PENDIDIKAN DAN PERSPEKTIF PRESTASI

 

30 Jun 2019- blog peribadi Edperspective mengutip komen Syed Akhbar Ali berkaitan pendirian Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengenai sekolah awam di Malaysia. Sekolah awam atau sekolah kebangsaan semakin dipandang tidak menarik dalam kalangan segelintir masyarakat, dan ia bukanlah perkara baharu.

Bahkan pada suatu ketika, ada pandangan mengatakan sekolah-sekolah kebangsaan menjadi semakin Islamik, maka itulah sebabnya ramai pelajar bukan Melayu mengambil tindakan untuk kembali ke sekolah vernakular dan antarabangsa, dan diikuti pula segelintir kelas menengah Melayu.

Kelas menengah Melayu semakin cenderung menghantar anak-anak mereka ke sekolah vernakular, khususnya sekolah Jenis Kebangsaan Cina, dan baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mencadangkan penubuhan sekolah menengah jenis kebangsaan Tamil. Cadangan tersebut menambahkan lagi kemelut politik pendidikan sedangkan persoalan kualiti pendidikan arus perdana belum boleh dianggap bertaraf antarabangsa. Belum mencapai tahap Glokal. Hanya masih bersifat Lokal.

Kecenderungan ibu bapa kelas menengah Melayu menghantar anak mereka ke sekolah vernakular Cina disebabkan kedudukan bahasa Mandarin yang menjadi semakin penting dalam arena perekonomian antarabangsa. China yang pada suatu ketika mengurung diri dalam tembok besarnya sudah menjadi kuasa ekonomi dunia yang besar, berjaya mengatasi Jepun selepas menyedari bahawa hegemoni Amerika Syarikat dalam geopolitik akan menyebabkan suasana dunia terbelenggu dengan sikap “polis dunia’.

China mencari usaha lain untuk menjadi peneraju. China bekerja keras untuk meningkatkan keupayaan ekonomi dan tidak mengambil inisiatif langsung ke atas makna hegemonik. Tindakannya membawa masuk pelaburan asing dan membukan pintu pada mulanya dilihat penuh kesangsian, kini, ia telah berjaya memperlihatkan kesungguhannya sehingga negara itu muncul mengambil alih kedudukan Jepun sebagai ekonomi kedua terbesar dalam perdagangan antarabangsa.

Ia berbeza dengan pendirian orang Melayu terhadap SJKT, walaupun hubungan budaya dengan India sudah lama terjalin, termasuk pengaruh terhadap filem-filem Hindi. Tidak ramai anak-anak Melayu bersedia belajar di SJKT, bahkan dalam sesetengah keadaan, SJKT semakin kehilangan pelajar disebabkan migrasi penduduk.

Benar pencapaian pelajar sekolah menengah Malaysia dalam penilaian antarabangsa begitu mengecewakan. Dalam skor PISA (Programme fo International Student Assessment) yang dikendalikan oleh OECD (Organisation For Economic Cooperation Development) pencapaiannya berada di tahap satu pertiga di bawah dan seterusnya ketika membina Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, Malaysia mengharapkan akan mencapai sasaran dalam kalangan sepertiga di atas.

Begitu juga dengan TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study). Pencapaian dalam dua penilaian itu telah dijadikan isu oleh DAP sejak tahun 2008. Zairil Khir Johari misalnya, melihat pencapaian pelajar Malaysia seperti ‘krisis dalam sistem pendidikan’. Malaysia menduduki dalam kategori 20 peratus negara yang tercorot dalam ujian PISA 2009.(https://www.roketkini.com/2014/02/07/krisis-pendidikan/).

Tan Sri Muhyiddin yang ketika itu adalah Menteri Pendidikan telah berusaha untuk ‘membedah masalah’ dan akhirnya memperoleh solusi bahawa para pelajar mesti dibiasakan dengan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), kerana sebahagian soalan yang dikemukakan memerlukan asas berfikir, bukannya menghafal.

Sebenarnya masalah terbesar dalam sistem pendidikan negara ialah pembahagian sekolah berdasarkan tiga etnik utama, sedangkan masalah seumpamanya tidak dihadapi oleh lain-lain negara di dunia. Semua negara hanya mempunyai satu sistem pendidikan, iaitu aliran kebangsaan. Sedangkan di Malaysia kita mempunyai sekurang-kurangnya tiga aliran, iaitu aliran kebangsaan, aliran Cina dan Tamil. Sepatutnya, dua aliran itu dimansuhkan dan berada dalam satu sistem pendidikan kebangsaan.

Perkara ini tidak berlaku di Malaysia atas persoalan politik. Seperti pernah diungkapkan oleh Prof Teo Kok Seong, dari UKM, dua aliran vernakular seharusnya berada dalam satu sistem pendidikan kebangsaan di mana bagi mengekalkan bahasa dan budaya masing-masing, ia dibolehkan menerusi mata pelajaran khusus. Bagi Prof Teo, sepatutnya etnik bukan Melayu tidak wajar menuntut agar sistem pendidikan ibunda mereka dikekalkan, sebaliknya mereka perlu beradaptasi dengan aliran kebangsaan. (Bicara Eksekutif Budaya 2013: Kesantunan Bahasa Melayu Dalam Komunikasi dan Penulisan Mutakhir, sempena Festival Hari Guru 2013 di Negeri Sembilan).

Prof Teo Kok Seong menyelar Persatuan –Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang membuat tuntutan melampau dan bukan berasaskan resam ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’.

Katanya lagi: Perkara ini melampau sedangkan orang Cina yang tidak fasih bahasa Melayu langsung tidak diungkit. Orang Cina pun tidak pernah baiki keadaan ini. Ini sesuatu yang tidak baik, saya kira sudah waktunya perkara ini dibincangkan betul-betul sebab saya kira apa matlamat orang Cina hidup di Malaysia ini.

“Kalau pergi Indonesia, orang Cina kena tukar nama dan sekolah Cina tidak ada, Thailand pun sama. Di Malaysia kita boleh jadi orang Cina, pergi ke sekolah Cina dan merayakan apa-apa sahaja perayaan,” katanya.  

Teo juga menyelar kritikan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan pelantikan Mary Yap Kain Ching dan Paul Low sebagai timbalan menteri kerana tidak fasih berbahasa Mandarin. Sepatutnya perkara tersebut tidak timbul kerana kededuanya adalah fasih berbahasa kebangsaan. Seharusnya, mereka yang mengkritik pelantikan tersebut berasa malu dengan sikap sebahagian besar bukan Melayu yang tidak fasih berbahasa Melayu, seolah-olah tidak menghormati prinsip asas kewarganegaraan. Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi, tidak sebab warganegara Malaysia tidak boleh berbahasa Melayu dengan fasih.

Persoalannya, ketidakfasihan itu disebabkan oleh etnocentrik yang begitu kuat dalam kalangan bukan Melayu. Mereka hanya akan beradaptasi dengan masyarakat setempat sekiranya ada kepentingan tertentu. Jika tidak ada kepentingan, bukan Melayu akan terus kekal mempertahankan budaya dan adat resam mereka sehingga sanggup membelakangkan asas bernegara, termasuk bahasa Melayu. Inilah kecenderungan yang berlaku, maka bagi mempertahankan kedudukan tersebut, mereka akan berusaha keras membuktikan sistem pendidikan (vernakular) lebih baik daripada sistem kebangsaan. Mereka juga mencipta persepsi seolah-olah sekolah kebangsaan sebagai tempat ‘menyuburkan fahaman Islam’ sehingga dikatakan lahan subur mengislamkan bukan Melayu.

Itulah halangan utama kenapa bukan Melayu kekal dengan sistem pendidikan vernakular, sedangkan realitinya, di sekolah-sekolah kebangsaan, asas pendidikan Islam dikembangkan sebagai suatu mata pelajaran yang bukan sahaja bersifat mata pelajaran akademik, ia meliputi amalan dan penghayatan. Pelajar-pelajar bukan Melayu tidak diwajibkan mengikutinya, kerana ia adalah khusus untuk pelajar yang beragama Islam.

Persoalan yang turut dibangkitkan ialah dakwaan bahawa 90 peratus keciciran berlaku dalam kalangan pendudukan yang berpendapatan rendah (B40). Setakat ini, kita tidak didedahkan dengan angka yang tepat, tetapi menurut Laporan Tahunan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2018), peratus enrolmen telah meningkat dari 84.7 peratus bagi prasekolah, 97.9 peratus peringkat sekolah rendah, 96.6 peratus sekolah menengah rendah dan 86.6 peratus peringkat menengah atas kepada  85.4 peratus (prasekolah) manakala kadar keciciran telah menurun kepada 0.15 peratus sekolah rendah dan 1.21 peratus di peringkat menengah. Ini membuktikan bahawa  kadar keciciran semakin mengecil.

PERATUS ENROLMEN

Peringkat pendidikan 2016 2017 2018
Prasekolah 85.4 84.3 85.4
Rendah 97.2 97.9 97.8
Menengah Rendah 95.0 96.6 95.5

Menengah Atas

85.8 86.6 87.2

Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang pendidikan wajib, disebabkan masalah yang dihadapi oleh sebilangan kecil kumpulan etnik tertentu yang tinggal di kawasan pedalaman, ia setakat ini tidak memungkinkan tindakan diambil. Apa yang boleh dilakukan ialah meningkatkan kesedaran ibu bapa dan komuniti tentang kepentingan pendidikan. Masyarakat kawasan pedalaman masih lagi mengamalkan kehidupan nomad, maka ia agak sukar untuk membabitkan anak-anak mereka berada di sekolah.

Misalnya, dalam kalangan masyarakat Penan di Hulu Baram. Meskipun ada sekolah-sekolah di kawasan pedalaman, akibat cara hidup keluarga masih bersifat nomad, anak-anak mereka sebahagiannya tercicir daripada pendidikan. Mereka tidak sanggup berpisah dengan anak-anak walaupun pelbagai usaha dilakukan, termasuklah menyediakan asrama dan kemudahan makanan kepada pelajar. Rasanya, Yeo Bee Yin tidak pernah berhadapan dengan situasi tersebut kerana beliau sebenarnya termasuk dalam kalangan penduduk bandar, dan tidak pernah berada di kawasan pedalaman untuk melihat sendiri bagaimana kehidupan golongan yang dianggap ‘marginal’ itu.

Benar bahawa perbelanjaan pendidikan di Malaysia begitu tinggi berbanding negara-negara lain. Tetapi ia tidak bermakna perbelanjaan yang besar itu adalah sesuatu yang membazir. Di beberapa buah negara, peringkat pusat (kerajaan) hanya meletakkan dasar manakala pengurusan sekolah dikendalikan oleh komuniti ataupun pihak berkuasa tempatan. Sebab itulah jumlah perbelanjaan pendidikan mereka dilihat tidak besar.

Lebih 80 peratus perbelanjaan tahunan yang diterima oleh Kementerian Pendidikan Malaysia adalah untuk pembayaran emolument (gaji guru, elaun dan pengurusan sekolah) sedangkan di negara-negara lain, tidak disediakan oleh kerajaan pusat. Komuniti atau pihak berkuasa tempatanlah yang membayar emolument dan menyelenggara sekolah-sekolah. DI Malaysia semuanya dilonggokkan di KPM sehinga ada pandangan sinis, pelaburan pendidikan begitu tinggi sedangkan hasilnya tidaklah setimpal. Inilah kelemahan yang ketara dalam sistem pemusatan kuasa, dan KPM sebenarnya sedang melakukan transformasi ke arah desentralisasi.

Penstrukturan semula jawatan di KPM turut menimbulkan pelbagai reaksi, kerana perubahan itu bakal menyebabkan sebahagian orang merasa ‘tidak selesa’. Oleh sebab ‘ketidak selesaan’ itu bakal mengubah lanskap politik, maka ada sebahagian transformasi terpaksa ditangguhkan. Apakah di bawah teraju Pakatan Harapan mereka bersedia melakukan anjakan berkenaan? Apakah mereka tidak akan berhadapan dengan ‘ancaman politik,? Apakah pemimpin-pemimpin dalam PH bersedia ‘berkorban’ untuk memperbetulkan stigma berkaitan? Inilah keberanian yang diperlukan kalau benar-benar elit politik di Malaysia mahu melihat kualiti sistem pendidikan boleh melonjak dan membangun sejajar dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Elit politik tidak perlu mempertahankan sistem pendidikan vernakular, kerana kesannya sudah menampakkan bahawa rakyat Malaysia sukar bersatu untuk membina agenda kebangsaan. Masing-masing seperti ‘enau dalam belukar’, tidak sanggup tumbuh secara melata dan dalam persekitaran organik.

Ibu bapa bukan Melayu tidak sanggup membenarkan anak-anak mereka belajar di sekolah kebangsaan atas pelbagai alasan yang kadangkala dilihat dangkal dan bersifat etnocentrik, hanya kerana sebahagian besar pelajar Melayu dan Islam berusaha untuk membudayakan kehidupan harian mereka menurut persekitaran dan penghayatan Islam. Dengan sokongan segelintir keluarga Melayu-Islam, bukan Melayu mula memperoleh sedikit kekuatan, dan mereka sama-sama memperlekehkan sekolah kebangsaan.

Kita sedar, sekolah kebangsaan ada kelemahannya yang tersendiri. Guru-guru sebahagiannya dilihat begitu selesa dengan budaya kerja lama, sehingga tidak sanggup untuk berubah dalam konteks keperluan semasa. Sebaliknya lebih banyak menyalahkan kepada sistem, yang memerlukan mereka mengorbankan sebahagian masa untuk kepentingan profesyen mereka. Masa yang dikorbankan itu dianggap ‘beban’ yang mengecewakan dan boleh menyumbang kepada tekanan dan masalah psikologi.

Keadaan seperti itu kurang berlaku pada tahun-tahun sebelumnya. Dalam tahun 1970-an, kita jarang mendengar guru terbeban dengan tugas pengkeranian, sedangkan guru juga bertanggungjawab untuk mengambil rekod kedatangan murid dan menjejaki murid sekiranya murid tidak hadir ke sekolah beberapa hari. Kini, tindakan yang sama dianggap ‘tugas pengkeranian’ yang membebankan.

Perihal ‘keluarga komuter’ juga tidak timbul pada masa 1970-an dan 1980-an. Ianya mula muncul apabila pasangan guru adalah mereka yang juga mempunyai kerjaya masing-masing. Akibatnya, mereka terpaksa berpisah disebabkan tuntutan kerjaya masing-masing dan sistem penempatan guru berasaskan opsyen dan bilangan perjawatan yang ada di sesebuah negeri atau daerah. Sebab itu, semakin membesar masalah ‘dukalara’ dalam pasangan guru. Kini sudah merebak ke lain-lain profesyen. Selagi masalah ini tidak dapat diatasi, selagi itulah ia akan mempengaruhi psikologi seseorang guru.

Ekspaktasi ibu bapa juga semakin membuak dengan sindiran dan kenyataan pedas. Ibu bapa kini sentiasa melihat guru sebagai suatu profesyen yang tidak melambangkan ‘kemuliaan’ disebabkan kedudukan sosioekonomi yang berbeza. Ibu bapa berusaha mempertahankan anak-anak mereka walaupun ada ketikanya ia adalah suatu bentuk praktis budaya. Umpama anak-anak diajar agar membersihkan kelas, membersihkan bilik air dan menanam pokok hiasan.

Ibu bapa melihat amalan tersebut tidak sepatutnya diwajibkan kerana anak-anak ke sekolah adalah untuk belajar bukannya ‘bekerja’. Pekerjaan sedemikian sepatutnya dilakukan oleh tukang sapu ataupun tukang kebun. Sedangkan sebelumnya, aktiviti seperti itulah yang banyak menyemai nilai dan semangat kepunyaan, menyayangi benda-benda dan nilai moral yang akhirnya membentuk sahsiah seseorang.

Perkara sedemikian tidak menjadi masalah di sekolah-sekolah di negara maju. Bahkan, sekolah-sekolah di Jepun menyusun jadual untuk setiap orang pelajar untuk membersihkan tandas. Akhirnya, Jepun terkenal sebagai sebuah negara yang menghargai tandas, termasuk tandas awam. Sedangkan di Malaysia, tandas tidak dijaga dengan baik, bahkan berkeadaan tidak terurus sekiranya tandas awam tidak diawasi oleh pihak tertentu.

Dalam keadaan persendirian juga ada dalam kalangan ibu bapa menjadikan tandas sebagai ‘tempat melupus’ pelbagai buangan yang tidak sepatutnya, seperti membuang napkin dan melonggok pakaian sebelum dicuci. Inilah fenomena pendidikan yang sukar untuk diterapkan di peringkat ‘rebung’ kerana sebahagian ibu bapa melihat perlakuan tersebut dalam nilai yang berbeza. Ia hampir menyamai sikap elit politik yang hanya tahu membuat kiraan untung-rugi dan mengharapkan ‘return on investment’ dalam pendidikan mestilah tinggi dan cepat, sebagaimana yang difikirkan. Sedangkan proses pendidikan itu memerlukan masa yang panjang, kerana ukuran kejayaannya ialah kemenjadian murid, bukannya berapa ramai yang berjaya mencetak “straight A’s” dalam peperiksaan awam.

Kita juga perlu memikirkan bahawa konsep pendidikan perlu berubah; begitu juga budaya mengajar. Budaya mengajar bukan lagi berorientasikan pelajar, sebaliknya, guru perlu bersedia menjadi seorang pembimbing dan pemudahcara. Dalam mendepani perubahan sedemikian, guru perlu melengkapkan diri sepanjang masa, bukan mengharapkan semuanya disogokkan oleh KPM. Guru perlu kreatif dan terus memperkemaskan pengetahuan amnya, dengan membaca dan menyelidik.

Apa yang berlaku, seorang guru jarang membaca pengetahuan am yang rancak berkembang pesat. Mereka hanya asyik mempertahankan pengetahuan sedia ada dan dimiliki, dan ada ketikanya tercabar dengan ekspaktasi ibu bapa. Guru-guru kurang budaya menyelidik, sedangkan dalam sistem pendidikan, sudah ada situasi menggalakkan para pelajar membuat rujukan daripada sumber-sumber yang pelbagai.

Atas ketidaksanggupan itu guru-guru kadangkala tertekan, sebab merasakan penyelidikan bukanlah sesuatu yang menghasilkan pendapatan sampingan, dan kerana itu ramai guru-guru lebih gemar menghabiskan masa dengan mengajar di pusat-pusat tuisyen, menjadi agen insuran, agen multi level marketing (MLM), berniaga kecil-kecilan dan sebagainya, sebagai mencari pendapatan tambahan. Ia berkaitan dengan keinginan guru itu sendiri, mereka memerlukan pendapatan tambahan bagi menampung perbelanjaan yang sentiasa meningkat dan keinginan yang tidak terbatas.

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply