahun 1997, ketika Mahathir adalah Perdana Menteri Malaysia. Seluruh kabinet dalam pentadbiran Dr Mahathir ketika itu bertanggungjawab, termasuklah Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan dan Syed Hamid Albar sebagai Menteri Pertahanan. Masa kini, Mohamad Sabu turut terpalit dengan kritikan penjualan Hotel Royale Chulan kepada sebuah syarikat dari Singapura dengan harga RM 197 juta, di bawah harga pasaran.

Walaupun beliau sudah mengeluarkan kenyataan, penjualan itu masih dalam proses, orang awam tetap menyalahkan Mohamad Sabu kerana prosesnya telah pun dimuktamadkan. Syarikat dari Singapura telah  membayar deposit sekitar dua peratus. Memang, Royale Chulan masih belum bertukar tangan kerana pembayaran penuh belum berlaku. Ertinya, apakah Mohamad Sabu akan membatalkan pembelian oleh syarikat dari Singapura itu dan memulangkan deposit sebanyak dua peratus itu? Apakah ada kemungkinan syarikat Singapura itu menuntut pampasan ekoran ‘pembatalan kontrak jual beli tersebut’?

Jika  berlaku, ia bakal mengulangi kebodohan Kerajaan PH mengenai cadangan membatalkan pembinaan HSR dan ECRL. Menangguhkan pembinaan ECRL, menyebabkan kerajaan tetap membayar faedah ke atas pinjaman sekitar RM 400 juta setahun. Setakat ini untuk tempoh enam bulan, Kerajaan PH sudah membayar RM 200 juta kepada China. Pembatalan HSR juga menyebabkan Singapura berhak menyaman Malaysia, dan tentunya bayaran pampasan adalah besar.

ECRL yang dicadang dibatalkan, bakal dilaksanakan semula dengan spesifikasi lebih kecil. Perubahan spesifikasi tersebut  menyebabkan kos pembinaan berubah, ia bukanlah bererti penjimatan sepenuhnya. Rakyat tidak lagi boleh diperbodohkan bahawa Kerajaan PH berjaya menjimatkan kos pembinaan ECRL.  Harga yang lebih murah bukan bersandarkan spesifikasi yang sama atau setanding, ia adalah pengurangan dan penghapusan beberapa cadangan teknikal. Antaranya membeli gerabak keretapi elektrik dari enam koc kepada tiga koc, kurangkan bilangan keretapi dan kurangkan jumlah stesen.

STIGMA MELAYU PEMALAS

Pendirian Dr Mahathir mengenai pemuafakatan UMNO-PAS juga dilihat tidak menguntungkan PPBM, sebaliknya menyebabkan orang Melayu semakin bencikan PPBM. PPBM sudah pun ditolak oleh orang Melayu, kerana sikap Dr Mahathir. Cara beliau berfikir sering menyalahkan orang Melayu. Itu adalah penanda aras  kegagalannya sendiri. Ketika menjadi Perdana Menteri ke-4, beliau sentiasa menjatuhkan imej orang Melayu sebagai ‘bangsa pemalas’ dan mengharapkan ‘pertolongan atau subsidi’ kerajaan. Stigma yang sama diulang lagi oleh Dr Mahathir ketika mencari alasan untuk memperlekehkan orang Melayu apabila menuntut Kerajaan PH menunaikan apa yang dijanjikan semasa berkempen dalam PRU ke-14.

bossku4

Meskipun alasan ‘sebahagian manifesto’ dibuat tanpa maklumat yang cukup, rakyat tetap mengharapkan ia mesti ditunaikan. Rakyat sudah menunjukkan kebosanan itu apabila menolak undi kepada calon PH di DUN Semenyih dan Cameron Highlands. Lebih mengecewakan Dr Mahathir ialah kekalahan PPBM di Semenyih.

Dr Mahathir kurang kecewa apabila calon DAP kalah di Cameron Highlands. Kekalahan di Semenyih mencerminkan kepimpinan Dr Mahathir telah gagal, gagal memperjuangkan nasib dan kedudukan orang Melayu-Islam.

Dengan menyindir PAS sebagai ‘berjaya mengislamkan UMNO’ di atas pemuafakatan tersebut, rakyat kembali rasa kecewa terhadap Dr Mahathir, seorang pendendam. PAS pernah mengalahkan beliau dalam PRU 1969 di Kota Star, PAS menyerang Dr Mahathir sebagai ‘pembunuh’ dalam Tragedi Memali (1985), keengganan membayar royalti minyak dan gas kepada Kelantan, dan ketidakupayaannya mendisiplinkan pemimpin-pemimpin DAP. Atas ketidakupayaan itu, Dr Mahathir tidak berani mengkritik pendirian pemimpin DAP terhadap orang Melayu dan Islam kerana kedudukan politiknya yang tidak kuat.

Walaupun kedudukan PPBM telah menokok kepada 22 kerusi di Dewan Rakyat, potensi untuk mengusulkan ‘undi tidak percaya’ terhadap kepimpinannya tetap ada. Potensi itu boleh menyebabkan PPBM hanya mampu ‘mendengar dan mendengar’ tetapi tidak mampu memberikan pandangan secara jelas. Apa yang boleh beliau lakukan ialah ‘mencela’ kerjasama PAS-UMNO.  Beliau sendiri sebenarnya tidak inginkan dua parti politik Melayu itu bekerjasama. Beliau lebih cenderung mempraktikkan dasar pecah dan perintah.  Perpecahan UMNO dan PAS menyebabkan peranannya sebagai ‘penyatu’ akan terserlah.

Beliau dianggap penyelamat kepada pakatan parti-parti pembangkang apabila Pakatan Rakyat dibubarkan.  PAS enggan bekerjasama kerana marahkan sikap dan pendirian DAP. DAP pula berusaha menentukan apa yang sepatutnya PAS lakukan.

PAS ditegur dan diherdik kerana tegas untuk melaksanakan undang-undang Islam walaupun hanya dikhususkan kepada penganut Islam, kerana ia bukan persetujuan dalam majlis pemuafakatan pakatan. PAS disindir dan disergah. Sebagai parti yang bermaruah, PAS sedia meninggalkan Pakatan Rakyat.

Dr Mahathir membujuk PAS. Tetapi PAS tetap dengan keputusannya, tidak akan bekerjasama selagi di dalamnya ada DAP. Maka, bila PAS dan UMNO boleh bekerjasama, Dr Mahathir sekali lagi ada ruang memperlekehkan parti itu dengan menyoal ‘sudahkah UMNO diislamkan’?

Dr Mahathir sedar, beliau pada suatu ketika mempertahankan UMNO sebagai parti yang mengamalkan Islam. Tetapi, ketika ini, beliau cuba mempersoalkan keislaman UMNO. Ia adalah sesuatu yang bukan sahaja dianggap lucu, bahkan keterlaluan dan sakastik.

IMEJ YANG TERCEMAR

UMNO, bagi Dr Mahathir penuh dengan manusia tamak. Akibat tamak, pemimpin UMNO ‘mencuri’ dan ‘mengambil wang rakyat’. Sekali lagi Dr Mahathir menjadi takut dengan kehadiran Najib dalam siri kempen dan bertemu orang awam. Dr Mahathir sendiri memang diakui amat jarang melakukan ‘walk-about’, kecuali terpaksa. Pada tahun 1988,  akibat imejnya yang tercemar, Dr Mahathir sanggup turun memenuhi program ‘pemulihan imej’ ,  yang dinamakan Semarak. Semarak adalah, aktiviti geraksaraf yang dicipta oleh Tun Mohamed Rahmat, yang ketika itu adalah Setiausaha Agung UMNO (Baru), akibat kecamuk sokongan ekoran pemilihan pucuk pimpinan 1987 dan pengharaman UMNO.

Dr Mahathir terlalu jarang bersama rakyat dalam program akar umbi, kecualilah ketika mengutuk serangan penyangak matawang, George Soros. Sejak menyertai PH, Dr Mahathir boleh turun menemui rakyat. Apa yang dilakukan oleh Najib sekarang telah berjaya menenggelamkan populariti Dr Mahathir, walaupun dipuji  berjaya menyingkirkan BN sebagai kerajaan. Kini, Dr Mahathir yang berani mengkritik Melayu dan Islam, terlalu menikus untuk mengkritik DAP dan amat berhati-hati untuk mengulas mengenai PKR.

Pemuafakatan PAS-UMNO tidak mungkin dapat direalisasikan jika kedudukan politik Melayu-Islam kuat. Atas beberapa keadaan yang dianggap proses ‘peminggiran kuasa Melayu dan Islam’ itulah dua parti yang pernah bermusuhan bersatu, bukan kerana melancarkan perang terhadap bukan Melayu dan meneruskan dasar bumi hangus.

Hanya DAP  keterlaluan fobia dan Dr Mahathir  benci melampau sehingga sanggup menghina pemuafakatan tersebut.

PAS dan UMNO tidak mempunyai sedikit niat pun untuk ‘menyerang’ atau ‘menyasarkan’ dan ‘mengisytiharkan perang’ ke atas bukan Melayu. Sebaliknya tekad kedua-dua parti itu ialah untuk tidak meminggirkan bukan Melayu. PH tidak perlulah mengancam atau melancarkan provokasi kepada pemuafakatan itu. Sebaliknya, bersikaplah secata rasional ketika memberikan pandangan.

Orang Melayu sudah lama mengimpikan pemuafakatan tersebut, dengan syarat, tidak ada keris di tangan kiri sebagaimana disinggung oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

PAS dan UMNO mahu melihat kekuatan politik Melayu dan Islam terpelihara dan dapat kembali menerajui Malaysia, bukan sebagai ‘penumpang’ dan ‘memusnahkan’ kontrak sosial yang sudah ada sejak 1957.

Benar, setiap parti politik menginginkan kemenangan dan kuasa. Maka, tindakan pemuafakatan PAS dan UMNO ialah untuk mengembalikan kuasa ‘ketuanan Melayu’.  Ia bukan bererti bukan Melayu adalah hamba kepada orang Melayu, setiap rakyat menghormati dan saling hidup dalam suasana harmoni.  Tiada lagi syak wasangka. Tiada pihak yang boleh  dianggap di‘diskriminasi’ dan boleh menuduh sesuatu tindakan sebagai ‘tidak berperlembagaan’.

Bila Islam dipertahankan, bukan Islam tidak patut rasa tersinggung. Islam bukanlah agama yang bersifat melampau dan eksterem sebagaimana dipersepsikan. Pemuafakatan PAS dan UMNO untuk memekarkan wajah politik Melayu dan Islam. Sejak lebih 60 tahun bukan Islam berada dalam ‘dominasi politik Melayu’, tidak ada hak mereka dirampas dan tidak ada keinginan mereka disekat kecuali melanggar undang-undang.

Hak mereka untuk mengamalkan kepercayaan mereka terbuka luas, dan boleh berlangsung dalam suasana aman, dengan syarat, tidak menceroboh hak dan kepentingan Islam. Jadi, tidaklah perlu takut, pemufakatan PAS-UMNO tidak akan ‘membunuh bukan Melayu’ dan tidak akan menjadikan Malaysia sebagai ‘medan perang’ kerana tidak ada ‘dasar bumi hangus’ sampai bila-bila selagi bukan Melayu tidak mengancam kontrak sosial.

 

Mahanor Saleha

No Comments

    Leave a reply