PENDIDIKAN CINA DAN DILEMA POLITIK (I)

 

Sepanjang enam dekad berkongsi kuasa politik, isu pendidikan terus menjadi salah satu ‘tawar menawar politik’ bagi mengekalkan kuasa memerintah. Biarpun orang Melayu masih merupakan kaum majoriti, kuasa politik Melayu terus mengharapkan sokongan daripada pengundi Cina. Ini kerana, kuasa politik Cina terus kekal dan bertambah besar di kawasan-kawasan. Situasi itu menyebabkan kuasa politik Melayu, walaupun dilihat sebagai majoriti, ia terus dicorakkan dengan lokaliti luar bandar dan pinggir bandar.

Kuasa politik Cina berada di kawasan bandar atas faktor ekonomi. Orang Cina merupakan golongan peniaga dan usahawan yang berjaya menguasai hampir tiga perempat kekayaan yang diciptakan menerusi dasar dan program yang dibangunkan oleh kerajaan. Secara langsung, syarikat-syarikat milik Cina berupaya melaksanakan peranannya dengan baik atas usaha gigih dan bantuan sesama mereka.

Berbeza dengan usahawan Melayu. Mereka kadangkala menjadi ‘sleeping partner’ atau hanya membenarkan namanya digunakan sebagai proksi. Persaingan dalam perniagaan kadangkala dilihat sebagai tindakan yang tidak sehat, bahkan dalam keadaan tertentu, ada tindakan saling menjatuhkan sesama sendiri.

Begitu juga dalam situasi politik orang Melayu. Sistem kerajaan dalam politi Melayu seringkali memperlihatkan ‘kesetiaan’ kepada pemerintah boleh berpindah, kecuali pemerintahan berorientasikan rakyat. Kajian Anthony Milner terhadap politi-politi Melayu prapenjajahan membuktikan bahawa sesebuah kerajaan itu akan kekal kuat sekiranya ada kesetiaan yang jelas daripada rakyat.

Rakyat sanggup berpindah-randah demi kelangsungan hidupnya. Bagi memudahkan proses perpindahan itu mereka lebih gemar membina rumah-rumah di kawasan pinggir sungai atau pantai. Sungai menjadi jalan perhubungan yang penting. Sebab yang sama menjadikan kawasan muara sungai sebagai pusat pembinaan politi Melayu. Keadaan itu kekal untuk beberapa lama sehinggalah kehadiran kuasa-kuasa penjajah telah membangunkan pusat-pusat pertumbuhan baharu, yang ada kaitan dengan kepentingan ekonomi kolonial.

Cameron Highlands menjadi sebuah pertumbuhan yang penting akibat kegemaran penjajah mengeksploitasi kesuburan tanaman teh, yang merupakan salah satu minuman kegemaran yang boleh dikomersialkan. Bukit Besi (Dungun) pernah muncul sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi apabila bijih besi ditemui.

Begitu juga dengan pekan Larut (Perak) yang menjadi kawasan lombong bijih timah yang terkaya di Tanah Melayu. Penjajah akan meneroka peluang di atas kekayaan sumber alam yang terdapat di Tanah Melayu. Sumber alam itu amat penting bagi memenuhi keperluan Revolusi Industri yang sudahpun bermula di England, dan kemudiannya ke seluruh Eropah.

Keperluan kepada bahan mentah untuk industri itulah akhirnya mengubah perspektif kemasyarakatan di Malaysia. Buruh-buruh asing mula dibawa masuk manakala rakyat tempatan dibiarkan terus ‘setia’ dengan politi-politi yang semakin terpecah dari empayar yang besar. Akibat kekalahan di Melaka, keluarga yang dahulunya sebagai ‘penentu kuasa’ berpindah ke lain-lain kawasan, yang kemudiannya membina politi yang baharu, walaupun lebih kecil. Itulah sejarah politik awal orang Melayu.

Sejarah itu seolah-olah sedang berulang. Ketika nasionalisme Melayu sampai ke kemuncaknya, orang Melayu boleh bersatu untuk mendesak kuasa kolonial agar membatalkan perancangannya untuk menubuhkan Kesatuan Melayu atau Malayan Union. Cerdik pandai Melayu, sama ada yang berlatarbelakangkan pendidikan Barat, golongan berpendidikan agama, guru-guru yang terhasil daripada pendidikan Melayu bergabung tenaga berjuang untuk membuktikan bahawa Melayu kuat dan mampu menuntut haknya ke atas Tanah Melayu. Mereka berganding bahu menyerukan semangat nasionalisme menerusi pelbagai wahana yang terdapat. Melalui penulisan. Ceramah dan perjumpaan-perjumpaan. Akhirnya, British melihat bahawa ‘sudah tiba masanya untuk berundur’. Kesedaran itu muncul selepas hampir 500 tahun dijajah (1511 dan nasionalisme Melayu mula dikesan selepas Perang Dunia I. Mula memuncak selepas Perang Dunia II).

Kehadiran buruh-buruh asing mencapai kemuncaknya pada zaman pentadbiran British. Walaupun pada masa prapenjajahan, sudah ada pedagang-pedagang asing bermastautin di Tanah Melayu, kehadiran mereka tidak begitu membawa masalah kepada penduduk tempatan. Mereka hadir sebagai pedagang dan berusaha menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat, bahkan ada yang berkahwin dengan wanita tempatan. Ia berbeza dengan kehadiran buruh-buruh asing pada era British.

Kehadiran mereka bertukar menjadi sedikit resah kepada penduduk tempatan. Mereka membina koloni mereka sendiri dan bagi melindungi koloni mereka, ditubuhkan kongsi-kongsi gelap. Mereka mula menunjukkan kekerasan apabila berlaku pelanggaran sempadan perlombongan. Kumpulan kongsi gelap mula mengambil peranan dan dalam pertempuran tersebut, ia turut membabitkan kawasan-kawasan petempatan Melayu. Sejarah Perang Larut I dan II, perebutan kawasan lombong bijih di Selangor dan Kuala Lumpur menjadi bukti sejarah pembabitan kumpulan-kumpulan kongsi gelap. Berbeza dengan pekerja ladang yang dibawa masuk dari India. Mereka tinggal di kawasan-kawasan yang sukar perhubungannya. Ia dapat dikawal oleh pemilik-pemilik ladang.

Awalnya, kemasukan buruh-buruh asing tidak membawa keluarga. Setelah lama tinggal di Tanah Melayu dan merasakan kehidupan mereka lebih baik daripada negara asal, buruh-buruh asing itu mula membawa masuk keluarga. Setelah berkeluarga, keperluan pendidikan untuk anak-anak mereka mula muncul. British membenarkan sekolah-sekolah dibina di kawasan petempatan mereka oleh pertubuhan-pertubuhan dan orang perseorangan. Bagi memenuhi keperluan pendidikan, mereka turut membawa masuk guru-guru dari negara asal mereka. Lama kelamaan, sistem pendidikan tersebut dilihat sebagai bermasalah oleh British, sehinggalah muncul satu cadangan untuk menyatukan semua bentuk pendidikan yang ada.

Laporan awal mengenai pembentukan sistem pendidikan yang sama, berpengantarkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris mula diumumkan. Laporan Barnes (1951) atau Report of Committee on Malay Education diumumkan pada 10 Jun 1951) kemudiannya ditolak oleh guru-guru sekolah Cina, yang kemudiannya berjaya menubuhkan sebuah persatuan yang hingga kini kekal dengan matlamat asalnya, meneruskan sistem pendidikan Cina sampai bila-bila. Tentangan itu menyebabkan aktivis pendidikan Cina mengemukakan bantahan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, akhirnya dua pakar pendidikan vernakular ditugaskan untuk mengkaji semula Laporan Barnes. Pakar tersebut ialah Dr Williaam P Fenn (Setiausaha Kerja Bersekutu China) dan Dr Wu The Yao (wakil PBB).

Hasil kajian tersebut, Report on the Barnes Report on Malay Education and the Fenn-Wu Report on Chinese Education dikeluarkan pada 10 September 1951. Laporan itu kemudiannya digunakan untuk meminda Ordinan Pelajaran (1951) pada tahun 1952, yang mengesahkan bahawa pendidikan vernakular terus dibenarkan dengan alasan, para pelajar akan lebih mudah belajar dan memahami pengetahuan apabila diajar dengan menggunakan bahasa ibunda masing-masing, sekurang-kurangnya untuk pendidikan rendah selama enam tahun.

Kajian Cheong Yuen Keong, Gerakan Pendidikan Cina di Malaysia: Satu Kajian Perjuangan Dong Jiao Zong (1970-2002) memberikan gambaran yang jelas mengenai dua pertubuhan pendidikan Cina yang ketika ini membuat keputusan menolak pengenalan tulisan Jawi di semua sekolah jenis kebangsaan (SJKT dan SJKC). Jiao Zong atau Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia ditubuhkan pada 26.12.1951 dan upacara perasmiannya dilakukan oleh David Chen di Dewan Perhimpunan Cina Selangor.

Sebelum penubuhan Jiao Zong, satu konvensyen bagi mengumpulkan bantahan terhadap Laporan Barnes diadakan di Dewan Besar Persatuan Hokkien Kuala Lumpur pada 24 dan 25 Ogos 1951. Ia dihadiri oleh perwakilan daripada sembilan buah negeri. Konvensyen tersebut meluluskan bantahan terhadap Laporan Barnes (menghapuskan pendidikan vernakular) dan menubuhkan Gabungan Persatuan Guru-Guru Cina se-Malaya.

Matlamat penubuhan Jiao Zong ialah: (1) mengembangkan budaya Tionghua dan memelihara pendidik Cina; (2) bekerjasama dengan pihak kerajaan memajukan pendidikan Cina; dan (3) menjaga kepentingan dan meningkatkan taraf hidup guru-guru sekolah Cina. Sebaik sahaja Jiao Zong berjaya ditubuhkan, saru memorandum, Memorandum on Chinese Education diserahkan kepada pihak berkuasa, iaitu Britih. Memorandum itu menegaskan bahawa ‘kewujudan sekolah vernakular tidak menjejaskan penubuhan negara Malaya’ dan ‘bahasa ibunda adalah bahasa pengantar yang paling berkesan di peringkat sekolah rendah.”

Dong Zong atau Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia ditubuhkan pada 22 Ogos 1954 ketika wakil-wakil Lembaga Pengelola hadir dalam satu mesyuarat Lembaga Pengelola dan Guru-Guru (MCACECC) di Dewan Perhimpunan Cina Selangor (DPCS). Julai 1952, kerajaan (British) memperkenalkan Cadangan Gaji Baru untuk guru sekolah Cina dan tindakan itu dilihat sebagai satu bentuk campur tangan kerajaan. November 1952, satu mesyuarat yang dihadiri oleh wakil MCA dan Lembaga Pengelola dan Guru-guru Sekolah Cina telah meluluskan tiga resolusi. Antaranya ialah ‘menubuhkan sekreatariat bersama’ dan ‘mengirim surat kepada semua pengelola agar menubuhkan Persekutuan Lembaga Pengelola Negeri.  Mesyuarat pada 19-20 April 1953 mengesyorkan agar ditubuhkan Gabungan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah-sekolah Cina Persekutuan Malaya, atau Dong Zong. Chin Chee Meow dipilih sebagai pengerusi apabila Dong Zong dirasmikan penubuhannya (1954).

Aktivis pendidikan Cina memperoleh kejayaan besar apabila ia disokong oleh pemimpin-pemimpin politik Cina, iaitu dari MCA. MCA merupakan wadah perjuangan politik Cina mula ditubuhkan pada 27 Februari 1949 asalnya sebagai sebuah pertubuhan untuk membantu masyarakat Cina yang ditempatkan semula dalam usaha kerajaan memerangi komunis.

Tahun 1948, Tanah Melayu diisytiharkan darurat ekoran tindakan ganas Parti Komunis Malaya (PKM) melakukan serang hendap dan melawan penjajan Inggeris yang kembali berkuasa selepas Jepun menyerah kalah. Sebaik sahaja Jepun menyerah kalah, British tidak terus kembali ke Malaya, dan kekosongan itu telah diisi oleh Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA). MPAJA sempat memerintah Tanah Melayu selama 14 hari (selepas 6 Ogos 1945) dan MPAJA turut dikenali sebagai Bintang Tiga, iaitu sayap pentadbiran PKM. Dalam masa pemerintahan Bintang Tiga, berlaku tumpah darah dan pembunuhan yang dilakukan oleh anggota MPAJA sebagai membalas dendam terhadap mereka yang dilibat membantu Jepun.

Tindakan membalas dendam itu disifatkan sebagai “Hubungan antara kaum ibarat paku berselirat. Mereka terlalu berhati-hati baik dalam pergaulan mahupun percakapan kerana takutkan musuh dalam selimut.Si penjual sayur yang berjaja setiap pagi menjadi pembelot pada malam hari apabila membawa PKM mengepung kediaman penduduk yang lancang mengkritik komunis. (Shafie Bakri, Kekejaman Komunis Bintang Tiga, dalam http://sejarah2u.blogspot.com/2009/11/kekejaman-komunis-bintang-tiga.html).

MCA pada mulanya bersifat sebagai pertubuhan kebajikan telah menukarkan bentuk perjuangannya kepada politik pada tahun 1952. Peringkat awal penubuhan Dong Zong turut mendapat kerjasama MCA, dan selepas melihat peluang untuk mendapat sokongan daripada orang Cina, MCA mula menjadi ‘orang tengah’ dalam perundingan dengan kerajaan berkaitan pendidikan Cina. Bulan Mac 1954, MCA dan Lembaga Pengelola Sekolah-Sekolah Cina (CECC) menyerahkan satu memorandum kepada kerajaan mengenai pandangan masyarakat Cina terhadap dasar pendidikan kerajaan.

Disebabkan masalah kewangan, Ordinan Pelajaran 1952 tidak dapat dilaksanakan dan satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan untuk mengenalpasti masalah pelaksanaan dasar pendidikan akibat kejatuhan harga timah dan getah. Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh E.E.C Thuraisingam dan pada 24 September 1954, dikeluarkan kandungan Kertas Putih Pendidikan (Council Paper No. 67 of 1954). Antara intipatinya ialah memperkenalkan ciri-ciri sekolah kebangsaan kepada sekolah vernakular. Cadangan tersebut telah diluluskan Majlis Perundangan Negara pada 6 Oktober 1954. Kaedahnya ialah membuka dua atau lebih kelas yang menggunakan bahasa Inggeris di sekolah vernakular bagi tahun pertama dan ditingkatkan sepenuhnya dalam tahun-tahun selepasnya. Kertas Putih ini kemudiannya ditentang oleh aktivis pendidikan Cina dan dianggap sebagai langkah sebenar kerajaan untuk menghapuskan pendidikan Cina.

Menurut pemimpin Dong Jaio Zong, Lim Lian Geok:  the Barnes Report announced that Chinese education would be eliminated; the Education Ordinance 1952 sentenced it to death, and the White Paper on Education, 1954 dug its grave. Lim Lian Geok adalah seorang guru pendidikan Cina yang tiba di Tanah Melayu pada tahun 1927 selepas penutupan Maktab Jinbei, tempat beliau mendapat latihan perguruan. Walaupun pernah beberapa tahun mengajar di Jawa Timur (Jember), Tanah Melayu merupakan tempat di mana Lim Lian Geok berjuang untuk menegakkan pendidikan Cina sehinggalah dilucutkan kerakyatan dan dibatalkan permit mengajar oleh kerajaan pada tahun 1961. Beliau menjadi tenaga pengajar di Sekolah Menengah Confucian Kuala Lumpur sejak tahun 1934. Jawatan terakhirnya ialah Penolong Pengetua.

Lim mencabar keputusan pelucutan kerakyatan dan pada 4 Januari 1962, rayuannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan. Pada 27 Februari 1963, kedudukannya sebagai penasihat Dong Jiao Zong dipertikai dan bulan lima bulan kemudian menerbitkan memoirnya. Menjelang akhir Ogos 1963, Menteri Dalam Negeri mengharamkan buku tersebut dan pada 24 Februari 1968, Lim muncul dalam satu sidang media menyangkal dakwaan Menteri Pelajaran, Khir Johari mengenai sekolah Cina tulen yang diperjuangkannya hanya mahu mengajar bahasa Cina semata-mata. Sejak bulan Disember 1987, hari kematiannya disambut sebagai “Hari Pendidikan Cina’. 1995, sebuah tabung peringatan Lim Lian Geok (LLG) dilancarkan dibawah Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG.

Bagi masyarakat Cina, Lim Lian Geok yang meninggal pada tahun 1985 adalah satu nama besar dalam memperjuangkan pendidikan Cina walaupun secara tegasnya turut menghalang kepada pembinaan masyarakat Malaysia yang bersatu padu menerusi sekolah satu aliran. Beberapa tahun lalu, ditubuhkan Pusat Kebudayaan Lim Lian Geok sebagai pengabadian perjuangannya dan usaha untuk mengangkat beliau sebagai ‘jiwa budaya Cina Malaysia’ tidak pernah berhenti. Pelucutan kerakyatannya telah ditafsirkan sebagai ‘seorang warganegara yang tidak bersifat perkauman’ kerana apa yang dilakukannya ialah bukan bersifat peribadi, ia ‘memenuhi tuntutan kaum Cina dalam isu pendidikan Cina’. (Kenyataan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina pada 8 September 1961).

(bersambung)

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply