PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH ADALAH KESINAMBUNGAN KEINDAHAN AD-DEEN SEBAGAI CARA HIDUP  

Penguatkuasaan, pendakwaan dan penghakiman adalah antara aspek-aspek di dalam proses pentadbiran keadilan jenayah yang menjadi lipatan kedua dalam konsep hisbah iaitu al-amr bil maaruf wa al-nahy ‘anil munkar – mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ad-Deen pula merupakan cara hidup yang syumul, a complete way of life.  Ad-Deen bukan semata-mata bermaksud Agama. Ad-Deen yang benar dalam sejarah manusia ialah ajaran yang dibawa oleh Nabi Adam (AS) yang kesinambungannya dipenuhi oleh ajaran yang diwahyukan daripada Allah menerusi nabi-nabi serta rasul-rasulNya yang lain selepas nabi Adam AS. Ad-Deen itu kemudiannya disempurnakan dengan ajaran yang diperturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad (SAW) sebgai Rasul terakhir atau khatimul an-biya’. Ajaran agama Islam yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad itu merupakan agama yang sempurna dan diredhai Allah sebagaimana firmanNya dalam al-Quran, dalam surah ak-Maidah, ayat 3

 الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu

Al-Deen yang diwahyukan Allah itu bertujuan membentuk serta mengarahkan manusia menjadi insan yang baik bagi melaksnakan misinya sebagai khalifah Allah untuk mendapat keredhaan Allah SWT dan  seterusnya menikmati kebahagiaan hidup di alam dunia yang fana ini serta sa’adah yang hakiki di dunia akhirat yang kekal abadi nanti.

Agama menurut perspektif Islam ialah ad-Deen. Walaupun ramai yang menganggap Agama itu serupa dan sama dengan ad-Deen, namun, hakikatnya ialah, keduanya berbeza. Ad-Deen mempunyai kata asal daripada bahasa Arab yang bermaksud satu cara hidup (way of life). Ad-Deen itu merangkum dan melengkapkan segala aspek kehidupan manusia dengan mengetengahkan hubungan manusia dengan Penciptanya, iaitu llah SWT yang melengkapi segenap aspek kehidupan yang meliputi hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam. Secara ringkasnya ad-Deen sebagaimana yang diwahyukan oleh Allah menerusi RasulNya Muhammad SAW, sama ada dalam bentul Al-Quran atau Sunnah (lihat Surah al-Najm (53): 3-4) (3). الْهَوَىٰ  عَنِ يَنْطِقُ وَمَا dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al Qur’an) menurut kemahuan hawa nafsunya.

(4).      يُوحَىٰ وَحْيٌ إِلَّا هُوَ إِنْ Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya). Wahyu-wahyu yang diperturunkan tersebut  merangkum semua aspek kehidupan bagi tujuan duniawi dan ukhrawi, akidah, ibadah, syariat dan akhlak.

Ajaran-ajaran yang dibawa oleh ad-Deen itu merangkum keseluruhan aspek kehidupan dan kesemuanya aspek kehidupan Islam itu disepadukan sehingga kesemuanya tidak boleh dipisah-pisahkan. Sekiranya aspek-aspek tersebut (akidah, ibadah, syariat dan akhlak) dipisah-pisahkan atau dipecah-pecahkan maka Islam atau ad-Deen itu tidak akan dapat menunaikan fungsinya yang meliputi segala sudut kehidupan manusia. Sekiranya dipecah-pecahkan juga ad-Deen itu tidak akan dapat berperanan sebagai suatu cara hidup yang sempurna.

Sebagai analogi, Islam itu adalah seumpama badan manusia dan aspek-aspek ajaran Islam diumpamakan anggota-anggota badan. Badan manusia akan dapat berfungsi dengan sempurna sekiranya anggota-anggota badan itu masih berada pada badan manusia; sekiranya aspek  Islam itu tidak lagi berada bersama Islam secara bersekali, maka Islam juga tidak akan dapat berfungsi dengan sempurna. Sekira dipisah atau dipotong daripada badan manusia itu, maka anggota badan itu tidak lagi dapat menunaikan fungsi dan peranannya. Sekiranya aspek ajaran -ajaran Islam itu dipisahkan daripada Islam, maka aspek-aspek tersebut juga tidak akan dapat menunai peranan sebagai satu cara hidup yang sempurna.

Oleh yang demikian, dalam ad-Deen itu terkandungnya sifat kekuasaan Allah SWT sebagai Pencipta dan segala ciptaannya adalah secara mutlak milikNya dan Allah jua yang mempunyai kekuasaan berkenaan kehakiman. Maka, segala yang dicipta, termasuklah manusia itu dipertanggungjawabkan untuk mentaati segala macam peraturan yang mutlak dan praktikal yang telah ditetapkan oleh Pencipta. Ekoran itu, atas dasar kekuasaan dan kehakiman yang menjadi milik Allah itu, maka terdapatnya konsep balasan baik dan balasan buruk atas ketaatan dan keingkaran kepada perintah-perintah Allah SWT.

Sesiapa yang mempelajari dan mengkaji al-Quran serta ilmu-ilmu Islam yang lain nescaya ia akan mendapati bahawa ajaran Islam adalah amat sempurna dan sangat unik. Di antara tujuan perjuangan Islam ialah untuk mencari keamanan dan kesejahteraan semua manusia di samping menggalakkan semangat kerjasama keamanan di antara seluruh umat manusia.

Manusia yang diciptakan dengan dua unsur, jasmani dan ruhani, dibekalkan dengan tenaga untuk pengendalian akal agar mereka berupaya membezakan antara yang baik dan yang buruk, yang betul dan yang salah. Walaupun dibekalkan dengan akal, manusia juga mempunyai runtunan nafsu dan naluri yang boleh meumpahkan darah serta membawa keburukan dan sekaligus mendatangkan kerosakan kepada diri dan masyarakat. Keadaan ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah (2), ayat 30 yang berbunyi:

 

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya, ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”

Di antara kedua pengaruh inilah (akal dan nafsu) manusia membentuk masyarakat. Maka di sini wujudlah keperluan mengawal tindakan manusia dalam bentuk al-nahy ‘an-al-munkar. Andainya tiada pengawalan dalam bentuk pendakwaan dan hukuman yang bertujuan sebagai peringatan, penghukuman dan pengawalan, maka konsep al-nahy ‘an-al-munkar yang merupakan satu aspek penting dalam hisbah ini tidak akan berkesan.

Oleh itu, bagi menjamin kelangsungan ad-Deen, maka akal dan nafsu manusia itu hendaklah diseimbangkan kembali, selain daripada manifestasi konsep al-amr bi-al-maaruf, juga dalam bentuk pendakwaan dan hukuman yang telah dimulakan dengan proses penyiasatan yang menepati prinsip-prinsipnya.

Proses penyiasatan itu menhormati hak dan maruah manusia. “’Maruah” yanaga juga boleh diterjemahkan sebagai bermaksud kehormatan atau boleh juga dirujuk sebagai keadaan seseorang yang layak dihormati. Manusia dilahirkan dengan kualiti ini. Ia diakui dan dijelaskan oleh sumber undang-undang tertinggi Islam iaitu Al-Quran. Islam menghormati maruah manusia lebih baik daripada sistem lain. Hal ini jelas tersebut di dalam al-Quran, iaitu disurah al-Isra’ ayat 70:

 

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan”

 

Dalam melindungi maruah manusia, al-Quran telah menetapkan prinsip yang tegas di mana hak persendirian seorang manusia itu tidak boleh dicabul. Sebagai contoh, seperti yang dinyatakan di atas, Al-Quran dengan jelas melarang seseorang dari memasuki ke dalam rumah yang bukan miliknya tanpa kebenaran tuan rumah tersebut. Kesan yang sama dijelaskan dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Hadith yang bermaksud:

“Elakkan daripada prasangka kerana sesungguhnya prasangka itu adalah bisikan yang paling bohong. Dan janganlah kamu mencari-cari rahsia (kelemahan, keaiban dan keburukan saudaranya), janganlah merasa-rasakan (yang bukan-bukan), janganlah kamu melakukan pertengkaran, jangan berhasad (dengki), jangan berbenci-bencian, janganlah membelakangkan (saudaramu seagama). Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara”[1]

Salah satu prinsip penting yang boleh diambil manafaat daripada maksud hadith di atas yang berkaitan dengan isu penguatkuasaan undang-undang ialah syak wasangka, serta perbuatan mencari-cari kesalahan orang lain hendaklah dijauhi.

Ayat al-Quran yang paling berkaitan mengenai isu ini ialah ayat ke-12, Surah al-Hujurat. Bahagian yang berkaitan dalam ayat ini ialah:

“Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa…”

Sama seperti prinsip yang didapati daripada hadith di atas, ayat ke-12 surah Al-Hujurat ini juga menyatakan bahawa syak wasangka itu dilarang sama sekali. Dalam mentafsirkan ayat ini, al-Qurtubi berpendapat bahawa perkataan ‘syak wasangka’ bermaksud ‘al-tuhmah’[2] yang mana secara bahasanya bermaksud ‘tuduhan’.[3]

Tuduhan hanya boleh dilakukan, menurut al-Qurtubi, jika terdapat bukti jelas atau sebab yang jelas. Dengan kata lain, seseorang itu tidak boleh didakwa di mahkamah kecuali apabila terdapat bukti yang jelas ke atasnya. Prinsip ini mungkin juga terpakai kepada penguat kuasa, iaitu penguat kuasa tidak harus memulakan pemnyiasatan sekiranya tiada bukti yangboleh menjadi asas kepada penyiasatan. Dalam konteks ini maklumat yang dipercayai atau kepercayaan munasabah boleh menjadi asas penyiasatan.

Bagi perkara ini, seksyen 57 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 menyatakan antara lain, Pegawai Penguat Kuasa Agama boleh melaksanakan kuasa menyiasat bagi kes boleh tangkap sekiranya mempunyai sangkaan munasabah. Sangkaan munasabah ini boleh dikatakan sebagai mempunyai asas atau alasan kukuh. Penyiasatan tidak boleh dimulakan secara sewenang-wenang tanpa sebarang alasan munasabah.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa ayat di atas merupakan asas bagi setiap pendakwaan, iaitu ia mestilah sentiasa disokong oleh bukti yang jelas. Jadi, dapatlah diketahui di sini bahawa Islam memberi penekanan terhadap maruah manusia dan bukannya sewenang-wenang menceroboh hak persendirian seorang lain. Selain daripada itu, seseorang hendaklah dianggap tidak bersalah melainkan jika terdapat bukti yang menyatakan sebaliknya.

Persoalan seterusnya yang mesti dijawab ialah sama ada penyiasatan (yang dijalankan ketika penguatkuasaan undang-undang) boleh dijalankan tanpa bukti yang nyata? Dalam membincangkan isu ini, kita perlu mengambil pendapat al-Qurtubi dalam ayat di atas. Al-Qurtubi menyatakan:

 

Dan bukti untuk ‘syak wasangka’, bermakna ‘tuduhan’ yang dalam firman Allah (SWT) (yang bermaksud): ‘Dan janganlah kamu mengintip satu sama lain’ Ini adalah kerana seseorang mungkin akan terdorong untuk membuat tuduhan dan kemudian mengesahkan melalui perisikan, siasatan, pengawasan mencuri dengar, dan perkara-perkara yang lain. Oleh itu, Rasulullah (SAW) melarang perbuatan mengintip. Perkara yang membezakan jenis syak wasangka yang dilarang (dan yang harus dielakkan) daripada semua jenis syak wasangka yang lain ialah syak wasangka yang dibincangkan tadi merupakan syak wasangka tanpa bukti yang sah atau tanpa sebab yang jelas diketahui. Oleh itu, jika tiada sebab yang kukuh, kita dilarang untuk mengesyaki seseorang itu jahat atau tidak jujur jika sebelum ini dia terkenal dengan kebaikan dan dihormati kerana kejujurannya. Perkara ini berbeza jika orang itu terkenal dengan urusan yang diragui dan seorang yang zalim.[4]

Penyiasatan melibatkan proses mencari atau mengumpul bukti yang nyata dan jelas bagi tujuan pertuduhan, pendakwaan dan seterusnya pensabitan orang yang dituduh. Disebabkan kesan pertuduhan, pendakwaan dan pertuduhan ke atas tertuduh, terutama mengenai haknya sebagai manusia perkara berkaitan penyiasatan ini hendaklah dibenarkan hanya dengan tujuan menzahirkan kebenaran atau untuk mengelak terjadinya perbuatan buruk. Penyiasatan bukan bertujuan menghukum orang yang tidak bersalah, tetapi untuk membela hak dan maruah orang yang mendapat kesan daripada tindakan tertuduh. Dalam konteks ini, Islam memandang penyiasatan itu sebagai sebahagian daripada konsep hisbah, yang mana ia bertujuan menyuruh manusia bertindak ke arah kebaikan dan mencegah atau menghalang kejahatan. Oleh itu, siasatan perlu dijalankan bagi menentukan fakta-fakta yang jelas dengan proses-proses yang setiap masa mletakkan hak manusia di tempat utama. Dengan mengenal pasti fakta-fakta yang jelas, maruah kedua-dua pihak, suspek dan mangsa dapat dilindungi.

Jika dilihat kepada konsep maruah atau kehormatan manusia dari perspektif yang lain, kita menyedari bahawa kuasa untuk menyiasat dan menguatkuasakan undang-undang itu berasaskan konsep “keadaan yang terdesak dan pengecualian kepada larangan”.

Walaupun peraturan umumnya ialah syak wasangka dan campur tangan dalam kehidupan peribadi seseorang lain adalah dilarang, penyiasatan hanya dibenarkan jika berlakunya keperluan atau tuntutan keadaan. Petikan ayat di atas boleh dijadikan asas kepada hujah bahawa penyiasatan dibenarkan walaupun secara awalnya tajassus atau juga risikan tanpa bukti kukuh secara umumnya dilarang. Ini kerana ayat tersebut menyebut, secara maksudnya “sebahagian” daripada sangkaan adalah dosa. Namun, sangkaan yang disertai dengan bukti atau petunjuk boleh dibenarkan mengikut situasi atau keadaan. Ini adalah untuk memelihara maruah semua pihak, bukan sahaja mangsa, tetapi juga suspek itu sendiri.

Kesimpulannya, penguatkuasaan undang-undang mesti dilakukan dengan berhati-hati kerana kuasa untuk menyiasat itu bersifat menyekat kebebasan seseorang dan bolh menjatuhkan maruah seseorang. Seperti yang telah dinyatakan, Islam memberikan perhatian yang tinggi dalam hal ini. Perlu juga ditegaskan bahawa penyiasatan merupakan pengecualian kepada prinsip umum. Atas sifatnya sebagai satu pengecualian, penyiasatanhendaklah dilaksana sebagai pengecualian yang disandarkan kepada konsep tuqaddiru bi qadariha yang boleh diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai proportionate atau mengikut keperluan.

Kelangsungan Ad-Deen

Bagi mempastikan kelangsungan ad-Deen, maka Islam juga telah menggariskan prinsip-prinsip penting dalam penyiasatan, pendakwaan dan penghakiman. Prinsip-prinsip ini dapat dicungkil daripada amanat yang disampaikan oleh Umar al-Khattab kepada Hakim Abu Musa al-Ahs’ari.

Antara prisnsip-prinsip yang penting ialah, (1) kewajipan menetapkan hukuman dengan menubuhkan Badan Kehakiman kerana setiap perkara yang benar adalah tidak bermanafaat sehinggalah ia dilaksana; (2) Memberi layanan serupa dan samarata dalam antara semua pihak tanpa mengeira kedudukan sosial mereka; (3) Keterangan atau bayyinah adalah tanggungjawab orang yang menuntut dan orang yang menolak tuduhan boleh mengambil sumpah; (4) Kesepakatan berdamai adalah digalakkan, kecuali jika kesepakatan damai tersebut menyebabkan hal-hal yang diharamkan menjadi halal atau hal-hal yang halal menjadi haram; (5) Sesiapa yang tidak mampu membawa bukti bagis esuatu perkara, berikan dia sedikit senggang waktu dan sekiranya dia berjaya membuktikannya, maka berikanlah hak yang dituntut itu; (6) Sekiranya terdapat keyakinan baharu dalam membuat keputusan, maka keputusan terdahulu boleh diubah; (7) Semua orang Islam adalah bersifat adil kecuali mereka yang telah didapati bersalah kerana sumpah palsu atau orang yang dihukum dengan hukuman hudud atau kesetiaannya kepada Islam diragui; (8) Sekiranya suatu hukum itu tidak didapai secara jelas dalam al-Quran dan sunnah, maka buatlah keputusan dengan qiyas dan buatlah keputusan dengan keyakinan bahawa ia diredhai Allah; dan, (9) Para hakim hendaklah menjauhi sikap marah, bingung, menyakiti orang lain dan mempersulit permasalahan ketika terjadinya pertikaian.

Pada penghujung amanat itu, dinyatakan (dengan maksud) “Penghakiman  yang tepat, mengenai sasarna kebenaran, akan mendapatkan pahala daripada Allah, dan akan dikenang. Barang siapa yang melakukan kebenaran didasari dengan niat yang ikhlas, maka dia akan merasa cukup hanya Allah-lah (yang akan melindungi dan menolongnya dalam segala masalah) yang menyangkut dirinya dan orang lain. Barang siapa mengada-ada maka Allah akan mencelanya. Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amal seorang hamba kecuali amal yang didasari dengan keikhlasan. Bagaimanakah pendapatmu mengenai pahala-pahala Allah, baik berupa rezeki yang kamu dapat di dunia dan rahmat-rahmat-Nya yang masih tersembunyi.”

Ringkasnya, Islam mengajar manusia supaya menegakkan dan memperjuangkan keadilan di mana sahaja. Keadilan yang dituntut itu adalah keadilan kepada semua makhluk ciptaan Allah SWT, baik dalam kalangan kaum Muslimin dan di antara kaum Muslim dengan orang kafir

Kesyumulan ad-Deen merupakan kelangsungan yang perlu diteruskan dan dipertahan. Maka, penyiasatan, pendakwaan serta kehakiman merupakan antara mekanisme-mekanisme terpilih bagi meneruskan kelangsungan al-Deen.

*Sebahagian daripada tulisan ini telah dibentangkan dalam Konvensyen Shariah yang berlangsung pada 12 dan 13 Oktober 2016 Anjuran Jabatan Agama Islam Selangor dengan kerjasama JAKIM. Sebahagiannya juga telah diterbitkan dalam buku karya penulis “Isu Penguatkuasaan Undang-Undang Jenayah Syariah” terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2016

Shamrahayu A.Aziz

Felo Utama

Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Pilitik

Institut Kefahaman Islam Malaysia

[email protected]

[1] Sahih Muslim, Dar Turath  al-Arabiy: Beirut, 2000, hadith no. 2563

[2] Al-Qurtubi, al-Jami` li Ahkam  al-Qur`an, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, 2000, vol. 15 – 16, p.217

[3] J. Milton Cowan (ed.), Hans Wehr A Dictionary of Modern Written Arabic, Beirut: Librairie Du Liban, 1974, p.98

[4] Al-Qurtubi, al-Jami` li Ahkam  al-Qur`an, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, 2000, vol. 15 – 16, p.217

No Comments

    Leave a reply