Peraturan jangan aniaya rakyat

DALAM menyambut tahun baru, rakyat Malaysia akan dikenakan dua peraturan kecil baharu yang tampak remeh tetapi agak membebankan dan berunsur penindasan kecil.

Malah, di tempat rehat lebuh raya, bukan sahaja kedai makan, keseluruhan kawasan tersebut diwartakan sebagai kawasan larangan merokok. Tindakan ini seolah-olah memaksa perokok melanggar peraturan dan menerima hakikat akan dikompaun jika tertangkap.

Jumlah denda dan hukuman bagi kesalahan seterusnya bukan sahaja terlalu berat malah tidak masuk akal bagi kesalahan merokok.

Ia hampir sama dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh arak. Walaupun tidak dinafikan merokok kepada kesihatan perokok dan orang sekeliling, peraturan yang dibuat haruslah realistik dan berimbang dengan kesalahan dan tidak menganiaya rakyat.

Oleh kerana kerajaan membenarkan penjualan rokok dan mengutip cukai berbilion ringgit setahun, maka harus ada penyelesaian yang tidak menganiaya perokok.

Minggu lalu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyatakan cadangan supaya semua pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan bilik khas di lokasi yang bersesuaian untuk perokok.

Penggunaan CRS

Ramai yang tidak sedar bahawa selain daripada saman merokok di tempat awam, kerajaan juga sudah mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (Child Restraint Seat: CRS) untuk anak di bawah umur 10 tahun pada kereta persendirian.

Jika sebelum ini penggunaan CRS diwajibkan ke atas bayi dan kanak-kanak kecil, kini ia telah dinaikkan sehingga umur 10 tahun.

Peraturan itu menimbulkan dilema besar kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. Jika sebuah keluarga mempunyai tiga hingga empat orang anak di bawah 10 tahun dan berkereta sedan, hampir pasti tiada ruang untuk pemasangannya.

Tidak mungkin ada kereta sedan mampu memuatkan tiga hingga empat kerusi kanak-kanak dalam satu kereta. Itu belum lagi diambil kira kos pemasangan.

Tidak dinafikan bahawa penggunaan CRS merupakan langkah keselamatan tambahan yang boleh mengurangkan risiko kematian kanak-kanak apabila berlaku kemalangan jalan raya.

Isunya bukan tidak sayang anak. Ia soal kemampuan rakyat untuk melaksanakan agak tidak berpatutan. Ingat kata kunci dalam CRS ini ialah keselamatan tambahan, bukannya keselamatan asas (basic) atau utama.

Jika CRS ini merupakan keselamatan utama sudah tentu ia juga perlu diwajibkan ke atas kenderaan awam seperti teksi dan e-hailing.

Malah, kajian yang dijalankan mendapati kerusi khas ini boleh merendahkan risiko kematian sehingga 70 peratus bagi bayi dan 50 peratus bagi kanak-kanak berusia antara satu hingga lima tahun. Jadi mengapa kerajaan hendak membebankan rakyat sehingga anak berumur 10 tahun.

Keselamatan jalan raya yang bersifat tambah nilai ini sepatutnya dilakukan melalui kempen kesedaran dan pelaksanaan sukarela, bukanya melalui ancaman saman dan kompaun.

Ketika menteri bermewah-mewahan dengan tempahan kereta rasmi baharu jenis MPV berjenama Toyota Vellfire, rakyat bawahan menyambut tahun baru 2020 dengan pelbagai peraturan dan saman untuk menambah kantung kerajaan.

Oleh AB JALIL BACKER

Sumber : sinarharian.com.my

No Comments

    Leave a reply