PENDIDIIKAN SEKS ATAU ADAB?

Ramai pihak mengemukakan cadangan agar pendidikan seks dijadikan sebagai mata pelajaran khusus di sekolah-sekolah. Dari satu aspek, cadangan mereka itu ada rasionalnya kerana melalui pendidikan seks kanak-kanak lebih memahami perubahan biologi diri dan mampu membendung aktiviti seks yang kurang sihat atau tidak selamat.

Bagaimanapun, setengah pemimpin masyarakat melontarkan pandangan bahawa melalui pendidikan seks kanak-kanak akan lebih mudah teransang untuk mencuba kerana ia adalah sesuatu yang menyeronokkan. Pandangan ini ada benarnya kerana sehingga kini belum pun ada model pendidikan seks yang berjaya dan mampu mengatasi hubungan seks di kalangan remaja tanpa ikatan perkahwinan yang sah.

Mereka yang berfikiran liberal menganggap soal kanak-kanak akan mencuba atau berekprimen dengan pengetahuan pendidikan seks yang dipelajari secara rasmi bukanlah sesuatu menakutkan. Dengan memberikan contoh bahawa kanak-kanak yang diajar dengan arus elektrik tidak akan mencuba melakukan eksprimen tersebut secara bersendirian di rumah, kerana sudah mengetahui bahaya jika tersalah tindakan atau prosedur. Kemalangan salah membuat perhitungan dan tindakan bereksprimen dengan arus elektrik boleh menempah maut.
Hujah mereka boleh kita terima dalam satu aspek, tetapi dalam persekitaran naluri dan imajinasi, kita tentu akan membuat kesimpulan bahawa percubaan menggunakan arus elektrik adalah berlainan dengan percubaan melakukan hubungan seks. Percubaan menggunakan arus elektrik menggunakan peralatan yang khusus dan perlukan penyeliaan berbanding dengan perhubungan seks. Meskipun memerlukan kontak antara lelaki dan perempuan, ia tidak memerlukan penyeliaan yang khusus kerana penyeliaan itu akan menghambatkan percubaan tersebut. Dan, kerana itulah hubungan seks berlaku dalam keadaan tertutup, tidak diketahui oleh orang lain dan tanpa ada saksi selain mereka berdua.

Bahaya salah memasang elektrik membawa kepada kematian secara mengejut dan cepat, namun perhubungan seks tidak membawa maut secara segera. Kesannya timbul beberapa bulan kemudian, iaitu apabila berlakunya persenyawaan antara benih lelaki dan perempuan di dalam rahim sehingga boleh menyebabkan remaja perempuan mengandung. Petanda itulah yang menjadi kesalahan pada pandangan masyarakat secara lahiriah, namun secara spiritualnya hubungan itu adalah bukan kesalahan antara mereka berdua.

Hubungan itu dilakukan secara sukarela dan dalam keadaan masing-masing ingin menikmati keseronokan. Kontak ini berlainan dengan kejadian hubungan seks secara paksa, kerana akan mengakibatkan mangsa mengalami trauma dan kesakitan akibat pemerkosaan. Bagi hubungan seks secara sukarela atau atas kerelaan masing-masing kesan trauma tidaklah begitu mendalam kecuali ketakutan akan diketahui oleh keluarga. Perbuatan mereka dilakukan secara tersorok dan sembunyi termasuk kemungkinan membawa teman lelaki atau wanita ke rumah sendiri apabila ketiadaan ibu bapa.

Meskipun pendapat mereka yang bersetuju dengan pendidikan seks diajar di sekolah bagi menyedarkan remaja tentang implikasi hubungan seks sebelum berkahwin dan supaya mereka berkata TIDAK kepada perlakuan itu, banyak data yang diperoleh daripada negara-negara yang menjadikannya sebagai salah satu mata pelajaran tidak cenderung ke arah itu. Model pendidikan seks mereka yang banyak menggunakan pendekatan psikologi dan sosiologi tidak banyak membantu mengurangkan perlakuan seks sebelum kahwin.

Kemungkinan berkembangnya perlakuan tersebut ialah kerana masyarakat mereka lebih liberal mengenai hubungan seks, termasuk menghalalkan pergaulan bebas dan bersekedudukan tanpa perlu rasa takut telah melanggar nilai-nilai adab dan agama. Oleh kerana itulah model pendidikan seks yang ingin kita pelajari daripada mereka, kemahiran pedagogi yang kita ingin contohi sebenarnya merupakan satu model yang salah.
Beberapa penyelidikan yang dijalankan sama ada di Britain, Amerika Syarikat atau lain-lain negara Eropah, bersekudukan sehingga bertahun-tahun dan mempunyai anak bukanlah merupakan satu kesalahan undang-undang ataupun moral. Mereka bebas hidup sebagai suami isteri dan ada keadaan tertentu boleh berpisah dengan begitu mudah kerana tidak dipagari oleh undang-undang bagi menuntut penceraian. Paparan perlakuan demikian telah banyak mempengaruhi masyarakat Malaysia sehingga ada kecenderungan bagi sesetengah kelompok untuk mencuba terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.

Pada peringkat permulaan, adakalanya menganggap bahawa setelah mengikat tali pertunangan dan mengemukakan cadangan mendaftar perkahwinan, pasangan tersebut sudah dibolehkan tinggal bersama. Sementara menunggu tarikh rasmi perkahwinan mereka, pasangan tersebut bebas keluar masuk rumah malah tinggal bersama. Dalam keadaan itulah kita mendapat perkhabaran bahawa pengantin perempuan sudahpun hamil beberapa minggu atau bulan, dan tarikh perkahwinan mereka perlu dipercepatkan walaupun mengikut persetujuan awal masih lagi lama.
Tanpa memberikan contoh yang spesifik, walaupun ramai yang dapat membayangkan perlakuan tersebut, kita harus memikirkan kembali apakah hukum moral dan peraturan adab yang seharusnya kita jadikan benteng mengenai hubungan dua jenis jantina yang memangnya mempunyai daya magnet yang kuat. Persoalannya ialah bagaimana memasyarakatkan kehendak tabie itu boleh menjadi panduan dan sempadan bagi remaja dan bukannya menghebohkan pendidikan seks atau seksualiti secara rasmi.

Memangnya ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak mengenai organ yang dipunyai oleh mereka. Mungkin kita boleh menerapkan pendekatan adab, iaitu menghormati setiap kelainan seks itu sebagai sesuatu yang istimewa dan saling memerlukan dalam kehidupan bermasyarakat dan berkeluarga. Ibu bapa perlu memahami dengan jelas kemahiran keibubapaan, kerana selama ini ibu bapa mengehadkan pendidikan tersebut dengan cara yang kurang berkesan, seperti menekankan sekatan pergaulan antara anak berlainan jantina.
Ibu bapa boleh memberikan kelonggaran dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan, tetapi kanak-kanak perlu ditekankan betapa murninya sebuah hubungan yang dijalinkan secara berhemah dan berhemat. Batasan pergaulan dengan menjarakkan perkara-perkara yang tidak seharusnya mereka lakukan bersama, kerana tindakan tersebut boleh memudaratkan atau menimbulkan kesan negatif.

Pergaulan antara lelaki dan perempuan tidak harus dilakukan di kawasan tertutup, gelap dan sunyi. Ia mestilah berjalan dalam suasana lebih terbuka dan ditemani oleh pihak ketiga. Ada had masa dan menetapkan amalan tradisi bahawa setelah mentari petang mula beransur menyelubungi pandangan siang, anak-anak harus pulang ke rumah. Keadaan seperti ini pernah diamalkan oleh nenek moyang kita, apabila tibanya waktu maghrib anak-anak mesti pulang ke rumah, kerana ayam pun sedang sibuk mencari rebannya.

Tidak membiarkan anak-anak bersendirian menikmati makan malam. Makan malam bersama iaitu selepas mengerjakan sembahyang berjemaah (sama ada selepas maghrib atau isyak) dapat membantu menjadikan anak-anak berdisiplin. Cahaya keimanan berbekas dalam hati sehingga anak-anak akan memikirkan bahawa kerutinan budaya hidup yang diwarisi itu sebagai sesuatu yang amat bermanfaat. Orang tua juga perlu menjadikan anak-anak remaja sebagai sahabat dan tidak membiarkan mereka menonton televisyen bersendirian di dalam bilik.

Meskipun anak-anak memerlukan privasi, keistimewaan itu mestilah dengan kawalan kerana tanpanya banyak kecenderungan lain akan mengambil peranan. Kemudahan capaian teknologi terkini, terutama ICT dan telefon bimbit perlu dihadkan kerana ia turut menyumbang kepada pendedahan melampau mengenai perilaku seks bebas. Perlu kita ingatkan bahawa dengan membiarkan anak-anak mengakses ruang siber tanpa pengawasan menjadikan minda mereka lebih mudah terperangkap dengan kemunculan hiperrealiti dan mempengaruhi perasaan ingin mencuba. Sebagaimana kita fahami bahawa keinginan mencuba adalah tinggi di kalangan remaja, kerana mereka tidak dibatasi secara jelas dengan perasaan takut dan malu. Mereka sentiasa dilingkari oleh rasa ingin tahu dan menikmati keseronokan yang tinggi.

Dalam Islam pendidikan menjadi wadah penting bukan sahaja menjadikan seseorang itu berpengetahuan, minda yang terbuka dan mempraktikan amalan agama, malah menjadikan mereka lebih beradab. Melalui pegendalian dan amalan kehidupan beradablah maka akan lahirnya sebuah peradaban Islam yang unggul. Islam yang mementingkan nilai kehidupan secara berjemaah perlu diberikan perhatian oleh setiap individu kerana kesejahteraan kehidupan adalah bermula dari interaksi antara individu.
Jika seseorang individu itu sudah melencong dari landasan, maka orang yang mengetahuinya perlulah berusaha mengembalikan mereka ke dalam masyarakat. Setiap individu diberikan hak dan bertanggungjawab untuk menegur, membentuk dan memperbetulkan individu yang dilihat telah melakukan kesilapan. Mereka yang silap tidak dibiarkan meneruskan perlakuan yang silap sehingga menjadikan kesilapan itu sebagai sesuatu yang lazim dan membudayakan. Jika dibiarkan, ia akan mampu mengubah perspektif apa yang dikategorikan sebagai positif hari ini bertukar menjadi negatif dalam suasana dan keadaan yang lain.

Pola ini kita dapat lihat bagaimana perubahan terhadap beberapa nilai positif yang dahulunya membentengkan keimanan kita. Kalau dahulunya kita diajar supaya menganjungi orang tua, kerana merekalah yang telah membentuk kehidupan kita sehingga mengenali dunia sebaik mungkin. Apa pun yang dilarang kepada kita, kita tidak banyak membantah kerana kita faham bahawa larangan itu bukan untuk menjadikan kita sebagai pengecut atau penakut, tetapi membuntikan sikap hormat kepada mereka yang lebih berusia. Kita diajar untuk memahami psikologi orang tua sebagaimana mereka memahami psikologi kita semasa keanak-anakan.

Kita mungkin dapat mengambil pengajaran dari sebuah iklan bagaimana seorang bapa tidak pernah merasa bosan walaupun anaknya menanyakan soalan yang sama berkali-kali. Tetapi sebaliknya, apabila dewasa seorang ayah yang semakin berusia melakukan perkara yang sama dilakukan oleh anaknya suatu ketika dahulu, dan ketika itulah Allah cuba menguji kesabaran seorang anak untuk berinteraksi dengan seorang ayah yang tidak pernah bosan melayan seorang anak semasa masih lagi kanak-kanak. Seorang ayah amat memahami tingkah laku seorang anak, tetapi seorang anak tidak dapat memahami tingkahlaku seorang ayah yang semakin menginjak tua.

Perilaku itulah yang perlu kita tekankan dalam proses sosialisasi anak-anak semasa masih dalam pengawasan kita. Saya masih ingat, tatkala kami masih remaja setiba musim tertentu, arwah ayah saya akan sentiasa memaksa kami untuk bertandang ke rumah saudara mara walaupun terpaksa menaiki bas dan berjalan kaki untuk sampai. Kami akan tinggal semalam dua di tempat tersebut walaupun ternyata berbeza dengan kehidupan biasa kami di rumah sendiri. Ayah akan memaksa kami untuk ikut sama, kerana nilai yang ingin disemai ialah hubungan kekeluargaan itu penting tanpa memikirkan kekurangan masing-masing.
Semasa kami tiba di rumah yang ditujui, tuan rumah amat berbesar hati.

Walaupun lewat petang kami tiba, tuan rumah akan tetap bergegas ke dapur menyiapkan makan malam seadanya. Jika merasakan perlu mengadakan jamuan yang baik, anak-anaknya akan dikerahkan untuk menangkap ayam untuk dijadikan lauk pada malam itu. Kami makan bersama, malah akan dilihat tidak manis jika antara kami tidak pun menjamah makanan yang disediakan.

Keadaan seperti telah banyak berubah. Apabila ada tetamu berkunjung ke rumah, tuan rumah bukan sahaja menjadi kelam kabut malah adakalanya memberontak dalam hati kenapa kedatangan kami terlalu lewat. Tidak sempat ke pasar untuk membeli barangan untuk dimasak, maka keputusan yang diambil ialah sama ada membeli makanan segera untuk anak-anak seperti pizza ataupun kentukcky fried chicken. Suasana meriah memasak di dapur tidak lagi menjadikan ia sebagai sesuatu yang bernilai dan menarik.

Dapur berhias rapi dengan rupabentuk kabinet menarik. Tersusun rapi pinggan mangkuk dan tatarias menarik mata memandang. Tetapi, akhirnya tetamu agak janggal untuk ikut sama membantu kerana takut peralatan memasak rosak, kerana tidak biasa dengan kerukunan baru itu. Kualinya putih melepak seolah-olah tidak pernah digunakan, ataupun kalau pun tidak sebagai perhiasan untuk membuktikan bahawa mereka boleh memasak.

Begitu juga dengan pendidikan pembudayaan adab yang harus disemai setiap kanak-kanak. Ibu bapa merupakan role model kepada anak-anak, maka ibu bapa perlu memberikan panduan bahawa apabila ada tanda tertentu, kanak-kanak bukan lagi kanak-kanak. Ia sudah memasuki alam remaja dan ketika itulah ibu bapa perlu mempunyai masa untuk memahami naluri remaja. Mendekatkan diri dan perasaan anak remaja secara alami lebih memberikan pengalaman berharga berbanding pendidikan secara mengarah atau berleter. Sikap mengarah dan berleter itulah menjadikan anak-anak mencari sesuatu di luar rumah, kerana merasakan gelojak emosinya akan bertentangan dengan nilai yang ada dalam diri kedua ibu bapa.

Ada juga berpendapat, kerana mungkin amat yakin dengan sandaran kajian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1997 bahawa dengan melaksanakan pendidikan seks akan memberikan kesan melambatkan usia remaja untuk melakukan hubungan seks sekali gus menurunkan kadar perlakuan seks, kehamilan luar nikah di kalangan remaja, pengguguran bayi, selain meningkatkan penggunaan kondom. Kajian ini sebenarnya masih boleh kita pertikaikan kerana apa yang berlaku di kalangan remaja Britain, Amerika Syarikat dan Eropah tidak membuktikan keberkesanan pendidikan seks. Kanak-kanak seawal usia dua belas tahun sudah menjadi bapa, manakala bilangan pasangan remaja melakukan seks sehingga hamil terus meningkat. Di negara tersebut adalah terlalu sukar untuk mendapatkan anak gadis yang masih mempertahankan selaput daranya sebelum berkahwin secara sah.

Pernah kita terpikir bahawa antara sepuluh remaja di Britain, tujuh daripadanya akan menjawab mereka pernah melakukan hubungan seks dengan teman wanita atau rakan mereka. Bagi mereka hubungan seks adalah satu keperluan, dan kerana itu ibu bapa mereka menerimanya secara terbuka, kerana ada kes-kes tertentu remaja tersebut itu juga sebenarnya anak luar nikah. Tetapi, yang boleh kita belajar dari mereka ialah bagaimana mereka boleh menerima anak remaja yang hamil dan memberikan perlindungan agar remaja terbabit tidak mengambil jalan pintas melarikan diri dari rumah, atau membunuh diri. Mereka memberikan sokongan moral atas nilai kemanusiaan.

Sokongan moral sedemikian tidak pula bermakna kita harus menerimanya sebagai satu faktor yang menggalakkan hubungan seks tanpa ikatan perkahwinan. Kita memberikan sokongan moral atas pertimbangan bahawa setiap nyawa perlu dihargai dan bukannya menyiksakan lagi emosi remaja yang melakukan kesilapan. Kita perlu memberikan pertolongan agar, nyawa remaja dan anak yang dikandungnya selamat. Selagi kita tidak dapat menerima dan memberikan sokongan moral, maka selagi itulah pembuangan bayi akan menjadi sesuatu yang menakutkan.

Dalam pendidikan adab kita perlu menekankan bahawa sesuatu kelakuan atau tindakan mestilah dilaksanakan secara berperaturan. Hatta untuk menikmati makan tengah hari pun kita harus mematuhi peraturan, termasuk mendapatkan makanan itu secara halal dan mempastikan makanan tersebut tidak mengandungi bahan terlarang. Sebelum boleh kita makan, kita perlu membasuh tangan kerana dapat mengelakkan kuman mengganggu nilai zat yang akan kita makan dan diproses menjadi bahan tenaga.

Cara makan juga perlu beradab. Kita tidak boleh makan secara berdiri dan berjalan atau sambil menonton televisyen. Dengan mengambil makanan sambil menonton televisyen sebenarnya kita telah melanggar adab, kita tidak mematuhi keperluan pancaindera kita untuk memerhatikan apa yang kita makan. Jika tersilap maka kita akan tertelan tulang, cili padi kerana dalam masakan ala siam terlalu banyak cili padi digunakan.

Kalau sambil menonton televisyen kita membaca akhbar apa kesannya? Tentunya apa yang kita baca hanyalah sekadar himpunan huruf-huruf manakala telinga kita mendengar suara dari televisyen. Bunyi itu lebih kuat mempengaruhi ingatan kita. Bunyi itu lebih kuat mempengaruhi pemikiran kita sehingga kita lupa apa yang sedang kita baca, dan kerana itulah kita tidak pernah habis membaca akhbar, tetapi selesai tonton televisyen.

Seorang pengkaji tempatan pernah menemukan kesimpulan bahawa pelajar sekolah menengah di Kelantan memperoleh tahap pengetahuan mereka tentang seks dan kesihatan reproduktif terutama sekali tentang kehamilan dan penyakit jangkitan kelamin adalah amat tidak memuaskan. Misalnya, masih ramai pelajar beranggapan kehamilan boleh dicegah jika membasuh faraj selepas melakukan hubungan seks. Dan kerana penemuan tersebutlah maka pengkaji itu menyokong keperluan pendidikan seks.

Bagi pengkaji tersebut, meskipun elemen pendidikan seks (organ reproduktif, mengandung, masa depan yang gelap, tekanan mental, HIV dan penyakit kelamin) telah diterapkan di dalam subjek Biologi, Sains, Moral, Agama dan Pendidikan Kesihatan ia masih tidak berkesan dan tidak mampu membendung aktiviti seks kurang selamat. Lantaran itu beliau turut memberikan pernyataan sinis menyokong lontaran pendapat Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) beberapa bulan lalu bahawa guru tidak mempunyai kemahiran mencukupi.
Atas kekurangan tersebut, orang kuat NUTP, Lok Yim Pheng mengharapkan agar guru yang terlibat dengan elemen pendidikan diberikan latihan dan seorang menteri turut melontarkan pandangan bahawa Kementerian Pelajaran perlu menyegerakan pendidikan seks kerana resolusi itu telah lama dikeluarkan. Pendidikan seks seboleh-boleh mesti diajar pada tahun hadapan dan seawal-awal usis persekolahan. Maka sekali lagi kita berfikir, dari manakah mereka memperoleh contoh yang kita boleh teladankan, apa modul yang dilihat boleh membantu mengurangkan bencana sosial itu?

Apa yang lebih penting ialah membudayakan pendidikan insan yang beradab. Kita perlu menekankan bahawa rule of thumb sesuatu kehidupan itu mestilah dilaksanakan secara berperaturan dan beradab. Tanpa menekankan pembudayaan adab, tentunya hasrat untuk mengurangkan bencana social tidak akan terhapus. Sejarah telah banyak pengajaran, seks merupakan sesuatu yang menyebabkan manusia boleh jadi ganas dan penjenayah kerana adab tidak diberikan penekanan mendalam.

Kita boleh lihat bagaimana mereka yang menghabiskan masa di gereja turut terlibat dengan perbuatan seks luar tabie yang menjijikkan. Berita itu masih panas sehingga sifat kependetaan yang diamalkan oleh paderi telah menyebabkan naluri seksnya dilempiaskan kepada kanak-kanak yang menumpang berteduh di gereja. Banyak skandal seks telah dilakukan oleh mereka yang mengamalkan budaya kependetaan. Kita harus kembali kepada nilai kita, iaitu nilai Islam kerana pendekatan adab menjadi teras hubungan sesama manusia dan dengan Allah SWT.

Untuk berhubung dengan Allah SWT kita perlu mengikut adab yang ditetapkan. Kita diminta supaya membersihkan diri dari segala kekotoran sebelum boleh bersembahyang. Kita perlu mengikut tertib kelakuan sebelum melakukan kewajiban itu termasuk mengambil wudhuk dan memakai pakaian yang bersih (menutup aurat). Kita juga diwajibkan sembahyang apabila tiba waktunya, kerana itu tidak tidak boleh bersembahyang zohor tatkala selesai bersembahyang Isyak. Setiap peraturan itu mempunyai tahap dan tempoh masanya. Kita harus memahami hukum alami dan prasyarat yang ditetapkan.

Dalam pendidikan seks atau memberikan pengetahuan seks kepada kanak-kanak kita perlu menetapkan apa tujuan sebenarnya. Jika tujuannya untuk mengajar remaja mengamalkan seks selamat, lebih baik tidak dilaksanakan pendidikan seks kerana mereka lebih bernafsu untuk melakukannya kerana memahami hubungan badan tersebut tidak memburukkan keadaan. Kita juga jangan lupa banyak penemuan kajian mencadangkan agar untuk menghindari jangkitan penyakit, hubungan kelamin boleh dilakukan dengan menggunakan kondom. Sebenarnya, banyak kajian telah dibuat oleh pihak-pihak tertentu yang cuba mengaut keuntungan atas slogan tersebut.

Syarikat pengeluar kondom sering mempamerkan maklumat mengenai perilaku seks sama ada secara global ataupun hanya dalam kalangan masyarakat Malaysia. Bermacam fakta kita peroleh termasuk kekerapan hubungan seks, tahap kepuasan, usia awal melakukan hubungan seks serta pandangan seks sebelum kahwin.

Penemuan-penemuan ini membawa keuntungan perniagaan yang besar sehingga mereka sanggup melabur modal yang banyak termasuk mencipta pelbagai jenis kondom, peralatan seks, penerbitan bahan pendidikan seks, di samping menterjemahkannya dalam bentuk cerita, filem dan fiksyen bagi melengkapkan fantasi seks remaja. Kita mungkin masih belum terlupa mengenai fantasi seks yang pernah dilontarkan oleh seorang artis beberapa tahun lalu, turut mempengaruhi pemikiran remaja terutama pembaca majalah berkenaan.

Memangnya, untuk mengajar pendidikan seks sama ada melalui rentas kurikulum ataupun satu mata pelajaran khusus ia memerlukan kemahiran agar apa yang diajar bukan sahaja difahami tetapi juga boleh dijadikan sandaran perlakuan mencegah hubungan seks bebas. Seseorang guru yang dipertanggungjawabkan itu mestilah berupaya menekankan sisi keburukan berbanding membangkitkan rasa ghairah remaja, kerana berdasarkan beberapa kajian di negara barat, pendidikan seks telah menyebabkan lebih ramai remaja ingin mencuba kerana yakin kehamilan dapat diatasi melalui penggunaan kondom.

Jika berlaku kehamilan, mereka tidak perlu merasakan dirinya berdosa kerana sistem sokongan masyarakat banyak membantu. Ibu bapa mereka boleh menerima kelahiran anak luar nikah kerana budaya hidup mereka adalah pendorong kea rah kehidupan tanpa nikah, iaitu bersekududukan. Angka pasangan bersekedudukan semakin meningkat dan sebahagian daripada remaja mereka yang sedang membesar pada masa sekarang adalah anak luar nikah. Mereka tidak perlu takut dan rasa berdosa kerana ada sistem yang menyokong atas prinsip kemanusiaan dan kebebasan, persoalan agama bukanlah persoalan masyarakat, ia adalah hak individu. Keadaan ini berbeza dengan Islam, kerana Islam tetap menekankan kepada kesejahteraan masyarakat melalui keimanan dan ketakwaan seseorang individu.
Itulah keindahan Islam, maka masyarakat perlu menghidupkan kembali budaya menjaga tepi kain orang kerana ia merupakan kawalan sosial yang berkesan mengatasi bencana sosial.

Setiap perlakuan sumbang atau tingkah laku yang terkeluar dari norma sosial dan agama, akan diperbetulkan secara berhemah, dan bukannya memburukkan lagi keadaan. Setiap anggota masyarakat membantu, dan bertanggungjawab sama ada dengan menegur kesilapan, mengawal persekitaran dan mendekatkan mereka yang terbabit dengan siraman petunjuk keagamaan. Keadaan ini sudah jauh berubah, kerana berlandaskan fahaman kebebasan individu yang semakin menuju kemutlakan diri, maka peranan kawalan sosial sudah dianggap sebagai sesuatu yang merosak atau menganggu hak peribadi.

Keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia tidak menjadikan pendidikan seks sebagai satu mata pelajaran khusus wajar diberikan sokongan, kerana belum ada satu model yang benar-benar berjaya dan mampu mengatasi bencana sosial. Namun penyesuaian memasukkan unsur-unsur pendidikan seks merentas kurikulum dianggap memadai, tetapi yang lebih penting ialah memberikan penekanan bahawa budaya beradab itulah yang mampu melahirkan sebuah kehidupan dan peradaban yang tinggi, sebuah peradaban yang berteraskan agama dan norma sosial sebagaimana dianjurkan oleh hakikat sebenar kenapa manusia memerlukan agama. Manusia memerlukan agama kerana agama itulah yang menjadi sempadan yang memugarkan seseorang dari merosakkan tata kehidupannya sendiri, kerana fungsi agama ialah melahirkan manusia yang mematuhi peraturan dan menghormati tatasusila.

Oleh Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply