Peradaban bantah UEC

Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban) membantah hasrat Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memberi pengiktirafan kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Presiden Peradaban, Datuk A. Aziz Deraman berkata, penolakan terhadap UEC bukan kerana PH kini menjadi pemerintah kerana pihaknya akan turut bertegas membantah sebarang cadangan pengiktirafannya jika Barisan Nasional (BN) yang memerintah.

Beliau berkata, cadangan mengiktiraf UEC yang merupakan peperiksaan anjuran Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) sebagai pengganti kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kemasukan ke universiti awam atau perkhidmatan kerajaan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang dan dasar negara.

“Amat tidak logik dan tidak masuk akal apabila sesuatu keputusan diasaskan atas kepentingan politik dan pertimbangan perkauman serta undi semata-mata dan bukan kenegaraan.

“Kedua-duanya iaitu UEC dan SMPC adalah bertentangan dengan Fasal 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu sedangkan ia tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama sebaliknya menggunakan Bahasa Cina (Mandarin).

“Peperiksaan UEC dan sistem persekolahan SMPC melanggar Seksyen 2, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 yang memperuntukkan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi serta bercanggah dengan matlamat dan dasar pendidikan yang berpaksikan kepada Penyata Razak dan yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 kerana tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai pengantar utama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

A. Aziz menegaskan, kerajaan PH tidak wajar melayan tuntutan supaya pelajar-pelajar SMPC tidak perlu mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kononnya memadai mengambil satu subjek Bahasa Melayu untuk diiktiraf sijil UEC mereka oleh kerajaan.

Beliau berkata, keseluruhan matlamat SPMC, sistem, kualiti penilaian dan peperiksaan, buku teks, bahan-bahan pendidikan, kaedah dan penekanan isi pendidikan tidak sama dan amat berbeza dengan sistem dan dasar yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan dan jelas tidak mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Sekurang-kurangnya dengan adanya SPM semua pelajar universiti awam dan kakitangan awam di negara ini sudah melalui proses pembelajaran dalam kedua-dua mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Sebagaimana yang diketahui, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara ialah wahana perpaduan negara dan alat yang membentuk identiti bangsa Malaysia yakni jati diri sebuah negara bangsa manakala mata pelajaran Sejarah sangat penting dan semestinya diberi keutamaan bertujuan membentuk sahsiah warganegara,” katanya. UTUSAN ONLINE

No Comments

    Leave a reply