PENYAHKOLONIAN/DEKOLONISASI YANG MASIH BELUM SELESAI SELEPAS 61 TAHUN MERDEKA: APA YANG PARA PEMIMPIN NEGARA DAN PEMUKA-PEMUKA AGAMA BOLEH BELAJAR DARI TUN DR MAHATHIR?

Sidang akhbar antara YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan Perdana Menteri China Li Keqiang beberapa hari lalu adalah antara persembahan klasik Tun Mahathir selama lebih 70 tahun beliau berkecimpung dalam dunia politik. Hampir 40 tahun dahulu ketika mula-mula Tun menjadi Perdana Menteri Malaysia beliau telah melancarkan Operasi “Dawn Raid” di London dengan menyahkoloniankan / mendekolonisasikan gergasi perladangan Guthrie dari Penjajah British ke tangan Malaysia semula.

Kelmarin di Beijing dihadapan pemimpin utama China, Tun tanpa teragak-agak dihadapan tuanrumah Negara Kuasa Besar Semasa China mengingatkan betapa Pengkolonian/Kolonisasi negara kaya terhadap negara miskin berlaku atas nama perdagangan bebas. Tidak kira sama ada di London, Beijing, New York, Tokyo dalam pelbagai persidangan dan perhimpunan antarabangsa, Tun Mahathir telah terpahat dalam ingatan global sebagai pemimpin negara pasca merdeka paling konsisten dan lantang dalam menyahkoloniankan ekonomi dari cengkaman berterusan para Penjajah di akhir abad ke 20 memasuki abad ke 21 ini.

Kelantangan dan istiqamah Tun Mahathir ini pada menyuarakan ketidakseimbangan/asimetri ekonomi, politik dan sosial malah budaya dan ilmu pengetahuan diperingkat global ini sepatutnya menjadi inspirasi dan contoh-teladan bagi para pemimpin negara dan pemuka-pemuka agama yang sedang meningkat naik ketika ini. Malah para pemimpin negara dan pemuka-pemuka agama sepatutnya berusaha untuk memahami betapa pengkolonian yang pelbagai ini masih terus wujud meskipun kita telah merdeka selama 61 tahun! Jika para pemimpin negara dan pemuka-pemuka agama Malaysia dewasa ini gagal untuk meneladani sikap dan semangat kental Tun Mahathir dalam melawan pengkolonian adalah dibimbangi lambat laun, kemerdekaan yang masih kita geluti makna sebenarnya akan terus lenyap dari memori kolektif rakyat Malaysia berhadapan dengan cabaran globalisasi yang tidak lain dari kolonisasi/penjajahan sehala Kuasa-Kuasa Besar Dunia ketika ini.

Jika Tun Mahathir selama ini berbicara ketidakadilan atau ketidakseimbangan/asimetri ekonomi negara kaya dengan negara miskin, Amerika Syarikat/Eropah dan Asia/Afrika, Utara dan Selatan, para pemimpin negara dan pemuka-pemuka agama mestilah mengembangkan pula faham ketidakadilan atau ketidakseimbangan/asimetri politik, sosial, budaya dan juga ilmu-pengetahuan antara negara kaya dengan negara miskin, Amerika Syarikat/Eropah dan Asia/Afrika, Utara dan Selatan ke mata umum. Tidak cukup bagi para pemimpin negara dan pemuka-pemuka agama semasa untuk sekadar membicarakan ketidakadilan diperingkat tempatan dan nasional semata-mata tanpa mereka mengambilkira ketidakadilan global ini yang terus membelenggu jiwa-raga rakyat negara-negara sedang membangun. Malah malang sekali ketika mana para pemimpin negara dan pemuka-pemuka agama masakini berbicara tentang ketidakadilan tempatan dan nasional, mereka sendiri telah termakan dan diresapi dengan pemikiran dan tindak-tanduk para Penjajah itu sendiri.

Para pemimpin negara dan pemuka-pemuka agama semasa wajib mengetahui bahawa pengkolonian politik, budaya dan ilmu pengetahuan jauh lebih berbahaya dan memberikan kesan jangkapanjang untuk rakyat sesebuah negara dari pengkolonian ekonomi yang bersifat fizikal dan material. Melalui pengkolonian ekonomi, rakyat dan negara mungkin boleh jatuh miskin dan menjadi papa-kedana dari segi hartabenda tetapi melalui pengkolonian politik, sosial, budaya dan ilmu pengetahuan kita, rakyat dan negara ini akan terus kekal sebagai hamba sahaya nilai-nilai kehidupan para Penjajah. Nilai-nilai demokrasi liberal (kebebasan tanpa dipandu nilai agama dan budaya), kenisbian sosial (relativisme), budaya hedonisme (hawa-nafsu kebinatangan) dan ilmu pengetahuan tanpa Tuhan (Atheisme, Agnostikisme, Naturalisme/Tabi’isme ) adalah contoh-contoh pengkolonian, ketidakadilan, ketidakseimbangan/asimetri yang perlu difahami oleh para pemimpin negara dan pemuka-pemuka agama sedang menimpa rakyat dan negara kita ketika ini.

Para pemimpin negara dan pemuka-pemuka agama semasa wajib mengetahui bahawa pada abad ke 21 ini kita sedang berhadapan dengan pengkolonian ideologi yang sama seperti pengkolonian ekonomi yang bakal mempengaruhi pemikiran dan kehidupan rakyat dan negara. Pengkolonian ideologi, idea dan pemikiran ini akan mencuba untuk menghakis dan menghapuskan asas-asas kepercayaan dan keyakinan kita terhadap nilai-nilai kehidupan beragama dan berbudaya yang kita pegang selama ini. Pengkolonian ideologi ini kemudiannya akan mempengaruhi dan meresap kepada pemikiran politik, sosial, budaya dan ilmu pengetahuan kita dan sekaligus membentuk pengkolonian baru dalam dimensi politik, sosial, budaya dan ilmu pengetahuan rakyat dan negara pula. Pengkolonian politik, sosial, budaya dan ilmu pengetahuan ini kemudiannya diperkukuhkan sekali lagi oleh pengkolonian ideologi, idea dan pemikiran sehingga ia menjadi lingkaran syaitan yang mustahil untuk dirungkaikan.

Inilah cabaran utama untuk para pemimpin negara dan pemuka-pemuka agama yang sedang meningkat naik dalam era baru perubahan lanskap politik negara iaitu cabaran memastikan kemerdekaan rakyat dan negara ini benar-benar berisi lagi bermakna. Para pemimpin negara dan pemuka-pemuka agama semasa tidak boleh berasa seronok atau terpedaya dek digula-gulakan oleh para Penjajah Kuasa-Kuasa Besar Barat dan Timur dengan segala macam pujian melangit dan harapan menggunung yang diberikan kepada mereka disaat mereka masih berbulan madu ini.

Pengkolonian/Kolonisasi/Penjajahan politik, sosial, budaya, ilmu pengetahuan dan ekonomi ini real/nyata dan bukan abstrak atau diawang-awangan.

Pengkolonian/Kolonisasi/Penjajahan politik, sosial, budaya, ilmu pengetahuan dan ekonomi ini juga bukan sekadar “bogey man” atau hantu pocong yang bertujuan menakut-nakutkan rakyat Malaysia apatah lagi para pemimpin negara dan pemuka-pemuka agama yang wajib bertanggungjawab dalam memelihara kemerdekaan Tanah Air.

Ketika YAB Perdana Menteri Tun Mahathir pada usia lanjut 93 tahun mengungkapkan bahaya pengkolonian dihadapan Perdana Menteri China Li Keqiang beliau tentu sahaja tidak segagah ketika beliau mengecam para Penjajah Kuasa-Kuasa Besar Barat ketika 22 tahun menjadi Perdana Menteri dahulu sehingga Tun digelar “Keras Kepala” oleh Perdana Menteri Australia Paul Keating ketika itu. Akan tetapi sikap dan semangat Tun yang berkobar-kobar tentang kecurigaan beliau terhadap niat dan hasrat para Penjajah Kuasa-Kuasa Besar Barat dan Timur ini sepatutnya dipelajari betul-betul oleh para pemimpin negara dan pemuka-pemuka agama ketika ini. Sikap dan semangat penyahkolonian Tun terhadap para penjajah ini jika diteladani oleh para pemimpin negara dan pemuka-pemuka agama akan menjamin negara Malaysia bebas dari belenggu para Penjajah Kuasa-Kuasa Besar Barat dan Timur yang sentiasa mengintai peluang memerangkap kita sama ada secara halus mahu pun kasar.

Oleh Dr Amran Muhammad
Ketua Eksekutif ISSI

No Comments

    Leave a reply