‘PERALIHAN KUASA’ MEMBAHANG SUHU POLITIK

Kalau diikutkan kebiasaan, bulan Julai memang cuaca panas, terutama bagi negara-negara yang beriklim tropika. Iklim politik Malaysia juga tidak terkecuali kerana selepas berakhirnya sambutan Aidilfitri, suhunya kembali menyelinap ‘pembuluh darah’ para peminat dan penyokong masing-masing.

Setelah isu ‘peralihan jawatan PM’ reda seketika, dua hari lalu ia kembali menghangatkan suasana. Ia dihangatkan dengan jawapan Mukhriz, satu-satunya legasi Dr Mahathir untuk meningkat naik dalam politik tanahair, memberikan jawapan sinis dalam satu wawancara bersama Nikkei Asian Review di Tokyo, Jepun. (Malaysiakini, 11.7.2019).

Jawab Mukhriz, “Saya tidak terlalu bercita-cita tinggi, saya tidak tetapkan bahawa saya mesti menjadi perdana menteri satu hari nanti seperti yang dilakukan orang lain” dansaya terbuka (untuk berkhidmat di peringkat persekutuan)’. Ertinya, Mukhriz sudah mencaturkan dirinya untuk merintis laluan menuju kemuncak kuasa seandainya itu adalah yang terbaik dan diberikan kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti, terutama PPBM.

Sebelum itu, Dr Mahathir yang kembali menerajui politik Malaysia menerusi gabungan parti-parti pembangkang dan berjaya mengalahkan penguasaan 61 tahun Barisan Nasional, mengajak parti-parti Melayu bersatu di bawah Bersatu. Reaksi penyatuan yang dicadangkan oleh Dr Mahathir itu menjadi asas yang mungkin mempengaruhi Mukhriz untuk berpendirian sedemikian.

Ketika Dr Mahathir menganjurkan penyatuan parti-parti Melayu, Anwar mula merasai sedikit gelabah tetapi bijak menyembunyikannya dengan berkata, Perdana Menteri perlu memberikan penjelasan kepada semua pemimpin tertinggi Pakatan Harapan. Dr Mahathir yang berpengalaman membaca petunjuk, akhirnya menyatakan bahawa penyatuan yang dimaksudkan itu bukan dari perspektif parti politik, tetapi semua ahli-ahli atau orang Melayu.

Ia penting untuk memperkuatkan kedudukan politik Melayu yang masing-masing hanya mempunyai pengaruh sepuluh peratus. Secara purata, Dr Mahathir membahagikan kuasa politik Melayu-Islam kepada enam parti dan keseluruhan undi Melayu-Islam adalah sekitar enam puluh peratus.

Ada banyak idea besar yang sedang dibincangkan bersama ajakan yang dibuat. Di Dewan Negara sedang diperkatakan mengenai pindaan Perlembagaan Malaysia bagi membolehkan pendaftaran automatik pengundi, iaitu mereka yang berumur 18 tahun. Sebelumnya, hanya mereka yang berumur 21 tahun dibenarkan mendaftar dan menyertai proses politik di Malaysia.

Perubahan ini menyebabkan setiap tahun jumlah pengundi akan meningkat sebanyak 500,000. Menjelang PRU ke-15, keseluruhan jumlah pengundi dianggarkan berjumlah 21 juta orang. PRU ke-14, keseluruhan jumlah pengundi ialah 14.2 juta.

Pendaftaran automatik juga akan menyebabkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan parti-parti politik tidak lagi disibukkan dengan kempen mendaftar pengundi baharu. Saban tahun, kempen tersebut tidak berjaya mendaftarkan kesemua mereka yang layak. Ada banyak sebab, tetapi yang dilihat begitu dominan ialah sikap golongan muda dalam partisipasi politik.

Dengan pendaftarah automatik dan perubahan umur minimum akan menyebabkan kempen-kempen politik menjelang PRU ke-15 (sekiranya pindaan tersebut diluluskan) menjadi lebih tertumpu kepada golongan muda. Pengundi muda akan membentuk ‘waham’ yang tersangat besar kepada keputusan politik Malaysia.

Kalau PRU ke-14 dikatakan berlakunya tsunami anak muda, dinamika anak itu telah menyebabkan BN tersungkur walaupun dua tahun sebelumnya kita disibukkan dengan gagasan TN 50. Suatu gagasan untuk mencari, menentu dan menyediakan lowongan untuk anak muda berkreasi dan berkerjaya dalam tempoh 30 tahun (2020-2050). Sudah ditakdirkan, gagasan besar itu turut disimpan dalam ‘arkib’ dan tidak sempat untuk dizahirkan.

Mukhriz turut dilihat sebagai barisan pemimpin muda (lahir tahun 1964) yang perlu diketengahkan walaupun dalam Kabinet Dr Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (lahir 1994) adalah menteri yang termuda dalam sejarah politik Malaysia. Syed Saddiq masih perlu banyak belajar kerana dalam beberapa tindakannya dilihat ‘tidak matang’ dan kebudak-budakan (misalnya mandi ais, insiden dipegang bahu dan sebagainya).

Sebelum Mukhriz menjelaskan bahawa ‘peralihan kuasa’ antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim ‘tiada hitam putih’, Tan Sri Rais Yatim terlebih dahulu menyimpulkan bahawa ‘tiada garis masa’ yang ditetapkan. Sebab itulah Rais dalam wawancaranya dengan Utusan Malaysia merumuskan Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim ‘semudah itu’. (Utusan Malaysia, 25.6.2019).

Kita hanya pernah mendengar berkali-kali bahawa Dr Mahathir akan menyerahkan ‘kuasa’ bila tiba waktunya dan Anwar pernah memberikan respon, dirinya tidak tergesa-gesa untuk menjadi Perdana Menteri. Keputusan ‘peralihan kuasa’, menurut Anwar ‘sudah dimuktamadkan’ maka ia bukan lagi isu besar. Isu besar sekarang ialah memberikan peluang dan ruang kepada Dr Mahathir untuk membina semula Malaysia yang telah ‘dirosakkan’ oleh kepimpinan terdahulu.

Sindrom menyalahkan ‘kerajaan terdahulu’ dan ‘silap Najib’ sudah tidak laku. PH tertekan dengan ‘manifesto’, dan tekanan itulah sebenarnya telah menjerat Dr Mahathir untuk mencari alternatif lain bagi menyelamatkan kedudukannya. Itulah sebenarnya menyebabkan Dr Mahathir menjadi sedikit lega apabila Anwar bersedia membenarkan tempoh ‘peralihan kuasa’ dilanjutkan dari dua tahun kepada tiga tahun.

Dr Mahathir masih mempunyai masa, tetapi masa yang ada itu semakin singkat. Tiga tahun bermakna ‘peralihan kuasa’ akan berlaku selewat-lewatnya bulan Mei atau Jun 2021 (dikira berdasarkan tarikh Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-7). Dalam kurang dua tahun inilah Dr Mahathir perlu membuat persediaan dan keputusan muktamad, sama ada benar-benar menyerahkan kuasa kepada Anwar ataupun kekal sebagai Perdana Menteri sehingga PRU ke-15.

Riak dari bawah sudah dapat dibaca oleh sebahagian pemerhati politik, Dr Mahathir sedang melakukan ‘penerokaan baharu’ bagi membolehkan dia berkuasa lebih dari tiga tahun. Riak-riak yang boleh dibaca itu telah menyebabkan penyokong-penyokong Anwar mula bertanya dan mendesak, Dr Mahathir perlu memberitahu dengan tepat bilakah tarikh ‘peralihan kuasa’ itu akan berlaku.

Anwar dalam dilema. Sekiranya menurut kata hati penyokong-penyokongnya, dia bakal berhadapan dengan situasi ‘permusuhan’ dengan pendokong-pendokong Dr Mahathir. Dr Mahathir juga dalam dilema. Untuk menentang kehendak penyokong Anwar secara terbuka, dirinya akan dilabelkan ‘mungkir janji’ dan seolah-olah membenarkan dakwaan, ingin mewariskan jawatan Perdana Menteri kepada pewaris tunggalnya (dalam politik), iaitu Mukhriz.

Husam Musa memberikan pandangan. Kompromi politik antara Anwar dan Dr Mahathir perlu berlangsung dalam suasana yang tidak becirikan permusuhan. Sebab itulah beliau mencadangkan ‘peralihan kuasa’ itu dimulakan dengan persetujuan, Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin dan Anwar mempunyai pengalaman yang luas. Umur mereka juga sebaya. Gandingan pengalaman itu akan membolehkan PH kekal memerintah. Dr Mahathir perlu akui bahawa tanpa sokongan Anwar, beliau tidak akan ke mana-mana dan mampu dipilih semula sebagai Perdana Menteri. Anwar sudah ‘merelakan’ Dr Mahathir untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, maka Dr Mahathir perlu ‘merelakan’ pula dirinya digantikan untuk memimpin PH.

Itu andaian Husam Musa yang dapat kita singkapkan hasil wawancaranya dengan akhbar Sinar Harian (12 Julai 2019). Tetapi itu adalah pandangan peribadi Husam Musa, ia mungkin berbeza dengan sikap sebenar Dr Mahathir. Menurut Rais Yatim, apa yang difikirkan oleh Dr Mahathir tidak dapat diketahui dengan jelas oleh sesiapapun. Dr Mahathir menyembunyikan tiga perempat perancangannya, hanya satu perempat sahaja dinyatakan kepada umum.

Kecenderungan tersebut menyebabkan kita bertanya. Apakah jawapan Mukhriz itu adalah hint yang terpaksa dihadam oleh Anwar sebaik-baiknya. Walaupun Mukhriz tidak menyebut secara jelas orang yang telah meletakkan  dirinya ‘menjadi perdana menteri pada suatu hari’, ia sudah menyebabkan pembantu khas Anwar, R Suresh membalasnya.

Sindiran Mukhriz itu dilihat oleh R Suresh sebagai gambaran Anwar seorang yang ‘tamak kuasa’. Suresh percaya, Mukhriz sebenarnya menyindir Anwar. Dalam masa yang sama, warganet dapat menonton sebuah klip video yang sedang tular, Anwar bercakap di hadapan para mahasiswa di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam program Meet [email protected] pada 15 April 2019.

Menurut Anwar, memang beliau sudah menandatangani surat ‘ambil alih’ jawatan Perdana Menteri, bukannya ‘bukan sekiranya, sekiranya saya ambil alih. Apa sekiranya, dah janji dah saya ambil alih. Apa…dah tandatangan, dah akad dah…tandatangan, ya. Tapi, itu pun kita kena dari Allah” Itu bermakna, Anwar sedikit lembut daripada apa yang pernah dikatakan ketika beliau menuntut jawatan tersebut sebagai haknya yang telah direnggut oleh Dr Mahathir selepas dipecat pada tahun 1998.

Anwar bercakap seolah-olah tidak ada siapa lagi yang berhak menjadi Perdana Menteri ke-8, dan kerana itu penyokong-penyokong terus yakin, Anwar adalah calon pilihan yang paling layak. Sebab itulah penyokong-penyokong ‘sedih’ dengan apa yang diperkatakan oleh Mukhriz.

Beberapa kemungkinan lain dijangka berlaku. Ada yang melihat Anwar tidak akan dapat ‘hak’nya sebagai Perdana Menteri ke-8 atas beberapa sebab. Antaranya, Dr Mahathir ‘sukar’ untuk melakukan ‘peralihan kuasa’ dan kini sedang berusaha untuk memperkuatkan kedudukan PPBM menerusi seruan penyatuan Melayu-Islam.

Tahun lalu, Dr Mahathir berusaha ‘melemaskan UMNO’ dan tindakan itu menyebabkan kedudukan kerusi PPBM bertambah dari 13 kepada 26 di Dewan Rakyat. Tindakan itu menjadi sedikit terhalang apabila komponen dalam PH membantah, melanggar persetujuan Majlis Presiden PH, iaitu tidak menerima kemasukan wakil rakyat melalui pintu belakang.

UMNO pula mengambil reaksi balas dengan mengancam wakil rakyat yang berhijrah dengan tindakan saman. Khabarnya, mereka akan disaman sehingga sejuta ringgit kerana melanggar akujanji kepada parti.

Setakat ini, belum ada tindakan tegas terhadap ‘penyeberang-penyeberang’ tersebut. Bagaimanapun, keadaannya dilihat sedikit terbantut apabila PPBM meletakkan syarat, penyertaan mereka bukan boleh diterima secara mudah, perlu melepasi tapisan dan melalui proses pembersihan. Mereka juga tidak akan ditawarkan apa-apa jawatan dalam parti atau kerajaan (melalui lantikan politik) dalam tempoh setahun.

Masyarakat umum seperti percaya bahawa ‘peralihan kuasa’ akan berlaku dalam tempoh yang ditetapkan, tetapi menurut Mukhriz, “tiada perjanjian peralihan kuasa perlu berlaku dalam dua tahun. Mungkin ada cadangan seperti itu, tiada dinyatakan atas kertas atau perjanjian secara lisan.”

Sekarang, terpulanglah untuk kita percaya apakah ‘peralihan kuasa’ itu benar-benar berlaku antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim sebelum PRU ke-15. Dr Mahathir masih mempunyai masa dan kuasa untuk menzahirkannya. Perhitungan sebenar Dr Mahathir sukar dibaca, sebab itulah Anwar perlu berhati-hati untuk bercakap atau menyatakan pendiriannya. Silap perhitungan, Anwar dan Dr Mahathir akan bermusuh sekali lagi.

Kamarun KH

 

No Comments

    Leave a reply