PENDEKATAN HIKMAH DALAM MENANGANI ATEIS

“Gott ist tot” atau Tuhan sudah mati!!  Begitulah pekikan Friedrich Nietzsche, seorang ahli falsafah terkenal Jerman pada akhir abad ke-19. Ungkapan meroyan ini dicetuskan ketika beliau dilihat amat kecewa dan putus asa dengan persekitarannya atau lebih tepatnya masyarakat Barat yang mengalami zaman kegelapan, kemunduran dan tidak berkembang mendepani cabaran zaman.

Dengan semena-mena Nietzsche menuding bahawa faktor kelesuan dan ketidakberdayaan manusia itu disebabkan oleh doktrin agama sehingga beliau membuat rumusan bahawa umat manusia kalau ingin maju, berdaya saing dan berjaya dalam kehidupan dunianya mestilah meyakini bahawa agama sama sekali tidak dapat menolong manusia kerana Tuhan telah mati.

Kini, kumpulan ateis tidak lagi dimonopoli dan dinisbatkan kepada masyarakat Barat yang telahpun terjangkiti sejak awal gerakan ini bermula pada zaman revolusi industri. Kegagalan agama (Kristian) menjawab segala cabaran dan tuntutan pemodenan dalam masyarakat sekular yang menjadikan mereka mula melupakan Tuhan, mewajarkan ideologi ateis berkembang biak dan mengakar kuat di semua lapisan masyarakat Barat.

Namun demikian, igauan dan jeritan Nietzsche menular ke segelintir umat Islam di serata dunia tidak terkecuali di Malaysia. Menerusi laman web dan media sosial, bahkan mereka berani secara terang-terangan mengisytiharkan diri sebagai bekas penganut agama Islam yang tidak percaya lagi dengan Tuhan.

Perkara ini diakui atau tidak, cukup memeranjatkan dan bagaikan menusuk sembilu hati yang paling mendalam. Bagaimana tidak, di tengah-tengah kesedaran dan syiar agama Islam yang menyerlah di serata tempat, aktiviti dakwah yang tiada henti, guyuran dana daripada Jabatan Islam yang mencurah-curah untuk kepentingan agama dan secara fizikal surau dan masjid sentiasa ramai oleh jamaah, sudah tentu fenomena kemunculan kumpulan ateis di negara ini tidak terbayangkan dan di luar jangkaan sama sekali.

Sebab itu, timbul lah rentetan soalan yang berlegar-legar di minda, mengapa perkara ini boleh berlaku di tengah-tengah masyarakat kita yang cukup kuat berpegang kepada agama dan pada masa yang sama umat Islam dilindungi oleh undang-undang bagi menjaga iman mereka? Faktor-faktor apa yang melatari dan mencetuskan seseorang untuk terjerumus ke ajaran songsang dan sesat lagi menyesatkan ini? Apakah ini menjadi fenomena global di dunia Muslim atau ianya hanya kes terpencil yang tidak perlu dibimbangi kewujudannya?

Pertama-tama, kita perlu melihat isu ini tidak lari daripada perkembangan yang berlaku di dunia Islam terutama yang terjadi di negara-negara Arab. Menurut Muhammad Omar al-Amoudi yang disiarkan dalam laman berita saudigazzete.com, sejak beberapa tahun terakhir ini terjadi peningkatan pengikut ateisme yang cukup signifikan di negara-negara Arab.

Virus ateisme malah menyerang ke tempat-tempat yang pada masa lampau merupakan tempat yang selamat daripada kemunculan ajaran yang menyimpang. Al Amoudi menulis bahawa “saya menyaksikan di negeri Arab telah ada beberapa kedai kafe untuk kaum ateis. Malah, ada jalan yang diberi nama jalan ateis di negeri Arab”.

Secara umumnya, pengikut ateisme terdiri daripada kalangan terdidik dan lepasan pengajian tinggi. Namun demikian, tiada data statistik yang dapat memberikan jumlah pasti orang ateis di negara-negara Arab. Perkara yang menarik ialah bahawa di antara 57 negara Muslim, Arab Saudi merupakan negara yang merasa paling terancam dengan gempuran ateisme. Mengikut kaji selidik yang dibuat oleh WIN/Gallup pada 2012 bahawa 19 peratus rakyat Arab Saudi mengatakan mereka tidak lagi beragama dan 5 peratus sebagai kaum ateis tegar yang amat yakin dengan kepercayaanya. Jika jumlah penduduk Arab Saudi mencecah 27 juta, maka jumlah 24 peratus pengikut ateis itu amat besar.

Di Mesir pada tahun 2014 Dar al-Iftah al-Mishriyah telah mengenal pasti jumlah anggota ateis di negara itu yang mencapai 866. Bagaimanapun jumlah itu dipercayai bukan menunjukkan jumlah yang sebenar kerana isu ateis dianggap bagaikan tertutupi oleh gunung ais. Jumlah yang sesungguhnya dipercayai lebih dari yang disebutkan dan mencecah ribuan.

Walau bagaimanapun, pihak kerajaan di negara-negara Arab seolah-olah menutup mata terhadap perkembangan yang sudah amat membimbangkan ini. Tiada tindakan dan kaedah drastik yang digunakan untuk mengekang dan membanteras gejala yag sudah mewabak ini. Pada masa yang sama, golongan intelektual atau ulama tidak dapat memberi pandangan atau pendirian yang jelas dan tegas bagi mengatasi isu ini dan lebih mengambil berat isu lain yang tidak penting.

Aspek kedua yang juga cukup penting dalam melihat isu peningkatan pengikut ateis ialah pengaruh internet. Sepertimana isu-isu kontroversi lain, jumlah pengikut ateis mengalami peningkatan mendadak disebabkan ‘berkah’ media sosial dan konco-konconya. Tidak diragukan lagi, TV satelite, radio, laman web dan sebagainya merupakan pemain-pemain penting yang mengeksport pemikiran ateis merebak dengan pantas ke seluruh dunia.

Tidak terkecuali di Malaysia. Baru-baru ini misalnya kumpulan ateis dengan berani dan terbuka memuat naik aktiviti mereka ke laman sosial yang kemudian menjadi tular. Perkara ini dapat dilihat secara nyata dan konkrit berikutan kedatangan salah satu tokoh ateis terkemuka asal Kanada Armin Navabi ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menerusi kumpulan Atheis Republic yang diasaskannya, kumpulan ateis bergiat cergas menyebarkan fahaman ini mensasarkan siapa saja khasnya kalangan belia dan golongan terdidik melalui laman web, instagram, facebook dan sebagainya sehingga dilaporkan jumlah ahli kumpulan ini mencecah satu juta orang di seluruh dunia termasuk dari Malaysia.

Media sosial memainkan peranan yang besar dalam menyebarkan virus-virus jenayah akidah yang menurut al-Amoudi tidak hanya akan menyerang Islam akan tetapi juga menciptakan kehampaan spiritual di hati manusia dan menihilkan kepercayaan yang paling fundamental dalam kehidupan ini iaitu ketiadaan penghambaan kepada Tuhan sang Pencipta sekalian alam.

Meskipun saya tidak membuat kajian secara mendalam mengenai isu ini di Malaysia, saya percaya bahawa terdapat pengikut ateis di negara ini. Selain berdasarkan gambar pertemuan yang dimuat naik dalam media sosial, saya meyakini kekuatan dahsyat teknologi maklumat dalam menyebarkan idea-idea ateis dan mendapatkan pengikut di serata dunia.

Berdasarkan pengalaman yang dialami oleh ateis kenamaan dari Syiria Zaki al-Arsuzi (1899-1962), seorang ahli falsafah, sejarahwan dan telah hafal al-Qur’an sejak kecil, perkara ini sangat mungkin berlaku di Malaysia dan di negara-negara Muslim yang lain. Sebagaimana saya petik dalam artikel Syafii Maarif bertajuk Ateis di Dunia Arab, ketika beranjak dewasa al-Arsuzi sangat terpengaruh dengan pemikiran dan ajaran Karl Marx, Nietzsche dan lain-lain sehingga beliau memutuskan untuk menjadi ateis.

Jikalau pada zaman ketika mendapat maklumat dan buku memerlukan pengorbanan yang tidak sedikit pun telah terperngaruh dengan ateis, apatah lagi pada zaman ini. Pada era digital yang serba mudah, pantas dan semua tersedia di dalam layar gajet dan komputer, maka pemikiran liar dan ajaran songsang yang merangsang minda orang akan sangat mudah masuk ke pemikiran kita.

Kita tidak perlu menutup mata dan menafikan kewujudan kumpulan ini kerana political exegiency dengan menyatakan bahawa akan menindak mana-mana individu yang terlibat dengan kumpulan berkenaan. Kenyataan ini menggambarkan seolah-olah tidak ada sama sekali rakyat di Malaysia yang telah menjadi ateis kerana mungkin itu dianggap menampar kredibiliti institusi negara. Politik penafian juga menunjukkan sikap ego dan takut dilabel lemah dalam kawalan dan penguatkuasaan meskipun negara ini telah dipagari dengan peruntukan undang-undang yang banyak dan ketat bagi membentengi akidah umat Islam.

Oleh sebab itu, kita perlu bersikap tenang dan tidak menggelabah menghadapi isu ateis ini. Bersikap tenang bukan bermakna hanya melihat keadaan dan tidak berbuat sesuatu bagi mengekang dan mengawal virus ateis dari menyebar luas ke masyarakat. Disebabkan isu ini berkaitan dengan masalah keyakinan seseorang, maka diperlukan strategi dan pendekatan yang berkesan.

Tindakan keras seperti penangkapan atau pemenjaraan terhadap individu yang disyaki terlibat mungkin berkesan dalam jangka pendek bagi meredakan sementara waktu pergerakan mereka. Belum lagi mereka ini berdepan dengan social bullying sama ada yang dialami di jagat maya atau di dalam interaksi sosial secara nyata.

Namun, dari segi jangka panjang pendekatan seperti itu kurang berkesan. Keyakinan dan kepercayaan seseorang tidak cukup dengan dipenjara dan dibicarakan di depan pengadilan. Pemenjaraan secara fizikal tidak menjadikan individu terpenjara kerana fikiran dan minda mereka masih bebas berfikir.

Justeru, pendekatan secara hikmah dan bijaksana diperlukan bagi menangani masalah yang sangat serius ini. Hal ini misalnya dengan mengutamakan jalan dialog, perbincangan atau berbicara dari hati ke hati. Diperlukan kerjasama juga antara kalangan intelektual, ulama dan umaro sesuai dengan kuasa dan kapasitinya masing-masing.

Bagi kumpulan intelektual, mereka diperlukan bagi menyediakan konsep dan rumusan pemikiran yang jitu dan tepat dalam mematahkan hujah kumpulan ateis. Kumpulan ulama pula merumuskan dalil-dalil keagamaan bagi meyakinkan semula keyakinan para ateis yang telah terjerumus ke dalam golongan ini. Manakala, pihak berkuasa menyediakan sarana dan prasarana seperti pusat pemulihan akidah, penguatkuasaan dan penyediaan dana bagi menjayakan program mengembalikan mereka ke jalan yang benar dan diridai Allah.

Oleh Amin Fadlillah

No Comments

    Leave a reply