PERANAN AGAMA DALAM NEGARA

Syeikh Mahmud Syaltut menyatakan agama merupakan ketentuan Ilahi yang menetapkan prinsip-prinsip umum untuk membimbing urusan manusia bagi mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Di samping itu, agama juga memberi petunjuk kepada kebaikan, kebenaran dan keindahan, serta memantapkan kedamaian dan ketenteraman bagi manusia seluruhnya.

Demikian juga dalam hubungan pemerintah dan agama di negara ini, apabila kita dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang bersangkutan dengan dan negara. Pengisytiharan Malaysia sebagai Negara Islam menggambarkan satu sikap kesederhanaan pemerintah dengan maksud tidak menolak kepentingan sebahagian anggota masyarakatnya yang majmuk. Kita tidak mahu menjadi seperti Algeria yang sebahagian masyarakatnya bermaksud menerapkan ajaran Islam yang ketat dengan mengabaikan pandangan anggota masyarakat lain, sehingga kini mereka masih dilanda kerosakan yang berpanjangan.

Dalam hubungan agama dan pemerintahan, Ibn Taimiyah dalam bukunya As-Siyasah As-Syariyyah menulis; “Enam puluh tahun di bawah pemerintahan yang zalim lebih baik dari semalam tanpa pemerintahan.” Jelas bahawa agama menekankan perlunya kehadiran pemerintah bagi menjaga keharmonian kehidupan masyarakat, bahkan demi terlaksananya ajaran agama itu sendiri. Justeru tanpa kehadiran pemerintah akan terjadi kekacauan dalam masyarakat.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Pemerintah yang aniaya lebih baik daripada kekacauan. Memang kedua-duanya tidak baik, tetapi dalam sekian banyak keburukan, harus ada pilihan.

Jangankan dalam satu masyarakat yang besar memerlukan pentadbir, tiga orang yang dalam perjalanan pun dituntut oleh Nabi s.a.w. supaya dilantik seorang ketua bagi menguruskan perjalanan mereka.

Tidak halal bagi tiga orang (walau) di padang pasir, kecuali mengangkat seorang di antara mereka sebagai amir.

(Riwayat Ahmad melalui Abdullah bin Amr).

Hadis yang dikemukakan ini merupakan sebahagian daripada prinsip umum yang meletakkan agama Islam berkaitan dengan pemerintah. Manakala dari segi cara pelaksanaannya terserah kepada anggota masyarakat berasaskan kesesuaian, suasana dan perkembangan sosial budaya mereka.

Peralihan kuasa yang berlaku di negara kita baru-baru ini jelas menggambarkan satu kesepakatan dalam menetapkan pimpinan tertinggi negara. Dalam konteks memilih pemimpin agama memberi petunjuk, bukan saja bagi calon yang akan dipilih, tetapi juga bagi yang memilih, di samping memberi isyarat-isyarat tentang sifat-sifat yang hendaknya disandang oleh orang yang akan dipilih. Misalnya: Bagi yang akan dipilih, kepadanya diperingatkan bahawa:

Sesungguhnya ia (jabatan) adalah amanah dan sesungguhnya ia pada hari Kiamat menjadi (penyebab) kehinaan dan penyesalan, kecuali yang (bagi orang yang) menerimanya dengan hak dan menunaikan kewajipannya dalam amanah itu.

Sedangkan bagi yang memilih diingatkan bahawa: Siapa yang menugaskan seseorang dalam suatu kelompok dan dia menemukan dalam kelompok itu orang yang lebih disukai (lebih baik) daripada yang ditugaskannya, maka dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya, dan mengkhianati kaum mukmin.

Al-Quran sebenarnya telah memberi petunjuk secara tersurat atau tersirat dalam pelbagai aspek kehidupan umat manusia termasuklah dalam menentukan siapakah atau pimpin yang macam mana yang harus dipilih?

Sesungguhnya orang yang paling baik engkau tugaskan adalah yang kuat lagi dipercayai, demikian ucapan puteri Nabi Syuaib yang dibenarkan dan diabadikan dalam al-Quran surah al-Qashash ayat 26.

Menurut Ibn Taimiyah (661-728H), al-Quran dan hadis juga mengisyaratkan bahawa seorang yang diberi amanat sebagai pemimpin mestilah memiliki dua sifat utama iaitu kekuatan dan kepercayaan kerana kedua-dua sifat inilah yang disebut oleh Allah s.w.t. dalam memilih malaikat Jibril menjadi pembawa wahyu (lihat al-Quran surah al-Takwir ayat 20).

Demikian juga pelantikan Nabi Yusuf a.s. sebagai ketua Perbendaharaan Kerajaan Mesir diabadikan oleh al-Quran: “Sesungguhnya engkau pada hari ini (wahai Yusuf) seorang yang berpangkat tinggi, lagi dipercayai di kalangan kami.”

(Surah Yusuf ayat 54).

Sejarah mencatat selama dua tahun tiga bulan masa pemerintahannya Abu Bakar hanya menghabiskan 800 dinar dari Baitulmal. Manakala Umar bin Al-Khattab ketika menjadi khalifah sering melakukan pinjaman dengan Baitulmal apabila gajinya tidak cukup untuk keperluan sehari-harinya. Pembiayaan yang begitu kecil digunakan bagi mengelola sebuah negara yang wilayahnya terbentang dari Mesir hingga Parsi. Betapa efisiennya sebuah pemerintah yang dipimpin oleh orang yang kuat lagi amanah (dipercayai).

Kedua-dua sifat yang dinyatakan ini tidak mudah berhimpun pada diri seseorang. Justeru apabila masalah mengenainya timbul maka alternatifnya ialah memilih yang lebih kuat walau dari segi agamanya lemah. Sebabnya kekuatan akan memperkukuh masyarakatnya, sedangkan kelemahannya dalam bidang agama tidak rugi kecuali dirinya sendiri. Nabi s.a.w. sering melantik Khalid bin Al-Walid sebagai panglima perang walaupun kadang-kadang dia melakukan perkara-perkara yang tidak direstui Nabi s.a.w. Manakala Abu Dzar Al-Ghafirri dinilai Nabi s.a.w. sebagai:

Tidak ada (makhluk) yang ditampung oleh bumi atau (yang) dinaungi oleh langit lebih jujur ucapannya daripada Abu Dzar. Justeru Nabi tidak memberinya apa-apa jawatan tertinggi dalam sebuah jabatan kepada Abu Dzar yang warak itu.

Kekuasaan yang dimiliki oleh pemerintah adalah amanat yang amat penting kerana dalam semua kemudahan dalam hidup ini, yang paling mudah disalahgunakan ialah kekuasaan. Dalam bahasa asing ada istilah-istilah yang sering memperingatkan kita tentang bahaya kekuasaan seperti kekuasaan itu cenderung untuk curang, kekuasaan yang mutlak akan menjadi curang secara mutlak.

Dalam agama kita tidak diizinkan ada kekuasaan mutlak. Dalam bahasa Arab disebut sebagai thagut. Dan contoh thagut yang paling banyak disebut al-Quran ialah Firaun. Seperti firman Allah kepada Musa:

Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas. (Surah Taha ayat 24)

Kekuasaan tidak harus dibiarkan tanpa pengawasan. Pengawasan itu pula harus dilakukan oleh masyarakat.

Catatan: Ibnu Farabi

No Comments

    Leave a reply