PERBEZAAN PENDAPAT: SAHABAT NABI UTAMAKAN KEBENARAN

Sudah menjadi ketentuan Allah SWT menciptakan manusia dengan akal dan fikiran yang berbeza-beza, di samping wujudnya perbezaan bangsa, bahasa, warna kulit dan pemikiran. Sebenarnya penciptaan Allah SWT yang berbeza-beza ini merupakan salah satu tanda kebesaran dan kekuasaan-Nya Yang Maha Tinggi. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya (Allah) ialah menciptakan langit dan bumi, dan berlainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui” (Surah Rum ayat 22).

Perselisihan pendapat yang berlaku dalam kalangan umat manusia semenjak dahulu hingga ke hari ini, adalah sebahagian daripada fenomena tabi’i. Sekiranya ia tidak melampaui batas-batasnya dan sentiasa mengikuti adab-adabnya, maka ia akan melahirkan keputusan yang positif dan menyumbangkan banyak faedah.

Pada zaman pemerintahan khalifah Islam yang pertama, telah berlaku peristiwa perselisihan pendapat mengenai hukuman perang ke atas orang-orang yang enggan mengeluarkan zakat. Setelah kewafatan Rasulullah SAW, Abu Bakar al-Siddiq r.a telah dilantik menjadi khalifah pertama. Berikutan peristiwa kewafatan Rasulullah SAW ini, banyak kabilah yang baru sahaja memeluk Islam telah murtad. Tambahan pula wujud orang-orang yang mendakwa dirinya sebagai nabi, seperti Musailamah al-Kazzab dan Tulayhah.

Terdapat antara sesetengah kabilah yang enggan menunaikan sembahyang dan mengeluarkan zakat. Manakala sesetengah kabilah yang lain pula, masih lagi memeluk Islam tetapi enggan mengeluarkan zakat. Keengganan mereka mengeluarkan zakat ini disebabkan kedegilan dan keangkuhan membayarnya kepada Abu Bakar al-Siddiq r.a, di samping sangkaan salah mereka bahawa pada asasnya zakat ini tidak perlu dibayar kepada selain Rasulullah SAW, kerana bagindalah yang dikhitabkan (diperintah) untuk mengambilnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Ambillah sedekah (zakat) dari sebahagian harta mereka, (dengan sedekah itu) kamu membersih dan menyucikan mereka” (Surah al-Taubah ayat 103).

Barangkali orang-orang yang enggan membayar zakat itu lupa atau sengaja lupa bahawa perintah mengambil zakat ini bukanlah terbatas kepada Rasulullah SAW sahaja, tetapi merangkumi semua orang yang menguruskan harta zakat selepas baginda. Tujuan Allah SWT menujukan perintah mengambil zakat kepada Rasulullah SAW sahaja dalam ayat di atas  kerana baginda merupakan pemimpin atau ketua bagi seluruh umat Islam. Jadi selepas baginda wafat tanggungjawab menguruskan zakat berpindah kepada penggantinya iaitu Abu Bakar al-Siddiq. Begitulah seterusnya kewajipan menguruskan zakat sehinggalah ke hari ini.

Pada masa hayat Rasulullah SAW, kaum muslimin mengadakan bai‘ah (perjanjian) di hadapan baginda untuk menunaikan sembahyang dan mengeluarkan zakat, tanpa memberi ruang sedikitpun untuk memisahkan antara kefarduan sembahyang dengan zakat. Setelah Abu Bakar al-Siddiq r.a menerajui pucuk pimpinan umat Islam, beliau memberikan perhatian berat untuk meneruskan perjalanan Islam sebagaimana yang berjalan pada zaman Rasulullah SAW.

Melihat keadaan gejala murtad semakin berleluasa, Abu Bakar al-Siddiq r.a membuat keputusan untuk memerangi orang-orang yang enggan membayar zakat, sebagai mendorong mereka supaya bertaubat, menunaikan zakat dan kembali kepada lingkungan peraturan Islam serta komited terhadap setiap perkara yang mereka telah berjanji kepada Rasulullah SAW.

Berhubung pendirian yang telah dibuat oleh khalifah yang pertama ini, terjadilah perselisihan pendapat antara beliau dengan ‘Umar al-Khattab r.a. Pada mulanya ‘Umar berpendapat bahawa tidak seharusnya memerangi orang-orang yang enggan membayar zakat kerana Rasulullah SAW bersabda, “Aku diperintah untuk memerangi (membunuh) manusia sehingga mereka mengaku bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Sesiapa yang mengucapkannya terpeliharalah harta dan jiwanya daripadaku, melainkan dengan haknya dan segala-galanya terserahlah kepada Allah untuk menentukannya”. Kemudian Abu Bakar al-Siddiq berkata: ”Demi Allah aku akan memerangi orang yang membezakan antara sembahyang dengan zakat, kerana zakat itu merupakan tuntutan terhadap harta harta”.

Abu Bakar al-Siddiq masih tetap dengan pendiriannya lalu berkata, “Demi Allah, seandainya mereka enggan membayar zakat tersebut kepadaku, sedangkan mereka pernah membayarnya kepada Rasulullah s.a.w, maka aku akan tetap memerangi mereka. Dalam hubungan ini ‘Umar berkata : “Demi Allah, pendirian yang demikian ialah kerana Allah telah membuka dada Abu Bakar r.a untuk berperang, maka aku yakin itulah yang benar. Demikian juga Allah telah membuka hati orang-orang Islam terhadap pandangan Abu Bakar dan mereka sepakat untuk memerangi orang-orang yang murtad”.

Berhubung perkara ini, ‘Umar juga pernah menyarankan kepada Abu Bakar dengan berkata, “Berjinaklah dengan orang ramai dan bersikap lembutlah dengan mereka”. Mendengar kata-kata itu, Abu Bakar berkata dengan nada marah, “Apa yang kamu cakap ‘Umar ?, Aku mengharapkan bantuan engkau, tetapi kamu bawa sesuatu yang mengecewakan aku. Apakah kamu bersikap berani pada zaman jahiliah, tetapi pengecut dalam Islam ? Agama ini telah sempurna dan wahyu telahpun berhenti, masakan ia akan dikurangkan sedangkan aku masih hidup”. Apabila beliau (Abu Bakar) ditanya, dengan siapa kamu akan hadapi mereka? Jawabnya, “aku akan menghadapi mereka sehingga aku terbunuh”

Bagi menjelaskan lagi kebenaran keputusan Abu Bakar al-Siddiq r.a untuk memerangi orang-orang yang enggan membayar zakat, Ibn Zayd telah berkata: Telah difardukan sembahyang dan zakat bersama-sama dan tidak dipisahkan antara kedua-duanya. Lalu ia membaca firman Allah SWT yang bermaksud,  “Jika mereka bertaubat, mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-saudaramu seagama” (Surah al-Taubah ayat 11). Allah SWT tidak menerima sembahyang seseorang kecuali bersama-sama dengan zakat. Ibn Zayd berkata lagi: Allah telah memberi rahmat kepada Abu Bakar yang sangat faham tentang maksud ayat ini, iaitu tentang ketegasan pendiriannya untuk memerangi orang-orang yang memisahkan antara sembahyang dengan zakat”.

Pada asasnya perselisihan ini berlaku kerana mereka berpegang kepada zahir nas hadith di atas. ‘Umar berpendapat dengan semata-mata memeluk Islam, iaitu mengucap dua kalimah syahadah, maka terpeliharalah darah dan hartanya serta diharamkan memeranginya. Manakala pendapat Abu Bakar r.a berdasarkan sabda Nabi di dalam hadith tersebut iaitu “melainkan dengan haknya”. Beliau menganggap bahawa zakat adalah hak harta. Keengganan membayarnya akan menghilangkan jaminan pemeliharaan jiwa dan harta. Pendapat Abu Bakar r.a ini adalah sama sebagaimana beliau faham ikatan yang tidak dapat dipisahkan antara kefarduan sembahyang dengan zakat dalam kebanyakan ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah SAW.

Selagi mana mereka bersetuju bahawa keengganan mendirikan sembahyang adalah menjadi dalil murtad, maka keengganan menunaikan zakat adalah sepatutnya juga dianggap sebagai dalil murtad yang boleh diperangi orang-orang yang berbuat demikian. Dengan demikian Abu Bakar al-Siddiq mampu meyakinkan para sahabat yang lain tentang kebenaran ijtihadnya dalam memerangi orang-orang yang enggan membayar zakat.

Berdasarkan peristiwa perselisihan pendapat antara Abu Bakar al-Siddiq dengan ‘Umar al-Khattab berkenaan hukuman memerangi orang-orang yang enggan mengeluarkan zakat, kita dapat rumuskan beberapa pengajaran penting.

Pertama, kita dapati nafsu bukanlah menjadi tenaga pendorong bagi mereka untuk perselisihan pendapat. Bahkan perbezaan pendapat antara mereka berdua telah diwarnai oleh adab-adab yang tinggi dan mulia dengan tujuan mencari dan mengutamakan kebenaran.

Kedua, kita juga dapati sikap para sahabat yang segera menyahut kebenaran dan mengakui kesalahan diri sendiri tanpa ada perasaan kecil hati dan berdendam antara satu sama lain. Selain itu para sahabat juga sangat menghormati ahli ilmu, ahli fiqh dan cendekiawan dengan tidak mengorbankan harga dirinya dan tidak pula mengurangi hak saudaranya. Bagi mereka ikatan ukhuwwah Islamiah (persaudaraan Islam) adalah asas utama untuk menyelesaikan segala perselisihan pendapat di dalam masalah-masalah ijtihad.

Ketiga, pendirian tegas Abu Bakar al-Siddiq r.a telah menampakkan kedalamannya dalam memahami pemikiran Islam serta mengutamakan pemikiran dan individu. Sekiranya beliau menerima pengislaman mereka tanpa mereka menunaikan zakat, maka perkara ini akan membawa kepada perpecahan berhubung prinsip-prinsip Islam yang asas dan menjadikannya sebagai sesuatu yang boleh ditawar menawar.

Keempat, Abu Bakar al-Siddiq dan ‘Umar al-Khattab bersetuju memerangi orang-orang yang enggan membayar zakat sebagaimana mereka bersetuju memerangi orang-orang yang murtad sepenuhnya daripada Islam. Tindakan Abu Bakar ini sebagai usaha menyelamatkan Islam daripada perpecahan dan kehancuran. Seandainya tidak ada ketegasan pendirian Abu Bakar r.a, yang kemudian disokong pula oleh para sahabat, nescaya Islam tidak dapat ditegakkan. Kita juga tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku terhadap kota Mekah dan Madinah pada masa fitnah dan riddah berleluasa di seluruh Semenanjung Tanah Arab. Namun begitu, hukuman ini sebagai pengajaran terhadap orang-orang yang enggan membayar zakat dan ia bukanlah suatu hukuman yang lazim dan berterusan, malahan ia tergolong dalam hukuman-hukuman takzir. Terpulanglah kepada pertimbangan pihak berkuasa (pemerintah) dalam satu-satu masyarakat. Hukuman ke atas orang-orang yang enggan membayar zakat tidak sahaja terhenti sekadar denda-denda dalam bentuk wang ringgit dan penjara, yang amat rendah dan ringan, tetapi harus bagi pihak pemerintah menggunakan hukuman fizikal sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis di atas dan pengajarannya serta lain-lain menurut maslahah (keperluan) semasa.

Oleh: Dr. Mohd Shukri Hanapi

Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)

Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

No Comments

    Leave a reply