PERANG PERSEPSI

Ketika heboh mengenai penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW ditularkan dalam media sosial, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dengan selambanya memberikan komen dalang yang menyebarkannya ialah penyokong UMNO yang menggunakan nama Weendy Loong dari kumpulan facebook Kiub Batu Itu Berhala. Ia bukan daripada seorang berketurunan Cina, ia adalah seseorang yang bernama Muhsin Lateef, yang menggunakan akaun palsu dan menyamar berketurunan Cina, dengan menggunakan nama tipikal wanita sedikit mirip Inggeris, Weendy Loong.

Ramai juga mempersoalkan mengenai ‘tuduhan’ tersebut yang sepatutnya tidak dibuat oleh Khalid untuk menuduh UMNO, sebuah parti yang mempunyai sejarah panjang ‘bermusuh’ dengan dirinya, sejak beliau adalah aktivis PAS. Khalid pernah diselar oleh UMNO kerana keterbukaannya ‘melafazkan bai’ah’ akan terbatal perkahwinannya sekiranya beliau meninggalkan PAS. Perkara itu tidak berlaku, sebaliknya Khalid terus ‘berbahagia’ dengan isterinya walaupun sudah meninggalkan PAS dan menyertai Parti Amanah Nasional (PAN).

Khalid juga pernah dipersoalkan mengenai pendiriannya ketika masih bersama PAS. Beliau begitu lantang untuk ‘menutup kilang arak’ yang terdapat di Batu Tiga Shah Alam, kerana merasakan pengeluaran minuman itu menjadi salah satu punca kehancuran masyarakat dan akidah Islam. Tetapi, ironinya ketika EXCO Selangor yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal Islam diserang bertubi-tubi atas tindakannya merampas minuman beralkohol yang dijual di kedai serbanika, cadangan melarang orang Islam bekerja di rumah-rumah hiburan yang menghidangkan arak, beliau seperti membisu kerana sebahagiannya berlaku di Shah Alam, kawasan yang diwakilinya sejak PAS adalah sebahagian daripada Pakatan Rakyat.

Semuanya sudah menjadi ‘sisipan sejarah’. Semuanya sudah ‘mengikat’ Khalid dengan imejnya yang semakin liberal apabila turut menyokong penganjuran Oktoberfest pada tahun lalu diadakan di Mid Valley. Sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid mempunyai kuasa ‘budi bicara’ untuk menyekatnya, tetapi atas keutamaan yang lain, beliau memberikan laluan asalkan tidak membabitkan orang Islam dan dilakukan secara tertutup (terkawal). Asasnya, ialah prinsip kebebasan dan hak asasi bukan Islam di samping legasi budaya sesebuah masyarakat yang dikaitkan dengan ‘hidangan arak’ bersama kehendak komersial.

Sebagai sebuah negara yang menjunjung prinsip moral dan kerukunan beragama, Khalid sepatutnya berupaya untuk mengingatkan bahawa apa yang dilakukan oleh bukan Islam ia akan mempunyai kesan secara langsung dan tidak langsung kepada umat Islam. Begitu juga apa yang dilakukan oleh umat Islam, ia turut memberikan kesan yang mungkin berbeza kepada masyarakat bukan Islam. Tetapi, yang jelasnya atas faktor ekonomi, masyarakat bukan Islam lebih gemar mengeksploitasi sumber-sumber yang ada kaitan dengan Islam, misalnya menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf, memberikan jenama produk keluaran dengan simbol masjid dan nama Melayu-Islam, meniru produk keluaran Melayu-Islam dan sebagainya.

Bagi masyarakat bukan Islam yang lebih mengutamakan keuntungan, mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan boleh mendapat laba yang besar, begitu juga dengan kritikan yang menyebabkan kerajaan terdahulu dilabelkan sebagai ‘kleptokrasi’. Secara langsungnya, kleptokrasi itu akan menjadi sesuatu yang membarah sekiranya tidak ada ‘pemberi dan penerima’. Ia seumpama perniagaan ‘barter trade’ yang sudah muncul sejak manusia saling melengkapi dan memerlukan.

Rasuah tidak berlaku sekiranya tidak ada pihak yang memerlukan sesuatu itu tidak menawarkan imbuhan tertentu. Ia wujud kerana pihak yang memerlukan sesuatu merasakan adalah lebih mudah memperolehinya dengan memberikan sogokan kepada pihak yang mengawalnya. Budaya ini kemudiannya berkembang menjadi sesuatu yang wajar dikompromikan dan akhirnya pihak yang mengawal meletakkan imbuhan sebagai ‘syarat melonggarkan syarat’ dan peraturan. Disitulah ianya berkembang menjadi sesuatu yang membarah, yang pada mulanya bersifat ekonomi dan menjerat ‘daya ketahanan moral’ seseorang. Dari kegiatan yang dianggap rahsia, berkemungkinan merebak secara terbuka. Membarah menjadi masalah yang besar, dan kemudiannya boleh menyebabkan persepsi buruk terhadap sesebuah masyarakat atau negara.

Inilah percaturan terbesar yang berlaku dalam peradaban manusia sekarang. Ada setengah negara melihat perkembangan tersebut sebagai sesuatu yang boleh menghalang manakala sesetengahnya menyatakan ia adalah sesuatu yang baik selagi mereka boleh meningkatkan penguasaan ekonomi. Amerika Syarikat misalnya, cuba merasional tindakan mereka dengan istilah ‘lobi’ bagi menguasai dunia, termasuk menggunakan rangkaian ‘perundingan antarabangsa’ bagi membolehkan negaranya dilihat perkasa dan kuat.

Tidak cukup dengan itu. Sebagai strategi mempengaruhi negara-negara sasaran, Amerika Syarikat menawarkan pelbagai bentuk bantuan yang akhirnya membawa kepada penguasaan entity ekonomi dan perusahaan mereka di sesebuah negara. Kisah kehebatan pasukan perundingan ekonomi Amerika Syarikat memang kita ketahui. Pasukan perunding datang dengan pelbagai cadangan, yang akhirnya syarikat-syarikat mereka diberikan peluang untuk melabur dan mengeksploitasi sumber, atas kapasiti pengolahan sumber alam dan kepakaran yang mereka ada. Untuk menjamin kelangsungan itu, Amerika Syarikat sanggup melakukan apa sahaja bagi menjamin kedudukannya tidak terancam dan setiap masa menyebarkan maklumat ‘rasa terancam’.

Terbaharu, Amerika Syarikat mula menghidupkan semula permusuhannya dengan negara-negara teluk yang telah lama membencinya. Selepas Irak dijarah dengan dakwaan menyimpan senjata pemusnah besar-besaran, firma-firma Amerika Syarikat mengawal proses pengeluaran minyak dan gas, kini, Iran semakin menjadi sasaran. Iran yang berusaha memperkayakan penggunaan uranium (tenaga nuklear) bagi menggantikan pergantunngannya kepada tenaga fosil pada masa hadapan, didakwa berusaha membangun senjata nuklear. Akibatnya, Iran ditekan dan dipaksa untuk bersetuju dengan Badan Nuklear Antarabangsa, yang dikawal oleh Amerika Syarikat agar memberikan laluan untuk diperiksa. Tekanan yang dikenakan ialah menyekat penjualan minyak dan gas manakala negara-negara yang membelinya turut dikenakan tekanan atau sekatan ekonomi.

Bulan lalu, Amerika Syarikat menyebarkan sebuah video mengenai pembabitan tentera Iran yang ‘merampas’ periuk api dalam sebuah kapal tangki minyak Jepun, Kokuka Courageous. Pasukan Pengawal Revolusi Iran dikatakan mengambil periuk api yang tidak meletup dan tindakan tersebut dianggap sebagai suatu bentuk pencerobohan atau kesengajaan memburuk-burukkan Iran.

Dakwaan Washington itu dinafikan oleh Iran. Berdasarkan maklumat tentera Iran, pasukannya membantu menanggalkan periuk apa yang melekat pada sisi kapal berkenaan, bukannya mencampakkan periuk api ke Kokua Courageous. Misi tentera Iran ialah menyelamatkan kapal tersebut daripada meletup sebelum periuk api meledak.

Washington mengedarkan rakaman video hitam putih yang kabur bagi menimbulkan persepsi marah masyarakat antarabangsa terhadap Iran. Masyarakat antarabangsa mula sangsi dengan sikap Washington itu bahkan ada pemimpin antarabangsa berpendirian bahawa Amerika Syarikat sedang mencari alasan untuk menyerang Iran selepas gagal membuktikan bahawa negara yang pernah ‘memalukan’ itu tidak mempunyai kecederungan membangunkan senjata nuklear.

Masyarakat antarabangsa telah lama mencurigai kaedah propaganda Amerika Syarikat sejak negara Iraq dijarah melalui semboyan ‘memerangi keganasan’, dan memusnahkan ‘paksi setan’ pada tahun 2003. Sebab musabab ini turut memberikan pukulan hebat kepada Amerika Syarikat apabila laporan perisikan mengeluarkan kenyataan dan permohonan maaf ke atas pembunuhan Osama Benladen yang dituding sebagai dalang serangan ke atas Pentagon dan World Trade Center pada 11 September 2001. Amerika Syarikat bersedia memberikan pampasan kepada keluarga Osama di atas tuduhan dan pembunuhannya.

Ketika itu Iraq dan Iran didakwa menjadi pusat rekrut dan gerakan al-Qaeda manakala pengikutnya dilaporkan telah berjaya merampas dua buah pesawat komersial untuk menyerang bangunan Pentagon dan WTC.  Setelah berlaku 17 tahun lalu, Amerika Syarikat akhirnya mengakui bahawa Osama dan Al-Qaeda tidak terbabit, tetapi sayangnya, Iraq sudah berjaya dihancurkan menerusi kesepakatan dan tindakan anggota NATO.

Tindakan Washington mengkambinghitamkan Iran akhirnya dibantah oleh Donald Trump. Rakaman video hitam putih yang kabur itu bukanlah tindakan yang membolehkan Amerika Syarikat menyerang Iran, dan kerana itu, Washington beralih kepada sebab yang lain.

Bagi membina persepsi buruk ke atas Iran seterusnya, Washington menghantar dron untuk mengintip. Dron Global Hawk akhirnya berjaya ditembak oleh Pasukan Tentera Revolusi Iran.  Kejayaan itu jelas menggambarkan bahawa Amerika Syarikat sebenarnya semakin terdesak untuk memusnahkan Iran.

Tidak cukup dengan itu, beberapa hari lalu dilaporkan bahawa kapal perang USS Boxer berjaya menembak jatuh dron kepunyaan Iran. Amerika Syarikat menuduh Iran mengancam keselamatannya, sedangkan masyarakat antarabangsa tahu bahawa Iran tidak pernah berusaha menggugat negara Amerika Syarikat.

Hanya Amerika Syarikat yang beriya-iya untuk mengancam mana-mana negara yang sehaluan dengannnya. Apa yang berlaku ialah Iran mempertahankan kedaulatan negaranya daripada diancam, termasuk kedudukannya di Laut Mediteranean. Amerika Syarikatlah yang berusaha untuk mengawal dan mendominasi laluan perdagangan yang utama itu bagi membolehkan kapal-kapal tangki terus dapat membekalkan minyak kepadanya.

Sebenarnya sikap mengawal dan kepentingan hegemonilah menjadikan Amerika Syarikat terlalu taksub untuk melancarkan perang persepsi di peringkat antarabangsa. Ia tidak mahu kedudukannya sebagai kuasa utama dunia terjejas. Ada yang mengaitkannya dengan agenda protocol Yahudi antarabangsa yang dikenali sebagai New World Order. Atas sebab itulah Amerika Syarikat sekutunya tidak pernah berhenti melancarkan kempen shock and awe. Menurut pengertian Wikipedia, kempen shock and awe juga dikenali dengan nama rapid dominance membawa maksud: is a tactic based on the use of overwhelming power and spectacular displays of force to paralyze the enemy’s perception of the battlefield and destroy their will to fight.

Dalam bahasa Melayu, shock bermakna kejutan, gegaran, renjatan, terperanjat, tergamam, mengejutkan atau memeranjatkan manakala awe boleh diertikan sebagai ngeri, gerun, kagum dan menakutkan. Bila digabungkan ia menggambarkan suatu teknik untuk menimbulkan rasa terperanjat dan kesan yang menakutkan dalam kalangan pihak tertentu, iaitu kumpulan sasaran. Tujuannya ialah untuk ‘melumpuhkan persepsi khalayak’ sehingga mendorong mereka untuk mengambil bahagian untuk memusnahkan rasa takut atau ngeri itu.

Ini dilakukan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya untuk menakut-nakutkan masyarakat dunia mengenai kebangkitan Islam. Islamophobia adalah sejenis kempen shock and awe, sehingga apa sahaja perkara yang berhubung dengan Islam dianggap berbahaya dan ganas, termasuk cara berpakaian masyarakat Islam, sistem pendidikan dan keyakinan mereka terhadap perintah Tuhan.

Konsep ini mula diperkenalkan oleh Harlan K Ullman dan James P Wade pada tahun 1996. Kedua tokoh berkenaan mengembangkan teknik shock and awe untuk digunakan oleh tentera Amerika Syarikat yang dilatih di National Defense University. Buku tulisan mereka, Shock and Awe: Achieving Rapid Dominance menjadi teks wajib.

Perang Irak 2003 jelas membuktikan teori ini, dengan ‘merancang serangan ke atas WTC dan Pentago’, Bush berjaya menimbulkan rasa terkejut dan benci rakyat Amerika Syarikat terhadap Islam hanya kerana percaya bahawa musuh sebenar tamadun Barat ialah Islam. Hingga ke hari ini, persepsi umum terhadap masyarakat Islam terus dikambinghitamkan.

Dalam kajian psikologi, terdapat pertembungan antara dua khemah atau khutub politik yang berbeza dan setiap asas pemikirannya adalah berdasarkan self fulfilling prophecy atau ramalan penyempurnaan kendiri. Atas sifat itulah juga manusia sentiasa berusaha untuk melihat apa yang ingin mereka lihat dan mendengar apa yang ingin mereka dengar.

Misalnya mengenai pertembungan politik yang sedang berlaku dalam Pakatan Harapan sekarang. Kelompok yang inginkan Dr Mahathir terus memegang jawatan sebagai Perdana Menteri hingga ke akhir penggal akan menggunakan apa sahaja alasan untuk mempertahankan pendirian manakala kelompok yang berusaha untuk menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8 akan menggunakan apa sahaja maklumat sehingga Dr Mahathir benar-benar mengotakan janjinya iaitu sebagai perdana menteri sementara, iaitu akan menyerahkan kuasa itu sebelum PRU ke-15. Ada andaian ia akan berlaku dalam tempoh selepas dua tahun tetapi tidak lebih daripada tiga tahun.

Perang persepsi ini menjadi semakin sukar apabila Dr Mahathir berkata, beliau akan tetap mengotakan janjinya kecuali dirinya ‘diacukan pistol’. Maknanya, ada kaveat yang tidak mampu dielakkan oleh Dr Mahathir, yakni ‘diacukan pistol’. Siapakah yang akan ‘mengacukan pistol’ itu? Ia adalah suatu bentuk andaian, yang membawa maksud ada keperluan yang mendorong Dr Mahathir menghabiskan usaha membaiki ‘Malaysia Baharu’. Keperluan itu diramalkan Dr Mahathir perlu memenuhi penyempurnaan aspirasinya, dan ia dikatakan ada kaitan dengan jaminan bahawa anaknya, Mukhriz mempunyai tempat yang selamat dalam lanskap politik Malaysia dan seterusnya ada kemungkinan mewarisi jawatan Perdana Menteri.

Setakat ini ‘aspirasi’ itu masih dianggap benar; manakala proses peralihan kuasa hanyalah ‘cakap-cakap politik’. Anwar akan terus berharap dan menjadi bakal perdana menteri yang paling lama terpaksa menunggu. Anwar juga dilihat akan terus kekal sebagai bakal Perdana Menteri apabila Azmin telah memberikan sokongan kepada Dr Mahathir untuk terus memimpin sehingga PRU ke-15.

Dr Mahathir juga terus mendapat sokongan dan dokongan daripada UMNO dan PAS, manakala Anwar secara asasnya seperti ‘terdesak’ dengan situasi tersebut. Itulah sebabnya Anwar sedang berusaha keras untuk mendapat sokongan lebih besar daripada pemimpin PKR. Beliau mahu gambarkan bahawa PKR masih tegas mahukan dirinya sebagai calon Perdana Menteri dan segera diberikan ‘peralihan kuasa’.

Berjayakah Anwar dalam misinya kali ini? Selagi Dr Mahathir tidak memberikan ‘tarikh tepat’ proses peralihan kuasa, selagi itulah Anwar cemas kerana dalam politik, apa sahaja boleh berlaku, termasuklah perang persepsi. Perang persepsi itulah akhirnya digambarkan sebagai ‘perbalahan politik’ dan kini PKR sedang dilanda ‘perbalahan yang sukar ditamatkan’ ekoran video semburit.

Dalam perang persepsi itu kita mungkin akan merujuk kepada sebuah kisah nyata, yang kemudiannya menjadi suatu bahan eksperimen psikologi. Seorang suami telah menolak isterinya ke dalam laut ketika pasangan tersebut berhadapan dengan situasi cemas, pertarungan hidup dan mati, iaitu keadaan kapal yang mereka naiki sedang karam.

Pasangan itu diberikan pilihan, hanya salah seorang daripadanya perlu berkorban. Si suami akhirnya menolak isteri ke laut manakala dirinya melompat masuk ke kapal penyelamat. Kapal penyelamat itu hanya masih berbaki satu tempat atau ruang.

Esperimen itu berjaya menyentuh emosi para pelajar. Hampir keseluruhan para pelajar mengecam tindakan ‘suami’ dan merumuskan bahawa dengan menolak atau membiarkan isteri tenggelam bersama kapal yang karam sebagai ‘tindakan zalim’ dan ‘pentingkan diri’. Ini adalah suatu telahan yang menarik kerana eksperimen tersebut tidak menjelaskan apa sebenarnya kriteria yang dipersetujui oleh pasangan itu sebelum mereka membuat keputusan itu?

Setelah selesai eksperimen, para pelajar diberitahu bahawa sebenarnya isterilah yang mencadangkan agar suaminya melompat ke kapal penyelamat. Dia mengambil keputusan sedemikian kerana inginkan suaminya selamat dan dapat menjaga dua orang lagi anaknya yang ditinggalkan bersama pengasuhnya sebelum mereka membuat keputusan untuk menikmati hari-hari terakhir sebagai pasangan yang bahagia. Si isteri begitu berhasrat untuk melancong di lautan bersama.

Si isteri mengidap sejenis kanser yang tidak lagi dapat dirawat dan hanya mengharapkan ada keajaiban berlaku. Doktor sudah melakukan rawatan terbaik, dan telah berkali-kali menasihati setiap daripada mereka agar bersedia menerima kehilangannya.

Kerana harapan untuk hidup sudah tidak ada, maka si isteri memaksa suaminya meninggalkan dirinya dalam situasi cemas tersebut. Akhirnya, siisteri benar-benar tenggelam bersama lain-lain penumpang yang tidak dapat diselamatkan. Setelah para pelajar diberitahu mengenai pilihan sebenar itu, para pelajar mula menukarkan persepsi mereka, isteri adalah seorang yang lebih mengutamakan anak-anak dan keputusan yang dibuat itu adalah sesuatu yang wajar. Suami yang dianggap ‘zalim dan pentingkan diri’ dianggap sebagai seorang bapa yang bertanggungjawab dan membuat keputusan demi kepentingan anak-anak.

Dalam situasi ini apakah Dr Mahathir benar-benar melakukan tindakan yang tepat sekiranya beliau terus kekal sebagai Perdana Menteri dan melupakan peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim? Sekiranya ini benar-benar berlaku, apakah Anwar Ibrahim akan dilihat sebagai seorang yang mahu mengejar kepentingan peribadi, maka kepentingan itu wajar dipatahkan demi menyelamatkan Malaysia?

Terpulang kepada setiap orang untuk melihat dan berpendirian. Masing-masing mempunyai memahami apa itu self fulfilling prophecy. Shock and awe tetap menjadi strategi utama dalam kempen mengubah atau perang persepsi, terutama apabila berusaha menggambarkan keburukan dan ‘kekejaman musuh’, termasuk di antara dua kutub pemimpin yang berkonflik walaupun dalam parti yang sama. Inilah yang sedang berlaku dalam PKR antara kumpulan yang menyokong Anwar dan yang pro Azmin Ali.

 

Mahanor Saleha.

No Comments

    Leave a reply