Konsep yang menganggap bangsa kulit putih lebih unggul berbanding bangsa lain dan patut mengawal bangsa lain telah bermula sejak sekitar abad ke-17.

Di Amerika Syarikat (AS), konsep ini dahulunya telah menghalalkan penghambaan rentas Atlantik, amat dominan sebelum dan selepas Perang Saudara Amerika dan orang kulit putih (OKP) dianggap sebagai tuan punya benua Amerika.

Konsep ini diperkukuhkan dengan hanya OKP boleh diterima sebagai warganegara AS, bukan OKP dihalang daripada bekerja di pejabat kerajaan (sehingga pertengahan abad ke-20), dan perkahwinan antara kulit berbeza dihalang oleh undang-undang (sehingga 1967).

Ancaman PKP tidak boleh dipandang ringan. Di AS tujuh bulan pertama 2017 contohnya, merekodkan 63 insiden yang berupa ancaman, vandalisme dan usaha membakar masjid di 26 buah negeri (dua insiden setiap minggu), meningkat berbanding 46 insiden (tempoh sama 2016).

Dapatan laporan menunjukkan antara 2008-2017, 71 peratus kematian berkaitan ekstremisme dilakukan oleh golongan PKP. Antara 2002-2017, walaupun AS membelanjakan sebahagian besar perbelanjaan aktiviti anti-keganasan untuk pelampau Islam, bukti menunjukkan bilangan mereka yang terbunuh kerana keganasan kumpulan pelampau bukan Islam adalah 287 peratus lebih tinggi.

Antara kesan PKP adalah serangan oleh Robert Gregory Bowers terhadap rumah ibadat Yahudi pada 27 Oktober 2018 di Pittsburgh yang mengorbankan 11 mangsa dan tujuh tercedera.

Dia dikenal pasti sebagai puak berhaluan kanan, Neo-Nazi, anti-semitik, beragama Kristian, dan anti-bukan OKP. Dia juga mempunyai hubungan dengan puak berhaluan kanan dan Neo-Nazi di United Kingdom. Dakwaan terhadapnya masih berjalan di mahkamah.

Sebelum itu di Norway, Anders Behring Breivik meletupkan van dan membunuh lapan orang pada 22 Julai 2011 sebelum menembak mati 69 peserta kem musim panas di Pulau Otaya.

HUKUMAN RINGAN?

Dari segi ideologi, dia pelampau berhaluan kanan, anti-Muslim, anti-pendatang, seorang fundamentalis Kristian, mengaku 100 peratus Kristian, dan ‘tentera Salib zaman moden’. Dia juga mengaku berfahaman fasis, Nazi dan Odionisme (ajaran pagan), mempunyai hubungan dengan pelampau berhaluan kanan di United Kingdom, menyeru semua Muslim dihantar keluar dari Eropah selain menyeru pelampau Hindu menghalau keluar Muslim dari India.

Dia hanya dikenakan penjara selama 21 tahun. Pada 22 Oktober 2015, Anton Lundin Pettersson menyerang Kronan School di Trollhattan, Sweden. Dengan bersenjatakan pedang, dia membunuh tiga orang (guru, pembantu guru dan pelajar) dan mencederakan seorang. Dia dikenal pasti sebagai puak berhaluan kanan, Neo-Nazi, anti-pendatang dan rasis.

Di Kanada, Alexandre Bissonnette menyerang masjid di Quebec City pada 29 Januari 2017, membunuh enam Muslim (menyebabkan 17 anak menjadi yatim), mencederakan 19 yang lain ketika umat Islam baru selesai bersolat.

Dia menembak apa sahaja yang bergerak sehingga kehabisan peluru. Maklumat menunjukkan dia adalah pelampau berhaluan kanan, anti-Muslim, dan anti-pendatang. Dia tidak berada dalam radar pasukan keselamatan, tidak didakwa atas kesalahan berkaitan keganasan dan hanya dikenakan penjara seumur hidup.

Tragedi Christchurch setakat ini menyaksikan Brenton Tarrant menembak lelaki, wanita dan kanak-kanak yang berkumpul untuk solat Jumaat dan menyebabkan 50 terbunuh dan lebih 50 tercedera.

Dia dikenal pasti sebagai pelampau berhaluan kanan, anti-pendatang, anti-Muslim, peminat pengganas Kristian, dan ‘pengganas Kristian’. Dia merakamkan secara langsung kegiatan keganasannya melalui media sosial (16-17 minit) dan telah ditangkap walaupun tidak tersenarai dalam radar pasukan keselamatan sebelum ini.

Ringkasnya PKP masih wujud dan berkembang di pelbagai negara. Ideologi PKP berevolusi dari kacukan dan adunan ideologi puak pelampau berhaluan kanan, neo-Fasis, neo-Nazi, anti-semitik, anti-Islam, anti-Asia, anti-pendatang, anti-bukan OKP dan ajaran Kristian.

Kemajuan teknologi menyaksikan wujudnya jaringan antarabangsa antara kumpulan PKP di seluruh dunia. Rekod menunjukkan kumpulan PKP wujud sekurang-kurangnya di Afrika (Afrika Selatan), Eropah (17 negara), Amerika Selatan (empat negara), Amerika Utara (dua negara), dan Oceania (dua negara).

Bilangan terbanyak kumpulan PKP didapati wujud di AS (100), Jerman (16), Australia (13), Kanada (sembilan), Sepanyol (tujuh), UK (lima) dan New Zealand (dua). Kajian juga mendapati PKP menggunakan Internet dan media sosial untuk merekrut ahli, menyebarkan propaganda dan meluaskan pengaruh.

Kes-kes keganasan mutakhir ini menunjukkan pengaruh Internet yang amat kuat (online radicalization) dalam meradikalkan sesiapa sahaja secara bersendirian (self-radicalization).

Ini memungkinkan wujudnya serangan ‘lone wolf’ yang sukar dijangkakan kerana ‘bakal pengganas’ ini tidak berada dalam radar pasukan keselamatan. Untuk itu, bahan berkaitan keganasan di Internet perlu disekat dan dihapuskan. Undang-undang berkaitan senjata api pula seharusnya diperketatkan, bukannya dilonggarkan.

Kedengaran juga berita pihak kerajaan ingin memansuhkan hukuman mati, ada baiknya kajian terperinci tentang perkara ini dijalankan terhadap masyarakat. Apatah lagi dalam Islam, hukuman mati sememangnya dibenarkan untuk kesalahan tertentu.

Adilkah seorang pengganas membunuh berpuluh orang awam, wanita dan kanak-kanak serta mencederakan puluhan yang lain masih diberi peluang dan ditanggung kerajaan untuk hidup?

Terbelakah suami-isteri, anak dan keluarga yang menjadi duda-balu, anak yatim dan sengsara sepanjang hayat akibat perbuatan pengganas ini? Ke manakah hala tuju undang-undang negara?