Gaji yang diterima setiap bulan adalah bersih setelah ditolak hutang berkenaan. “Sepatutnya pihak bank menghormati privacy (hak untuk bersendirian tanpa gangguan) pelanggan. Lebih baik menelefon majikan saya untuk menyelesaikan masalah ini,” ujarnya.

Setelah lama meminjam, dia juga menyedari bahawa bank itu hanya menggunakan perkataan Islam bagi meyakinkan orang ramai untuk berurusan dengan mereka tetapi banyak syarat diletakkan terlalu berat sebelah dan menekan pelanggan yang rata-rata bukan golongan kaya.

Kebanyakan pelanggan pula tidak menyedari syarat itu walaupun tertulis dalam dokumen perjanjian yang ditandatangani mereka kerana pihak bank sengaja menggunakan tulisan sangat kecil.

Cukup menarik masalah yang dibangkitkan pelanggan berkenaan turut diulas secara tidak langsung oleh beberapa ahli akademik yang menyumbang artikel dalam buku ini.

Menurut Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Muhammad Hisyam Mohamad, wujud ironi yang cukup jelas ketika sektor kewangan Islam di Malaysia dan global berkembang pesat, kadar kemiskinan dan masalah agihan kekayaan dalam kalangan umat Islam masih lagi tinggi dan tidak banyak menunjukkan perubahan positif.

“Di Malaysia walaupun masalah kemiskinan menurun, namun isu jurang pendapatan yang semakin melebar dalam kalangan anggota masyarakat menjadi satu petunjuk bahawa isu-isu berkaitan dengan kesejahteraan kehidupan masih membelenggu penduduk negara ini,” tulisnya.

Tegas beliau, sistem kewangan Islam tidak sepatutnya meniru kaedah kewangan konvensional yang lebih senang untuk memberikan pembiayaan dan pinjaman kepada golongan kaya.

“Golongan kurang berkemampuan terus terpinggir kerana mereka berhadapan dengan pelbagai halangan yang dikenakan pihak bank. Ketiadaan harta untuk dijadikan cagaran dikenal pasti sebagai salah satu punca mengapa golongan ini disisihkan oleh institusi kewangan.

“Ini ditambah pula dengan ketiadaan rekod-rekod pinjaman dan sejarah pekerjaan selain daripada taraf pendidikan yang rendah. Pada pandangan bank, semua ini adalah suatu risiko ke atas wang yang dipinjamkan kepada pelanggan,” tulisnya.

Keghairahan bank untuk mencedok produk-produk institusi kewangan konvensional turut diulas Profesor Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid.

Menurut beliau, apa yang berlaku sekarang adalah penasihat syariah di pelbagai peringkat memberikan perhatian hampir sepenuhnya kepada kitab-kitab fikah klasik yang membincangkan mengenai hukum-hukum syarak tanpa menganalisis semula nas-nas al-Quran dan hadis yang ada dalam konteks realiti semasa.

Nas-nas syarak bersifat mutlak dan tidak berubah tetapi kitab-kitab fikah adalah berdasarkan hasil kefahaman ahli-ahli fikah mengenai kandungan al-Quran dan hadis dengan berlatarbelakangkan keilmuan dan realiti hidup di Asia Barat pada satu ketika dahulu.

“Berasaskan keputusan hukum dalam kitab-kitab fikah yang ditulis berdasarkan realiti hidup beratus-ratus tahun lama inilah penasihat syariah membina produk-produk perbankan Islam yang secara umumnya dicedok daripada bank konvensional.

“Proses Islamisasi produk cedokan ini dilakukan secara kosmetik, iaitu dengan menokok tambah di sana sini agar kelihatan Islamik walaupun secara luaran sahaja.

“Akibatnya produk yang diperkenalkan perbankan Islam tidak bersifat asli dari segi keislamannya dan tidak semasa serta setempat dari segi pendekatannya.

“Dengan kata lain, fleksibiliti hukum-hukum Islam tidak dipergunakan. Sebabnya, mungkin para penasihat syariah tidak mempunyai keyakinan diri untuk melakukan ijtihad,” tulisnya.

Sehubungan itu, beliau memberi cadangan supaya diwujudkan bidang pengajian baharu iaitu fikah perbankan bagi mengelak penasihat syariah terlalu bergantung kepada fikah muamalat (kemasyarakatan) yang mengatur urus niaga antara individu sahaja yang diperkenalkan ahli-ahli fikah sebelum ini.

“Tafsiran oleh ahli-ahli fikah sebelum ini walaupun sangat cemerlang tetapi ketinggalan zaman. Ketika itu, institusi kewangan seperti perbankan belum ada. Perbankan adalah institusi yang sangat berbeza sifatnya berbanding individu,” jelasnya.