PENDETA ZA’BA

PENDETA  Za`ba atau Zainal Abidin bin Ahmad merupakan  salah seorang  daripada tokoh pemikir Muslim Melayu  yang  muncul  pada akhir  abad ke-13 H / 19 M dan awal abad ke-14 H / 20 M. Kelahirannya memberikan  sumbangan yang  sangat  besar dalam pelbagai aspek pemikiran berkaitan Islam sebagai al-Din (way of life) dan Melayu sebagai suatu bangsa.

Dari segi latar belakang, Pendeta Za`ba (1313/1895-1393/1973) merupakan salah seor­ang  cendekiawan Muslim Melayu, dikatakan daripada aliran  Kaum  Muda yang begitu dikenali dan dikagumi umum sebagai seorang pejuang bangsa, Negara, dan juga agama. Walaupun beliau tidak disenaraikan sebagai seorang  ulama,  namun sumbangannya mengenai Islam  begitu  besar terutama kepada orang Melayu di Tanah Melayu atau Malaysia. Beliau mempunyai latar belakang keagamaan yang kuat kerana dari  semenjak kecil lagi diajar mengaji  al-Quran,  soal-soal agama  dan dilatih dengan disiplin dan adat sopan  orang Melayu. Dengan  asuhan kedua-dua orang tuanya, beliau telah  menjadi seorang tokoh  yang mempunyai  keperibadian yang kuat  dan tidak mudah terpedaya dengan pengaruh luaran (bukan Islam) terutama Barat.

Beliau  mulai  bergiat dengan masalah berkaitan Islam  pada  sekitar tahun 1335H/1917M dengan menulis  artikel-artikel  pendek  dalam majalah-majalah Lembaga Melayu, Pengasuh, dan al-Ikhwan,  diikuti Risalah Umbi Kemajuan atau Falsafah Takdir dan seterusnya  Asohan Budi pada  tahun 1378/1958 yang  merupakan koleksi  hasil-hasil ceramahnya di Ra$)o M!laya dari taèu. 171/1951-1373/1943.

Za‘ba  merupakan  salah seorang tokoh Melayu  yang  terkenal  dalam pemikiran pembaharuan (islah atau reformasi) Islam, terutama meneru­si  pengaruh  gurunya, Syaikh Muhammad Tahir Jalal al-Din al-Falaki yang merupakan  salah seorang tokoh ulama yang dikatakan terpengaruh  dengan aliran pemikiran golongan reformis Mesir seperti al-Sayyid Jamal al-Din  al-Afghani (m.1315/1897), Muhammad  ‘Abduh (m. 1323/1905) dan Muhammad Rasyid Rida (m. 1354/1935).

Konsep`0emb!haruan  (isláhi  za‘ba dikatakan certujuan “untuk membaiki segala hal ehwal  yang kekurangan,  mengubahkan segala sifat keadaan yang  buruk  dengan yang  baik, menggantikan segala hal manusia yang  mundur  dengan maju mengikut zaman, menggantikan segala jalan fikiran yang  kuno dan kolot, segala kepercayaan yang lapuk dengan fikiran baru yang segar  yang disaksikan benar melalui al-Quran yang bersendikan akal dan ilmu pengetahuan.” Menurutnya lagi, “Kita  mahu  pemulihan  dan pembaharuan, bukan hendak berkokok pada jalan yang telah  hanyut daripada  tujuan asalnya  dan bukannya hendak  berdegil  hendak menyimpan jalan fikiran lama yang telah membeku menjadi adat atau kepercayaan-kepercayaan lama yang sudah berkulat dan bercendawan.”

Menurut  Za‘ba, beliau berkecimpung dalam  bidang-bidang yang berhubungan dengan Islam bukanlah sebagai seorang ulama tetapi hanya masuk menggang­gu  di kawasan mereka kerana sehingga kini tiada sesiapa  pun  di antara mereka yang tampil ke hadapan untuk memberikan perhatian dan berfikir mengenai selok-belok dan perjalanan agama orang Melayu di Malaysia ini.

Tumpuan  perbincangan Za‘ba kelihatan lebih menjurus  kepada persoalan-persoalan yang agak jarang dikupas dalam  majlis-majlis pengajian agama, terutamanya persoalan akhlak. Pembahasan  dalam masalah-masalah agama yang  dibicarakannya memperlihatkan tahap pengetahuan dan pemikiran agama yang tinggi, namun  Za‘ba lebih suka mengambil sikap merendah diri  dan  tidak mahu  dirinya dikatakan seorang alim daripada kaum ulama. Beliau lebih  suka dirinya dikenali sebagai seorang pendidik yang  suka berfikir  mengenai hal-hal  kehidupan  yang  berhubungan  dengan Islam. Beliau memperoleh konsep pembaharuan ini menerusi pembacaan dan pengkajian buku-buku mengenai Islam, sama ada berbahasa Arab, Inggeris,  dan Melayu. Buku-buku agama yang tertulis dalam bahasa Inggeris boleh dikatakan hampir semuanya ditulis oleh tokoh-tokoh ulama  atau pemikir Islam yang berasal dari India,  Pakistan,  dan Iran. Justeru  itu, tidaklah menghairankan sekiranya Za‘ba cuba  men­gembalikan Islam kepada bentuk asalnya sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran dan al-Hadis dan menyelaraskannya dengan  zaman kemajuan berdasarkan petunjuk ilmu (sumber wahyu) dan akal.

Za‘ba mungkin berbeza dengan pandangan golongan ulama  Kaum Muda walaupun beliau mengakui dirinya  salah  seorang  daripada mereka, kerana beliau kelihatan tidak tertarik untuk membicarakan persoalan-persoalan  berhubung dengan akidah  seperti perbahasan mengenai  sifat 20, rukun Iman, rukun Islam,  hukum-hukum  ibadat seperti  sah batal,  halal haram, wajib  sunnat,  makruh  mubah, hukum-hukum fiqh meliputi muamalat, munakahat dan jinayah,  ilmu tasawwuf  dengan persoalan-persoalan penyucian  batin, tariqat, haqiqat, makrifat,  wahdat  al-wujud walaupun  ada  aspek-aspek tasawwuf  yang diakuinya benar, persoalan-persoalan alam arwah, kubur, hari akhirat, mizan, al-sirat, syurga dan neraka. Beliau cuba mengelakkan diri daripada terbabit dalam  perba­hasan persoalan-persoalan khilafiyyah mazhab yang berkait  dengan usul  dan  furu`, perselisihan Ahl al-Sunnah  dengan  Muktazilah, persoalan takdir atau al-qada dan al-qadr dan lain-lain, kecuali yang dirasakannya perlu. Sumbangan  pemikiran  Za‘ba mengenai  Islam  dapat  dilihat menerusi beberapa buah hasil karyanya seperti yang berikut:

  1. Umbi Kemajuan atau Falsafah Takdir Dalam Agama Islam (Sukatan Azali,  Pulau  Pinang,  1932 @ Falsafah  Takdir,  ed.  Hamdan Hassan, DBP, Kuala Lumpur, 1982.
  2. Asohan Budi Menerusi Islam, Kuala Lumpur, 1958.
  3. Malay Festivals and Some Aspects of Malay Religious Life, Singapore, 1949.
  4. Pendapatan Perbahasan Ulama Pada Kejadian Perbuatan dan Perusahaan Hamba, (terj. Za’ba), ed. al-Syaikh Muhammad  Tahir Jalal al-Din, The Jelutong Press, Penang, 1353/1934.
  5. Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri, DBP, Kuala Lumpur, 2009 (cetakan baru).

Berhubung dengan karya beliau yang akan diperkatakan ini bertajuk Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri dan kini berada di pasaran, ia telah diterbitkan dalam bentuk edisi khas cetakan pertama tahun 2009 menerusi tiga bentuk tulisan: Melayu, Inggeris, dan Jawi. Difahamkan bahawa karya ini tidak pernah diterbitkan pada masa hayat beliau ekoran pandangan-pandangannya yang agak berat untuk diterima orang Melayu. Karya ini berada dalam penerbitan selepas lapan tahun pemergian beliau, yang dilakukan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), atas kesedaran akan peri pentingnya kepada bangsa Melayu hari ini. Di dalam edisi ini, kata pengantar telah dilakukan oleh Datuk Haji Hassan Ahmad, selaku Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada masa tersebut. Agak menarik untuk mengemukakan pandangan beliau yang mengatakan “kelemahan sahsiah adalah punca utama kelemahan sesuatu bangsa,” sebagai  kesimpulan terhadap karya Za‘ba ini. Tentunya, ia memberikan kesan yang berbekas di hati sanubari orang-orang yang berfikir.

Di bahagian pengenalan pula, karya ini turut mendapat sentuhan Prof. Dr. Asmah Hj. Omar. Beliau memberikan ulasan dan kupasan yang cukup bernas tentang isi kandungan karya Za‘ba dengan perhatian khusus kepada sikap dan perangai orang Melayu yang paling dibencinya, iaitu perangai suka bergantung kepada orang lain, yang bukan sahaja dilihat negatif tetapi memberikan ruang kepada kemunculan sikap dan sifat negatif yang lain. Perangai suka bergantung kepada orang lain dikatakan menimbulkan sikap hina diri, malas dan sikap pergantungan bukan sahaja dalam hal-hal keduniaan bahkan keakhiratan juga. Tumpuan seterusnya dihalakan kepada isu taqlid buta sebagai lawan kepada ijtihad sendiri. Beliau menjelaskan perihal kepentingan ilmu, budaya berfikir dan membawa pembaharuan. Selanjutnya, perbincangan difokuskan kepada persoalan kebajikan dan kejahatan dari segi pendefinisian, pemeringkatan, hukum pertentangan yang merujuk kepada baik sebagai lawan kepada buruk atau jahat, dan hukum perubahan keadaan dalam sikap dan sifat seseorang manusia yang mungkin boleh berubah menjadi baik atau jahat. Begitu juga, dalam usaha memahami pengertian baik dan jahat, proses penyempitan makna baik dan jahat boleh berlaku sehingga menyebabkan salah tafsir dan salah faham bagi konsep-konsep tertentu, seperti amal dan ibadat yang dilihat secara sempit. Akhirnya, tumpuan beliau dihadapkan kepada persoalan kejatuhan dan kepulihan umat Islam, dan dalam konteks ini, umat Melayu itu sendiri.

Dengan memperhatikan karya tersebut dan ulasan mengenainya, orang Melayu yang insaf dan sedar akan kedudukan dan kewibawaan bangsanya di mata dunia pasti akan cuba mengorak langkah dan melakukan anjakan paradigma untuk berdiri sebaris dengan bangsa-bangsa lain di bumi ini, dan apatah lagi di persada dunia.

Karya Za‘ba yang boleh dinikmati dengan segar di telapak tangan pada akhirnya telah berjaya mencapai matlamatnya untuk berada di pasaran bagi dinikmati oleh semua warga negara, khususnya bangsa Melayu sendiri. Promosi buku ini dilakukan oleh pihak KKUM, DBP, dan DAWAMA untuk membolehkan para pencinta, pengikut, peminat dan golongan massa dapat mengenali beliau dan mendapat manfaat yang cukup besar daripada tulisan dan pemikirannya. Sebelum karya ini dapat berada di tempatnya, ia bukanlah tanpa ranjau dan duri. Liku-liku yang perit terpaksa dilaluinya biarpun sunyi daripada pengetahuan umum. Kedudukan sebagai seorang pemikir besar secara lumrahnya, sentiasa berhadapan dengan pelbagai halangan dan rintangan. Sejarah telah memperlihatkan data dan bukti yang menunjukkan bahawa  pemikiran Za`ba dalam pelbagai karya besarnya, termasuklah buku Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri, mendapat tentangan daripada banyak pihak. Ia bukan sahaja kurang disenangi bahkan diambil tindakan yang agak terdesak oleh pihak-pihak tertentu termasuk pihak istana dan bahkan para ulama dari kalangan Kaum Tua atau tradisionalis, yang mengetuai majoriti kaum Muslimin terhadapnya.

Seperti dijelaskan, sasaran Za‘ba adalah kepada bangsanya sendiri, Melayu dan juga amalan mereka. Katanya: “Orang Melayu meskipun sudah memeluk Islam selama 600 tahun yang lalu, tetapi mereka masih tetap berkelakuan seperti  keadaan zaman sebelum mereka menganut agama Islam. Mereka masih  percaya kepada  perkara-perkara karut dan seolah-olah Islam  tidak mampu menghilangkan unsur-unsur kepercayaan masa lampau daripada orang-orang Melayu Za`ba  memang tidak meragui keislaman orang Melayu  walaupun mereka  tidak mengerti ajarannya dengan betul. Menurutnya, orang Melayu  percaya kepada Islam berdasarkan kebenaran umum  dan  bu­kannya  percaya  kerana mengetahui hakikat ajaran Islam  menurut wahyu Allah s.w.t dan Nabi Muhammad s.a.w. Tingkat dan tahap pengajaran agama Islam orang Melayu rendah kerana  mereka  tidak diajar pelajaran  agama bersungguh-sungguh sejak  kecil  kerana mereka hanya diajar  al-Quran  dan  sedikit fardu ain. Tingkat dan tahap pelajaran agama di kampung-kampung  masih diliputi kepercayaan-kepercayaan  bidaah  dan  khurafat  seperti kubur-kubur keramat, makam-makam wali dan lain-lain.

Keadaan, kedudukan dan masalah orang Melayu yang serba daif dan lemah, menurut Za‘ba bukanlah terjadi begitu sahaja tanpa alasan dan faktor penyumbangnya. Justeru, beliau  menyasarkan para ulama Melayu terdiri daripada ahli  agama, alim (ulama) dan tuan guru sebagai sasaran utama. Menurutnya, mereka sepatutnya  berperanan  menga­jarkan  ajaran-ajaran akhlak dan falsafahnya kepada orang Melayu dari segi agama dan akal. Za`ba berpendapat  seseorang  itu  dikatakan  ulama dengan syarat  dia  setia dengan jubah dan serban, warak  dalam  ibadat, mahir dalam ilmu agama dengan bahasa Arab dan Melayu dan berkelu­lusan tinggi dalam pelajaran-pelajaran moden. Banyak  kritikan  dihadapkan kepada golongan  ulama dan agamawan Melayu,  di antaranya:

  1. Dari segi metode, pengajaran agama yang  berdasarkan  kepada  penggerak “umpan” (pahala, syurga) dan penggerak “takut”  (dosa,  neraka) yang  dikatakan  berkesan hanya  kepada orang  awam  dan  tidak berkesan bagi golongan yang berpendidikan tinggi.
  2. Pendapat ulama yang mengatakan akal dan sumber  wahyu  (yang mengandungi suruhan  dan larangan Allah)  adalah  berlainan  dan kedua-duanya tidak boleh bersamaan.
  3. Ajaran-ajaran dan seruan ahli-ahli agama yang  tidak  keluar daripada  garisan kitab-kitab agama, kata-kata dan fahaman  ulama dahulu walaupun sesetengah pendapat ulama itu kuno dan reput.
  4. Ahli-ahli agama dikatakan tidak berani  mencungkil  pendapat mereka  sendiri, dan persoalan agama pula, mereka  tidak  banyak menjuruskan huraian baik dan buruk kepada akal fikiran.
  5. Dalam masalah ekonomi (al-Iqtisad), Za`ba  mengkritik  ulama kerana  menggunakan hadis: “Sekiranya kamu bertawakal  kepada Allah  dengan sebenar-benar tawakal, tentulah  Allah  memberikan rezeki kepadamu sebagaimana burung…”
  6. Ahli-ahli agama yang menggalakkan mengingati Allah dan akhir­at  serta membuang dunia sama sekali turut dikritik kerana  ber­pandukan  hadis: “Dunia adalah bangkai dan pencarinya  adalah anjing.”
  7. Ahli agama yang tidak berpelajaran dan sesetengah ahli tasaw­wuf yang separuh masak.
  8. Ahli-ahli  tasawwuf yang dikatakannya  berpura-pura  membuat zahid, meniru-niru sesetengah ahli sufi.
  9. Alim-alim yang menuduh orang-orang yang cuba kembali  kepada al-Quran  dan akal (iaitu orang yang melepaskan  diri  daripada taqlid) sebagai “sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bid`ah, mengubah jalan daripada yang telah diatur oleh para orang dahulu kala (nenek moyang)…”
  10. Cara, kaedah atau metode  berfikir ulama Melayu yang  mengatakan  ilmu manusia sentiasa semakin kurang daripada orang-orang dahulunya dan  tiada yang boleh sampai alimnya seperti imam-imam.
  11. Para imam besar yang terdahulu juga dikritik kerana keilmuan mereka yang tidak meliputi semua ilmu yang telah dibukakan  Allah pada zaman tersebut.
  12. Alim ulama yang menulis kitab yang melafazkan perkataan  al-ajra  wa  al-thawab sebagai upah penat mengarang  kitab,  ataupun perkataan  “mudah-mudahan diberi Allah pahala  akan  Fakir  dan dijadikannya kitab ini jalan kelepasan bagi Fakir di akhirat.” Ini kerana menurut Za`ba, alim tersebut hanya mengharapkan pertolongan kitab itu kepada dirinya sendiri sahaja dan  bukannya tentang  manfaat kitab itu kepada orang lain.  Perbuatan berbuat kebajikan  untuk  mendapat balasan atau keselamatan  diri  adalah dipandang  rendah dan hina dalam penilaian  darjat  akhlak yang tinggi kerana ia bukan khalis berbuat kebajikan kepada Allah.
  13. Alim ulama yang berfikiran sempit dalam memberikan tafsiran mengenai  perkara-perkara  tertentu. Contoh: amalan  jahat  hanya dirujuk kepada perkara yang melanggar hukum syarak menurut penda­pat  imam-imam mazhab lebih daripada 1000 tahun dahulu, manakala amalan  jahat  yang bercanggah dengan hukum-hukum akhlak,  adab kesusilaan umum  dan kesopanan sesama mansuia tidak  salah  dan berdosa  seperti perbuatan mengeluarkan  fatwa  agama mengikut kehendak  raja-raja dan mencari jalan untuk membolehkan  sesuatu yang mereka sukai dan sebagainya. Menurutnya, para alim ulama sendiri tidak nampak kepincangan agama yang menghalang kemajuan dan kejayaan orang Melayu dan kerana itu orang Melayu terus berada dalam keadaan lemah.

Dalam konteks ini, Za`ba turut mengemukakan beberapa kelemahan sehingga menyebabkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku telah pun berlaku, di antaranya adalah akibat   salahfaham  mengenai  kegunaan  dunia   dan   cara menggunakan  dunia untuk mendapatkan  kejayaan  dalam  kehidupan akhirat; akibat pengertian dan pemahaman yang salah tentang tujuan dan hikmah hukum-hukum dan had-had yang ditentukan Allah dalam Islam, dan dikatakan alasan terbesar kepada kemunculan fahaman sempit itu  adalah kerana kejahilan  dan kurang pelajaran. Faktor terbesar inilah  menurut Za‘ba  menyebabkan kecelakaan, kehanyutan dan  kemelaratan  kaum muslimin, juga Melayu berkurun-kurun lamanya.

Za‘ba  memetik kata-kata Sayyid Jamal al-Din al-Afghani  (m. 1315/1897) yang membuat perbandingan kejayaan orang-orang  kris­tian dan kelemahan orang-orang Islam  untuk  menyimpulkan kelema­han umat Islam Melayu, iaitu “kerana orang-orang Kristian (Nasra­ni) telah meninggalkan pengajaran al-Injil sedangkan  orang-orang Islam pula meninggalkan al-Quran.”

Aspek positif mengenai Za‘ba yang perlu diperhatikan dengan adil dan saksama adalah pandangan dan sikapnya bukan sahaja dibentangkan dalam bentuk tulisan bahkan saranan untuk mengatasinya juga. Lazimnya, kebanyakan orang suka mengkritik dalam bentuk menjatuh dan menghina, dan tidak ramai yang bersedia memberikan jalan keluar dan penyelesaian kepada masalah. Za‘ba dalam hal ini bersikap praktikal. Beliau bukan sahaja menyatakan sikap tidak bersetuju pada prinsipnya, bahkan diikuti dengan tulisan dan tindakan. Dengan kata-kata lain, beliau menjiwai konsep Iman yang dibahaskan dalam karyanya, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri pada teori dan praktik ataupun ideal dan realitinya secara serentak. Saranan dan cadangan beliau adalah seperti berikut:

  • Nabi s.a.w menyuruh kaum Muslimin termasuklah  orang  Melayu berpegang  kepada  al-Quran dan al-Sunnah, bukan  kepada  kitab-kitab  karangan ulama, fahaman atau pemahaman ulama dengan  tanpa diperiksa dan dibandingkan kepada asalnya.
  • Keputusan-keputusan  para imam  mujtahidin  perlu  diperiksa dengan alasan dan hujah sebelum diterima.
  • Orang-orang alim perlu pergi terus kepada al-Quran dan al-Hadis  seperti orang-orang alim terdahulu. Mereka  tidak boleh berhenti berusaha menambah, memperdalam dan meluaskan ilmu.
  • Kitab-kitab  dan  tafsiran  al-Quran  dan  al-Hadis  serta syarahnya hendaklah dijadikan panduan.
  • Pendapat-pendapat ulama terdahulu yang benar hendaklah diter­ima dan yang salah ditolak. Za`ba menganjurkan agar fahaman  lain yang  lebih  sesuai  tetapi tidak lari daripada tujuan  asalnya dihasilkan.

Secara ringkasnya, dapatlah disimpulkan bahawa Za`ba wajar dilihat sebagai tokoh pemikir Muslim Melayu berfikiran rasional, dan walaupun beliau bukanlah dikatakan seseorang yang bertaraf “ulama” kerana  mungkin pembahasannya tentang aspek dan isu Islam tidak begitu meluas dan mendalam sebagaimana lazimnya. Dalam konteks ini, apalah erti gelaran yang diberikan sekiranya ia tidak memberikan sebarang kepentingan kepada bangsa, negara dan agamanya.

Pemikiran Za‘ba boleh dilihat melawan arus perdana (main stream) zaman dan ketika itu. Justeru, dapat dilihat perbezaan yang agak ketara pemikiran beliau berbanding dengan golongan majoriti kaum Muslimin terutama para ulama Muslim Melayu tempatan yang beraliran Kaum  Tua  dalam beberapa  persoalan termasuk (falsafah) takdir (al-qada dan al-qadr).  Oleh itu, keadaan  tersebut telah menyebabkan beliau boleh dikatakan  tokoh yang tidak popular, tidak disenangi, bahkan sekiranya perlu diperangi.

Za‘ba  dengan lantang mengkritik amalan-amalan  orang  Melayu yang  lebih menjurus kepada  perkara furu‘  (syariah) sedangkan perkara usul (akidah) mereka dikaburi kepercayaan khurafat,  bidaah (inovasi), tahayul, karut-marut yang bertentangan dengan ajaran-ajaran Islam. Walaupun demikian, Za‘ba mencuba sedaya upaya untuk mengelakkan diri daripada menimbulkan  kontroversi yang  hangat dengan para ulama Melayu tempatan dalam pembicaraan mengenai  isu-isu  Islam termasuk falsafah takdir.  Beliau  hanya menghuraikan persoalan tanpa pembahasan aliran-aliran pemikiran, mazhab atau tokoh-tokoh daripada sesuatu aliran mazhab. Za‘ba  sebagai seorang pejuang bangsa yang gigih dan tegas, boleh dikatakan  tokoh Muslim Melayu yang bersifat moderate. Beliau  kelihatan lebih terbuka, positif dan rasional dari segi pemikiran dan tindakan, kesan daripada pengaruh pemikiran  Sayyid Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad Abduh dan Muhammad Rasyid Ridha yang juga dilihat mempunyai ciri-ciri tersebut.

Oleh  Prof. Madya Dr. Wan Zailan Kamaruddin Wan Ali

No Comments

    Leave a reply