PENUKIL TAJ US SALATIN

Abad ke-17 merupakan zaman perkembangan pemikiran orang-orang Melayu di Kepulauan Melayu. Ini dapat dilihat daripada buku-buku yang dihasilkan oleh pujangga-pujangga dan ulama-ulama pada zaman tersebut.

Salah sebuah buku yang sangat berpengaruh ialah Taj us-Salatin (Mahkota Raja-raja) karangan Bukhari al-Jauhari pada tahun 1630. Buku ini merupakan panduan untuk memerintah oleh raja-raja Melayu seperti Kedah dan Johor.

Raja-raja Jawa telah menggunakannya sebagai pedoman dalam pentadbiran mereka. Begitu juga Belanda yang menggunakannya untuk mentadbirkan Indonesia ketika ia menjajah negeri itu. Buku ini telah dibawa ke England dan Belanda yang kemudiannya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis.

Taj us-Salatin begitu berpengaruh hingga abad ke-19 ketika Munsyi Abdullah cuba mengenal atau mengetahui watak Raffles daripada air mukanya berdasarkan ilmu firasat di dalam buku tersebut.

Di dalam bukunya Kisah Pelayaran Abdullah – ke negeri Kelantan, Abdullah telah menasihatkan raja-raja di negeri itu supaya membaca Taj us-Salatin untuk mengetahui tanggungjawab sebagai raja.

R.O. Winstedt mengatakan buku ini adalah hasil kesusasteraan Parsi yang dikarang oleh Jauhar dari Bukhara, kemudian diterjemahkan ke bahasa Melayu di Acheh pada tahun 1603.

Menurutnya lagi, bahawa buku ini kurang baik dan sangat kurang nilai sasteranya. Sebagai seorang Kristian, beliau telah mengecam buku itu kerana ajaran-ajaran Islam yang terkandung di dalamnya.

Werndly dalam Maleisch Spraakunst berpendapat Taj us-Salatin mengandungi beberapa ajaran yang bermoral dalam bentuk cerita dan dikarang dalam bahasa yang bagus serta gaya yang baik. Taj us-Salatin adalah salah sebuah kitab yang terbaik dalam bahasa Melayu yang mudah dibaca.

Khalid Hussain, penyunting buku Taj us-Salatin yang terbaharu, berpendapat bahawa buku ini adalah karya asli seorang pengarang bernama Bukhari dari Johor. Ini berdasarkan kenyataan bahawa ia banyak memperlihatkan keperibadian Melayu dan tidak ada bukti bahasa atau kata-kata Acheh di dalamnya.

Menurutnya lagi, nama pengarang buku ini dalam huruf jawinya yang boleh dimaknakan Bukhari dari Johor. Ini memang sudah menjadi adat ketika itu yang memberi gelaran seseorang dari nama tempat asalnya seperti Hamzah Fansuri dari Fansur, Syamsuddin as-Sumatrani dari Sumatera dan Nuruddin ar-Raniri dari Rander.

Taj us-Salatin sangat terkenal di Johor sehingga dicetak semula pada tahun 1875. Ia tidak begitu terkenal sekiranya ia bukan hasil tempatan. Katanya lagi, Johor pernah melahirkan pengarang seperti Tun Seri Lanang dan pengarang-pengarang lain yang muncul kemudiannya. Berdasarkan kenyataan di atas, adalah munasabah bahawa Bukhari adalah pengarang dari Johor.

Memang terdapat persamaan antara Taj us-Salatin dengan kitab Arab Al-Taj fi-Akhlak al-Muluk karangan seorang pengarang Arab pada zaman Khalifah A-Maamun bin Harun Al-Rasyid.

Di dalam bukunya, Bukhari mengakui memang ada mengambil bahan-bahan daripada buku panduan raja-raja dalam bahasa Arab. Ini tidaklah mengurangkan jasanya sebagai pengarang Melayu yang pertama menulis buku panduan memerintah (buku politik) dengan merujuk kepada buku-buku Arab yang merupakan sumber ilmu pengetahuan ketika itu.Tujuan beliau mengarang buku ini ialah untuk memberi panduan supaya seseorang raja itu mengetahui tanggungjawab dan boleh memerintah dengan adil.

Taj us-Salatin mengandungi 24 fasal yang membincangkan apakah yang perlu diketahui oleh pemerintah:

  1. Manusia perlu mengenal dirinya
  2. Manusia perlu mengenal Tuhan
  3. Manusia perlu mengenal dunia
  4. Manusia perlu mengetahui kesudahannya pada ketika maut
  5. Tanggungjawab dan sifat-sifat Sultan
  6. Menyatakan perbuatan adil
  7. Cerita-cerita dan sifat-sifat raja adil
  8. Cerita dan sifat-sifat raja kafir yang adil
  9. Menyatakan perbuatan zalim
  10. Tugas dan sifat-sifat menteri
  11. Tugas penyurat
  12. Tugas pesuruh
  13. Sifat, tugas, dan tanggungjawab pegawai-pegawai kerajaan
  14. Cara-cara mendidik anak
  15. Hemat yang benar
  16. Sifat orang berbudi (berakal)
  17. Syarat kerajaan
  18. Ilmu qaifah dan firasat
  19. Ilmu qaifah dan firasat dengan segala hukum-hukumnya
  20. Hal kerakyatan dan raja
  21. Hal rakyat yang kafir dengan raja yang Islam
  22. Hal pemurah dan ihsan
  23. Hal setia dan menepati janji
  24. Penutup

Semua panduan yang diberikan oleh Bukhari berdasarkan sifat-sifat pemerintah dan pemerintah yang dianjurkan oleh agama Islam. Beliau juga menyatakan bahawa rakyat patut menentang raja yang tidak mengikut hukum. Konsep ini merupakan satu konsep baru dalam masyarakat Melayu feudal yang menganggap perintah raja patut dipatuhi dengan membuta tulis.

Bukhari menggariskan 10 sifat raja atau pemerintah yang baik seperti berikut:

  1. Tahu membezakan baik dengan yang buruk.
  2. Berilmu (kalau tidak mempunyai ilmu perlu berkawan dengan orang yang berilmu).
  3. Tahu memilih menteri.
  4. Baik rupa dan budi pekertinya supaya dikasihi orang.
  5. Pemurah.
  6. Mengenang jasa orang.
  7. Berani – jika raja berani, pengikutnya juga berani.
  8. Mengurangkan makan dan tidur supaya tidak lalai.
  9. Kurang berfoya-foya dengan perempuan.
  10. Lelaki, namun raja perempuan boleh dilantik jika tiada waris lelaki untuk mengelakkan daripada berlaku huru-hara.

Kebanyakan sifat di atas masih diperlukan oleh para pemimpin masa kini.

Taj us-Salatin begitu berpengaruh sehingga usaha Syeikh Nuruddin Ar-Raniri untuk menggantikannya dengan Bustan us-Salatin kemudiannya tidak berjaya. Kebesaran Taj us-Salatin dan pengarangnya boleh dilihat daripada kenyataan bahawa tidak ada buku seperti itu dalam bahasa Melayu yang berupaya menandinginya.

Catatan Ibnu Khaldun

No Comments

    Leave a reply