PERDAMAIAN DI BUMI

Perdamaian atau damai dalam bahasa al-Quran, biasanya ditunjuki dengan kata salam. Kata ini terulang dalam al-Quran sebanyak 42 kali.dalam berbagai konteks. Di luar al-Quran pula, kata ini sangat popular,bukan sahaja dikalangan agamawan, tetapi juga di kalangan ahli politik. Bahkan di seluruh dunia seruan untuk menegakkan perdamaian seringkali dilaung-laungkan.Namun entah kenapa kata tersebut hanya mudah ditemui dalam ucapan dan tulisan,tetapi amat sukar untuk dilihat dalam kenyataan.

Kita lupa doa yang sering kita baca setiap selesai solat, “Allahumma anta al-salam wa minka al-salam wa ilaika ya’udu al-salam.Ahyina Rabbana bi al-salam waadkhilna al-jannata dar al-salam. (Ya Allah Engkaulah yang Mahadamai, dariMu bersumber kedamaian dan kepada-Mu kembali kedamaian. Hidupkanlah kami dalam kedamaian dan masukanlah kami ke syurga negeri yang penuh kedamaian)”.

Demikian juga kita dapati ungkapan yang popular yang berbunyi, “Kemuliaan bagi Tuhan ditempat Yang Maha Tinggi dan semoga damai didunia”. Namun ini semua belum cukup kuat untuk mendorong terciptanya perdamaian di bumi ini. Apakah kerana mereka jahil dan tidak memahami maksud intipati sebenar apa yang  dilafazkan itu.

Konsep mengenai salam memang sangat penting dan utama dalam agama Islam.Perkataan Islam sendiri sudah mengandungi makna orang yang berdamai dengan Tuhan. Dan Tuhan pun berdamai dengan orang tersebut. Maka orang tersebut akan memperolehi jalan selamat-iaitu suatu keadaan yang sejahtera bahawa kita mencapai qalb-un salim (hati yang sejahtera). Ada suatu gambaran nanti di akhirat bahawa tidak ada orang yang merasa tenteram kecuali mereka yang mempunyai hati yang utuh dan sejahtera.

Damai dan perdamaian atau salam menjadi tujuan hidup setiap muslim kerana Allah mengajak ke Dar Al-Salam (lihat Al-Quran Surah Yunus ayat 10).Tanpa Al-Salam, iaitu Allah SWT atau tanpa salam yang bererti “damai” dalam jiwa manusia serta dalam interaksinya,maka segalanya akan rosak,bahkan tiada lagi kehidupan itu. Kedamaian dan ketabahan harus dilakukan, antara lain dalam menghadapi diri  sendiri serta berusaha mewujudkan kedamaian dalam hati masing-masing. Kedamaian tidak mungkin tercipta dalam masyarakat sebelum ia bersemai dalam diri anggota manusia. Bagaimana kita dapat memberi kedamaian kalau kita sendiri tidak memilikinya?

Damai yang dikehendaki Islam bukan hanya yang bersifat lahiriah, tetapi juga batiniah,termasuk menghindarkan hati dari segala aib dan kekurangan,dengki atau hasad, menghasut serta segala macam kehendak negatif terhadap pihak lain. Demikian juga menurut  Al-Ghazali.”Siapa yang selamat hatinya dari hal-hal tersebut,maka akan selamat pula anggota badannya dari segala kejahatan dan selamat pula hatinya dari kesesatan,dan dengan demikian dia akan datang menghadap Allah dengan hati yang selamat.

Membaca, menghayati dan mengamalkan petunjuk-petunjuk Al-Quran adalah jalan memperolehi kedamaian. Ini kerana Al-Quran  adalah petunjuk yang diturunkan oleh Allah SWT yang menyatakan diriNya sebagai, ‘Mengajak ke negeri yang damai.’ (Lihat Al-Quran Surah Yunus 10)

Sesungguhnya Allah SWT telah mensyariatkan perkara-perkara yang menjadikan umat ini bersatu dan saling mencintai.Demuikian juga Allah SWT telah melarang berbagai perkara yang akan merosakan hubungan sesama kaum muslimin. Di antaranya sifat yang dilarang oleh Allah adalah su-uzhan (prasangka buruk) kepada orang mukmin yang zahirnya baik. Pada hakikat perbezaan aliran dalam politik tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memaafkan kesalahan orang lain terhadap dirinya. Nabi saw bersabda yang bermaksud “Tidaklah Allah SWT menambahkan kepada seorang hamba dengan sebab maaf (yang dia berikan kepada orang yang menzalimi) kecuali kemuliaan.”

Sebagai panduan kita pada hari  ini, Allah SWT pernah mengajar hambaNya  yang beriman apabila berhadapan dengan golongan kuffar dalam suasana peperangan. Di antaranya firmanNya bermaksud “ kiranya mereka   (pihak musuh)  cenderung kepada perdamaian , maka kamu juga hendaklah cenderung kepadanya (terima ) cadangan itu.” (Surah Al-Anfal ayat 81).

Catatan: Ibnu Baitar

No Comments

    Leave a reply